13 Sept 2012

Kaji Tayangan Di Pawagam



MASALAH dalam industri perfileman tempatan tidak pernah habis. Dulu bilangan filem Melayu kurang kerana lambakan filem import terutama dari Hollywood dan Hong Kong. Sekarang pula, sejak dua filem tempatan ditayangkan serentak dalam seminggu bermula Mei lalu, ramai merungut tidak tahu untuk menonton filem yang mana satu. Empat tayangan filem tempatan dalam sebulan ini telah menimbulkan isu lain antaranya soal lambakan, kualiti dan kutipan tiket.

Lambakan filem tempatan tidak termasuk filem import juga menyebabkan berlakunya kesesakan tayangan di pawagam. Apabila berlaku lambakan filem, soal kualiti seperti jalan cerita, mesej, teknik pengarahan dan persembahan lakonan pula menjadi kekangan.

Ramai penonton yang keliru dan tidak tahu filem mana yang berkualiti. Ini kerana, sebut sahaja filem cereka ia terus ditayangkan di pawagam. Sedangkan ada di antara filem cereka tempatan yang ditayangkan tarafnya lebih kurang seperti telemovie sahaja. Ia termasuk skop jalan cerita, kredibiliti para pelakon dan kecanggihan teknologi audio dan visualnya.

Justeru, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaku badan yang mengatur tayangan filem tempatan di pawagam dan mengawal Skim Wajib Tayang mengkaji semula kualiti sesebuah filem tempatan sebelum ia ditayangkan di pawagam. Jika Finas mempunyai panel yang menentukan kategori penonton seperti untuk umum dan dewasa, mengapa tidak dalam hal ini?

Begitu juga dengan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) yang mempunyai ramai panel yang arif dalam menilai serta menapis filem. Sepatutnya, hanya filem-filem yang layak sahaja ditayangkan. Golongan terbabit tentunya lebih arif dalam membezakan antara sebuah filem cereka atau hanya layak ditayangkan dalam slot-slot drama di televisyen sahaja.

Itu adalah senario yang sedang berlaku sekarang apabila pertambahan filem tempatan tidak seperti yang diharapkan. Ramai penonton seolah-olah tertipu dengan kualiti filem tempatan setelah menontonnya sejak kebelakangan ini. Apabila kualiti filem-filem tempatan semakin merosot, lama-kelamaan ia akan menghakis keyakinan para penonton untuk terus menonton di pawagam.

Kesan awal daripada isu itu kini sudah dapat dilihat apabila kutipan filem tempatan yang ditayangkan di pawagam sejak Mei lalu semakin merosot. Purata kutipan tiket filem-filem tempatan antara RM200,000 hingga RM2 juta sahaja. Sedangkan sebelum ini banyak filem yang mampu mencatat kutipan tiket memberangsangkan seperti KL Gangster dengan kutipan RM11.7 juta.

Sebuah panel baru harus ditubuhkan bagi mengkaji kualiti sesebuah filem tempatan dengan mekanisme-mekanisme yang relevan dan tidak membebankan para penerbit. Misalnya, penekanan dalam soal pitching sejak dari awal idea pembikinan skrip sesebuah filem itu dicetuskan. Kaedah ini mampu untuk meningkatkan lagi kualiti dan daya saing seperti filem-filem import.

Dari situ ia akan menjadikan para penerbit, penulis skrip dan pengarah filem lebih komited dan bertanggungjawab atas penerbitan sesebuah karya itu yang bukan sekadar tangkap muat sahaja. Apabila cara ini dipraktikkan, ia juga akan mencetuskan daya saing yang lebih tinggi di kalangan para pembikin filem untuk lebih mempertingkatkan kualiti dalam produk-produk mereka.

Sekarang ini apa yang berlaku ialah penerbit yang kaya raya dan sudah bertapak teguh dalam bidang ini sahaja yang mempunyai keupayaan menerbitkan puluhan filem setahun. Namun tidak ramai yang berani membuka mulut untuk bercakap soal kualiti filem-filem golongan tersebut. Senario ini hanya menguntungkan penerbit terbabit semata-mata.

Golongan penerbit seperti ini bukan sahaja mengaut kutipan tiket di pawagam tetapi juga daripada jualan filem di stesen-stesen televisyen percuma atau yang berbayar seperti Astro First. Sedangkan untuk jangka masa panjang ia akan merugikan masa, duit dan tahap intelektual yang sepatutnya dibina oleh para penonton yang selama ini menyokong filem-filem tempatan di pawagam.

Link ASAL

No comments: