Showing posts with label Filem Iran. Show all posts
Showing posts with label Filem Iran. Show all posts

2 Jun 2015

C'Marba: Gamatisme, Murmur Of The Heart, Close Up & A Girl Walk Home Alone At Night,


Arahan : Hitler Zami
Genre : Seram, Psiko
Tahun : 2015
Rating : 1.5/5


Kau rasa bila pawagam takde orang beli tiket langsung, orang pawagam guna taktik macam mana? Dia buat la dummy 2 seat dah dibeli orang terpapar kat skrin tu, tapi sebenarnya takde pun. Jadi, cuma kita sajalah yang tengok dalam panggung sebesar alam tu. Ya-ya lah kita tunggu dua orang tu masuk cepat, sudahnya takde pun. Kahkahkah kena tipu.

Banyak yang tak kena dengan filem ni. PF mula-mula ada masalah dengan latarnya iaitu kolej seni yang guna seakan banglo siap ada kolam renang, bukan macam bangunan kolej-kolej biasa yang kita tengok tu. Manalah tahu memang ada kolej seni macam tu kan, mungkin PF duduk dalam tempurung (Ok2, susah nak shoot dekat kolej sebenar; mendapat izin dsb nak-nak citer seramkan?). Tak kisahlah kolej yang dipaparkan adalah diluar imaginasi PF, kira hebatlah dengan boleh buat maksiat sesuka hati, bilik tidur pelajar wanita boleh diintai senang-senang dari sebelah kolam renang?! OMG.. dan pak guardnya cuma seorang saja. Cameo artis undangan yang... huh. Sebenarnya semua ini mengganggu dan hanya ketika Zara (Nabila Huda) tunjuk belangnya saja PF boleh layan movie ni. Jadi, perut ibu mengandung itu adalah keratan rentas? Nampak macam mulut tempayan, patutnya tak perlu nampak keras sebegitu. Kredit lakonan Nabila dan Syazwan Zulkifli. Orang kata kalau kulitnya buruk, tak sanggup nak 'makan isinya'. 


Arahan : Sylvia Chang
Genre : Drama (Taiwan)
Tahun : 2015
Rating : 3.5/5

Secara ringkasnya ia berkisar drama keluarga, ibu bapa berpisah dan membawa anak mereka ketika kecil. Anak lelaki ikut bapa, anak perempuan ikut ibu. Dan apabila dewasa, kedua-duanya terpisah dan membawa haluan masing-masing. Penceritaan filem ini adalah lebih kpd ketika mereka dewasa, hanya ada imbas balik ketika mereka kecil.

Kedengaran biasa tapi pembawakannya bukan sewenang-wenang dan amat cermat kerana ia disaduri dengan simbolik kisah dongeng oleh ibu kpd anak2 mereka dan ayat-ayat puitis semestinya berarus perlahan. Apa yang buat ia menarik adalah kita tidak disogok dengan jalan cerita yang boleh ditebak di tengah-tengah. Dan boleh dikatakan ia janggal dan tak keterlaluan dilabel sbg melawan arus lalu membawa kepada pengakhiran yang (rahsia...) kepada 2 tunjang cerita (ia bukan omnibus). Ini kerana tumpuan asal cerita adalah kpd hubungan Mei (pelukis) dan kekasihnya seorang boxer yang tak menyinar dan usaha anak lelaki iaitu Yu-Nan mencari adik perempuannya itu yang dibuat "tanpa sedar" kerana Yu-Nan pun bukan bersungguh. 

Walau pun terdapat unsur kebetulan dan agak mudah, namun semua itu bolehlah dimaafkan dengan cara-cara penyampaianya cerita di sebelumnya - dan terdapat 2 adegan besar yang PF suka. Diulang sekali lagi, terasa janggal kerana ending filem ini bukan dijangka setelah 'usaha' plot tak memberi idea ke arah itu. *Jika ini filem Malaysia, PF beri 4/5 :)


Arahan : Abbas Kiarostami
Genre : Drama (Iran)
Tahun : 1990
Rating : 4.5/5

Antara karya terbaik Abbas Kiarostami. Kalau nak baca ulasan yang bagus pasal filem ini, baca DI SINI dan beberapa ulasan filem lain yang membuka mata.



Arahan : Ana Lily Amirppour
Genre : Drama (Canada/Iran)
Tahun : 2014
Rating : 4/5

Arahan orang Iran Amerika iaitu Ana Lily Amirpour sangat unik bila mana penggambaran di California tapi berbahasa Iran. Disemat sebagai filem Pontianak Iran pertama bercitarasa barat. Visual yang memikat sepanjang menonton filem hitam putih ini dan bukannya keseraman. Anda boleh rasa seperti sentuhan Jim Jarmush (Only Lovers Left Alive). Entah kenapa PF merasakan "filem Iran yang tak perlu bersentuhan/berpeluk pun boleh menghasilkan filem yg berkualiti" dah tak boleh digunapakai. Apatah lagi nampak nenen. Hahaha.



4 Sept 2014

CMarba: Coming Home, Tembus, JIN, The Apple, Guardian of the Galaxie, Dawn of Planet of the Apes, Only Lovers Left Alive



 
Arahan : Ahmad Idham
Genre : Drama
Tahun : 2014
Rating : 3/5


Ahmad Idham masih mengekalkan ciri-ciri filemnya. Berani buat perubahan jika kita lihat barisan filem beliau sebelum ini. Tembus berbeza dari komedi-komedi rempit dan hantu ciptaannya. Jika anda melihat supertele Astro PANIK tak lama dulu, awal-awal filem ini adalah sebegitu. Kehilangan anak membawa plot filem ini kepada rancangan jahat kekasih gelap Aaron. Filem ini bolehlah dikata matang sisi Ahmad Idham jika dia terus buat filem serius (bukan hantu) pasti boleh menyerlahkan lagi keupayaannya. Terdapat bahagian-bahagian kaku dalam filem ini. Tiap kali extra yang lalu-lalang terutama ibu atau bapa berjalan dengan anak mereka 'masuk ke dalam skrin', seakan diatur dan tak natural, dah tu semuanya berpimpin tangan tapi nampak janggal. Dialog Fazura pula diulang-ulang pasal tanggungjawab, baik rasanya jangan dibazirkan skrip tu. Mungkin penulis nak tegaskan hal ini betapa si isteri lebih berjaya dominan dari suami. Pada PF, semua pelakon memberi lakonan yang mantap kecuali Luna Maya yang agak stiff. Akhir sekali twist yang menyelamatkan filem ini.



Arahan : Pierre Andre
Genre : Seram
Tahun : 2014
Rating : 2/5


Filem ini tiada yang baru. Pindah rumah baru - diganggu - kanak-kanak - main sembunyi2 - orang tua -  kelambu menutupi muka - ustaz halau hantu. Filem ini ambil mudah akan latarbelakang asas. Kredit kepada lakonan ketiga-tiga pemeran utama dalam filem ini, Zul Ariffin, Mon Ryanti dan ustaz muda. Namun, hanya kejutan berulang-ulang. Apabila kisah filem hantu di rumah, si suami pasti ala sibuk di meja pejabat gitu. Tak boleh ke buat tengah tanam bunga ke, lanscaping ke, betulkan motor ke, nak kerja senang je, ngadap laptop letak 2-3 helai kertas. Pierre yang telah banyak buat filem seram sepatutnya dapat buat lebih elok. Ini hanya menyalin saja, jadi apa yang baru?



Arahan : Samira Makhmalbaf
Genre : Drama
Tahun : 1998
Rating : 3/5

Pada usia 17 tahun Samira pertama kali mengarah filem ini dan meledakkan namanya dipersada perfileman antarabangsa. Bayangkan tu, di usia muda telah mencipta nama. PF telah menonton beberapa filemnya yang lebih kemudian, yang lebih digemari Two-Legged Horse selepas itu Blackboards. The Apple lebih menyerlah sebenarnya tapi PF kurang 'dapat' filem ini. Setelah baca review di internet, barulah faham sikit-sikit. The Apple lebih simple dari filem Samira yang lain tapi sangat mendalam maknanya.


Arahan : James Gunn
Genre : Aksi 2
Tahun : 2014
Rating : 4.5/5

Jika diamati PF jarang menyentuh genre filem sebegini. GOTG memberi hiburan yang maksima bukan sekadar aksi tapi lucu sekali. Rasanya lebih enjoy filem ini dari semua filem-filem Marvel etc. Mungkin bukan passion menonton filem-filem sebegitu.



Arahan : Matt Reeves
Genre : Aksi 2
Tahun : 2014
Rating : 4/5

Siri Apes juga bukan peminat. Setelah menonton rasa gembira tak terhingga kerana kepuasan yang diberi oleh Matt Reeves. Lakonan, dialog, pertelingakan antara puak beruk dan manusia sangat mengesankan. Filem ini berkenaan bangsa, kepercayaan, kesetiaan dan perpaduan. Sangat dicadangkan!



Arahan : Jim Jarmush
Genre : Drama
Tahun : 2013
Rating : 2/5


Filem ini agak sedikit pelik. Kisah Pontianak pemuzik yang masih hidup dengan meminum darah yang dibekal secara gelap dari sebuah hospital. Eve pula (Tilda Swinton) pergi berjumpa sang kekasih Adam (Tom Hiddleston) yang sekian lama tak berjumpa. Adik Eve, Eva (Mia) pula datang melawat mereka tanpa diundang. Mereka yang semua pontianak hanya bergerak pada waktu malam saja, itu pun berkacamata apabila di tempat awam. Tak tahulah apa motif filem ni.



Arahan : Zhang Yimou
Genre : Drama (China)
Tahun : 2014
Rating : 3/5

Antara pengarah kegemaran PF kembali lagi dengan Coming Home. Ditayang di Cannes pada tahun ini. Jika diikutkan jalan ceritanya biasa saja. Dengan mengambil karya novel ke layar perak yang menjadi auteur theory sang pengarah, berkenaan kepulangan sang suami yang lari dari setelah lama dipenjara. Dipendekkan cerita, suatu hari si isteri mengalami masalah hilang ingatan dan tidak kenal akan suaminya yang disangkanya seseorang yang 'berbuat sesuatu' kepadanya dahulu. Apabila dia menunggu kepulangan suami di stesen keretapi sehingga usianya menginjak emas, walaupun suaminya di sisi, Pf seakan kurang pasti akan filem ini. Namun, itulah penyakit yang dihidapi yang sukar diubati. Ok, Pf tahu hanya bercerita plot saja.

2 Jun 2014

The Past, Abang Long Fadil, The Diving Bell & The Butterfly


Arahan : Asghar Farhadi
Genre : Drama (Perancis)
Tahun : 2013
Rating : 4/5


Asghar Farhadi masih lagi meneruskan tema 'perceraian' setelah A Separation melonjakkan nama beliau di Oscar. Menonton The Past seolah-olah kembar A Separation dimana ibu-bapa yang hadapai masalah, anak perempuan yang menjadi mangsa dan tekanan dari masalah keluarga itu. Kali ini ditambah dengan orang ketiga, Samir seorang lelaki Arab yang cuba dikahwini oleh Marie yang bakal bercerai dengan suami Irannya Ahmad. Ahmad yang datang ke Perancis setelah 4 tahun tak tinggal bersama dengan Marie dan duduk serumah semasa proses perceraian berlangsung. Ketika ini, Samir (dan anaknya Foud) seorang pengusaha kedai dobi juga tinggal bersama Marie. Kedatangan Ahmad selain ingin menguruskan hal perceraian sebenarnya adalah 'penyelamat' kepada masalah-masalah yang ada di dalam rumah itu. Ketika Marie 'mengecat pintu' dengan cat baru seolah-olah ingin mulakan hidup baru di 'ambang' baru yang bakal ditempuhi selepas bakal bercerai nanti, rupanya tidak semudah yang disangka dengan perlambangan 'cat tumpah yang dilap oleh Ahmad', maka Ahmad ditanda sebagai penyelamat masalah:

Marie dan Lucie (anak perkahwinan pertama yang menentang Samir) - (Ahmad adalah perkahwinan kedua tanpa anak)
Samir-Celine (isterinya yang sedang koma akibat tekanan hubungannya dgn Marie - belum bercerai). 

Asghar sengaja bermain dengan watak dan latarbelakang watak yang didedahkan babak demi babak. Punca keberantakan kemudian dibongkar satu-persatu ke pengakhiran yang rasanya membuatkan ia tergantung, tapi pada pendapat PF, ianya tidak seperti apa yang diharapkan oleh Marie. Terdapat satu babak dimana situasi men-to-men tanpa dialog antara Ahmad dan Samir di meja makan, saat dimana rasa cinta terhadap wanita yang sama, rasa ego, rasa malu, tanpa perbalahan antara mereka. Banyak lagi babak tegang yang mengingatkan kita kepada A Separation. Marie tak mahu mengenang masa silam lagi sedangkan apa yang diinginkan sekarang bukan mudah untuk dicapai.



Arahan : Syafik Yusoff
Genre : Aksi1
Tahun : 2014
Rating : 2.5/5



Bukan mahu memperlekehkan pengarah muda yang berbakat besar yang membuktikan SAM adalah karya debut yang sangat baik. Berbekalkan itu, kita menjangkakan suatu kelainan yang bakal dibawa walaupun bergenre gangster apatah lagi melihat trailernya yang menggiurkan. Dengan spin-off watak Abang Long Fadil yang diambil dari KL Gangster, ALF sebenarnya berdiri di kaki sendiri dengan baik. Diselang-seli dengan parodi KL Drift, KLGangster, idea 3 hero kampung Berani kemudiannya dikembang ke zaman masakini dimana salah seorangnya menjadi watak jahat apabila sudah sedikit berumur. Tapi maaf, babak aksinya boleh diperbaiki lagi jika mahu dibanding dengan filem KLG. Tiada masalah dengan aksi CGI yang dipersembahkan untuk memberi rencah kelainan. Yang peliknya, Fadil pegi melawat Malik dekat penjara boleh borak pasal plan gangster dengan kuat menerusi telefon tu? Sampai satu tahap, kemuakan filem gangster sudah mula terasa dan PF tidak dapat menahan kaki untuk keluar panggung sebelum tamat, di mana ketika Karim muncul semula di adegan berikutnya setelah tadi terjun dari bangunan kemudian dikepung dan diacu pistol oleh polis. (Ok mungkin babak-babak akhir menjelaskan bagaimana Karim melepaskan diri yang tak sempat ditengok). Ini percubaan pertama Syafik dalam filem aksi komedi, belum cuba belum tahu ya tak? Rasanya selepas ini lebih baik beliau cuba genre lain yang lari dari gangster OK! Hehe.



Arahan : Julian Schnabel
Genre : Drama (Perancis)
Tahun : 2007
Rating : 3.5/5



Editor majalah Elle, Jean-Dominique Bauby mengalami angin ahmar dimana seluruh tubuhnya lumpuh dan hanya menggerakkan kelopak mata untuk berkomunikasi dengan orang lain. Filem ini mengambil konsep kamera adalah mata, dan mata itu adalah mata Jean-Do (panggilan ringkasnya), pengarah Julian mengambil langkah bijak untuk tidak meneruskan teknik ini sehingga tamat, kalau tidak bosan nak mampuslah filem ni. Hati yang berkata-kata sebagai dialog yang dilontarkan kepada orang di depannya sebagai panduan kepada penonton sangat bersahaja. Ingat Tree Of Life (2011) oleh Terrence Malick? ada sedikit visual-visual alam yang diselitkan untuk menunjukkan jiwa Jean-Do saat terlantar dikatil hospital. Masih sama, Julian tidak juga mengambil masa lama untuk paparan slow-mo seperi itu, jadi selamatlah mood kita untuk menikmati karya ini sehingga habis. *The Diving Bell & The Butterfly adalah buku yang sempat dia tulis sebelum meninggal dunia. 


6 Mar 2014

Cacamarba : The Tin Drum, Yi Yi, Buddha Collapse Out Of Shame, Empire of Passion, The Piano Teacher


3 daripada 5 filem berikut melibatkan kanak-kanak. Bagi yang mengikuti blog ini pasti tahu, PerangFilem suka filem yang melibatkan mereka. Tak tahu kenapa mungkin PF suka budak-budak haha. Sehingga terbuat satu [entry khas] untuk mereka.


THE TIN DRUM
Arahan : Volker Schlöndorff
Genre : Drama (German)
Tahun : 1979
Rating : 3/5


Durasi filem ini hampir 3 jam. Kalau ikutkan filem ini boleh menarik perhatian PF sampai habis. Malangnya, selepas 2 jam, ia tak dapat memikat hati kerana ia seolah sudah hilang arah. Oscar merupakan kanak-kanak istimewa yang terbantut pertumbuhan pembesarannya setelah jatuh dari tangga bawah tanah dirumahnya. Umurnya tetap meningkat tetapi fizikalnya tidak. Semasa Oscar lahir, ibunya ada berkata, setelah umur Oscar 3 tahun, dia akan beri drum kepadanya, tapi untuk apa tidak dinyatakan oleh ibunya. Setelah itu, Oscar menjadi pelik kerana tak dapat berenggang dengan drum dan mengetuknya tiap masa. Jika ada sesiapa yang marah dan cuba merampas kerana bunyi bising, dia akan marah lalu menjerit sekuat-kuatnya sehingga bole memecahkan kaca/tingkap/gelas di persekitannya. 

Dari situlah Oscar menyedari kebolehannya, tetapi malangnya semua itu tidak memberi keistimewaan selanjutnya untuk filem ini dinikmati. Selebihnya kisah hal ibu-bapanya, i.e ibunya yang curang di depan mata suaminya secara tidak disedari suaminya. Satu lagi hal yang PF kurang gemar, ada perkara yang tidak diberitahu atau loophole? Contohnya, setelah kematian ibu Oscar, ayah Oscar menjalinkan hubungan dengan seorang remaja perempuan, tetapi kemudian mereka berlagak sebagai suami isteri? Kemudian, ayahnya terlibat dalam tentera, sukarela? Oscar yang memakai baju askar di akhir-akhirnya, apakah kerjanya? Perhatikan 2 adegan 'lain' yang cuba diselitkan iaitu semasa Oscar bercakap sorang-sorang hadapan pentas imaginasinya dan orang yang terapung di pantai. Walau bagaimanapun filem ini menang tempat kedua iaitu Grand prize Jury Di Cannes 1979 (kalau tgk gambar atas ni) tapi bila semak wiki ia pemenang bersama Palme d'Or dengan Apocalypse Now. Mana satu betul ntah, malas nak selidik. 


YI YI
Arahan : Edward Yang
Genre : Drama (Taiwan)
Tahun : 2000
Rating : 3/5


Okay filem ini menang pengarah terbaik di Cannes pada thun 2000. Berdasarkan bacaan PF, filem ini amat disanjung oleh penonton yang bertaraf cinephilia tahap tinggi (ada ke? haha). Berdurasi hampir 3 jam jugak, senasib dengan The Tin Drum, filem ini tidak berjaya membuat PF terpaku sampai habis! Malang sungguh, kerana tahap 'kesenian' PF ni kadang-kadang tak sabar atau 'tak dapat baca' atau filem itu semakin membosankan di jam ketiga. Ada la jugak babak-babak tersirat yang PF boleh baca, kerana dalam menonton filem sebegini PF cuba selongkar selagi boleh visual yang terpapar, kononnya, jika nampak pelik sikit aje, mulalah mentafsir sendiri, seperti babak pertemuan remaja lelaki dan perempuan (perempuan ni kawan kepada girlfriend lelaki tu) di lampu isyarat di bawah flyover tu, yang akhirnya perempuan ni akhirnya jadi girlfriend laki tadi. "Pertemuan - lampu isyarat merah" (petanda tamat hubungan dengan girlfriend asal). Babak paling PF suka adalah ketika cikgu disiplin lelaki bertanyakan (tanpa susuk tubuh guru itu di skrin) kepada anak murid lelakinya di mana dia simpan kondom dengan hanya budak itu berdiri dan fokus pada mimik mukanya yang dirasakan berjaya 'ditangkap' oleh kamera. Sehinggalah, tiba saat di mana NJ berjumpa bekas kekasihnya dan berjalan-jalan di taman.. urmmm, terus tekan fast foward button. Done.



BUDDHA COLLAPSE OUT OF SHAME
Arahan : Hana Makhmalbaf
Genre : Drama (Iran)
Tahun : 2007
Rating : 4/5


PF tak pasti rasanya agak bias dalam menilai filem ini. Susah juga nak cakap, jika filem Iran + kanak-kanak tak semestinya PF automatik suka, tapi jarang yang tak suka. Lagi satu, jika filem Iran + kanak-kanak ini tak lari dari isu pendidikan, contohnya Children of Heaven, HAYAT, Two Legged Horse & The Blackboard (Samira Makhmalbaf), Where The Friend's Home dan Color of Paradise. Apabila Hana Makhmalbaf (rasanya adik Samira) mencuba benda yang sama, jadi, apa hasilnya? Percubaan dengan pelakon kanak-kanak perempuan yang sangat amatur ini, PF dapat bayangkan Hana sangat susah nak kawal lakonannya Kadang-kadang agak kaku seperti membaca saja, walau pun begitu, kanak-kanak lelaki bernama Abbas lagi baik. Kisah keluarga Baktay yang miskin dan tinggal di lubang-lubang dalam gunung/batu, nak beli peralatan sekolah buku dan pensil tapi tiada wang lalu menjual telur untuk mendapatkan buku di kedai (setelah 3-4 kali kedai itu). Bila dah dapat beli kena kacau pulak dengan budak-budak lelaki yang berlagak sebagai Taliban dan mengusik Baktay dan Abbas. Ceritanya senang, tapi kalau menonton filem seperti ini, ada beberapa benda yang PF fikir, budaya/cara hidup, lakonan, dan visual kerana tidak apa yang dihairankan dengan jalan cerita itu tapi macam mana cerita itu disampaikan. Kepelikan tadi tu membuatkan mata kita terpaku walaupun jalan ceritanya biasa-biasa, dan salah satu adegan adalah semasa Baktay masuk ke kelas kanak-kanak perempuan dan dia tak dapat lalu/masuk untuk dapatkan kerusi untuk duduk sampai nak nangis. Tiada siapa yang membelanya ketika itu, termasuk gurunya. Di akhr filem ini Abbas menjerit  kepada Baktay yang 'ditawan' oleh kanak-kanak 'Taliban' dengan berkata "Die! and you'll be free!" yang menggambarkan mati adalah jalan penyelesaian kepada masalah hidup di situ. Oleh itu, rating 4 bintang diberi, bias tak?


EMPIRE OF PASSION
Arahan : Nagisa Oshima
Genre : Drama dan seram (Jepun)
Tahun : 1978
Rating : 4/5


Hah, ini satu lagi penontonan yang berbaloi dari koleksi Criterion untuk filem Jepun. Ini kisah cinta, seram dan drama. Jangan teruja jika sebut saja filem seram, maka terbayang-bayang adegan terkejut-kejut atau sound efek yang melampau, tidak. Pertama, sinematografi filem ini cantik, hutan, kampung lama dan kawasan sawah dan kitaran musim di Jepun (tetapi pengkritik dalam dvd ini kata (voiceover) mengatakan ada yang tidak kena dengan susuna musim luruh, sejuk, panas dsb tu, PF malas nak kaji pasal tu. Akan tetapi bila melibatkan alam semulajadi, ada babak yang melibatkannya tidak natural seperti hujan ketika Seki dan Toyoji berjumpa, kabus yang seperti keluar dari corong dan tiupan salji yang kelihatan dari dalam telaga agak 'palsu' dan 'lampu yang terang meyuluh' ke dalam telaga ketika Seki dan Toyoji masuk ke dalam untuk mencari mayat Gisaburo. 

Filem ini berkenaan Seki (perempuan) berkahwin dengan Gisaburo dan dicemburui oleh Toyoji. Toyoji yang muda 26 tahun dari Seki menjalinkan hubungan dan Toyoji mendesak untuk sama-sama bunuh Gisaburo dan setelah dibunuh dicampakkan ke dalam telaga di dalam hutan, tak lama kemudian, roh Gisaburo sering pulang ke rumah. Gaya seakan filem omnibus - Kwaidan bahagian 1, mana boleh tak suka kalau filem macam ni kan? Filem ini bukan kerana si hantu datang semula membalas dendam, kerana Gisaburo (kerja sebagai rickshaw) mempunyai watak pendiam dan tidak tegas. Perhatikan kemunculan hantu itu/style sama seperti dalam Kwaidan, memang ini trend ek zaman-zaman tu? 

Hantu hanya sebagai menjemput penyesalan sang isteri, selainnya kisah cinta dan konflik menghadapi selepas kejadian pembunuhan itu. Konflik filem ini 'terbuka' di mana semua 'cerita/hearsay/rahsia' sebagaimana persoalan yang menjadi tanda tanya orang kampung, semua penonton dah tahu. Jadi, bagaimana lakon layar filem ini menangani watak Seki dan Toyoji dengan orang kampung yang mengata/gosip (cliche?), setelah 3 tahun 'kematian' sang suami, mereka masih belum jadi suami isteri dengan hidup berahsia. Ini  kerana, Toyoji dan Seki mencipta skrip bahawa suaminya bekerja di Tokyo. Dari pengarah In The Realm Of The Sense (belum tengok) yang kontroversi dengan adegan seks, filem ini tak terkecuali. Lebih kurang 5-6 adegan yang daring yang memang menjadi trademark Oshima. Adakah mereka berkahwin akhirnya? Apa yang dibuat oleh hantu Gisaburo? Permulaan filem di mana Gisaburo berlari membawa 'becanya' dengan kamera seiring itu sudah cukup menangkap PF sejak awal lagi.



THE PIANO TEACHER
Arahan : Michael Haneke
Genre : Drama (Austria)
Tahun : 2001
Rating : 3.5/5

Filem Haneke yang PF gemar setakat ini adalah Funny Games. Amour biasa-biasa saja dan the White Ribbon tak boleh diterima. Kisah guru piano ini pula membawakan kisah wanita dalam lingkungan 40an yang belum berkahwin dan tinggal di apartment bersama ibunya. PF merasakan dia mempunyai masalah mental dalam hal-hal seks, kalau ikutkan wiki filem ini istilahnya psycho neurotic dan/atau psycho psychotic, berjumpa pulak dengan pelajar muda yang dapat melayannya. Bayangkan, Erica siap tulis 'lakonlayar' kepada boyfriend bagaimana imaginasinya untuk melakukan seks. Terdapat adegan yang melampau bagi sesetengah penonton, kadang-kadang PF bukan fikir pasal filem tu sendiri tapi pembikinnya termasuk Haneke yag menulis filem ini. Watak Professor Erica Kohut yang dibawa oleh Isabelle Huppert sangat berkesan dengan mimik muka dan gerak tubuhnya memang hidup tak hairan dia menang Best Actress Di Cannes pada 2001. 

1 Jan 2013

In The Mood For Love & Filem Kanak-kanak Iran


Genre : Drama (China)
Arahan : Wong Kar Wai
Pelakon : Tony Leung, Maggie Cheung
Tahun : 2000
Rating : 4/5



PF sedar, Wong Kar Wai adalah salah sorang lagi pengarah hebat dari tanah China selain Zhang Yimou. Bertahun dulu ada tonton Chungking Express tapi masa tu tengok begitu-gitu saja tanpa apresiasi dan tak sampai habis pun. 

Chou dan Chan baru tinggal di apartment sewa bersebelahan dan kebetulan pindah pada hari yang sama. Lama-kelamaan mereka jatuh cinta walaupun masing-masing telah berumahtangga. Ini kerana suami dan isteri mereka berjauhan atas tuntutan kerja. In The Mood for Love (ITMFL) adalah kisah perasaan yang terbina atas rasa kekurangan yang sedia ada. Ada beberapa babak yang diulang 2 kali semasa mereka dibangunan terbiar tu iaitu semasa Chan (Maggie) berkata "tak kisahkah isterimu, apabila kamu pulang lewat.." dan kemudian giliran Chow pula berkata demikian bagi pihaknya. Apa maksudnya tak berapa PF nak tangkap. Sepanjang menontonnya, harus teliti akan busana Chan kerana tiap kali bertukar babak adalah bermaksud hari yang berlainan tetapi tempat yang sama. Walaupun score muzik ini yang juga lagu tema Song Jumeji's theme seringkali berkumandang menandakan terdapat sentuhan perasaan antara Chan dan Chow, tiada rasa bosan kerana mood cinta terbit dihati penonton malah kita seakan menanti apa akan jadi pada babak itu yang semua dipapar dalam gerak perlahan. Oh! Sungguh terbuai.

Terdapat satu babak di mana Chan memandang ke luar tingkap sambil minum kemudian Chow juga memandang ke luar tingkap pejabatnya sambil merokok bermaksud mereka saling mengingati antara satu sama lain walaupun mereka di tengah ramai. Ini berlawanan dengan satu babak telefon di antara mereka tidak berbicara. Dan apa maksud shot jam dinding yang lama-kelamaan kamera turun ke bawah? Dan yang unik tentang perhubungan ini kerana, Chan selalu melatih untuk 'berpisah' dengan Chow walaupun ianya perit. Yang bagusnya, tiada adegan intimate dalam ITMFL, hanya berpelukan oleh Chan itu pun hanya menjatuhkan kepala ke bahu Chow.

Kesimpulan cinta Chow, ianya sangat dalam tetapi perasaan itu tidak sepatutnya ada dan dia ingin merahsiakannya di satu lubang dinding batu dan disumbat dengan lumpur. Sangat syahdu menonton filem ini.


>>>> <<<<


Where The Friend's Home, The White Ballon, The Mirror
Genre : Drama (Iran)
Arahan : Abbas Kiarostami, Jaafar Panahi
Pelakon : Various Kids Actors
Tahun : 1987, 1995, 1997
Rating : 3/2.5/3


Kenapa PF gabungkan ketiga-tiga filem ini? Sebab semuanya berkonsep sama saja. Filem kanak-kanak yang tak dapat lari dari karya Iran. Tema yang senang dan tiada kejutan bagi PF yang selalu menonton filem dari sana :

Where The Friend's Home - Ingin memulangkan buku sekolah kawan
The White Ballon - Kanak-kanak perempuan ingin membeli ikan emas sempena tahun baru
The Mirror - Kanak-kanak perempuan yang sesat ketika pulang dari sekolah

Kecuali The Mirror ada sedikit kelainan yang cuba untuk memaparkan realiti di balik tabir. Tahun lepas ada menonton Hayat yang lebih kurang sama. Mungkin adegan berlari-lari dalam keempat-empat filem ini mempunyai signifikan dalam filem kanak-kanak mereka dan semuanya mempunyai lapisan kedua yang PF tidak sentuh di sini kerana kurang ilmu :) Semuanya boleh tonton di Youtube.

Selamat Tahun Baru 2013!!

18 Oct 2012

The Father : Cerita Berkuasa Lahir Dari Cerita Biasa & Hayat

THE FATHER

Genre : Drama (Iran) 
Arahan : Majid Majidi
Pelakon : Hassan Sadeghi, Mohammed Kasebi, Hossein Abedini, Parivash Nazarieh
Tahun : 1996
Filem Seumpamanya : -
Rating : 4/5


Mehrollah berusia 14 tahun. Dia tak dapat menerima hakikat bahawa ibunya berkahwin lain iaitu dengan seorang anggota polis. Pelbagai cara Mehrollah lakukan agar ayah tirinya itu tidak bahagia. Sebenarnya filem ini masih relevan lagi pada ketika ini. Filem mudah tetapi jika tidak kena caranya, hanya sesuai untuk drama TV saja. The Father, mengangkat isu ego seorang remaja lelaki dan kasih-sayang anak. Memberontak, menyalahkan ibu yang berkahwin kerana wang sedangkan ibunya tiada pilihan lain kerana orang mengata bila jadi janda. Dengar seperti drama TV melayu, tetapi ini bukan kisah jiran-jiran mengata sana-sini atau adik beradik tak suka ibu kahwin lain. Kuasa wang yang didakwa Mehrollah, penyebab dia begitu marah kepada ibunya. Mehrollah menghulur seikat wang kepada ibunya dan ibunya membalas dengan memukul Mehrollah, adalah satu kuasa yang amat dalam sehingga menimbulkan 'rasa'. Rasa inilah yang boleh membuat airmata jatuh kerana si anak tidak tahu akan keperluan seorang wanita seusia ibu. Naluri lelaki Mehrollah begitu kental membenci ayah tirinya ditunjukkan dengan hanya membisu dari dia ditangkap di bandar oleh ayah tirinya hingga mereka terdampar di padang pasir. Ini adalah satu lagi karya Majid Majidi berkenaan hubungan lelaki asing dan lelaki lain sebelum beliau menghasilkan Children Of Heaven.

PF tonton melalui Youtube :


*****
HAYAT

Genre : Drama (Iran) 
Arahan : Gholam Reza
Pelakon : Mehrdad Hassani,  Gazaleh Parsafar
Tahun : 2005
Filem Seumpamanya : -
Rating : 3/5

Hayat kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun nak ambil peperiksaan penting la kononnya macam UPSR gitu. Penentu sama ada dia boleh pergi ke sekolah berasrama penuh. Pada hari dia nak ambil peperiksaan itu pulak, ayahnya jatuh sakit dan ibunya terpaksa hantar berjumpa doktor dan tak ada sapa nak jaga adiknya yang masih baby. Adik lelakinya (Akhbar) pun ada peperiksaan juga pada hari tu. Maka, kat sinilah Hayat kelam-kabut, mana nak buat urusan harian i.e bagi lembu makan, perah susu lembu, bagi ayam makan dan yang penting cari orang yang jaga baby  untuk bagi membolehkan dia ambil peperiksaan itu. Kelakarlah pulak idea ni kan? Macam ni pun boleh jadi cerita apatah lagi filem. Itulah sinema Iran, dengan tema ringkas boleh dijadikan karya lebar. Entah bila exam tu bermula apabila Hayat buat kerja-kerja dan cari pengasuh sana-sini. PF layan dan terima sajalah naskhah ini walaupun macam pelik dan kadangkala boleh dipersoal. Dari filem ini juga kita belajar adab orang Iran bahawa, jika kanak-kanak tidak menyapa orang yang lebih tua semasa berselisih di jalanan akan dikatakan kurang ajar selain daripada pemikiran kolot bahawa perempuan hanya duduk di dapur.

Apa kata ibu-bapa tunjukkan filem ini pada anak-anak mereka sebagai menghargai pentingnya pendidikan daripada beli cerita yang bukan-bukan di Astro First tu. Adakah Hayat berjaya menduduki peperiksaan? Seukir senyuman pasti terlakar di bibir anda.

Terima kasih Youtube:



18 May 2012

Cacamarba : MANTERA & The Stoning of Soraya M.



Genre : Aksi [2]
Arahan : Mohammad Aliyar Ali Kuthy & Miza Mohammad
Kos : RM18.5 @ 8.5?
Pelakon : Tomok, Shiqin Kamal, Faezah Elai, Kamaliya, Wael Almasri dll.
Tahun : 2012
Filem Seumpamanya : -
Rating : 1.5/5

Baca Sinopsis Mantera.

PF tidak menaruh apa-apa sebelum menonton. Paling tidak hanya sebuah filem average dari penerbit Malaysia yang pertama kali membuat filem (jika tidak silap). Bukan ingin terlalu mencari kelemahan tetapi itu adalah perkara paling nyata dalam filem ini. 

Watak Azman (Tomok) seperti tidak berapa kuat atau tidak diexplore.
Tiada chemistry antara dua sahabat iaitu Azman dan Kevin dan lakonan mereka kurang meyakinkan. 
Perlukah adegan Ombak Rindu dan sesi kaunseling yang terlalu panjang dengan dialog yang terlalu skema? 
Watak abang ala mentor yang agak janggal.
Adegan main bowling yang OMG! terlalu lama dan tak menyumbang kepada jalan cerita.
Kenapa 3 budak kolej itu membenci Azman?
Gambar amat kabur dan gelap pada banyak adegan.
Aksi robot-robot/pergaduhan robot belum capai tahap boleh dibanggakan i.e rasanya lagi baik buat semua kartun sebegitu, bukan dengan manusia sebenar.
Pendek kata Mantera umpama filem copycat yang tidak menjadi.
Disebabkan baru pertama kali, teruskanlah mencuba lagi.

p/s : kadang2 terfikir sia-sia cari parking, bayar parking dan tonton 2 jam filem hampeh macam ini. 



Genre : Drama (Iran)
Arahan : Cyrus Nowrasteh
Kos : Tidak Diketahui
Pelakon : Shohreh, Mozhan Marno, Jim Caviezel, Ali Pourtash
Tahun : 2008
Filem Seumpamanya : -
Rating : 4/5

Filem kisah benar berkenaan penduduk islam berlatarbelakang tahun 1986 di suatu perkampungan terpencil di Iran. Soraya yang dizalimi untuk kepentingan si suami. Soraya dihukum rejam dengan batu di tangan kuasa pemerintahan yang sesat. Zahra yang bersuara garau itu pula wajar diberi satu markah besar bagi filem ini. Penontonan yang amat berbaloi. 



17 May 2012

Jika Mati, Anda Tidak Akan Rasa Lagi "Taste of Cherry"



Genre : Drama (Iran)
Arahan : Abbas Kiarostami
Kos : Tidak Diketahui
Pelakon : Homayoun Ershadi, Safar Ali Moradi, Mir Hossein Nori, Afshin Korshid Bakhtiari, Abdolrahman Bagheri
Tahun : 1997
Filem Seumpamanya : Ten
Rating : 4.5/5

Sinopsis filem ini boleh dijelaskan dalam 2 baris saja. Mr Baadi dalam lingkungan 40an ingin membunuh diri. Dia mencari calon yang dirasa sesuai dalam menamatkan misinya itu. 

Jika PF menonton filem ini pada tahun 1997 mungkin PF tidak boleh hadam persembahan dan inti filem ini. Persoalan mengapa dia ingin membunuh diri tidak dinyatakan menjadi sebab filem ini menimbulkan misteri pada mula dia berjumpa seorang askar Kurdish yang muda. Mr Baadi hanya menyatakan alasan yang tidak jelas iaitu dia menyakiti orang di sekelilingnya. Itu memang tidak cukup kuat bagi penonton untuk menerima alasan itu. Plot bergerak selepas dia bertemu dan bertemu calon-calon yang sesuai dalam membantu impiannya dengan bayaran 200,000 toman iaitu 6 kali ganda gaji standard rakyat Iran. Mr Baadi membuat 'sesi temuduga' pada setiap calon pada awal perkenalan sebelum dia menyatakan hasrat sebenar. Semua itu dilakukan sambil memandu dalam kereta Range Rovernya di kawasan berbukit tempat orang menggali pasir. 

Setiap kali Mr Baadi berjumpa satu-satu calon, kita akan tertunggu reaksi mereka sama ada ingin menolong atau tidak. Sedar atau tidak, pengarah Abbas Kiarostami dengan sengaja 'memilih' calon dari setiap generasi : budak remaja, dewasa dan watak veteran sebagai 'calon-calon' itu dengan latarbelakang berbeza dan punyai alasan tersendiri dalam menangani masalah Mr Baadi. Mr Baadi semestinya telah berputus asa dalam hidup. Sedarkah anda, pekerja veteran yang bekerja di muzium itulah digambarkan sebagai watak yang berpengalaman dalam hidup dengan nasihat-nasihat yang berguna? Sedangkan askar remaja tidak sanggup memikul beban seberat itu dengan melarikan diri walaupun ganjarannya lumayan? Mr Baadi telah bersedia untuk mati tapi masih berharap sebenarnya untuk hidup. Mengapa Mr Baadi memilih dengan cara itu untuk mati sedangkan dia boleh saja terjun bangunan misalnya, telan pil tidur itu di bilik tidurnya, tetapi mengapa dia memilih cara dengan bantuan dari orang yang tidak dikenalinya? Satu tanda tanya.

Lubang yang dimaksudkan oleh Mr Baadi pada awalnya PF ingatkan adalah lubang yang amat dalam dan boleh membawa maut jika terjatuh ke dalamnya tapi kenapa dia kata sila datang esok kepada calon-calon untuk "memastikan dia sudah mati ke belum" itu buat kepala PF ligat memikirkan lubang tu pada awalnya. Dan apabila filem ini habis, PF seakan tertipu dan satu lagi tanda tanya yang besar bagi penonton. Filem sebegini lah yang PF mahukan, tema yang belum pernah PF tonton atau kita tak menjangka tema sebegini (kreatif) + menarik perhatian dan mudah difahami dan bagaimana pengarah mengizinkan penonton merekacipta sendiri pengakhirannya.


p/s : filem yang memenangi Palm D'Or Cannes 1997 ini PF tonton di youtube selepas menonton Blackboard oleh Samira Makhmalbaf. Selepas ini ingin menonton The Stoning of M. Soraya pula.

4 May 2012

A Separation : Hiburan Dalam Tekanan


Genre : Drama
Arahan : Asghar Farhadi
Kos : US800k
Pelakon : Peyman Moadi, Leila Hatami, Sareh Bayat, Shahab Hosseini, Sarina Farhadi
Tahun : 2011
Filem Seumpamanya :
Rating : 4.5/5



Simin ingin berpindah keluar negara demi kebaikan keluarganya, tetapi suaminya, Nader enggan mengikut kerana bapanya menghidap alzheimer dan ingin menjaganya. Simin kemudian mengambil keputusan untuk duduk dirumah orang tuanya dan ingin meminta cerai dari suaminya kerana enggan menurut kehendaknya. Termeh, anak mereka kekal tinggal dengan ayahnya. Nader mengupah seorang perempuan yang sedang mengandung untuk menjaga bapanya diwaktu siang apabila dia keluar bekerja. Terjadi suatu peristiwa yang membuatkan Nader marah terhadap Razieh, kehidupan mereka menjadi kucar kacir yang tak dijangka oleh mereka sekeluarga.
Nader takkan tinggalkan bapanya
Setelah menanti filem ini akhirnya, PF berpeluang menontonnya di TGV Sunway Piramid semalam. PF tak taulah nak kata best atau tak sebab PF sorang saja dalam panggung menonton filem ini. Mungkin yang lain menonton secara download saje kot. Filem Iran yang memang terkenal dengan filem drama terhebat menyaksikan kehidupan sebuah keluarga sederhana Iran yang inginkan kehidupan lebih baik tetapi akhirnya berdepan dengan kemelut yang lebih teruk. Semuanya kerana Simin yang bercita-cita ingin berhijrah. Benar kata anak perempuan mereka. Termeh 11 tahun yang menyalahkan semua ini ke atas bahu ibunya. Apa yang PF boleh katakan, filem ini adalah filem konflik pertengkaran. Tiada saat bahagia dalam keluarga Nader ditunjukkan. Paling simpati adalah Razieh yang menjaga ayah Nader, tertekan dengan kerjanya di mana terpaksa bersentuhan kulit dengan ayah Nader, dituduh mencuri wang Nader dan sehingga konflik keguguran kandungannya. Razieh terpaksa menyembunyikan sesuatu perkara kerana takut akan suaminya yang panas baran. Sebagaimana konflik kekeluargaan di mana-mana, anak menjadi mangsa kekalutan sebagaimana yang dilalui Termeh yang masih muda tidak faham akan sikap ayahnya yang terpaksa berbohong sesuatu demi melindungi keluarga mereka. Begitu juga Somayeh anak perempuan Razieh yang tidak faham apa-apa. Melihat raut wajahnya bersandar di dinding ketika Razieh dan Hojjat bergaduh ketika sesi perbincangan dengan semua pihak semasa di rumah Razieh.

Nader mengatakan alasan pakaian Razieh
menyebabkan dia tak perasan Razieh mengandung
Nader berang terhadap Razieh di muka pintu
Bagi PF watak yang menonjol dalam filem ini adalah Razieh sendiri kerana kehadirannya mengkucar-kacirkan kedua-dua belah pihak; keluarga Nader dan keluarganya gara-gara tertekan dengan kehidupan dan keadaan suaminya yang menganggur. Lakonan mantap dan titis air matanya cukup mengundang simpati (babak dituduh mencuri oleh Nader dan babak merayu dengan hakim), walaupun filem ini tidak dihiasi dengan muzik latar langsung. Setiap babak pertengkaran seakan benar. PF rasa babak pertengkaran ada dalam lebih kurang 7-8 babak semuanya. Jadi, filem ini sangat kacau dan buat kita 'berhibur' dalam tekanan dengan masalah mereka. Di dapati, Quran sebagai simbol berikrar dengan tuhan bahawa ‘aku berkata benar’ senang dipraktikkan di mana-mana di Iran i.e tidak perlu dilakukan di dalam masjid. Seakan filem ini ingin mengajar dunia bukan Islam pabila Razieh menelefon ustaz akan hukum memegang yang bukan muhrim dalam keadaan darurat. Dalam A Separation, penonton di ajak untuk mengikuti perbalahan Razieh-Nader-Hakim untuk mengetahui siapa salah dan siapa benar akibat keguguran bayi Razieh. Ada kala PF berpihak kepada Nader, ada kala PF berpihak kepada Razieh seakan hanyut-dibuai-buai dengan kes mereka. PF suka adegan akhir filem ini di mana Nader dan Simin menunggu diluar tanpa berkata-kata ketika Termeh ingin membuat keputusan hendak tinggal dengan siapa sehinggalah nama kredit muncul kerana tidak penting pun untuk kita tahu sebenarnya, 
Razieh perlu mencari wang untuk sara keluarga
Simin dan Termeh
Filem berunsur kemanusiaan yang universal ini menjadi saranan kepada penggemar drama apatah lagi berunsur keislaman. Sebagai penonton biasa, PF mungkin agak tercari-cari keistimewaan filem pemenang Bahasa Asing Oscar ini. Kemungkinan, ia punya daya magis kerana mengkritik kehidupan permasalahan sosial yang diangkat sederhana dengan gaya Iran yang cukup kuat. Filem ini mengalahkan Footnote dari Israel di Oscar tempoh hari.

p/s : kereta Peugeot banyak di Iran

Updated : Didapati Sareh Bayat (Razieh) dan Sarina Farhadi (Termeh) memenangi aktress terbaik Fest. Filem Berlin 2011, patutlah pun lakonan mereka amat cemerlang :




24 Sept 2011

Two-Legged Horse : Kuda Simpati



TWO LEGGED HORSE

Genre : Drama (Iran)

Filem arahan Samira Makhmalbaf ini mengisahkan seorang lelaki berada menawarkan kerja kepada sesiapa budak lelaki sebagai pendukung anaknya yang kudung kaki akibat terkena periuk api. Dengan membayar satu dollar sehari, satu ‘ujibakat’ sebelumnya diadakan untuk memilih budak lelaki yang sesuai. Seorang budak lelaki istimewa terpilih untuk kerja itu. Maka bermulalah, rutin budak istimewa itu menghantar dan menjemput si kanak-kanak kudung itu dari sekolah. Sehinggakan mereka pulang ke sekolah sambil berlumba dengan keldai-keldai, perhubungan mereka semakin lebih daripada rutin seharian ; bermain, memandikan, dan menyertai perlawanan gusti kanak-kanak di situ. Sampai satu masa apa yang dikehendaki oleh kanak-kanak kudung itu, bukanlah seorang budak, tetapi kuda.


Tiap kali menonton filem dari timur tengah khususnya dari Iran, pasti tema berbeza-beza yang aku tonton. Antaranya Heiran – kisah remaja perempuan yang sanggup lari dari rumah kerana ingin mencari teman lelakinya di bandar, Song of Sparrows – kisah seorang bapa menyara keluarganya di Iran dan yang terkenal Children of Heaven – adik beradik yg berkongsi kasut ke sekolah. Kali ini , seperti sinopsis di atas, satu cerita yang unik yang aku rasa tak pernah terfikir dek fikiran kita. Satunya, kerana latar belakang tempat cerita ini dan satu lagi kerana betapa kreatifnya pemikiran si pembikinnya. Aku rasa satu contoh yang baik bagi filem Malaysia yang setanding filem-filem sebegini adalah filem Pensel.

Berbalik kepada Two Legged Horse, kita tak mengetahui nama kedua-dua watak utamanya, seorang dipanggil ‘Master’ – si kudung, seorang di panggil ‘Horse’ – pendukung si kudung. Penonton akan kasihan kerana Horse yg sebatang kara hanya tinggal di ‘rumah’ seakan terowong yang panjang dan gelap, aku tak pasti apakah benda itu tapi yang pasti mukanya yg comot hitam setiap kali keluar dari situ di waktu pagi. Yang aku geram tentang Master, walaupun kudung kaki tapi keletahnya tak kalah sebagai budak nakal dan sewenang-wenangnya memperlekehkan si Horse. Satu lagi yang unik, ramai pelakon extra kanak-kanak lelaki yang kelihatan seakan sama kerana memakai pakaian tradisional mereka mungkin.

Walaupun begitu, filem yang sunyi tanpa muzik latar ini membuat aku ketawa kecil melihat keletah mereka berdua (kadang-kadang tanpa muzik latar menspoilkan mood aku kerana ada bab2 yang menyentuh tapi disokong oleh diam). Horse yang cukup sifat fizikal, cuma jalan tak berapa nak betul dan sedikit terencat. Mungkin kerana anak orang berada, Master boleh sesuka hati memecat Horse ketika kalah bergusti dan ketika itu ungkit-mengungkit apa berlaku antara mereka lalu menjadi adegan yang sangat menarik.

Aku tak pasti adakah Horse itu, diluar filem memang istimewa kerana lakonannya memang menjadi. Tapi tak mustahil pelakon yg baik boleh membawa watak sedemikian seperti lakonan M. Subash dalam Pensel walaupun dia sebenarnya manusia normal di luar. Bagitu juga Master, walaupun OKU tapi berbakat sebagai seorang pelakon cilik. Bayangkan pelakon OKU sebegini ada peluang berlakon… plus berbakat? Mana nak cari?

Filem ini sebenarnya ingin memberitahu bahawa sahabat itu sangat penting walaupun kita mungkin hidup selesa. Dengan digambarkan sebagai Master mendapat tricycle (basikal beroda tiga) ingatkan dia boleh berdikari tetapi pemikiran kanak-kanak usianya mana boleh memikir nasib di hadapan. Begitu juga dengan hal cinta, Horse yang cemburu lalu meninggalkan Master terkapai-kapai, dia sanggup ‘berlari’ jauh mengejar Horse… Masa inilah scene menangis si Master amat bermakna sekali dimana tangisan kehilangan dan penyesalan amat dirasai aku. Horse tahu, jalan hidupnya bergantung kepada Master lalu ‘mengambilnya’ semula.

Tetapi takdir hidup Horse yang bergantung kepada Master membiarkan hidupnya di atur oleh budak yang jauh lebih muda daripadanya. Dan aku tak sanggup melihat pengakhirannya di mana, Horse adalah kuda berkaki dua. Seperti kata pengarahnya : Let’s ask ourselves how many times has each of us become somebody else’s horse? Or used someone as our horse? klik >> : http://www.makhmalbaf.com/movies.php?m=61

*Two-Legged Horse ditayang di International Screen GSC terpilih sekarang.


4/5