14 Oct 2012

5 Filem Berbajet Besar Malaysia Hilang Ditelan Masa - Updated

PerangFilem dapat menjejaki NOTES dari Facebook peribadi yang bertarikh 17hb Mac 2009 tentang 4 filem Malaysia yang berbajet besar. Malangnya, link Berita Harian yang memaut artikel projek-projek berkenaan telah tiada. Paling PF ingat adalah tujuan murni Wan Noraini, penerbit filem Mek Ani ingin menghantar filem itu ke Akademi Awards.

Kini berita tentang projek mega itu semua hilang tanpa khabar berita. Adakah masih dalam persediaan lagi, ditangguh atau pun telah dibatalkan disebabkan masalah-masalah yang timbul. Maklumlah projek mega yang melibatkan wang juta-juta ni susah nak buat. Atau pun PF tertinggal berita perkembangan filem-filem ini? Jika ada yang tahu, khabarkan saja diruangan komen. PF copy paste saja berita tersebut dari blog-blog dan akhbar Mstar dan Murai dan dikompilasikan bahawa Malaysia pernah bercita-cita besar dalam dunia perfileman. Filem mana yang paling anda tunggu jika projek ini menjadi?

**********


1. MAT KILAU - RM10 juta. SUMBER : PUTERA KERIS

Filem epik pahlawan negara cecah kos RM10 juta

SEGALA teka-teki berhubung cadangan penerbitan filem berkaitan pahlawan Melayu, Mat Kilau, akhirnya terjawab apabila berlangsungnya pelancaran filem berkaitan tokoh itu di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,

Pelbagai kejutan berlaku pada majlis itu, termasuk kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Lagenda Studios, Rodzee A Razak, bahawa kos penerbitan filem berkenaan mencecah RM10 juta, sekali gus menjadikannya filem tempatan kedua termahal pernah diterbitkan selepas Puteri Gunung Ledang (PGL) pada 2004.

Kenyataan beliau bukan hanya mengejutkan menteri, bahkan kebanyakan tetamu jemputan, termasuk pihak media hingga ada yang menganggapnya umpama `bermimpi di siang hari’ kerana menerbitkan filem yang agak besar kos penerbitannya. Bagaimanapun, Rodzee yang juga bakal pengarah filem itu mempunyai alasan tersendiri di sebalik keberaniannya membuat pelaburan besar bagi menerbitkan filem berkenaan yang berkisarkan perjuangan Mat Kilau menentang penjajah.

“Filem Pahlawan Mat Kilau diterbitkan bukan berorientasikan keuntungan semata-mata, sebaliknya ia lebih kepada simbol penghargaan kepada pengorbanan generasi pejuang terdahulu menentang kebiadapan dan cengkaman penjajah Inggeris,” katanya mengakui tidak menetapkan sebarang sasaran kutipan untuk filem itu kelak yang dijadualkan menemui penonton awal tahun depan. 

“RM10 juta memang satu jumlah yang besar, namun selepas mengambil kira pecahan kos yang sebenarnya, jumlah itu cukup munasabah. Lagipun, bukan murah mahu menghasilkan sebuah filem epik dan sejarah seperti pahlawan Mat Kilau, berlatar belakang zaman penjajahan dulu. Kami terpaksa membina semula tiga hingga empat kampung sebagai set penggambaran bagi menggambarkan suasana sebenar ketika zaman Mat Kilau dulu, selain menggunakan 700 pelakon tambahan, jumlah pelakon teramai pernah muncul dalam filem tempatan,” katanya. 

Filem Pahlawan Mat Kilau juga, katanya, menggunakan banyak teknologi terkini dalam bidang perfileman, terutama imej janaan komputer (CGI) yang memang mahal perbelanjaannya. 

“Ini turut mengambil kira kos berkaitan, termasuk penyelidikan yang dijalankan selama dua tahun, termasuk bertemu waris pahlawan itu bagi menyiapkan skrip filem ini. Penyelidikan ini proses terpenting dalam menghasilkan filem sejarah kerana kita harus memastikan ketepatan setiap fakta,” katanya. 

Berbanding produser lain yang cenderung memilih pelakon popular untuk menarik perhatian penonton, Rodzee pula memilih pesilat muda, Hairul Nizam Ibrahim bagi melakonkan watak utama, Mat Kilau, manakala Maz Omar sebagai isteri pahlawan itu, Yang Chik. 

“Lama atau baru, seseorang pelakon itu boleh kelihatan hebat di layar perak jika kena gaya garapan si pengarahnya. Saya yakin kedua-duanya boleh membawakan watak mereka dengan baik. Mengenai pemilihan Hairul, ciri-ciri Mat Kilau memang ada dalam dirinya berdasarkan kajian saya.

“Mat Kilau seorang yang berkulit cerah dan bersikap lemah lembut walaupun beliau seorang pahlawan. Paling penting, Hairul mampu bersilat dengan baik. Apapun, saya sentiasa percaya pada bakat baru... mereka seharusnya diberikan peluang,” kata Rodzee ketika diminta mengulas lanjut, berkata filem itu terpaksa mengambil masa penggambaran lama kerana memaparkan lima peperangan besar membabitkan beratus tentera Inggeris dan pahlawan Melayu, yang diadunkan dengan letupan `pyrotechnic’, adegan aksi ngeri dan koreografi persilatan. 

“Saya banyak mengambil ilham dari filem epik Hollywood, The Patriot, yang memaparkan banyak aksi peperangan dan pertarungan. Kerja-kerja pasca penerbitan, termasuk grafik 3-D dan CGI dijangka siap September ini,” katanya yang turut merancang memasarkan filem itu ke luar negara. 

Sementara itu, Hairul yang pertama kali berlakon, berkata beliau berbangga dipilih membawakan watak Mat Kilau, seorang pahlawan yang dikagumi keberaniannya menentang penjajah, selain tinggi ilmu persilatannya. Malah, pelajar sarjana jurusan sains sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu turut menghargai peluang itu kerana dapat mempraktikkan ilmu persilatan yang dipelajarinya menerusi Pertubuhan Gayung Fattani Malaysia sejak enam tahun lalu. 

“Jika China boleh berbangga dengan kung-fu, Jepun dengan aikido, Malaysia juga boleh berbangga dengan seni silat yang dikagumi di peringkat antarabangsa. Melalui filem sebegini, kita boleh membantu mempromosikan warisan seni mempertahankan diri kita ini. Untuk babak bersilat, ia tidak menjadi masalah. Cuma, saya perlu mengikuti kelas lakonan dan vokal yang disediakan kerana saya tiada pengalaman asas berlakon sebelum ini,” katanya. 

Selain Hairul dan Maz, filem itu yang penggambarannya dijadualkan berlangsung selama 90 hari, bermula awal April ini turut dibintangi Khir Rahman, Shaharuddin Thamby, Badrul Muhayat dan Z Zamri serta menyaksikan kemunculan semula Sabree Fadzil

TAMBAHAN KEPADA FILEM

Filem bercorak epik dan menampilkan muka baru untuk memegang peranan utama ini dijadualkan menjalani penggambaran bermula April hingga Jun ini. Lokasinya dibuat sekitar Bota, Perak dan Kuala Tembeling juga Jerantut, Pahang.

Mendengar jumlah kos bakal dilabur produksi itu, pastinya timbul persoalan mampukah ia memperoleh pulangan? Sebelum ini ada filem epik dan patriotik pernah dihasilkan gagal mendapat keuntungan apabila ditayangkan.

Bukan itu saja, kerana terlalu bercita-cita tinggi ada antara produksi yang menghasilkan filem berbajet tinggi terpaksa gulung tikar apabila kutipan dibuat begitu rendah.

Ditemui di majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini, penerbit dan juga pengarah filem, Pahlawan Mat Kilau, Rodzee A. Razak menjelaskan, pihaknya memerlukan belanja besar kerana terpaksa membina kembali perkampungan Melayu dan penempatan tentera Inggeris mengikut latar penempatan dan sejarah peristiwa berlaku.

"Pada saya sekiranya kita mahu menghasilkan filem mengangkat tokoh sejarah tempatan, pembikinannya harus dilakukan dengan teliti terutama membabitkan latar belakang dan peristiwa. 

"Perkara ini penting supaya apabila ditayangkan nanti ia nampak meyakinkan seperti apa yang dibayangkan dalam buku sejarah.

"Masalahnya kita tidak mempunyai logistik lengkap. Mengambil contoh walaupun asal usul Mat Kilau dan peristiwa peperangan berlaku di Kuala Tembeling, tetapi di sana tidak mempunyai bangunan bersejarah yang boleh menggambarkan wujudnya penjajahan Inggeris. Kerana itu kami terpaksa membina beberapa set diperlukan. Begitu juga dengan Bota yang tidak ada penempatan Melayu asli Pahang. 

"Selain itu penggambaran Pahlawan Mat Kilau mengambil masa tiga bulan kerana ia membabitkan banyak babak penting seperti lima adegan peperangan besar membabitkan beratus anggota tentera Inggeris, pahlawan Melayu dan letupan pyrotechnic. Semua perkara yang mahu dipaparkan dalam filem ini memerlukan belanja sangat besar.

"Selain itu, selepas penggambaran selesai dijalankan ia perlu menjalani pasca penerbitan termasuk penjanaan grafik tiga dimensi dan visual janaan komputer (CGI) untuk mencantikkan visualnya. 

"Alang-alang mahu melakukannya biarlah ia jadi bagus dan mampu membanggakan semua. Lagipun filem ini saya buat dengan tujuan menanam sifat patriotisme. Siapa tahu dengan usaha dilakukan ini ia mampu membawa hasil sulung produksi Lagenda Studio ke pasaran luar.

"Saya menjangkakan Pahlawan Mat Kilau dapat diselesaikan pada September tahun ini juga dan ditayangkan awal tahun berikutnya," katanya yang pernah mengarahkan filem Ops Belantara pada 1992. 

Watak Mat Kilau diberikan kepada pendatang baru Mohd Hairul Nizam dan isterinya, Yang Chik dipegang Mazlina Omar. Selain itu filem ini turut membariskan pelakon berpengalaman seperti Badrul Muhayat, Datuk Jalaluddin Hassan, Serina Redzuan, Fauziah Nawi, Khir Datuk Rahman dan Sabree Fadzil.

Menjelaskan mengenai keberaniannya menampilkan wajah baru dalam filem ini, kata Rodzee dia yakin sekiranya filem dihasilkan baik, siapa saja pelakon ditampilkan ia pasti dapat diterima penonton.

"Lagipun pelakon utama ini mempunyai ciri-ciri perwatakan pahlawan Melayu itu. Saya sudah melakukan kajian hampir dua tahun membabitkan Mat Kilau. Saya berkesempatan bertemu dengan keturunannya di Pahang. Menerusinya saya mengenali dua watak utama ini.

"Sewaktu uji bakat dijalankan saya lihat Mazlina dan Hairul mempunyai ciri-ciri yang saya cari. Contoh terbaik Hairul yang memang mahir bersilat. Waktu sama memiliki perwatakan lembut dan mampu mengaji dengan baik. Itu jugalah sikap yang ada pada Mat Kilau," katanya.

Begitupun selaku pengarah, Rodzee terlebih dulu memberikan latihan kepada dua pelakon baru ini agar mereka benar-benar faham akan watak yang akan dilakonkan. 

Dalam tempoh menanti penggambaran dilakukan Mazlina dan Hairul harus mengikuti kelas lakonan dan nyanyian yang disediakan Lagenda Studio.

Hairul sewaktu ditemui berkata dia tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan tetapi memang meminati seni silat mempertahankan diri.

"Sewaktu membaca iklan mengenai Lagenda Studio mencari pelakon yang boleh bersilat, membuatkan hati saya tertarik untuk mencuba menghadiri uji bakat. Saya sudah tujuh tahun menyertai Pertubuhan Seni Silat Gayung Patani dan kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Sains Sukan. 

"Saya melihat pembabitan dalam dunia lakonan sebagai satu peluang," katanya.

ARTIKEL LAIN : UTUSAN MALAYSIA

Perjuangan Mat Kilau difilemkan

KUANTAN 5 Dis. – Selepas filem 1957 Hati Malaya ditayangkan pada umum, sebuah filem sejarah mengisahkan perjuangan pahlawan Melayu terbilang, Mat Kilau akan menyusul tidak lama lagi.

Salah seorang penerbit filem itu, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, setakat ini, pihaknya baru mengadakan perbincangan awal bersama Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) bagi mendapatkan pandangan mengenai hasrat syarikat Ika Jaya Sdn. Bhd. untuk menerbitkan filem berkenaan.

‘Kita mempunyai peruntukan sebanyak RM7 juta bagi merealisasikan penerbitan filem sejarah ini dan buat masa ini, saya telahpun berpeluang membaca skrip yang dihasilkan untuk filem Mat Kilau,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mengulas mengenai pengarah yang bakal menerajui filem tersebut, beliau menjelaskan, setakat ini, pihaknya masih di peringkat perbincangan dan pandangan daripada pelbagai pihak perlu diambil kira bagi memastikan pengarah yang bakal dipilih adalah tepat dan bersesuaian.

‘‘Saya ada berbincang dengan Shuhaimi Baba bagi mendapatkan pandangan beliau tetapi saya masih belum memutuskan siapa pengarah filem ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Waris dan Keturunan Tok Gajah-Mat Kilau memberitahu, penghasilan filem itu memerlukan penelitian yang khusus memandangkan ia merupakan sebuah filem sejarah dan fakta yang diketengahkan perlu tepat.

Zulkifli memberitahu, pihaknya juga merancang untuk menjadikan Pahang sebagai lokasi penggambaran memandangkan Mat Kilau merupakan pahlawan Melayu yang berasal dari Pahang.

‘Sejarah Mat Kilau menentang penjajah Inggeris bermula di Pahang dan kalau boleh kita mahu penggambaran dibuat di lokasi sebenar sewaktu pertempuran itu berlaku.

‘‘Sekiranya tempat tersebut telah dibangunkan kita masih boleh mencari lokasi alternatif di Pahang untuk menjayakan penggambaran filem Mat Kilau ini,” tambahnya.

Ketika ditanya bila filem tersebut akan memulakan penggambaran, beliau berkata, sekiranya segala yang dirancang berjalan dengan lancar, kemungkinan filem itu bakal memulakan penggambaran sekitar tahun depan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya juga kini sedang berusaha mengesan waris-waris Tok Gajah serta Mat Kilau di seluruh negara dan mereka boleh menghubungi talian 03-77279970 atau 77222532 sekiranya berminat untuk menyertai persatuan tersebut.

**********


2. MEK ANI - RM5 juta. SUMBER : MURAI

KL, 23 JULAI 2008: Sejak kebelakangan orang media dan industri mula berbisik-bisik tentang filem Mek Ani yang dikatakan tidak dapat memulakan penggambaran kerana tidak cukup duit.

Hai, masa umumkan dulu dahsyat, sampai RM5 juta, tup tup tak cukup bajet pulak? Lalu spy setia Murai Batu terus telefon produsernya untuk mendapatkan komen. 

Produser Wan`s Productions iaitu Wan Noraini atau lebih dikenali Kak Wan mendakwa dia terpaksa melambatkan pembikinan Mek Ani kerana barisan pelakonnya tidak cukup persediaan untuk melakonkan watak masing-masing. 

"Memang betul tarikh mula pembikinan kita tertangguh sedikit tapi ia bukan disebabkan tidak ada duit. Ia kerana Kak wan memerlukan masa lagi untuk melatih skil tertentu macam tarian Mak Yong kepada pelakon yang terbabit. Tahulah ini filem period dan bukannya boleh buat sambil lewa," katanya. 

Sebelum ini, filem Mek Ani mendapat perhatian ramai pihak setelah pengumuman bajetnya berjumlah RM5 juta. Mek Ani antara lain menampilkan pelakon seperti Zul Huzaimy, Fauziah Nawi dan Wan Noraini sendiri. 

Ia juga memperkenalkan bakat wartawan Harian Metro, Abie Abdullah, Sharina Ahmad Hadzim, Ismail Wakiri serta anak komposer Adnan Abu Hassan, Aina Adnan. 

MURAI BATU: Seram tengok bajet filem tinggi-tinggi, tapi kalau yakin boleh, apa nak takut! Redah ajerrr....!

**********

3. EMPAYAR : DENDAM TAMING SARI - RM5 juta SUMBERPEREKACERITA

Cabaran hasilkan filem epik fantasi Empayar : Dendam Tamingsari

Oleh Akmal Abdullah

Berita Harian 

user posted image
Gambaran grafik untuk babak pelabuhan Melaka.


Filem berlatarkan zaman kerajaan Melayu Melaka dan Majapahit membabitkan kos RM5 juta dan bakal menggunakan 70 peratus visual CGI

HASRAT penerbit filem ini ialah untuk melihat sebuah filem dalam skala besar, grandeur dan agung yang mampu menggambarkan zaman kegemilangan kerajaan kesultanan Melayu Melaka. Kesal dengan filem klasik dan epik tempatan yang sering gagal menunjukkan suasana gemilang kerajaan silam, maka atas inisiatif beliau, sebuah filem yang memfokus kepada kehebatan kerajaan dan wira zaman dulu digambarkannya menerusi filem epik fantasi Empayar: Dendam Tamingsari.

Mengambil semangat filem Hollywood seperti Lord of the Rings yang hebat menggunakan banyak imej janaan komputer (CGI) kerana mampu menzahirkan zaman silam yang gah dan kelihatan realistik, projek filem ini memulakan rekaan produksi bagi menggambarkan milieu zaman itu seperti istana Sultan Melaka, bahtera raja, pelabuhan yang sibuk dengan kapal dagangan, keraton Majapahit dan beberapa struktur binaan
 yang relevan pada zaman itu

.


Produser filem itu yang juga Pengarah Urusan Cinequip Productions, Kamaruddin Abu mengakui ia satu tugas berat dan mencabar bagi menghasilkan Empayar: Dendam Tamingsari dalam skala besar membabitkan banyak penggunaan CGI kerana harus dibuat teliti bagi menggambarkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka kira-kira 500 tahun yang lalu selain zaman keagungan kerajaan Majapahit.


user posted image

Dari kiri; Alan, Kamaruddin, Raja Aznil dan Mohd Mazren berbincang mengenai produksi.



“Kami di Cinequp Productions mahu mengangkat satu tahap baru filem epik tempatan dengan imej visual yang lebih kemas dan meyakinkan sesuai dengan cerita kehebatan zaman kerajaan Melaka dulu. Jika dulu kita sebut empayar Melaka tentu ia hebat dan gemilang, jadi kita mahu tengok semula dengan gambaran fantasi berlatarkan sejarah dan legenda. Kita mahu naikkan imej teknologi dan paparan zaman Melaka dalam filem Malaysia. Versi ini boleh membuatkan generasi muda akan bangga dengan sejarah asal usul tanah Melayu dan kini menjadi Malaysia.


“Saya akui watak Hang Tuah juga sudah banyak muncul dalam filem lain tetapi Hang Tuah dalam versi Empayar: Dendam Tamingsari dilihat dari sudut pandangan lain, namun kami tidak ketepikan fakta yang terdapat dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Sebagai filem cereka, kami cuba beri fantasi yang jauh lebih menarik, kami warnakan kisah kegemilangan dulu dengan melihat semula apa kehebatan keris Tamingsari dan kenapa ia menjadi misteri dan terus disebut sehingga zaman kini.

“Empayar: Dendam Tamingsari melihat kisah zaman dulu dari segi politik dan perkahwinan, kekuasaan dan pengaruh serta kehebatan perwira kita zaman silam. Watak yang diwujudkan dalam filem ini ialah Sultan Mansor syah, Raja Majapahit, Tamingsari (pahlawan Majapahit), Hang Tuah, Tun Teja, Megat Panji Alam, Ketua Orang Bunian, Tun Perak, Raden galoh, Megat Panji Alam, Megat Kembar Ali, Sang Kelembai, Jin Air dan Jin Api. Ia juga ada elemen cinta iaitu mengenai konflik seorang wanita dan tiga lelaki iaitu tunang, kekasih dan suaminya.

“Kami merancang untuk jangka panjang untuk membuat tiga sekuel filem ini. Untuk sekuel pertama, ia kini dalam peribngkat akhir praproduksi dan penggambaran dijadualkan pada pertengahan tahun ini. Mengenai pelakon, ada beberapa watak sudah diputuskan tetapi untuk beberapa watak utama seperti hang Tuah dan Tun Teja, kami masih membuat proses casting. Saya juga tidka boleh beritahu siapa pengarah filem ini. Kami akan umumkan pada sidang media nanti,” kata Kamaruddin.

Mengenai bajet projek filem berkenaan, beliau berkata, sudah tentu untuk menghasilkan banyak visual CGI dan penyelidikan dan penelitian untuk setiap babak, kosnya menjadi agak mahal dan memerlukan pembiayaan daripada kerajaan kerana projek filem ini bukan untuk keuntungan semata-mata tetapi atas tanggungjawab kami pada bangsa dan negara.

“Sebenarnya projek filem ini sudah empat tahun dirancang tetapi kita bergerak perlahan-lahan kerana banyak buat kajian dan mencipta gambaran visual untuk CGI. Kos filem ini dijangka menelan belanja RM5 juta. Kami memperoleh dana menerusi duit syarikat, pinjaman dari Bank Pembangunan dan bantuan geran daripada Kementerian Sains teknologi dan Inovasi. Namun, jumlahnya belum cukup dan kami berharap ada pihak lain lagi yang boleh bekerjasama kami untuk menjadikan filem ini berjaya dihasilkan. Kos ini bukan sekadar praproduksi dan penggambaran tetapi persiapan untuk CGI dan proses selepas penggambaran dan promosi. Setakat ini perbelanjaan yang digunakan sudah lebih RM600,000.

user posted image
Imej visual CGI untuk babak kediaman Raja Majapahit.


“Empayar: Dendam Tamingsari adalah manisfestasi sebuah filem Malaysia yang bertanggungjawab untuk mengembalikan semula kenangan fanatasi mengenai kehebatan zaman kerajaan Melayu Melaka di Tanah Melayu,” kata Kamaruddin ketika ditemui di pejabatnya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Turut sama, Penerbit Eksekutif filem itu, Mohd Mazren Datuk Mohd Mazlan.

Pereka Produksi filem itu, Raja Aznil Raja Hisham pula berkata, Empayar: Dendam Tamingsari menggabungkan elemen sejarah, legenda dan fantasi, maka rekaan dan corak untuk visual filem itu harus memperlihatkan gambaran kehebatan zaman dulu dan bagaimana sesuatu peristiwa itu berlaku secara logik, ada daulat dan kuasa luar biasa.

“Di mana kegemilangan dulu? Sekarang tidak ada lagi kesan sejarah yang menggambarkan kehebatan zaman Melaka dulu kerana kajian mendapati apabila Portugis menakluk Melaka pada 1511, mereka terus merobohkan kota dan pusat binaan Melayu. Ke mana pergi rekaan dan arkitektur kita. Dulu, ada binaan batu untuk masjid, istana dan dinding istana Sultan Melaka tetapi Portugis runtuhkan dan gunakan batu itu untuk bina kota mereka. Kajian dapati istana Melaka dulu terletak di Bukit St Paul sekarang tetapi apa yang ada sekarang binaan lain.

“Apabila kita sebut empayar kerajaan Melaka dulu, tentu ia hebat dan gemilang dan kita kena berfantasi semula zaman kegemilangan itu. Kami banyak buat penyelidikan dan hasilnya nanti akan diserapkan dalam imej CGI filem ini. Sebagai orang filem, kami ada lesen kreatif untuk memberi gambar yang boleh membuatkan masyarakat berbangga dan kagum dengan keagungan kerajaan melayu Melaka dulu.

“Begitu juga pakaian. Kalau dalam filem Melayu klasik atau filem purba, selalunya imej pakaian ialah imej kain lusuh, selain cuma berbaju Melayu, bertengkolok dan bersampin tetapi kajian dapati orang dulu juga hebat dari segi fesyen dan jenis fabrik bermutu. Takkan orang dulu apabila pergi perang masih pakai baju Melayu, sampin, tengkolok dan capal? Mereka juga ada pakaian seragam tentera. Rotan dan kulit juga sudah dijadikan pakaian, malah kayu dan besi juga sudah digunakan untuk pakaian seram tentera Melaka ketika berperang, termasuk senjata.

“Kami cuma beri gambaran yang memperlihatkan kehebatan zaman kerajaan Melayu Melaka kerana ia terkenal di seluruh dunia dan ada hubungan dengan China, Parsi dan India. Ini filem epik fantasi dan aksi romance, tentunya kita berikan imej sesuai dan boleh dibanggakan. Kita mahu generasi muda kita menghargai wira silam kita dulu, bukan saja Hang tuah tetapi kenal secara dekat siapa Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu.

“Kami cuba bermain dengan fantasi dan merujuk kepada fakta yang ada... kalau kami mungkin tersasar dari segi gambaran ini, beritahu kami apa lagi yang sesuai dan tepat seperti pakaian atau struktur rumah orang dulu. Kita mahu naikkan imej filem Malaysia dan imej kerajaan Melayu zaman silam. Untuk tata busana, produksi filem ini akan hasilkan pakaian sesuai mengikut watak dan insiden babak, selain kita akan ambil pakaian dari wardrobe tetapi akan diubahsuai.

.





“Dari segi imej rambut, orang dulu sebenarnya bukan sekadar berambut panjang tetapi ada fesyen ala punk, tak terurus dan ala pasta. Jenis senjata pula, bukan saja lembing, tombak dan keris tetapi gasing tajam, kerambit tiga mata, panah api dan pedang pelbagai saiz. Tentera Melaka dulu juga sebenarnya lengkap dengan pakaian seragam dan senjata. CGI akan banyak membantu untuk memberi gambaran imej watak dalam filem ini kelak.

Bagi Pengarah CGI untuk filem berkenaan, Alan Wong, apa yang mencabar bagi dirinya ialah untuk menyediakan CGI dari segi kekuatan imaginasi supaya Empayar: Dendam Tamingsari bakal kelihatan realistik dan gah pada visualnya.

“Ia mencabar kerana ini benda baru bagi menggambarkan kehebatan kerajaan Melayu zaman dulu, kita tidak mahu buat benda atau imej yang sama. Kita kena siapkan gambaran set, subset dan props dalam CGI sebelum penggambaran sebenar bermula supaya hasilnya berkesan. Keseluruhannya untuk projek filem ini, sebanyak 70 peratus ialah CGI iaitu kira-kira 40 babak. Tempoh filem ini nanti ialah 110 minit.

“Saya juga kena banyak berbincang dengan penerbit dan pereka produksi untuk mendapatkan corak rekaan sebenar yang mahu divisualkan menerusi CGI dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D) mengikut babak. Kini kami sedang giat memproses imej bahtera, istana, keraton Majapahit dan beberapa imej jin, Sang Kelembai dan persekitaran alam bunian. Saya ada dua pasukan yang melakukan kerja CGI membabitkan 15 petugas,” kata Alan yang juga Pengarah Urusan DNA Studios.

**********

4. BUNIAN MAHKOTA SERI HELANG - RM3.5 juta. SUMBER : MStar

Bunian Mahkota Seri Helang pertaruhan Adnan di layar perak

Jumaat Januari 23, 2009
Oleh WAHIDA ASRANI

NAMA Adnan Abu Hassan bukan lagi asing di persada muzik tanahair. Lebih 30 tahun bergiat aktif dalam bidang penghasilan lagu, Adnan melangkah setapak lagi dengan bergelar penerbit filem menerusi filem sulung terbitan produksi miliknya, Fantasy Film, berjudul Bunian: Mahkota Seri Helang.

Filem epik yang menelan belanja sebanyak RM3.5 juta ini merupakan pertaruhan pertama Adnan di layar perak dengan menyaksikan pelakon hebat seperti Rusdi Ramli, Nasha Aziz serta pendatang baru, Mimi Rahzia sebagai tunggak utama filem tersebut.

Lebih menarik lagi, filem ini juga akan dibuat di dalam bentuk trilogi, mengambil idea yang dibuat menerusi filem antarabangsa, Lord of the Ring.

"Memang sejak kecil lagi saya sudah berminat dengan penulisan cerita bercorak fantasi. Tetapi ia terhenti kemudiannya setelah saya terlibat di dalam bidang muzik.

Adnan (dua dari kanan) bersama pengarah, Jantan (kanan) dan barisan pelakon Bunian:Mahkota Seri Helang - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
"Lebih kurang tiga tahun lalu saya terfikir untuk menghasilkan cerita tentang bunian dan meluahkan hasrat saya untuk jadikannya dalam bentuk filem kepada Zaharil Izham atau Jantan yang kini merupakan pengarah filem ini.

"Dalam tempoh itu, saya telah menulis sinopsis cerita bunian ini dan nampaknya impian saya untuk buat filem berjaya juga direalisasikan," kata Adnan pada sidang media sempena pelancaran filem tersebut, baru-baru ini.

Filem Bunian: Mahkota Seri Helang yang akan memulakan penggambaran pada bulan hadapan itu dilancarkan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut Adnan, subjek 'bunian' itu dipilihnya kerana setakat ini, tidak ada filem Melayu yang mengangkat kisah tentang makhluk ini.

"Sebenarnya, saya hanya menyediakan sinopsis dan serahkan kepada mereka yang pandai membuat skrip untuk mencantikkan lagi jalan ceritanya.

"Bagi saya, subjek ini cukup menarik kerana jika tidak salah saya, kali terakhir filem tentang bunian dibuat ialah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

"Tetapi, memang idea untuk hasilkan filem ini turut diinspirasikan dari filem Lord of the Ring. Tetapi tidaklah sampai ke tahap itu. Idealogi yang mereka letakkan itu yang memberikan saya ilham untuk buat filem ini dan hasilkannnya juga dalam bentuk trilogi seperti Lord of the Ring.

"Insya-Allah, selepas habis filem ini nanti dan jika bajet mencukupi, mungkin kita akan terus mulakan dengan filem Bunian yang kedua itu," kata Adnan yang menambah, jarak tempoh pembikinan setiap filem itu mungkin dalam setahun.

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang Rosman yang masuk ke dalam alam bunian setelah terjatuh ketika mendaki gunung. Dia dibantu oleh Puteri Manja Sakti (Nasha) dan dibawa ke perkampungan bunian.

Lama-kelamaan, terbit perasaan cinta di hati Rosman dan Puteri Manja Sakti, namun pada masa yang sama Rosman juga turut disukai oleh Puteri Mawar Putih (Mimi).

Pelbagai konflik timbul seterusnya apabila kampung bunian itu dilanda masalah serta keinginan Rosman yang ingin kembali ke alam nyata.

Tiga pelakon utama filem ini, Nasha, Rusdi dan Mimi
Dalam pada itu, proses penggambaran yang mungkin memakan masa dua bulan itu akan dilakukan di Kundasang, Sabah dan Kuala Lumpur. Ia juga kemungkinan akan dilakukan di New Zealand kerana pemandangan yang menarik dan sesuai untuk penggambaran filem tersebut.

Mengulas mengenai bajet RM3.5 juta yang agak tinggi itu, katanya jumlah kos itu diperuntukkan kerana filem tersebut memerlukan kos yang tinggi untuk set perkampungan bunian, rekaan alat senjata serta penggunaan teknik komputer CGI.

"Hampir 90 peratus filem ini adalah berlatarbelakangkan dunia bunian. Jadi, kita akan rekakan lebih kurang 10 hingga 20 buah rumah untuk set perkampungan bunian.

"Kalau ikutkan, RM3.5 juta itu pun tidak begitu mencukupi kerana kami juga perlu menggunakan teknik CGI yang memang menelan kos yang tinggi. Tetapi, kita akan cuba buat yang terbaik," kata Adnan lagi.

Ujarnya, lebih kurang 30 hingga 40 peratus babak akan melibatkan penggunaan CGI.

Mengenai pemilihan pelakon pula, jelas Adnan, mereka dipilih tanpa mengadakan sesi 'casting' setelah dipersetujui bersama oleh pihaknya.

"Bagi saya, Rusdi adalah yang paling layak untuk menjadi hero filem ini. Begitu juga dengan Nasha dan Mimi yang saya rasakan paling sesuai untuk bawakan watak puteri bunian," tuturnya.

Turut berlakon di dalam filem ini ialah Erry Putra, Beego dan Ridzuan Hashim. Selain itu, album runut filem ini juga bakal menampilkanlagu-lagu ciptaan Adnan sendiri dan dinyanyikan oleh artis-artis bimbingannya iaitu Sheila Abdull, Nurul Fazilah dan Ian Helmy.

Datuk Siti Nurhaliza juga akan menyanyikan sebuah lagu ciptaan Adnan yang berkonsepkan 'joget bangra'.

Jantan sanggup masuk alam bunian

Pertama kali diberi peluang mengarah filem pastinya mengundang perasaan gementar buat Zaharil Izham atau lebih dikenali dengan panggilan Jantan, apatah lagi filem tersebut cukup 'berat'.

"Pertama kali melihat skripnya, memang saya takut. Beberapa kali juga saya menolak, tetapi akhirnya saya cuba juga sahut cabaran kerana saya yakin dengan seluruh produksi ini," kata Jantan yang banyak mengarah drama dan komersial.

Apa yang menarik, bagi memastikan pemahamannya tentang bunian lebih mendalam, Jantan juga sanggup 'melawat' alam bunian atas bantuan seorang ustaz ketika bulan puasa tahun lalu.

"Itu adalah pengalaman yang tidak boleh saya lupakan. Adakalanya seram sejuk bila saya teringat semula. Benda ini bukan dibuat-buat, tetapi dengan kuasa Allah saya berpeluang ke alam bunian bersama tiga orang lagi termasuk ustaz yang berasal dari Johor itu.

"Semuanya berlaku secara kebetulan saja kerana ketika itu saya sedang membuat kajian tentang bunian. Kemudian seorang kenalan bertanyakan kepada saya jika saya ingin 'pergi' ke sana dan dia perkenalkan saya kepada ustaz tersebut.

"Pada awalnya, saya sendiri skeptikal. Tetapi akhirnya saya setuju dan kami ke sebuah hutan di Taman Melati, Cheras dan di situ, kami 'melangkah' ke alam tersebut," kata Jantan.

Ceritanya lagi, sebelum itu dia juga perlu berpuasa dengan hanya makan buah dan minum air kosong selama tujuh hari sebelum tibanya hari tersebut.

"Menurut ustaz tersebut, puasa seperti itu perlu dibuat untuk masuk ke sana yang mana. Sesiapa jua perlu berpuasa seperti ini jika ingin ke alam mereka.

"Sukar untuk saya gambarkan bagaimana perasaan saya sebaik melangkah ke alam tersebut. Apa yang saya tahu, saya berada di perkampungan mereka selama satu jam tetapi bila kembali ke alam nyata, saya lihat tempoh saya berada di sana sebenarnya lebih kurang empat jam lamanya," kata Jantan.

Pengalaman berada di alam bunian itu turut dikongsi oleh pengarah ini dihadapan media.

"Bahasa dan tingkah laku perlu dijaga, itulah yang dipesan oleh ustaz tersebut. Dan saya tidak boleh bercakap dengan mana-mana orang bunian yang saya jumpa melainkan orang yang dibawa oleh ustaz itu untuk bertemu dengan saya.

"Setelah bertemu dengan orang tersebut, dia bertanyakan tujuan saya ke situ dan saya ceritakan tentang projek filem yang akan saya buat ini yang mana ia menyentuh tentang kehidupan bunian.

"Saya berpeluang bertemu dengan puteri bunian yang bagi saya, memang cukup cantik. Saya dapat bersalam dengan puteri tersebut tetapi dilapik dengan kain sutera.

"Berdasarkan apa yang saya lihat, tidak ada bezanya fizikal mereka dengan manusia biasa. Begitu juga dengan pakaian, tetapi majoriti wanita bunian bertudung dan mereka memakai pakaian berwarna putih.

"Tetapi sebelum saya pulang, orang bunian yang saya temui itu berpesan agar saya tidak gambarkan kehidupan sebenar mereka di alam nyata. Itu bukanlah satu perjanjian, tetapi saya tetap akan ikut pesanan tersebut.

"Jadi, apa yang saya buat di dalam filem ini bukanlah menyerupai sepenuhnya di alam bunian," kata Jantan.

Tambahnya lagi, pengalaman tersebut sebenarnya banyak mengubah hidupnya dari banyak aspek. Namun begitu, dia sekali lagi akan 'melawat' alam tersebut seminggu sebelum bermulanya penggambaran.

"Saya akan ke sana lagi untuk bertemu semula dengan orang bunian itu, sekadar untuk beritahu tentang apa yang akan saya buat nanti. Adnan ada meluahkan hasratnya untuk ikut saya, tetapi dia kemudiannya tidak dapat berbuat demikian kerana ada urusan kerja yang penting.

"Setakat ini, saya tidak terfikir pun untuk bawa pelakon ke sana. Tengoklah macam mana nanti," kata Jantan.


Bahan bukti dari FB :)



5. BETWEEN TWO SKIES


PF dah semak Clear Motion Sdn Bhd. punya website, tiada apa-apa perkembangan terhadap filem terbesar arahan Prof Madya Razak Mohaideen yang menelan belanja lebih kurang RM7 juta. Ada baca artikel lain kata RM10 juta. Tak tahulah mana satu yang tepat. Senyap begitu saja. 

Dalam artikel Harian Metro bertarikh 22/12/2010 menyatakan temuramah antaranya :


RAP: Boleh cerita mengenai filem Between Two Sky (Antara 2 Langit) seperti yang diberitahu sebelum ini? 

RAZAK: Perancangan sekarang sudah di peringkat akhir. Skrip dalam perbincangan dan beberapa draf sudah dihasilkan. Kami dalam proses untuk dapatkan dana. Ceritanya mengenai tentera Australia di Malaysia, jadi kerajaan Australia sudah bersetuju untuk beri dana. Kami juga sudah mulakan praproduksi.


Oleh itu, apa-apa filem memakan belanja besar yang siap penggambaran dan sedia untuk tayangan harus diberi tepukan dahulu kerana berjaya melepasi halangan dalam menyempurnakannya, contohnya Vikingdom. Buruk atau tidak hasilnya boleh dikomen seletelah selesai menonton filem berkenaan.

Sumber : The Film Catalogue

13 comments:

Mujahid Mansor said...

Awesome post. Very informative, tho I've only heard about Empayar: Dendam Taming Sari before this.

I wonder what these projects have in similar that they just disappear into obscurity.

PerangFilem said...

mesti ada something yg buat projek ni senyap. Harap2, usaha ini berjaya tapi bukan macam Lembing Awang Pulang ke Dayang yang tak menjadi tu.

Hady Abd Hamid said...

Biasanya kekurangan bajet pada akhir perancangan yg mnjadi sbb. Tak kisahlah kalau karya tu terperap, jangan pula terlalu ghairah nak siapkan sesebuah filem, tetapi hasilnya seperti melepaskan batuk di tangga...aktor, director, producer mungkin hilang pada masa akan datang, tapi skrip tetap tak hilang dimakan zaman...kena jaga satu2nya material paling berharga dalam pembikinan filem...

PerangFilem said...

betul. persiapan dari segala segi tu amat penting kalau nak buat projek mega, apa pun boleh terjadi di pertengahan jalan...

themaverickmalaya said...

Ah sayangnya...filem2 melayu sebeginilah yg perlu diangkat dan dijulang pengkarya filem tempatan, bukannya yg memaparkan budaya gangster dan kisah2 cinta yg sama saja...filem sejarah mcm nilah yg mampu menarik minat masyarakat Malaysia utk lebih cintakan sejarah tanah air n secara x langsung mengangkat nama negara di persada dunia

Lihat sajalah filem2 hollywood yg berkonsepkan sejarah mcm abraham lincoln, black hawk down (yg asalnya askar2 kitalah yg sepatutnya diangkat menjadi hero), IP man (China), queen of langkasuka (Thailand) sumenya menjadi n mndpt sambutan yg hebat!!

Sedih sekali filem sejarah melayu lampau kurang dititik beratkn di negara ini.. :(

Anonymous said...

Wow biar betul ni, mana movie2nya? Da 2014 da ni... aku memang dahagakan epik melayu di layar perak T.T

Anonymous said...

Orang kita lebih suka buat filem berdasarkan keuntungan semata-mata. Walhal filem macam inilah yg dapat membentuk anak bangsa kita untuk lebih cintakan tanahair. Bukan filem gangster, rempit, seram & cinta yg tak berkesudahan. Terus terang aku dh jemu dan meluat dengan filem yg sedemikian. Jalan cerita lebih kurang sama. Tetapu hairan, masih ramai orang nak tonton. Mungkin masyarakat kita kini malas nak berfikir. Masuk panggung wayang, duduk ternganga menonton, tak nak fikir apa2. Kalau terkena jalan cerita yang rumit & berseni mulalah kata cerita tak best, merapu, rugi tengok dll. Filem cinta, seram & gangster tu tak merapu ke??? Lebih teruk lagi dengan filem cinta yg jual agama..Aku bukan nak memperkecilkan industri filem kita dan mengagungkan filem luar, tetapi lihatlah bagaimana china, thailand, indonesia dan negara barat menghasilkan filem yang dapat mengangkat martabat bangsa & negara mereka. Ada yang memenangi anugerah lagi. Tak perlulah aku beritahu filem yg mana. Anda boleh google sendiri filem2 tersebut..Kini ada juga pihak yg tampil dengan kelainan, menghasilkan filem yang hebat & boleh dikatakan seni(bukankah lakonan itu satu cabang seni?). Tetapi malang sekali, usaha mereka langsung tak mendapat sambutan. Entah di mana silapnya fikir-fikirkanlah....

PerangFilem said...

Well said. akan dikongsi komen ini di FB

Anonymous said...

Tumpang tanya semua filem ni dah keluar panggung ke belum?

PerangFilem said...

Belum......

Anonymous said...

Kos tinggi, duit tiada. Nak buat filem pakai duit sponsor

Anonymous said...

Takde update terbaru ke pasal filem2 ni ? Dah 2015

Anonymous said...

Nak buat filem epik minta la modal pd kementrian atau pd kerajaan negeri terbabit.. Mereka byk duit :)