Showing posts with label Rating 4. Show all posts
Showing posts with label Rating 4. Show all posts

1 Aug 2018

Nafas Baru Hantu Kak Limah Tanpa Lupakan Nafas Lama



HANTU KAK LIMAH (2018)
Arahan: Mamat Khalid
Rating: 4/5
Komedi, seram

Terdapat sedikit spoiler namun tidak menjejaskan keseluruhan sinopsis. Jangan baca jika mahukan excitement yang lebih sehingga anda tonton sendiri.

1. Francais keempat Kg. Pisang setelah:

Zombi Kg. Pisang (2007)
Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)
Husin, Mon & Jin Pakai Toncit (2013)

dan sekuel ketiga bagi Hantu Kak Limah.

2. Gambar yang lebih terang dan cantik memberi gambaran baru bagi filem Mamat Khalid (MK). Ini disokong pula dengan tulisan kredit berwarna putih (adakah ini melanggar pantang?) yang amat jarang sekali filem seram memberi petunjuk bahawa ini adalah persembahan yang segar dari siri Hantu Kak Limah dan Kg. Pisang.

3. Lebih humor dengan keletah penduduk Kg. Pisang. Anda akan terbahak-bahak menyaksikan mereka dan watak baru, Khuda yang seakan berkarakter seperti seekor kuda yang sukakan perempuan yang lebih tua, watak guru silat muda, Solihin yang 'tidak berguna', dan Nayan dengan lawak Inggerisnya yang pasti korang akan pecah perut sampai kokak! Gambaran penduduk Kg. Pisang yang bermasyarakat dalam menghadapi permasalahan bersama dan aktiviti orang Melayu masuk hutan menangkap burung adalah nostalgia yang dikembalikan semula ke layar perak setelah Jibam (2017).

4. Jalan cerita yang baru. Ianya bukan 'just another hantu Kak Limah' atau berkesinambungan dari filem sebelumnya. Ia berkaitan cinta antara watak si mati dan watak hidup, tetapi ada kejutan di hujung cerita yang tiada gambaran langsung pada awalnya.

5. Watak Hantu Kak Limah ditonjolkan dengan lebih banyak babak. Ini salah satu yang menyumbang kepada 'nafas baru' siri Kak Limah. Berlebihan bukan bermaksud hilang keseraman, tetapi ditutupi dengan latarbelakang muzik seram yang perghh.. padu yang selalu kita dengar dalam filem seram luar. Tak pun, filem seram klasik. Terima kasih kepada skor muzik Zulkiff Headwind dan penata bunyi, Manop Janjarassku. Tahap kebagusan HKL naik setakah.

6. Sinematografi oleh Jack Rahmad yang jarang dilihat dalam filem M.K. Bukan tiada tapi kali ini lebih ketara. Banyak bermain dengan pencahayaan terutama dalam bilik dan di kilang arang itu sangat menawan! Terdapat babak pegun di mana 3 watak sedang duduk di kilang arang di waktu malam itu favorite PF. Akan tetapi, penggunaan lampu yang sangat terang dalam hutan dan sinaran lampu yang agak 'direct' dalam beberapa babak, kelihatan agak tidak natural juga.

7. Parodi kepada filem popular Thailand, Nang Nak dan homaj kepada filem Pendekar Bujang Lapok. Pasti korang akan dapat cam babak yang dimaksudkan bukan alasan korang untuk mengatakan M.K tiada idea. Ia ditambah dengan kreativiti M.K menjadikan filem ni penuh warna dengan watak-watak yang sedia ada berwarna.

8. Politik dalam HKL disentuh dalam bentuk satira dalam watak Yeh Sekupang (Allahyarham Rab Khalid) yang bercita-cita untuk menjadi ketua kampung dan Abe Yie (Sabri Yunus). Lihat saja Abe Yie memakai baju biru tua dan putih mewakili politik siapa? Perkataan 'bangsa' pun menjadi sebahagian dialog tau!

9. Dalam perjalanan meniti naratif, PF khuatir ianya tersasar. Ya, ada sedikit, tetapi tidak pergi terlalu jauh dan M.K segera u-turn ke landasan asal. Mungkin ini perasaan PF saja di mana babak lagu Hatiku Luka Lagi oleh Black Dog Bone yang tiba-tiba masuk, padahal sebelumnya babak cemas. Kesasaran juga adalah babak hantu Jepun yang bangkit dari kubur tetapi tidak berlebihan.

10. "Nafas lama" - terdapat pengulangan babak dari filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mungkin sebagai resepi komedi dimana dahulunya berjaya membuat penonton berdekah. Adakah ia memberi impak yang sama kali ini? Hubungan Eton (Uqasha) dan Awie juga mengulang formula lama tetapi tetap manis dek keayuan Uqasha Senrose dan sebagai love touch dalam filem.

11. Garapan tentang dunia bunian yang tidak janggal dan menjadi. Malah penampilan Mus May amat berjaya dan kelakar pulak tu. Cayalah! Penampilan bintang dan selebriti wanita yang tidak sia-sia dan cara kemunculan juga 'ada style' tetapi tetap memberi suasana seram.

Jadi, adakah HKL setaraf dengan Pee Mak atau anda boleh kaitkan dengan filem-filem komedi seram lain? PF rasa sekuel kali ini berjaya dan mengembalikan populariti Kak Limah kalau tidak melebihi yang pertama, ianya sama level dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Saksikan pada 9 Ogos nanti.


17 Oct 2017

Bisik Pada Langit, I'm Not A Terrorist & Shuttle Life


BISIK PADA LANGIT (2017)
KABIR BATHIA

Drama

3.5/5

'Memerah air mata dengan visual', itulah ringkasan yang PF boleh katakan setelah menonton habis filem ini. Filem ini mengheret penonton menjiwai watak seorang bapa (Jalil Hamid) yang sangat menyayangi anak perempuannya Siti Hajar. Dan dugaan mereka sekeluarga setelah Siti Hajar ditimpa musibah di luar negara mengakibatkan pertelingkahan sesama ahli keluarga di tanahair.

Katanya, setelah perbincangan dibuat, naskhah ini mempunyai potensi jika ditayang di layar lebar yang pada asalnya untuk TV saja. Tentunya orang di balik tabir lebih arif akan hal ini. Namun, sebagai penonton biasa yang kadang-kadang tidak nampak perbezaannya, kerana jika dipaparkan filem yang nawaitu asalnya untuk panggung pun ada nampak mcm drama TV. BPL mempunyai beberapa ciri ciri 'filem' pada shot-shot tertentu dan pada sinematografinya.

Banyak detik sangat menekan perasaan dan bermain dengan slow motion dan lagu latar syahdu menjadikan ia melodrama TV di sisi sebelah Rashid Sibir tetapi Kabir Bhatia tetap mempunyai trademark tersendiri. Anda bayangkan kegembiraan si ayah yang mendapat berita kelegaan lalu melupakan hal lain lalu terus 'berjumpa' tuhan, itu dan babak yang selanjutnya adalah saat paling sebak bagi PF. Sifat karakter Hajar pula dilihat tidak dibongkar luas iaitu dari tuduhan adik lelakinya itu. Seakan kita mahu percaya yang mana satu, perwatakan Hajar atau percakapan adiknya itu?

Persembahan Dee (Beto) dan ayahnya saling mengikat walaupun si ayah pilih kasih. Jika anda puas menderma air mata melalui Kau Takdirku, tak salah pula untuk melabur emosi dalam drama keluarga yang menyanjungi pengorbanan seorang ayah. Gembiranya sebenarnya filem bercorak drama mendapat tempat di hati peminat setelah sekian lama, setelah kejayaan The Journey (2014).  Pelik pula filem Redha tidak seviral ini. Walaupun dianggap filem BPL dikatakan tiada isi dan ianya mengheret plot ringkas tetapi ia memberi kepuasan lebih dari segi emosi berbanding Redha. Bukanlah kata filem yang membuatkan kita menangis itu bagus, tetapi ia dipandang dari sudut yang lain pula. 



I'M NOT A TERRORIST (2017)
ARJIN UPPAL

Aksi

2.5/5


PF mendapati sebelum tayangan, publik sangat teruja menantikan filem ini setelah melihat trailernya. Akan tetapi hype itu senyap selepas filem ini ditayangkan. Ini merupakan petanda yang buruk bagi filem itu sendiri. Kau anggap macam ni. Abaikan kewujudan polis di sebuah kawasan pedalaman seperti dalam filem Bunohan itu. Maka, samseng bermaharajalela melakukan aktivitinya seperti menembak sesiapa saja yang dia suka. Percubaan berani produksi ini mengambil Chacha Maembong dan Afiq Muiz sebagai peneraju utama dan penggambaran di Kashmir menelan belanja RM7 juta (The Star 5 Oktober 2017) - lebih mahal sejuta dari filem Tombiruo. 

I'm Not Terrorist menonjolkan betapa ganasnya antagonis dalam melakukan aktiviti keganasan jual beli senjata dan dadah(?) tanpa mempunyai musuh tertentu, ianya berkait dengan Ummar (Afiq) yang pulang ke kampungnya setelah bergraduasi di MSU. Dinyatakan, ayah Ummar dahulu (telah mati) dipergunakan oleh kumpulan pengganas ini; Abu Zar dalam pengeboman berani mati pada satu ketika dulu. Atas sebab tertentu, Abu Zar ingin balas dendam dengan mempergunakan Dayana, kekasih Ummar. Filem ini seolah-olah terkongkong dengan kawasan yang agak terhad jika dilihat dalam filem. Kekuasaan pengganas seperti sukar dipercaya kerana tiada lawan yang kuat, sebaliknya hanya ditunjukkan dengan riak wajah ganas dan tembakan bertubu-tubi selain dialog "I'm evil from hell!" berulang kali. Persembahan Chacha boleh dikatakan so-so tetapi semakin meningkat ke akhir filem. Chacha, sebelum ini sinonim dengan watak gedik. Afiq pula bertutur bahasa Hindi kedengaran meyakinkan. Manakala CGI letupan juga hampir menjadi dan tidak kelihatan cacat. Walau begitu, tahniah atas pembikinan filem ini yang jarang dibikin oleh Malaysia.



SHUTTLE LIFE (2017)
TAN SENG KIAT

Drama
4/5


(Shuttle Life (SL) adalah terbitan produksi Malaysia) Apa yang PF dapat kesan, heroin filem ini Sylvia Chang yang juga pengarah di negaranya dan sinematografer Chen Ko Chin adalah warga Taiwan. Ini adalah antara karya pengarah yang pertama kali mengarah tapi hasilnya mengagumkan seangkatan Tunku Mona Riza, Khairul Azri dan Nik Amir. The Malaymail Online melaporkan juga: The actress (Chang) reportedly has also given many suggestions during their meetings to further improve the overall production.

Filem ini berlatarbelakangkan krisis air yang dialami oleh penduduk flat kos rendah yang didiami keluarga Qiang bersama ibunya yang sakit mental dan adik perempuannya Hui Shan. Secara ringkas, SL ada sedikit mengambil bau-bau Yasmin Ahmad dan jalan cerita ada sedikit seperti filem Mad World (Hong Kong-2016). Ia mendekati realiti penduduk taraf sederhana warga Cina dalam bandar disamping tidak mengabaikan ciri-ciri Malaysia seperti laungan azan, watak-watak tambahan  berbahasa Melayu yang semulajadi sifatnya seperti polis, staf hospital dan banduan. Dua kelebihan di sini, di mana ianya diletak begitu bersahaja, bukan dicipta satu watak palsu menjadikannya lebih 'Malaysia'. Kedua, semua watak tambahan ini dikawal baik oleh pengarah. Contoh terbaik adalah staf hospital yang begitu bertatasusila melayan pelanggan berkerenah. Kita akan tersenyum sendiri melihat bagaimana misi/nurse itu bekerja. Kebanyakan penjawat awam dalam SL menjalankan tanggungjawab dengan berhemah. 

Filem bermula dengan usaha Qiang yang 'mendaki' tangga ke tangki air di menara tapi akhirnya kecewa. Bukannya dia tak membantu keluarga, kesempitan hidup memaksanya melakukan kerja-kerja jenayah ditambah dengan keadaan ibu yang sakit. Penulis filem ini terus-terusan memaparkan hempas-pulas wataknya untuk mengecapi kehidupan di usia muda tetapi mulia dalam melindungi keluarga. Ini disokong dengan semakin lama filem berjalan semakin gelap ruang di dalam rumahnya (akibat pemotongan bekalan elektrik). Maka, apa yang berlaku dalam gelap hanya kepedihan sang anak terhadap ibunya. Begitu juga di waktu malam yang sinonim dengan kecelakaan dan perbuatan salah laku turut dipapar. Penulis dan pengarah sangat ingin menonjolkan sisi gelap masyarakat khususnya kaum Cina tapi kali ini bukan melalui gangsterism. Dalam banyak babak, adegan ahli parlimen kaya seakan tiada memberi sumbangan ke arah jalan cerita. Adakah ingin memberitahu kegagalan fungsi ahli politik? Ia tidak dijalin dengan Ah Qiang secara direct. Apa yang menarik, pengakhiran kisah dengan konsep terbuka ini menyaksikan, ke'putusan' bekalan air 'disambung semula' dengan air hujan dan ini seakan membasuh semula cerita Ah Qiang yang kotor itu dan memandu pulang kereta yang bukan miliknya sambil memberi 'rezeki' kepada ibunya.


*Pemberian rating adalah sah untuk filem itu saja, bukan dibandingkan dengan filem lain. Terutamanya yang berlainan genre.


28 Sept 2017

Tombiruo Penunggu Rimba atau Pendendam?


TOMBIRUO (2017)
Seth Larney
Aksi
4/5
(Rating dan 'XXX' di bawah akan didedahkan apabila ia mula ditayangkan)

Sebelum anda menonton, info dan latar belakang Tombiruo:
  • Dikatakan pre-produksi film ini mengambil masa yang lama. Sejak 2008 lagi Layar Sunan telah berusaha mencari dana dan tahun 2017 barulah impian tersebut tercapai. Astro Shaw, Ideate Media dan Grup Buku Karangkraf bergabung bagi menghasilkan filem ini dengan menelan belanja sebanyak RM6 juta.
  • Tombiruo: Penunggu Rimba terbitan Grup Buku Karangkraf diterbitkan pada 1998 dan telah diulang cetak sebanyak 18 kali kerana permintaan yang tinggi. Tombiruo: Penunggu Rimba adalah siri pertama dalam triloginya, yang kedua novel Semangat Hutan dan diikuti Tombiruo Terakhir.
  • Bukan semua keseluruhan cerita disampaikan dalam filem kerana medium yang berbeza. Novel menceritakan empayar yang luas untuk kepuasan pembaca. Namun terasnya masih dipertahankan. Skrip bagi filem di olah oleh Yasmin Yaacob dan Choong Chi-Ren. Apabila diadaptasi ke filem, maka ia adalah sebuah karya baru yang menuntut pemikiran baru.
  • Diarahkan oleh oleh Seth Larney (penolong pengarah Andre Chew) yang pernah terlibat dalam The Matrix Reloaded, The Matrix Revolutions, Star Wars: Revenge of The Sith, X-Men Origins: Wolverine, Superman Returns dan The Chronicle of Narnia: Voyage of The Dawn Trader.
  • Nasir Jani sebagai pengarah bersekutu ditugaskan untuk memberi tumpuan kepada mutu lakonan barisan pelakon dan menjaga sentimen tempatan serta memastikan skrip dapat diterjemah ke visual dengan sempurna.
  • Lanskap lokasi di Sabah yang menarik serta dialek Kadasan-Dusun mampu mencerminkan identiti yang kuat sebagai filem Malaysia bergabung dengan aksi-aksi komersil ilham Seth Larney juga adalah ramuan lain tarikan bagi tujuan pengedaran filem ke pasaran antarabangsa.
Sinopsis: Tombiruo yang memaparkan kisah aksi ini menceritakan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar sebagai Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai penunggu rimba. Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung. Apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan, satu insiden telah berlaku dan menimbulkan kemarahan Tombiruo. Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. Wartawan Wan Suraya yang mengikuiti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut mengikuti jejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak membahayakan seperti diperkatakan. Namun, apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib orang-orang yang mereka sayangi. Dengan semangat dari hutan telah mengiringi kekuatan Tombiruo. Tetapi hakikatnya, sebuah rahsia di antara mereka berdua yang sudah lama tersimpan terbongkar. Apakah kaitan mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden yang berlaku selama ini?

Terdapat spoiler: baca atas risiko sendiri.

Permulaan Tombiruo sangat mengagumkan dengan CGI dan aksinya cukup membuat mata terpegun dengan kisah bermula Tombiruo lahir ke dunia. Setelah keluar panggung, satu yang dapat PF katakan, ia jelas-sejelasnya bahawa Seth Larney dapat memberi kepuasan kepada naskhah ini terutama dari segi aksi, mood dan pacing filem. Dengan pendekatan filem serius, Larney berjaya mengangkat Tombiruo sebagai penghuni rimba yang terasing dek berwajah bukan manusia. Dia digambarkan bahawa ‘hutan memiliki Tombiruo’ lebih daripada ‘Tombiruo memiliki hutan’ kerana semangat hutan itu melindungi Tombiruo sedangkan Tombiruo tidak ‘memberi jasa’ kepada hutan seperti yang dipaparkan. Zul Ariffin sebagai Tombirou banyak melakukan aksi dari dialog, jadi lakonannya banyak bergantung kepada gerak tubuh. Mengikut pemahaman PF dari novel, Tombiruo ingin mengganggu usaha pembalakan haram tetapi dalam filem ia berkenaan dendam Tombiruo terhadap kejadian yang menimpa Pondolou, ayahnya. Mungkin ini jalan cerita yang dimampatkan atau diubahkan? Oh! Filem ini bukan seperti Tarzan seperti yang dianggap netizen melalui trailer kerana dia tak berkawan dengan haiwan pun! Lagi pula Tombiruo memiliki kuasa luarbiasa yang tidak pasti dari mana datangnya kuasa itu ( Mungkin ianya ada disebut dalam mantera bahasa Kadazan-Dusun dan penonton kena fokus dengan terjemahannya)

Walaupun babak berbicara, ianya tidak membosankan kerana wajah-wajah lama seperti Dato’ M.Nasir (Nasir Jani memanggil semula setelah Kembara Seniman Jalanan) dan aura nostalgia Datin Marlia Musa kembali menggam it mata penonton. Dengan membaca Tombiruo bahagian awal saja, PF dapat merasakan banyak detail dilompat dan hanya pembaca tegar dapat memahami latar watak dan asbab sesuatu perkara. Ini ada pro dan kontranya. Sebagai contoh latar belakang watak Baizura diceritakan panjang di awal novel tetapi Baizura hanya muncul di pertengahan/hujung filem dan ianya cenderung bersifat antagonis walhal dalam novel dia sebaik umat bagi menuntut watak yang lebih dramatik dalam filem. Satu lagi kepuasan adalah watak monsuroi, nenek kebayan/bomoh yang mendiami hutan. Monsuroi dalam Tombiruo seakan-akan extended version nenek kebayan filem Puteri Gunung Ledang, dan ianya boleh dikatakan paparan ' nenek kebayan' terbaik dunia mistik dalam filem moden tempatan. Kemunculannya beri semangat hutan ditambah dengan mantera dan kuasa tertentu. Nabila Huda sebagai Wan Suraya dilihat sebagai ‘watak baru’ yang dipegangnya sebelum ini sebagai penggoda, penjahat dan orang susah. Seperti ada aura melihat kelibat beliau sebagai wartawan seperti mana filem luar – kaitannya dengan Ejim.
Walaupun begitu, terdapat 2 perkara yang sedikit turn-off . Pertama, anda ingat filem seram XXXX? Terdapat seorang watak yang seakan membawa plot sama dengan ayah XXX, iaitu XXX. Wataknya tidak diketengahkan sangat tapi penting diakhir cerita dengan pemaparan flashback. Dari titik tolak ini membuatkan ending filem jadi seperti filem tersebut. Jadi, bukanlah filem terbitan XXX saja yang suka benda-benda begini. Nampaknya, pengolah skrip untuk filem Yasmin Yaacob dan Choong Chi-Ren tak terkecuali dari formula ini bagi versi Tombiruo (pembaca novel semestinya dapat tahu jika bahagian ini diubah bagi tujuan klimak). Berkenaan flashback, filem ni juga bergantung kepada elemen ini bagi merungkai banyak plot penting yang tak disentuh di awal-awal membawa kepada faktor kedua iaitu, ‘kebetulan’ yang datang ‘tiba-tiba’ dan sebagai penonton, kita persoalkan hubungkaitnya ‘kebetulan’ tanpa diberi bayang. Ianya seperti silap mata yang tak suka kita lihat.

Akhir sekali, babak klimak sangat memukau bagaikan aksi filem Matrix. Boleh dikatakan ia over dramatic bagi permusuhan Tambiruo-XY (ianya tidak salah, memandangkan ‘perbuatan’ XY yang lepas). Babak final act ini tidak tumpah seperti filem superhero melawan musuh agung. Kadang pula seperti mood menonton filem perang dengan latar muzik yang menggegar dan menaik semangat. Alangkah eloknya jika filem perang tempatan terkini mendapat sentuhan sebegini. Pada pendapat peribadi PF, Seth Larney menggunakan pengalaman di Hollywood itu dan ianya nampak perbezaan dengan filem aksi berskala besar Malaysia sejak kebelakangan ini. Jika diukur dengan nilai hiburan, ianya mengasyikkan. Syabas kepada keseluruhan team yang mengangkat novel ini ke layar perak! Disebalik aksi terdapat makna cinta dan hubungan kekeluargaan secara tidak langsung. Ada sesuatu yang menggembirakan peminat RAM di hujung filem. Nantikan.

6 Apr 2017

Tokyo Sonata: Irama Kehidupan Penuh Rahsia


Tokyo Sonata (2008)
Kiyoshi Kurosawa
Drama
4/5


PF lebih mengenali filem lama-lama Jepun berbanding Korea. Entah kenapa, kita seakan dibiarkan terdedah dengan filem Jepun kerana filem mereka lebih menyerlah sejak dari zaman filem hitam putihnya. Apa saja website filem antarabangsa tak ketinggalan menyebut filem-filem hebat sepanjang zaman dunia seperti Rashomon, Seven Samurai, Tokyo Story (sekadar menyebut beberapa judul). Dari situlah kita mengenali filem-filem Jepun yang terkenal dengan jatidiri mereka yang kuat. Mengapa Korea jadi perbandingan? Faham sendiri sajalah. Kurang pasti sejak bila filem Korea bangkit menakluki peminat filem termasuk di Malaysia tetapi ternyata selepas fenomena K-Pop, filem-filemnya terkena tempias populariti.  Kembali kepada filem Jepun, mereka terkenal dengan filem drama keluarga selain anime dan filem bertema samurai. Filem drama keluarga ini jika kita perhatikan mempunyai satu style yang sama dan plot penceritaan yang mudah tapi memberi makna dalam kehidupan. Antaranya, Kabei (2009), Still Walking , After The Storm (2009), Our Little Sister (2015) dan hinggalah ke klasik The Only Son (1936) dan Floating Weeds (1970).

Mari kita jenguk, salah satu daripadanya, Tokyo Sonata (2008). Filem ini mengisahkan keluarga kelas-pertengahan yang terdiri daripada Ryūhei Sasaki dan isteri, Megumi berserta dua anak lelaki Takashi dan Kenji. Filem dimula dengan si ibu menutup pintu gelongsor dan mengelap titis hujan seakan tak mahu apa-apa perkara berlaku dalam keluarga dan sedaya melindungi ahli-ahli di dalamnya. Si suami hilang pekerjaan dan mula berlagak pergi kerja setiap pagi untuk mengaburi sang isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa (ini mengingatkan PF satu episod kepada siri Keluarga Iskandar). Sebagai seorang ketua, kita menetapkan bahawa perkara ini wajib berlaku dan normal di pandangan mata seisi rumah.  Menjadi bebanan pula pada Megumi untuk menyimpan kewibawaan suaminya itu hanya sehingga pada satu tahap. Dalam pada itu, kedua anak-anak lelaki memberontak ingin melakukan keinginan yang dimahukan dalam hidup yang dihalangi oleh bapanya. Ini semua membuatkan Ryūhei tertekan dan bagaimana dia sanggup menyalin kulit persalinan pekerjaan pejabatnya kepada seragam cleaner di pusat membeli-belah untuk menyara keluarga. Menjadi persoalan di sini kedua anaknya masih belum tahu pekerjaan baru bapanya.

Si isteri pula ‘diberi peluang’ yang tidak disengajakan untuk keluar dari dunianya setelah dirompak, namun Kurosawa berpendapat itu tidak akan berlaku dan tempat sepatutnya masih di rumah yang dianggap syurga. Ini dikuatkan lagi apabila dalam satu kejadian yang menimpa semua, mereka  pulang ke rumah dalam waktu yang hampir sama kecuali Takashi yang berada di US. Di sini amat menarik bahawa, Megumi tidak digambarkan keluar dari rumah dan mengecapi dunia luar selagi kejadian rompakan tidak berlaku. Jika adapun hanya melihat kereta di kedai kereta dan menghantar Takashi di lapangan terbang.  Itu perubahan yang dilalui oleh sang ibu dan bapa. Kedua-dua watak anak lelaki juga melalui proses perubahan yang baik dalam diri masing-masing walaupun dalam kemelutan yang melanda.

Kurosawa tetap memupuk nilai-nilai dalam masyarakat Jepun. Jelas dalam babak Ryūhei Sasaki memulangkan wang yang dijumpai. Ini kita tidak hairan kerana selalu kita dengar kisah realiti barang yang tertinggal tidak diambil oleh sesiapa. Anak-anak dan suami mengucapkan terima kasih ibu/isteri mereka kerana makanan yang disediakan. Hal ini sangat jarang dilihat dalam filem-filem sekarang. Begitu juga, sukarelawan yang memberi makanan kepada gelandangan mengucapkan maaf kerana lambat memberi makanan dan terpaksa menunggu. Setiap filem mempunyai babak penting dan bakal diingati. Tidak terkecuali dalam Tokyo Sonata, babak akhir di mana semasa Kenji bermain piano tanpa sebarang komunikasi dengan penonton. Walaupun filem ini berjudul ‘sonata’, muzik bergema di saat akhir memberi harapan kepada cita-cita keluarga Ryūhei Sasaki.

4 Dec 2016

Tiada Aroma Filem Tempatan Dalam Interchange


Arahan : Dain Iskandar Said
Genre : Drama/Thriller
Tahun : 2016
Rating : 4/5


Spoiler alert!

Setelah menonton filem ini, boleh dikatakan tidak serumit Bunohan walaupun PF menonton Interchange 2 kali. Berlatar belakangkan dunia moden tetapi masih tidak melupakan kotor-kotor bangunan dan lorong gelap, ternyata Interchange berjaya membentuk sebuah kota di salah sebuah negara di Asia Tenggara yang bermata wang dollar, bertutur bahasa melayu dan Inggeris. Mungkin kota fantasi atau mungkin klu itu membawa jawapan paling hampir, ia adalah Singapura & Brunei (yang menarik, pelakon-pelakon utama bukan dari 2 negara itu). Itulah identiti unik dan berkecamuk jika kita meneka-neka latar belakang Interchange. Mungkin sebab itulah bahasa campur aduk BM dan BI terlalu rojak, dan tidak kedengaran asli seperti di Malaysia. Pada PF mungkin lebih elok jika campur aduk itu tidak keterlaluan - selepas 1 ayat BM kemudian BI diulang-ulang.


Jurugambar forensik Adam yang berasal dari Sabah telah terjerat (terperangkap) dalam mainan Iva seorang Dayong (dukun puak Tinggang) yang pada mulanya dimisterikan wataknya dalam misi mencari beberapa lagi negatif kaca (NK) puak Tinggang dalam simpanan polis apabila dapat tahu Adam bekerja untuk polis. Kita tidak diberitahu bagaimana Iva 'kenal' Adam dan merancang duduk dihadapan apartment Adam sebagai perangkap. Adam pula seakan terkena sumpahan atau terganggu apabila memandang NK yang terakam individu puak Tinggang sejak terlibat dengan kes sebelum di kelab malam Eden lagi. NK ini adalah berusia 100 tahun dari tahun 1915 yang diambil gambar di Borneo oleh Carl Lumholtz seorang rakyat Norway. Buku beliau Through Central Borneo boleh digoogle untuk melihat gambar asal puak ini. Penonton dapat tahu akhirnya, Belian, Iva, Sani termasuk Uncle (Kin Wah) saling mengenali dan mempunyai 'kerja' yang perlu diselesaikan. 

Sejak dari mula lagi, Interchange membawa pesona bahawa ia tidak menggambarkan sebuah filem Malaysia (ianya noir etc apa saja istilahnya, bukan seperti Kalam Malam Bulan Mengambang yang hitam putih), kecuali auranya sedikit seperti filem pendek Kekasih (Diffan Norman). Ini yang membuatkan ianya sangat istimewa. Bermula dengan perlahan (penonton dibelakang merungut filem ini lembab) tetapi sebaliknya admin sangat menikmati tiap babak dan perincian lain seperti props, lighting, make up dan sesetengah tutur dialog. Terdapat 2 babak goosebump yang membabitkan burung, lalu lebih sukar untuk PF tidak menyukai filem ini. Dain memang tak pernah gagal memvisualkan burung-burung ke imej yang ajaib. Walau pun kita dibiarkan sesetengah persoalan besar terbiar begitu saja. Pertama, sebenarnya kita tak tahu sejak bila Iva mengembara mencari 38 orang puaknya yang terakam dalam NK, kebetulan cerita ini penonton ketahui ia memasuki tahun ke 100 (1915-2015). Kedua, mengapa mangsa bunuh itu dibiarkan mayatnya lantas mudah bagi pihak berkuasa mengesan bukti-bukti. Adakah kerana tinggal beberapa saja mangsa lagi perlu dikorbankan lantas Iva/Belian sudah tak ambil kisah/penat? Ini kerana, kita kena tafsir sendiri bahawa Iva adalah orang terakhir dalam puak itu kerana Iva 'dibunuh' yang terakhir oleh sebab proses ritual itu perlu ada 2 orang melakukannya iaitu Belian dan Iva sendiri.

* Adakah 38 orang ini tidak sempat menyucikan diri di sungai setelah gambar mereka diambil?
* Peha Iva tercalit garis luka bilangan mangsa yang telah dibunuh (mangsa-mangsa sebelum ini mungkin di negara lain). 

Lakonan para pelakon sangat baik kecuali beberapa watak kecil seperti Polis Jason. Shaheizy Sam agak berbeza dari lakonan mantap beliau yang lain seperti dalam Songlap. Dain berjaya mengubahnya kepada detektif yang sarkastik, eksyen tapi tegas dan mempunyai selera tali leher yang retro! Prisia dan Iedil Putra juga sangat meyakinkan terutama Prisia, dukun Dayong yang misteri dan pandai memanipulasi dari raut wajah dan tonasi dialog. Nicholas agak moderate kerana lebih kepada mainan dalaman. 


Seperti mana dalam Bunohan, Interchange juga menjadikan burung enggang menjadi trademark pengarah. Spesis Helmeted Hornbill seperti yang tercatat di wikipedia merupakan spesis critically endangered bagaikan lambang puak itu yang hampir lenyap setelah sekian lama bebas hidup panjang. Babak di taman/sangkar burung enggang itu menekankan konsep terperangkap dan bebas pulang jika dilepaskan seperti roh yang terperangkap dalam kaca. Interchange merupakan sebuah idea segar dari penulis June Tan, Dain, Redza Minhat & Nandita Solomon pada tahun 2016. Supernatural, kepercayaan suatu kaum diselitkan dalam dunia moden hari ini. Rasanya akan lebih manis jika unsur mistik atau supernatural itu dimainkan lebih lagi. Seperti yang dimaklumkan awal, jalan cerita lebih mudah difahami dan universal. Penonton perlu berhati-hati dengan imej-imej yang menjadi mainan watak supaya tidak keliru sekurang-kurangnya pada pemahaman babak. 


18 Aug 2016

Dukun Doktor Dani tidak PEKAK



Arahan : Sabri Yunus
Genre : Komedi
Tahun : 2016
Rating : 3.5/5



Mendengar nama Sabri Yunus pasti kita teringat drama-drama berkualiti beliau di kaca TV. Pabila mendengar ini adalah filem pertama beliau pasti kita mengharapkan sesuatu yang sama. Namun, beliau tak mahu memulakan drama berat sebagai permulaan, bahkan ianya eksperimental komedi dengan mengutamakan bukan pelawak iaitu Taufik Batisah seorang penyanyi sebagai hero dan dibantu Ameerul yang membantu banyak menyelamatkan filem ini. Ia berkenaan kehilangpercayaan, putus asa, kemudian cuba meneroka dunia lain yang masih bersangkut-paut. Komedinya sederhana, tidak banyak saat lucu kecuali dibeberapa babak. DDD bukan berkenaan kerja-kerja perubatan/penyembuhan, tapi lebih kepada cara untuk meneruskan hidup atau pilihan selepas itu. 

Taufik hanya melakonkan watak seadanya kerana dialognya bukan berbaur komedi. Di sini DDD hilang taringnya kerana Dani seorang doktor, jarang kita ketahui doktor seorang yang kelakar sifatnya. Agak terhad jika ingin teroka watak doktor sebegini. Arwah Pak Yus pula bukan seperti melakonkan watak-wataknya dalam Maharaja Lawak Mega atau di TV lainnya. Sabri berjaya meletakkan wajah lain Pak Yus yang komedi ini bukan biasa-biasa. Watak Raysha Rizrose agak mengganggu perjalanan cerita menjadikannya kurang lancar. Sebenarnya juga, agak sedikit kecewa apabila Sabri kurang menjaga bab pelakon tambahan/penduduk kampung yang agak kaku (diberitakan penduduk sangat memberi komitmen semasa penggambaran). Tema DDD agak jarang disentuh iaitu pertembungan dua profesion iaitu moden dan tradisional dalam filem kita merupakan satu poin yang boleh diberi kredit selain latar kehidupan penduduk kampung melayu dan sinematografinya.



Arahan : Mohd. Khairul Azri
Genre : Drama
Tahun : 2016
Rating : Definitely 4/5


Pengarah baru tetapi pelakon-pelakon adalah terdiri dari pelakon hebat tanah air. Bagaimana hasilnya, tulisan Alfie Palermo dan seorang lagi teman, maaf lupa nama. PF akan cuba tidak memberi spoiler. Pekak adalah kisah tragedi cinta Uda dan Dara berlandaskan kegiatan dadah, seks dan keruntuhan moral. Sangat berani dan terbuka. Terdapat babak yang agak 'mengganggu'. LPF agak longgar sedikit kali ini tapi masih terbatas. Plotnya mudah saja malahan bukan cerita baru. PF risaukan akan ada yang meriuhkan moral filem ini berbanding sedikit nilai murni tentang kehidupan remaja yang mula terjebak dengan dunia kotor, sekotor dan sekuning gigi-gigi watak pada awal-awal filem. Ishh memang jijik pulak menengoknya. Bayangkan, doktor pun gigi berkarat. euuwww.... Well, ini sebahagian 'filem'.

Pekak pandai bermain visual, penataan seni (contoh, rumah Azman, bilik Uda) dan simbol. Paling dapat tangkap adalah baju Dara yang koyak dan name tag sekolah Dara, babak Melor dan Dara menunggu Azman Picaso di tepi flat itu sangat favourite dari angle atas. Bingkai berkuasa apabila perbuatan Uda menunggu keretapi lalu untuk mendengar bunyinya berlatarbelakang batu-bata merah. Segalanya berjalan lancar dengan kurang rungutan. Gandingan Sharifah Sakinah (Melor) dan Sharifah Amani yang pertama kali PF tonton sangat menjadi. remaja yang baru nak kenal dunia. Cuma, Sh. Sakinah boleh bagi lebih daripada itu, mungkin kekangan tapisan menyebabkan usaha keberanian terbantut. Berilah peluang pada Sh. Sakinah watak-watak berat lagi wey. Nak tengok! Ingatkah dengan telemovie Racun Menantu di mana Sh. Sakinah dengan Zaidi Omar yang sangat daring tu? Bukan bermaksud watak-watak penggoda atau seks oriented, tetapi lebih serius dan berkarakter. Ameerul Afendi sekali lagi mencuri tumpuan sebagai Azman Picaso, penagih dadah berjiwa seni. Macam watak Sofi Jikan dalam Amir & Loqman Pergi ke Laut. Semua pelakon memberi persembahan jitu, ini adalah pakej lengkap. Percubaan Khairul Azri sangat cemerlang walaupun pertama kali mengarah. Beliau pernah menghasilkan video klip Apa Khabar oleh Joe Flizzow.

Oh ya, OST filem ni, nyanyian Monoloque (unik dan agak klasik) dan Othman Hamzah memang kena dan menyumbang mata tinggi. Kisah cinta ini mengingatkan kepada Sepet, kejahatan seperti Songlap, errr mungkin ada perbezaan tetapi auranya menghampiri kepada itu.

Tahniah!

19 May 2016

Son Of Saul, Rams & Me, Earl & The Dying Girl.


Arahan : Laszlo Nemes
Genre : Drama
Tahun : 2015
Rating : 4/5


Filem debut Laszlo Nemes cipta kejayaan manis beliau pada 2015. Boleh dikatakan 100% screentime adalah close up muka heronya dari sudut depan dan belakang. Seakan kita mengikut dia ke mana saja. Dekat dengannya. Seingat admin pertama kali menonton kaedah begini. Mungkin ini adalah cara lain bagi kaedah 'handheld' yang kurang memeningkan kepala.

Pandangan kita ke atas imej lainnya adalah kabur seolah penglihatan Saul kabur (?) atau kita? Perhatikan babak mula yang kabur itu adalah klu awal dan apabila Saul muncul, terang terhadap Saul. Terhibur.



Arahan : Alonso Gomez-Rejon
Genre : Drama
Tahun : 2015
Rating : 3.5/5


Kadang2 sampai terfikir benarkah, sang sutradaranya mengandaikan filem dari amerika sekarang nazak seperti penyakit leukemia itu dengan sanjungan terhadap filem lama seperti 400 Blows, filem mamat yang meroyan di perkampungan orang asli yg nak gerakkan kapal laut apatah tajuk filem tu. 
Tak tertinggal memparodi filem arthouse yg dibikin oleh Greg dan Earl. Sehinggakan menganggap mak Greg tu sejenis Finas (sbb suruh Greg pegi visit Rachel bagi motivasi/industri jangan mati dsb). Betul ke? Kahkah. PF suka!


Arahan : Grimur Hakonarson
Genre : Drama
Tahun : 2015
Rating : 3.5/5


Akhirnya PF dapat menonton filem ini. Rotten Tomatoes memberikan  96%. Filem dari Iceland ini kelihatan agak biasa dari filem yang pernah admin tonton.  Adik-abang yang tidak bertegur sapa berdekad lamanya seakan tidak boleh dipisahkan sama seperti spesis istimewa/rare biri-biri yang dijaga sejak turun temurun sebolehnya mereka ingin pelihara sampai pewaris seterusnya (tidak ditunjuk secara terus).

Namun, boleh lihat dari segi wabak, anjing perutusan, keindahan alam yang yg jauh di pedalaman, spesis terancam dan atmosfera/iklim dipilih sebagai alatan kepada cerita persaudaraan ini.
Pemenang Un Certain Regard 2015.


21 Apr 2016

Ola Bola, Munafik & Boboiboy The Movie

Filem yang berjaya dari segi kutipan pada tahun ini, memberi kegirangan selepas kemurungan tahun lepas. 3 Genre berbeza.




Arahan : Chiu Keng Guan
Genre : Drama
Tahun : 2016
Rating : 4/5


Filem sukan paling berjaya setakat ini terbitan anak tempatan wujud di tahun 2016.




Arahan : Syamsul Yusoff
Genre : Seram
Tahun : 2016
Rating : 3.5/5


Filem seram yang memberi dimensi baru kepada filem seram Malaysia. Ada beberapa hal yang boleh disanggah ciptaannya lebih-lebih lagi tak lari dari cliche seram pada beberapa babak. Keseluruhannya, baik.



Arahan : Nizam Razak
Genre : Animasi
Tahun : 2016
Rating : 4/5


Filem animasi paling fun dan terbaik dan menonton 3 kali di pawagam yang menyingkirkan favourite PF selama ini iaitu Bola Kampung The Movie.


14 Apr 2016

Jiwa Sensitif Menonton Redha


Arahan : Tunku Mona Riza
Genre : Drama
Tahun : 2016
Rating : 4/5


Spoiler free.

Bismillahirrahmanirrahim. Filem pertama bagi tahun 2016 yang akan PF review adalah Redha setelah 2-3 filem kita pada tahun ini nampak memuncak pada aras lebih tinggi dari segi kutipan. Ianya perkembangan yang sangat baik di mana jumlah penonton semestinya telah bertambah dengan seiring pertambahan jumlah pawagam di negara kita. Redha mengisahkan sepasang suami isteri yang memiliki anak autism. Filem ini menunjukkan dari mula Danial dikesan mempunyai autism oleh ibunya lakonan cemerlang dan berbakat besar adik Harith Haziq dan June Lojong sehingga Danial menginjak remaja. Serius best gila!

Yasmin Ahmad pernah berkata beliau membuat Mukhsin dari hati sehinggalah Mukhsin mendapat pengiktirafan di Berlin. Bukan bermaksud yang dapat anugerah itu lahir dari hati dan yang kalah tidak. Filem yang dekat menghampiri Mukhsin itu dari pandangan mata PF adalah Redha buah tangan Tunku Mona Riza. Bukan Ola Bola tak lahir dari hati (misalnya). Ada perkara-perkara lain yang kita sendiri sukar nak terangkan. Redha menyucuk kebenaran seksanya menghadapi, mendidik, membesarkan seterusnya berhadapan dengan masyarakat yang diri memiliki anak istimewa ini. Boleh dikatalah, Redha adalah finest movie setakat tahun ini (tapi jaga-jaga Interchange. PF suka Munafik tapi ada sesetengah perkara yang membuatkan ianya 'cacat'). Sedangkan menonton Ola Bola pun tidaklah banyak kali tertumpah airmata sebegini. Itu petanda hasil kajian dan halangan pasukan Redha selama 2 tahun setengah mengenai kanak-kanak autism ini berjaya di samping faktor lain seperti lakonan dan kejujuran dalam berkarya. Ya, PF dapat rasakan itu. Mengambil latar Pulau Redang yang indah, sengaja diletak sebagai merehatkan pandangan mata dan jiwa manusia dalam pergolakan yang timbul. 

Pernah menghasilkan telefilem Parit Jawa, Tunku Mona Riza sekali lagi berani membuat sesuatu yang baru untuk ditunjukkan kepada industri kerana tidak pernah lagi filem tentang kesedaran sesuatu penyakit 'dikomersilkan' seterusnya memberi kesedaran kepada umum. Dan plus point ianya tak mengecewakan, itu yang penting. Namron sekali lagi mengekalkan momentum selepas Psiko pencuri Hati dan beliau jarang berlakon dalam filem-filem yang teruk (jika ada pun atas faktor cari makan mungkin!). Tak tahu apa lagi nak kata, jika faham apa yang ditulis, segera ke pawagam dan saksikan Redha yang penuh informasi tentang autism, pengajaran (bonus) dan produk terkini buatan Malaysia yang patut diambil perhatian dalam kemeriahan filem tahun 2016. Pengarah Finas Dato' Kamil Othman ada berkata filem seperti ini diutamakan sebagai wakil negara ke Oscar. Adakah Redha Oscar material? PF kurang pasti pula.


22 Oct 2015

I Fine Thank You, I Love, Supermoon,


Arahan : Wan Hasliza
Genre : Komedi
Tahun : 2015
Rating : 4/5



Wan Hasliza, penulis yang popular dengan siri komedi Keluarga Iskandar, Geng Mengaji, Geng Surau dan Dunia Baru The Movie, kini membawa genre tersebut ke layar perak dengan komedi romantik sebagai hidangan kepada peminat filem tanahair. Melihat kejayaan filem romcom Istanbul Aku Datang, ianya boleh dikatakan jalan selamat untuk menguji citarasa movie-goers. Filem ini berusia 3 tahun sebelum dapat ditayangkan. Apa yang boleh dikatakan di sini, persembahan Love, Supermoon sangat menghiburkan dari mula hingga akhir. Boleh dikatakan, jika tayang di Thailand sekurang-kurangnya tak memalukanlah. Kenapa Thai? Sebab sejak kebelakangan ini romcom dari sana menjadi dan mempunyai pengikutnya di sini. Kisah Nina, Tiha, Triz, Razak dan Sulayman yang berkawan sejak bangku sekolah, universiti hingga ke alam pekerjaan. Kisah utama di sini adalah Triz (Nadia Nisaa) dan Razak (Farid Kamil) di mana Triz yang mengalami nasib ramai kaum wanita berkenaan jodoh yang belum tiba, manakala Razak yang berjaya dalam kerjaya sebagi doktor juga seorang playboy. Razak dan Triz  tidaklah rapat cuma mendengar perkembangan diri masing-masing dari rakan mereka.

Kedengaran sangat biasa tetapi percayalah, tulisan penulis berbakat ini tidak mengecewakan. Jalan ceritanya selalu didengari tapi akibat dari dialog yang selamba dan bijak ditambah dengan pilihan pelakon yang betul maka Love, Supermoon boleh dikatakan mengatasi Istanbul Aku Datang dari segi komedinya (Istanbul Aku datang adalah benchmark kepada romcom terkini Malaysia). Menggunakan tajuk bahasa Inggeris, tetapi tidak pula rasa keurbanannya seperti filem dari Red Film (Pisau Cukur, Manisnya Cinta di Cappadocia etc).  Jika sebelum ini, Nadiya dalam Jejak Warriors tidak menonjol yang bukan salahnya, watak Triz kali ini betul-betul dijiwai dan Triz memang milik Nadiya. Razak yang pada mulanya tak pandang akan Triz, kita akan percaya bahawa mereka tidak akan bersatu. Razak seakan meneutralkan keadaan setelah Triz yang lebih 'bising'. Kita lihat, Triz bercita-cita menjadi penulis tapi tidak berjaya malah hanya bekerja di call centre dan Razak seorang doktor tetapi playboy selalu mendapat nasihat perihal wanita dari Sulayman (Zain). Muncul pula Azman (Azhar Sulaiman) memberi malapetaka kepada Triz, dan dia bertuah kerana teman-teman menjadi pendorong yang sejati.

Filem ini banyak bermain gaya suntingan perbualan pihak kawan perempuan dan kemudian pihak lelaki berselang-seli bagi menggambarkan sisi mereka dan juga kontra antara mereka. Filem ini menegaskan gosip memang menjadi makanan setiap hari. Ini sesuatu yang kurang manis di balik komedi ini yang membawa happy ending. Paling kuat di sini adalah bukan Nina (Rita Rudaini) yang busybody menghebahkan kepada rakan-rakannya, sebaliknya Sulayman suaminya yang bergosip tetapi offscreen akan perbuatannya itu kepada Razak. Subplot pula, Tiha dan Ayah Chik juga menjadi point best, bukan tangkap muat. Ah, rindu lakonan Anne Ngasri. Apabila PF menonton trailer filem ini berasa sangsi untuk menonton, tetapi track record penulisnya buat PF terus melangkah ke pawagam. Cuma Penunggu Istana arahan pertama Wan Hasliza tak sempat menonton. Selalu kita berasa kecewa dengan trailer yang menipu, tetapi ini sebaliknya.


20 Oct 2015

River of Exploding Durians : Adunan 3 Rasa



Arahan : Edmund Yeo
Genre : Drama
Tahun : 2014
Rating : 4/5


Filem debut Edmund Yeo ini mencipta sejarah tersendiri kerana ia merupakan filem Malaysia pertama memasuki kategori utama Festival Filem Tokyo ke 27, semak di sini. Walaupun mewakili negara, PF tak pasti adakah filem ini mendapat 'restu' Finas kerana dikatakan ia tidak akan ditayang di Malaysia atas sebab isu sensitif dalam filem ini. River of Exploding Durian (RED) ini boleh dikatakan mempunyai 3 cerita berasingan yang bersambung - tanpa segmen. Kisah sekumpulan pelajar tingkatan 6, Ming yang jatuh cinta dengan Mei Ann menghadapi konflik apabila ayah Mei Ann ingin mengahwinkannya dengan orang yang lebih tua. (Ming tidak sekelas dengan Mei Ann).

Cikgu Lim (pelakon Taiwan) mengajar sejarah turut menjadi kepala kepada aktiviti sosial menentang pembinaan 'rare earth plant' yang bakal mengancam penduduk serta pencemaran alam sekitar. Cikgu Lim dibantu oleh anak murid kesayangannya, Hui Ling dalam membuat petisyen tersebut. Dalam masa yang sama Cikgu Lim mengajar sejarah meminta anak muridnya membuat pembentangan berkumpulan tentang peristiwa sejarah atau hero yang tak didendang dengan objektif supaya mereka ingat peristiwa yang telah dilupakan. 

Pelakon Koe Shern (kiri) diambil dari 'jalanan'
Kisah 1: Ming yang mengejar cinta Mei Ann. Kisah remaja ini banyak babak yang memikat. Antaranya, babak di sampan dan air mengalir tenang tidak setenang hati Mei Ann dan paling disuka babak dalam bas mereka melarikan diri menaiki bas lama ke KL (jenis tingkap sliding ke bawah) sambil Mei Ann bermonolog. Ini adalah sangat cantik kerana objek bas itu dalam dunia moden KL. Ada ketikanya dalam perjalanan mereka di hutan yang basah dan mereka sedar bahawa keputusan mereka itu silap. Namun, babak askar yang membakar babi tidak difahami. Sebenarnya, pada sesuatu peringkat tontonan, PF mencari makna judul filem ini. Yang ada hanyalah imej kulit durian dibakar dan Cikgu Lim menjemput Hui Ling makan durian. PF kena gali dalam lagi nampaknya. 


Kisah 2: Cikgu Lim memberi tugasan kepada anak murid seperti yang dinyatakan awal tadi. Tidak silap, ada 3 kumpulan bercerita tentang beberapa tokoh dan peristiwa sejarah iaitu di Thailand, Filipina dan lagi satu Vietnam jika tak silap. Seperti imej Malaysia sebenar, mereka hanya bercakap mandarin dan ada seorang pelajar Melayu dan guru Melayu yang berbahasa Melayu. Kadang-kadang sakit hati juga sebab mereka tidak pun mengingat peristiwa sejarah Malaysia untuk diceritakan kepada kelas. Adakah silibus sejarah STPM membosankan? Adakah pengarah Edmund ingin menyampaikan generasi muda Cina dinegara ini telah lupa atau sengaja buat lupa? Benda ini subteknya boleh saja ditafsirkan sebagai orang Malaysia lebih agungkan budaya ataupun muzik luar. tetapi permukaannya tu, iaitu sejarah lebih membuat rasa pedih sebagai melupakan asal usul tanah sendiri. Akhirnya, jalan selamat dipilih oleh pengarah apabila Guru Besar menyelamatkan 'keadaan'.

Babak yang cantik - isi durian (kuning) dan 
kulit Durian (hijau) yang 'bertutup' kerana tak mahu dicemari

Kisah 3: Alam sekitar mula tercemar. Di sini agak kabur kerana tapak rare earth plant dalam pembinaan tetapi air sungai mula tercemar. Babak seperti gambar di atas (juga poster filem) antara yang tercantik dalam filem ini dengan lighting dan suasananya. Cikgu Lim sangat tekad dalam perjuangannya. Cikgu Lim tidak berdialog dengan Pengurus tapak Projek (Azman Hassan) sedangkan Azman bercakap bahasa Melayu. Tekad cikgu Lim yang berani akhirnya membawa kepada padah kepada orag lain sebelum padahnya lebih ramai. Dia sendiri telah 'mencipta sejarah'. Bak kata dialog dalam filem ini, sejarah itu adalah 'perubahan', 'bermulanya sesuatu yang baru', dan satu lagi PF lupa. RED suatu kisah yang berani dicampur dengan klise cara Edmund. Walaupun baru pertama kali mengarah feature film beliau telah menunjukkan taring [sebelum ini filem pendek Kingyo (2009) dan Inhalation (2010)]. Jika beliau ingin 'berjaya' di Malaysia rasanya perlulah mengikut jejak Liew Seng Tat, James Lee atau mungkin Woo Ming Jin, senang cerita ingin memasuki aliran perdanalah. Jika tidak, mungkin bakal the next Tsai Ming Liang ataupun Ho Yuhang.


7 Jul 2015

Rigor Mortis, Fargo & Silent Light


Arahan : Juno Mak
Genre : Seram
Tahun : 2014
Rating : 3.5/5


Filem homage kepada filem seram Hong Kong ini iaitu pontianak lompat-lompat kadang-kadang ia seperti filem taraf rendah. Selepas itu macam filem 'sesuatu'. Ia selang-seli. Tak pasti kenapa pada sebahagian tempat ia nampak cheap. Tak tahu nak kata macam mana, mungkin PF sendiri yang terasa begitu. Terlalu banyak cgi sudah tentunya membawa hasil yang tidak seram tetapi jalan cerita yang baik sebenarnya yang ditekankan dan R.Mortis tiada jumpscare langsung tapi itu bukan masalah besar jika ceritanya best! Dan dapat merasakan konsep begini dalam filem Penanggal (Ellie Suriati) dan Claypot Curry Killer (James Lee).




Arahan : Joel Coen
Genre : Drama
Tahun : 1996
Rating : 4/5


Semasa sekitar tahun 1996 PF kurang mengikuti filem luar. Cuma filem yang ditayang di TV saja pada zaman-zaman tu untuk ditonton. Pernah suatu ketika PF terjumpa kembali konon-konon diari yang ditulis semasa tingkatan 5. Nak tau apa cita-cita yang ditulis kat situ? ..."filmaker". Hahaha. PF pun tak sangka pernah tulis benda tu sebab masa jumpa diari tu memang dah lupa. 

Sebenarnya masa itu hati memang membuak nak ke panggung tapi masih takut-takut lagi, maklumlah duduk kampung dan tiada kawan yang gemar menonton di pawagam. Jadi, bila terjumpa filem Fargo ini rupanya adalah karya adik-beradik Coen pada tahun berkenaan. Pengalaman tontonan mcm tiada keistimewaan pada mulanya dan tercari-cari kehebatan sehingga dapat 8+ point itu. Baca Roger Ebert fahamlah kenapa ia dapat sebegitu. Ilham dari kisah benar menantu yang cuba dapatkan wang tebusan dari bapa mertua kaya dgn merancang penculikan isterinya. Heroin pula seorang polis iaitu ibu mengandung. Idea pelik tapi hasilnya menarik.




Arahan : Carlos Reygadas
Genre : Drama
Tahun : 2007
Rating : 3.5/5



Kisah sebuah keluarga di pedalaman Mexico. Ketua keluarga (Johan) menyara 6 orang anak dan isteri sebagai petani. Senang saja. Si suami menjalin hubungan dengan perempuan lain dan hal ini diketahui oleh ayahnya, isteri (Esther) dan rakannya.

Filem slow cinema pada perkiraan PF pada tahap 2/3, (kalau tahap 1 tu maha slow) ini banyak menayangkan shot kerja-kerja harian/aktiviti si pelakon, e.g kegiatan menuai pokok jagung kering dgn mesin, sekeluarga mandi di kolam, doa sebelum makan, perjalanan dalam kereta - windscreen view yang semua 'bercerita mengambil masa' kita yg kadang-kadang tiada point. Banyak contoh slow cinema bermain dgn cara begini yg perasan seperti filem Karaoke (di kilang kelapa sawit), Taste of Cherry (aktiviti bajak mengorek pasir) dan bnyk lagi.

Sekarang, tinggal si suami bagaimana untuk tangani permasalahan itu. Dalam meraba-raba tanpa sarikata BI (tq wiki), secara ringkas, ia tentang kepasrahan dan kemaafan. Boleh dilihat jam yang mati saat Esther mati dan dibaiki oleh bapa Johan bahawa Esther punya 'harapan' selepas itu. Sedangkan pula jam klasik lama tetap berjalan semasa sekeluarga makan di awal cerita membayangkan sesuatu.

Esther seorang yang memendam rasa dgn kelakuan suami terkadang nampak dungu. Itulah dia. Sedangkan Johan tidak garang malah penyayang, tetapi tiada apa dilakukan oleh Esther. Langit malam dan bintang, fajar dan senja di awal dan akhir filem merupakan hal biasa di mana umat manusia menjalani kehidupan yang serupa, dalam diam kita sendiri mengetahuinya.


2 Jun 2015

C'Marba: Gamatisme, Murmur Of The Heart, Close Up & A Girl Walk Home Alone At Night,


Arahan : Hitler Zami
Genre : Seram, Psiko
Tahun : 2015
Rating : 1.5/5


Kau rasa bila pawagam takde orang beli tiket langsung, orang pawagam guna taktik macam mana? Dia buat la dummy 2 seat dah dibeli orang terpapar kat skrin tu, tapi sebenarnya takde pun. Jadi, cuma kita sajalah yang tengok dalam panggung sebesar alam tu. Ya-ya lah kita tunggu dua orang tu masuk cepat, sudahnya takde pun. Kahkahkah kena tipu.

Banyak yang tak kena dengan filem ni. PF mula-mula ada masalah dengan latarnya iaitu kolej seni yang guna seakan banglo siap ada kolam renang, bukan macam bangunan kolej-kolej biasa yang kita tengok tu. Manalah tahu memang ada kolej seni macam tu kan, mungkin PF duduk dalam tempurung (Ok2, susah nak shoot dekat kolej sebenar; mendapat izin dsb nak-nak citer seramkan?). Tak kisahlah kolej yang dipaparkan adalah diluar imaginasi PF, kira hebatlah dengan boleh buat maksiat sesuka hati, bilik tidur pelajar wanita boleh diintai senang-senang dari sebelah kolam renang?! OMG.. dan pak guardnya cuma seorang saja. Cameo artis undangan yang... huh. Sebenarnya semua ini mengganggu dan hanya ketika Zara (Nabila Huda) tunjuk belangnya saja PF boleh layan movie ni. Jadi, perut ibu mengandung itu adalah keratan rentas? Nampak macam mulut tempayan, patutnya tak perlu nampak keras sebegitu. Kredit lakonan Nabila dan Syazwan Zulkifli. Orang kata kalau kulitnya buruk, tak sanggup nak 'makan isinya'. 


Arahan : Sylvia Chang
Genre : Drama (Taiwan)
Tahun : 2015
Rating : 3.5/5

Secara ringkasnya ia berkisar drama keluarga, ibu bapa berpisah dan membawa anak mereka ketika kecil. Anak lelaki ikut bapa, anak perempuan ikut ibu. Dan apabila dewasa, kedua-duanya terpisah dan membawa haluan masing-masing. Penceritaan filem ini adalah lebih kpd ketika mereka dewasa, hanya ada imbas balik ketika mereka kecil.

Kedengaran biasa tapi pembawakannya bukan sewenang-wenang dan amat cermat kerana ia disaduri dengan simbolik kisah dongeng oleh ibu kpd anak2 mereka dan ayat-ayat puitis semestinya berarus perlahan. Apa yang buat ia menarik adalah kita tidak disogok dengan jalan cerita yang boleh ditebak di tengah-tengah. Dan boleh dikatakan ia janggal dan tak keterlaluan dilabel sbg melawan arus lalu membawa kepada pengakhiran yang (rahsia...) kepada 2 tunjang cerita (ia bukan omnibus). Ini kerana tumpuan asal cerita adalah kpd hubungan Mei (pelukis) dan kekasihnya seorang boxer yang tak menyinar dan usaha anak lelaki iaitu Yu-Nan mencari adik perempuannya itu yang dibuat "tanpa sedar" kerana Yu-Nan pun bukan bersungguh. 

Walau pun terdapat unsur kebetulan dan agak mudah, namun semua itu bolehlah dimaafkan dengan cara-cara penyampaianya cerita di sebelumnya - dan terdapat 2 adegan besar yang PF suka. Diulang sekali lagi, terasa janggal kerana ending filem ini bukan dijangka setelah 'usaha' plot tak memberi idea ke arah itu. *Jika ini filem Malaysia, PF beri 4/5 :)


Arahan : Abbas Kiarostami
Genre : Drama (Iran)
Tahun : 1990
Rating : 4.5/5

Antara karya terbaik Abbas Kiarostami. Kalau nak baca ulasan yang bagus pasal filem ini, baca DI SINI dan beberapa ulasan filem lain yang membuka mata.



Arahan : Ana Lily Amirppour
Genre : Drama (Canada/Iran)
Tahun : 2014
Rating : 4/5

Arahan orang Iran Amerika iaitu Ana Lily Amirpour sangat unik bila mana penggambaran di California tapi berbahasa Iran. Disemat sebagai filem Pontianak Iran pertama bercitarasa barat. Visual yang memikat sepanjang menonton filem hitam putih ini dan bukannya keseraman. Anda boleh rasa seperti sentuhan Jim Jarmush (Only Lovers Left Alive). Entah kenapa PF merasakan "filem Iran yang tak perlu bersentuhan/berpeluk pun boleh menghasilkan filem yg berkualiti" dah tak boleh digunapakai. Apatah lagi nampak nenen. Hahaha.



29 Apr 2015

C'Marba: War Witch, Song of The Sea, Tangerines, Pather Panchali & Silent Souls.



WAR WITCH
Arahan : Kim Nguyen (Canada)
Genre : Aksi/Drama
Tahun : 2012
Rating : 4.5/5


Oh my! Filem ini sangat best! Semasa peperangan civil di Afrika, Komona (perempuan) dipaksa untuk menyertai suatu gerakan seakan gerila dan dipaksa membunuh ibu bapanya. Dia yang memiliki deria keenam bagi mengesan sesuatu menjadi orang harapan ketua pengganas Great Tiger (lebih kurang macam tu la). Perjalanan hidup Komona sangat tragis. Dia kemudian lari daripada pasukan tersebut dan berkahwin dengan Magician iaitu rakan 'seperjuangannya' yang juga seorang albino kulit hitam. Di sana terdapat komuniti albino sebegini dan hidup bermasyarakat. Jangan anggap ini dipenuhi dengan filem perang, hanya sedikit keganasan tetapi perjalanan hidup Komona sebagai kanak-kanak Afrika yang terpaksa menempuh kesulitan dalam negaranya. Ada beberapa babak yang menyayat walaupun tiada dialog seperti imej-imej kain guni yang tergantung apabila Komona pulang semula ke kampungnya dengan imej bekas lubang tembakan ke ibu-bapanya semasa di awal filem. Komona sebenarnya menjadi narrator sepanjang filem berlangsung. Hantu imaginasi oleh Komona bukan cgi malah yang nyata, cukup memberi gambaran jelas dari mata Komona. Berjayakan Komona lari dari pasukannya dan bagaimana hidupnya apabila berkahwin dalam usia belasan tahun itu? 



SONG OF THE SEA
Arahan : Tomm Moore (Ireland)
Genre : Animasi
Tahun : 2014
Rating : 4/5


Jarang kita terbuai dengan filem animasi serius. Filem ini syahdu. Jika anda sudah bosan dengan animasi hollywood mainstream yang lucu memanjang, inilah filemnya. Apatah lagi ianya bukan dalam bentuk 3D, jangan skeptikal. Dengan lukisan-lukisan yang cantik dalam filem anda akan terleka dengan nyawa filem yang dipegang oleh adik beradik Ben dan Saoirse (sebut Ser-shia). Filem ini berdasarkan kisah mitos selkie dari Ireland.



TANGERINES
Arahan : Zaza Urushadze (Georgia)
Genre : Aksi/Drama
Tahun : 2013
Rating : 4.5/5


Ini satu lagi filem yang intense. Intense berlaku dalam rumah Ivo seorang warga emas yang menetap di pedalaman Abkhazia (Georgia) yang menyelamatkan 2 orang puak yang bertelagah semasa perang di Abkhazia (1192-93). Ivo menyelamatkan Ahmed askar Chechen dan Niko askar Georgia yang tercedera dalam kejadian tembak-menembak. Bagaimana Ivo menyelesaikan masalah musuh yang berada dalam satu rumah dan toleransi menyebabkan mereka berdua saling melindungi dikemudiannya. Kejadian yang berlaku 'dalam rumah' itu seakan berlaku 'dalam negara' yang berkonflik dan bagaimana ketua negara menyelesaikan konflik tersebut dengan bijak dan berlatarbelakangkan hasil ekonomi (limau) tersebut. Bukan sahaja konflik 'dalam rumah' malah ada lagi konflik 'di sempadan' yang boleh dilihat korban-korban kematian di halaman rumah dan luar pagar rumah Ivo. Jelaslah filem ni mempunyai lapisan kedua.

Dalam filem ini terdapat dialog dari Ivo (jika tak silap), berkata 'filem adalah penipu besar' merujuk kepada van yang tidak meletup apabila jatuh ke gaung, yang kebiasaanya meletup dalam gambaran wayang-wayang komersial.



PATHER PANCHALI
Arahan : Satyajit Ray (India)
Genre : Drama
Tahun : 1955
Rating : 4.5/5


Filem yang tidak perlu pendahuluan ini sudah ramai yang perkatakan. Ianya menjadi satu filem wajib dari India jika anda ingin menyelongkar sejarah filem India. Ianya berkenaan kelahiran, kematian, budaya dan masyarakat selain teknik-teknik penggambaran oleh Satyajit. Keluarga miskin Hari yang mempunyai sepasang anak Durga dan Apu, tinggal di rumah dari tinggalan dalam kawasan hutan. Dari bacaan filem ni ambil masa 3 tahun kerana masalah kewangan. Dan Satyajit dapat inspirasi dari filem Bicycle Thieves (1948) di mana pelakonnya adalah orang biasa dari lokasi tempat filem itu dijalankan. Ini dapat disaksikan dengan watak janda tua (kakak Hari) seakan 'tidak berlakon' dalam filem ini.

Suatu perasaan lega/beban dah lepas kerana sudah menontonnya sebab selalu terbaca dari laman web filem yang ianya wajib ditonton. Sebagai penggemar filem, ada tak rasa perasaan sebegitu? Filem ini merupakan salah satu trilogi Apu (anak lelaki Hari seperti gambar dalam poster) yang kemudian Satyajit membuat filem:

Aparajito (Unvanquised) - 1956 
Apu Sansar (World of Apu) - 1959



SILENT SOUL
Arahan : Aleksei Fedorchenko (Rusia)
Genre : Drama
Tahun : 2011
Rating : 3/5


Filem ini sesangatlah mudahnya. Andaikan budak balik sekolah terjatuh aiskrim dan mengambilnya semula lalu balik terus ke rumah tapi buatlah arthouse sikit dan masukkan adat-adat yang perlu. Sinopsis, suaminya tak mahu org lain tahu isterinya mati dan ajak pekerjanya bakar mayat isterinya di suatu tempat. Kiranya, dari dia lapkan mayat sehingga perjalanan ke tempat mayat dibakar.Tiada tekanan apabila menonton filem ini. Kesedihan sang suami ditunjukkan neutral. Setakat ini, filem Rusia yang ditonton dikategorikan dalam arthouse. Mungkin satu hari nanti akan cuba menonton satu filem mainstream dari negara ini.

*Filem Rusia lain yang ditonton baru-baru ini adalah Leviathan tapi tak mampu nak beri komen pasal filem ni.


10 Apr 2015

Nightcrawler, Mr Turner & Force Majeure


NIGHTCRAWLER
Arahan : Dan Gilroy
Genre : Aksi
Tahun : 2015
Rating : 4/5


Apa yang PF patut katakan, filem ini antara yang terbaik pernah ditonton PF pada tahun ni (ya, PF sedar banyak filem yang belum tengok terutama keluaran semasa!). Nasib baiknya filem ini kerana, jalan ceritanya bukan tunggal. Maksudnya, cerita-cerita dia menjual klip-klip yang dirakam bukan berdasarkan satu cerita panjang untuk keseluruhan filem ini. Pembangunan cerita dibangunkan satu-persatu (oleh klip-klip yang dijual ke stesen TV) sehingga dia berjaya meyakinkan Nina, yang kerja itu adalah jiwa Lou Bloom. Sehinga akhirnya, ia berjaya dibuktikan dan kita percaya Lou sangat cintakan kerjayanya mengatasi keselamatan diri. Oh well, askar pun begitu. Dan Lou mengajar orang yang kita tidak percaya supaya jangan pertaruhkan nasib ke atasnya.



MR TURNER
Arahan : Mike Leigh
Genre : Drama (UK)
Tahun : 2015
Rating : 3/5

Ada beberapa filem berkenaan lukisan dan pelukisnya (biografi). Seraphine, The Best Offer dan lain-lain yang mungkin sudah lupa. Mr Turner (Timothy Spall) yang menang Pelakon Lelaki Terbaik di Cannes 2014, antara penyebab utama PF menonton Mr Turner. Tak banyak yang dapat PF katakan berkenaan Mr Turner. Alunan Seraphine dan Mr Turner punya kesamaan. Tak kuat sebenarnya untuk kita lalui gambar-gambar mereka dalam filem. Adakah kehidupan pelukis seharusnya begitu? dan kita di ajak untuk monoton dalam melayarinya? Mr Turner agak mendatar keseluruhan filem. Dalam Mr Turner, kita boleh perasan dengan tangkas bahawa Mr Turner yang gemar melukis menghadap tingkap dan setiap itulah cahaya matahari tajam memancar ke dalam ruang rumah. Ya, banyak kali ketika dia melukis di kebanyakan babak. Malah pembukaannya, sudah diberitahu dengan imej matahari senja yang besar dan penonton harus berjaga mengenai ini. Apatah lagi kesudahannya, imej matahari dan bersilhouette tubuhnya seakan lukisan-lukisannya yang jingga patut disedari oleh kita dalam memahami karya lukisan Mr Turner.




FORCE MAJEUR
Arahan : Ruben Ostlund
Genre : Drama (Sweden)
Tahun : 2015
Rating : 3.5/5

Sebuah keluarga warga Sweden yang bercuti 5 hari di pergunungan di Perancis. Isu yg dibawakan adalah persoalan si isteri tentang rasional si suami meninggalkan keluarga pabila bencana/ujian menimpa keluarga mereka. Dalam hal yg lebih besar lagi adalah tanggungjawab suami dalam rumahtangga. Si isteri tak puas hati atas tindakan diluar kawalan suami. Avalanche (runtuhan salji) yang terjadi pada hari kedua memberi peluang kepada penonton utk merasai kebahagiaan sempurna keluarga Sweden ini dihari pertama sebagaimana di lihat dalam katalog IKEA.

Avalanche yg terjadi merupakan metafora kepada sikap dari sesetengah kita (di sini Tomas) yang pabila timbul sebarang masalah yang kecil masih berdiam diri dan hanya melihat, dan pabila sudah besar baru nak gelabah. Scene avalanche itu katanya real dari British Columbia, Canada dicampur dengan green skrin menjadikanya ia shot yg popular di Cannes 2014. Menikmati panorama-panorama yang indah melalui sinematografi yang diberi (ada ketika ia umpama menonton sukan Olimpik musim sejuk) tetapi tidak selari dengan dark comedy (quote dari Huffington Post) yang menjadi tunjang filem ini (masih cuba memahami erti dark comedy)