TOMBIRUO (2017)
Seth Larney
Aksi
4/5 (Rating dan 'XXX' di bawah akan didedahkan apabila ia mula ditayangkan)
- Dikatakan pre-produksi film ini mengambil masa yang lama. Sejak 2008 lagi Layar Sunan telah berusaha mencari dana dan tahun 2017 barulah impian tersebut tercapai. Astro Shaw, Ideate Media dan Grup Buku Karangkraf bergabung bagi menghasilkan filem ini dengan menelan belanja sebanyak RM6 juta.
- Tombiruo: Penunggu Rimba terbitan Grup Buku Karangkraf diterbitkan pada 1998 dan telah diulang cetak sebanyak 18 kali kerana permintaan yang tinggi. Tombiruo: Penunggu Rimba adalah siri pertama dalam triloginya, yang kedua novel Semangat Hutan dan diikuti Tombiruo Terakhir.
- Bukan semua keseluruhan cerita disampaikan dalam filem kerana medium yang berbeza. Novel menceritakan empayar yang luas untuk kepuasan pembaca. Namun terasnya masih dipertahankan. Skrip bagi filem di olah oleh Yasmin Yaacob dan Choong Chi-Ren. Apabila diadaptasi ke filem, maka ia adalah sebuah karya baru yang menuntut pemikiran baru.
- Diarahkan oleh oleh Seth Larney (penolong pengarah Andre Chew) yang pernah terlibat dalam The Matrix Reloaded, The Matrix Revolutions, Star Wars: Revenge of The Sith, X-Men Origins: Wolverine, Superman Returns dan The Chronicle of Narnia: Voyage of The Dawn Trader.
- Nasir Jani sebagai pengarah bersekutu ditugaskan untuk memberi tumpuan kepada mutu lakonan barisan pelakon dan menjaga sentimen tempatan serta memastikan skrip dapat diterjemah ke visual dengan sempurna.
- Lanskap lokasi di Sabah yang menarik serta dialek Kadasan-Dusun mampu mencerminkan identiti yang kuat sebagai filem Malaysia bergabung dengan aksi-aksi komersil ilham Seth Larney juga adalah ramuan lain tarikan bagi tujuan pengedaran filem ke pasaran antarabangsa.
Terdapat spoiler: baca atas risiko sendiri.
Permulaan Tombiruo sangat mengagumkan dengan CGI dan aksinya cukup membuat mata terpegun dengan kisah bermula Tombiruo lahir ke dunia. Setelah keluar panggung, satu yang dapat PF katakan, ia jelas-sejelasnya bahawa Seth Larney dapat memberi kepuasan kepada naskhah ini terutama dari segi aksi, mood dan pacing filem. Dengan pendekatan filem serius, Larney berjaya mengangkat Tombiruo sebagai penghuni rimba yang terasing dek berwajah bukan manusia. Dia digambarkan bahawa ‘hutan memiliki Tombiruo’ lebih daripada ‘Tombiruo memiliki hutan’ kerana semangat hutan itu melindungi Tombiruo sedangkan Tombiruo tidak ‘memberi jasa’ kepada hutan seperti yang dipaparkan. Zul Ariffin sebagai Tombirou banyak melakukan aksi dari dialog, jadi lakonannya banyak bergantung kepada gerak tubuh. Mengikut pemahaman PF dari novel, Tombiruo ingin mengganggu usaha pembalakan haram tetapi dalam filem ia berkenaan dendam Tombiruo terhadap kejadian yang menimpa Pondolou, ayahnya. Mungkin ini jalan cerita yang dimampatkan atau diubahkan? Oh! Filem ini bukan seperti Tarzan seperti yang dianggap netizen melalui trailer kerana dia tak berkawan dengan haiwan pun! Lagi pula Tombiruo memiliki kuasa luarbiasa yang tidak pasti dari mana datangnya kuasa itu ( Mungkin ianya ada disebut dalam mantera bahasa Kadazan-Dusun dan penonton kena fokus dengan terjemahannya)
Walaupun babak berbicara, ianya tidak membosankan kerana wajah-wajah lama seperti Dato’ M.Nasir (Nasir Jani memanggil semula setelah Kembara Seniman Jalanan) dan aura nostalgia Datin Marlia Musa kembali menggam it mata penonton. Dengan membaca Tombiruo bahagian awal saja, PF dapat merasakan banyak detail dilompat dan hanya pembaca tegar dapat memahami latar watak dan asbab sesuatu perkara. Ini ada pro dan kontranya. Sebagai contoh latar belakang watak Baizura diceritakan panjang di awal novel tetapi Baizura hanya muncul di pertengahan/hujung filem dan ianya cenderung bersifat antagonis walhal dalam novel dia sebaik umat bagi menuntut watak yang lebih dramatik dalam filem. Satu lagi kepuasan adalah watak monsuroi, nenek kebayan/bomoh yang mendiami hutan. Monsuroi dalam Tombiruo seakan-akan extended version nenek kebayan filem Puteri Gunung Ledang, dan ianya boleh dikatakan paparan ' nenek kebayan' terbaik dunia mistik dalam filem moden tempatan. Kemunculannya beri semangat hutan ditambah dengan mantera dan kuasa tertentu. Nabila Huda sebagai Wan Suraya dilihat sebagai ‘watak baru’ yang dipegangnya sebelum ini sebagai penggoda, penjahat dan orang susah. Seperti ada aura melihat kelibat beliau sebagai wartawan seperti mana filem luar – kaitannya dengan Ejim.
Walaupun begitu, terdapat 2 perkara yang sedikit turn-off . Pertama, anda ingat filem seram XXXX? Terdapat seorang watak yang seakan membawa plot sama dengan ayah XXX, iaitu XXX. Wataknya tidak diketengahkan sangat tapi penting diakhir cerita dengan pemaparan flashback. Dari titik tolak ini membuatkan ending filem jadi seperti filem tersebut. Jadi, bukanlah filem terbitan XXX saja yang suka benda-benda begini. Nampaknya, pengolah skrip untuk filem Yasmin Yaacob dan Choong Chi-Ren tak terkecuali dari formula ini bagi versi Tombiruo (pembaca novel semestinya dapat tahu jika bahagian ini diubah bagi tujuan klimak). Berkenaan flashback, filem ni juga bergantung kepada elemen ini bagi merungkai banyak plot penting yang tak disentuh di awal-awal membawa kepada faktor kedua iaitu, ‘kebetulan’ yang datang ‘tiba-tiba’ dan sebagai penonton, kita persoalkan hubungkaitnya ‘kebetulan’ tanpa diberi bayang. Ianya seperti silap mata yang tak suka kita lihat.
Akhir sekali, babak klimak sangat memukau bagaikan aksi filem Matrix. Boleh dikatakan ia over dramatic bagi permusuhan Tambiruo-XY (ianya tidak salah, memandangkan ‘perbuatan’ XY yang lepas). Babak final act ini tidak tumpah seperti filem superhero melawan musuh agung. Kadang pula seperti mood menonton filem perang dengan latar muzik yang menggegar dan menaik semangat. Alangkah eloknya jika filem perang tempatan terkini mendapat sentuhan sebegini. Pada pendapat peribadi PF, Seth Larney menggunakan pengalaman di Hollywood itu dan ianya nampak perbezaan dengan filem aksi berskala besar Malaysia sejak kebelakangan ini. Jika diukur dengan nilai hiburan, ianya mengasyikkan. Syabas kepada keseluruhan team yang mengangkat novel ini ke layar perak! Disebalik aksi terdapat makna cinta dan hubungan kekeluargaan secara tidak langsung. Ada sesuatu yang menggembirakan peminat RAM di hujung filem. Nantikan.
No comments:
Post a Comment