Showing posts with label Filem Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Filem Malaysia. Show all posts

17 Oct 2018

Gol & Gincu 2




GOL & GINCU 2
UMI SALWANA OMAR

Setelah menonton Gol dan Gincu 2 (GG2) arahan pengarah wanita, Umi Salwana Omar ini boleh dikatakan tidak jauh beza dengan pencapaian filem Gol dan Gincu (GG- 2005) arahan Bernard Chauly. Jujur selepas menonton trailernya, admin tidak menaruh sebarang harapan yang tinggi. Walaupun sutradara bertukar tangan, ia tetap memberi impak kepada jenama Gol dan Gincu. Ditulis oleh Nadia Khan dengan idea asal Rafidah Abdullah, futsal dalam GG2 kali ini hanya sebagai subplot kepada cerita utama bagi Zakiah (Diana Danielle) dan Zakiah (Umi Nazeera, ya nama mereka sama tetapi perwatakan berbeza) mencari dana kewangan untuk rumah 3R, sebuah rumah perlindungan untuk remaja wanita yang bermasalah.

Umi dan Diana memberi persembahan yang jitu dan chemistry yang baik sebagai pelajar kolej yang berseteru pada mulanya kemudian bertukar secara semulajadi menjadi partner yang baik dan merancang dan melaksanakan satu projek rumah 3R sebagai balasan kepada masalah disiplin yang dihadapi mereka. 

Bergelumang dengan isu media sosial seperti instafamous dan bahananya, tidak lari dari kehidupan remaja naskhah kali ini sebagai mengikuti arus semasa. Gol dan Gincu 2 dianggap sebagai tanggungjawab serius yang diambil pembikin (Redfilms) terhadap isu yang lebih besar berbanding sisi femina dalam GG dan ianya tercapai yang dibuktikan diakhir filem dimana jiwa kesepakatan dan perhubungan yang erat dapat ditunjukkan. Penampilan khas ikon berpengaruh seperti Marina Mahathir, Tom Abg Saufi, model selebriti, sukan dan pereka fesyen terkenal lainnya membuatkan betapa seriusnya mereka dan mengubah filem ini menjadi lebih mahal dari segi komitmen dan perjuangan. Ternyata GG2 merupakan filem remaja terbaik setakat tahun ini dan admin tabik dengan kesedaran pembikin yang sedar akan kekosongan karya yang boleh menyuntik semangat atau inspirasi kepada yang lain dalam usaha membuat amal kebajikan selepas Qaisy dan Laila (2005). GG2 bakal ditayangkan pada 25 Oktober 2018.


2 Aug 2018

Akan Datang: Wheely



Kartun Studios di bawah KRU International kembali dengan Wheely di mana ia mengambil masa selama 4 tahun untuk disiapkan. Ia akan diterbitkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Inggeris. Korang tau tak, Wheely dapat pra-jualan ke lebih 100 buah negara? 8 orang alumni dari KRU Akademy turut menyumbang tenaga kerja dalam filem ini. Negara seperti US, China, Jerman, UK, Korea Selatan dan Rusia adalah negara yang mengedarkan Wheely. Kerja-kerja penerbitan yang dilakukan di Ipoh, Perak ini bakal ditayangkan di Brazil, Poland, Equador dan Iceland! 

PF sudah tonton versi Bahasa Melayu di mana Zizan Razak, Lisa Surihani dan Johan sebagai pelakon latar suara. Kalau versi BI pula ia dilakonkan oleh pelakon dari Malaysia, US dan Singapura. Walaupun begitu, Wheely bertemakan latar cerita orang dewasa yang mudah dinikmati dan bersifat universal. Mengikut khabar yang diperoleh, versi bahasa Inggeris lebih membezakan watak-watak di dalamnya yang dari berbagai negara tetapi tidak bagi versi bahasa Melayu. Namun, kedua-dua mempunyai kelebihan yang tersendiri. Gandingan suara Zizan, Johan seperti biasa mencuit hati dan mengiburkan. PF belum berkesempatan menonton Cars, jadi tidak dapat membuat perbandingan antara keduanya. 

Sinopsis: Wheely sebuah teksi yang berjiwa pelumba menyimpan hasrat untuk menjadi raja jalanan di Kota Gasket. Semasa bertugas, Wheely terserempak dengan bintang terkenal Itali bernama Bella Di Monetti dan jatuh hati dengan model golongan atasan tersebut yang cantik namun rendah diri. Sering berlumba di jalanan, dan dipandang rendah oleh golongan elitis, Wheely dan sahabat baiknya Putt Putt terpaksa berdepan dengan sindiket jenayah yang diketuai Kaiser iaitu sebuah treler gergasi yang menculik kenderaan-kenderaan mewah. 





1 Aug 2018

Review PULANG




PULANG (2018)
Kabir Bhatia
Drama/Pengembaraan
3.5/5 

PULANG, filem yang menelan belanja RM6 Juta ini mendapat sentuhan Pengarah, Kabir Bhatia yang dikenali handal mengait-ngaitkan saat manis disulam memori indah yang menggamit perasaan. Tidak hanya bergantung kepada kuasa cinta, pengarah bersungguh-sungguh menggembleng kepakaran pasukan produksi belakang tabir meliputi persediaan pra-produksi, pembangunan teknikal, pemilihan pelakon utama diiringi ratusan pelakon tambahan serta keseriusan menjana imej-imej memukau melalui teknik CGI yang mencecah nilai RM2 juta. Dengan saiz filem dan pasukan sebegini besar, sudah pasti jiwa penceritaan yang ingin disampaikan itu punyai berat yang membuatkan hati penonton bakal berbekas dengan pukulan emosi filem ini. Pulang mengisahkan tentang kesungguhan Che Thom menanti janji suaminya, Othman; seorang kelasi yang berlayar ke serata dunia - untuk pulang ke pangkuan keluarga biarpun sudah berlalu 3 generasi. Che Thom (Puteri Aishah) dan Othman (Remy Ishak) merupakan dua watak diilhamkan dari kisah benar yang menjadi pusat penceritaan kepada kisah cinta merentas zaman dan sempadan yang meruntun jiwa ini.

Semestinya, sesuatu yang baru bakal menambahkan lagi risiko sambutan penonton ke pawagam. Ini bukan mudah. Segala aspek perlu diambil kira termasuk busana, cara percakapan dan lokasi pada zaman tersebut. Kisah bermula sebelum zaman pemerintahan Jepun sekitar tahun 1940. Perit jerih menempuh hidup di lautan sebagai kelasi, hidup sang perantau dan kesungguhan untuk mengubah nasib diri pasti menjadi inspirasi kepada orang lain. Pulang menyaksikan berlalunya 3 generasi. Maka perubahan fizikal melalui pertukaran pelakon bakal berlaku terutama watak sedari kecil iaitu, Omar yang 4 kali tukar pelakon iaitu semasa kecil, remaja, dewasa dan tua. Manakala watak Thom (Puteri) hanya 2 kali, dan tidak ada pertukaran pelakon untuk watak Lum (Alvin) dan Othman (Remy). Terlintas di fikiran, adakah pembikinan CGI yang canggih untuk lokasi, tidak boleh dilakukan/guna kepada wajah-wajah Thom dan Othman yang menginjak tua? Kekangan ini termasuk Azrel Ismail yang terpaksa diganti dengan Datuk Jalaluddin semasa Omar tua. Adakah tiada pakar berkenaan ini atau isu masa dan bajet?

Pulang bermain dengan memori masa silam dan titik awal cerita adalah ingin mencari insan yang kehilangan setelah sekian lama dalam suntuknya masa. Suara Thom sebagai narator wanita berusia amat menarik perhatian kerana jarang suara mereka menjadi pencerita dalam filem. Bercerita dalam nazak, begitulah dia cuba melawan sakitnya sebagaimana Othman bertarung di lautan. Imbas kembali yang ingin disampaikan pada 45 minit pertama terasa perlahan dan mendatar yang diserikan dengan melodrama mendayu yang sinonim dengan Kabir Bhatia. Pada awal filem ini, kita fahami pembinaan hubungan yang dicipta antara Othman dengan Lum. Pun begitu, dalam keterujaan mengangkat filem ini ke takah yang tinggi, penonton mungkin berasa sedikit terganggu dengan beberapa persoalan yang timbul. Mengapa Thom hendak bercerita semua dan meminta Ahmad (cucu Thom) mencari suaminya, Othman ketika nazak? Mengapa Thom simpan terlalu lama ketika sihatnya? Mungkin ini yang terjadi dalam dunia nyata tokoh sebenar yang mengilhami filem ini yang kita tidak ketahui tetapi tidak pula diceritakan dengan jelas dalam filem. Ini belum lagi dikira dengan satu perbuatan Omar (Azrel Ismail/Datuk Jalaluddin Hassan) yang apabila dewasa setelah menjadi pelajar di London sehingga beliau nyanyuk yang membuatkan kita tertanya-tanya rasionalnya berbuat demikian berkaitan kehilangan Othman (saya tak nyatakan terperinci kerana spoiler). Tak pasti mengapa penulis skrip Mira Mustafa & Datuk Ahmad Izham Omar membiarkan persoalan-persoalan di atas.


Set lokasi Hong Kong yang menjadi publisiti utama semasa penggambaran filem ini tampak benar. Lokasi-lokasi lain pula menggerakkan cerita walapun ada antaranya (pelabuhan Okinawa, Madagascar, Pulau Jeju) disentuh hanya permukaan tetapi membuat kita percaya bahawa Othman betul-betul berada di tempat tersebut. Bayangkan ikan paus yang terlayar dan jarang-jarang ada dalam wayang kita, membuatkan mata terus terpaku. Set dalam kapal sangat meyakinkan dan memaparkan kehidupan dan bidang kerja kelasi cumanya tiada cerita khusus dalam kapal dipaparkan menyebabkan terasa sesuatu yang kosong di situ. Bercakap mengenai lakonan pula, semestinya produksi tidak salah memilih Remy Ishak setelah membuktikan dalam filem lebih kurang segenre, 29 Februari. Remy berjaya merautkan kedukaan seorang lelaki serta beban perasaan yang ditanggung selama ini. Perhatikan nanti gerak tubuhnya semasa di restoren dan rumahnya di Liverpool. Pembawaannya cukup mantap. Cuma latar Othman semasa di Liverpool tidak dijelaskan, bekerja sebagai apa? Kita tahu kehidupannya tidak berapa stabil berdasarkan hanya tempat tinggalnya. Persembahan para pelakon yang lain boleh dipuji iaitu Puteri Aishah yang pertama kali membawa watak heroin dan Alvin Wong yang selamba dan lain-lain. Cuma sedikit pelik, semasa Lum menyebut ganti nama “diorang”, adakah ganti nama itu telah digunakan pada zaman tersebut? Puteri Aisyah dalam segmen Di Balik Tabir mengatakan, Kabir sengaja tak mahu pelakonnya berbahasa baku untuk period sebelum merdeka. Mungkin sebab itulah perbezaan percakapan tidak berapa ketara antara 3 zaman ini (dikatakan dalam filem lama penggunaan bahasa baku dilebih-lebihkan). Pelakon tambahan pula berlagak semulajadi yang kebiasaannya pengarah kita sukar mengawal ramai pelakon yang bertindak di luar jangkaan.

Mengenali sentuhan Kabir Bhatia, penonton arif akan bahasa visual yang cuba dituturkan beliau lewat paparan di layar lebar. Kita teruja dengan bagaimana hubungan Thom dan cikgu ketika babak di tepi pantai. Thom dan cikgu menghadap ke pantai dan mereka dipisahkan dengan sampan besar di belakang dan kepala sampan ditengah-tengah. Lalu, Thom beralih ke 'bahagian' cikgu tetapi kepala sampan di tengah dibiar 'separuh skrin' seolah Thom boleh berpatah balik ke 'tempat asalnya' yang korang boleh rujuk pada penghujung filem berkaitan hubungan mereka. Sampan sebagai simbol kepada pelayaran kehidupan. Bagaimana jika sampan sebagai kenderaan untuk mencari rezeki telah tiada, i.e dijual untuk meneruskan kelangsungan? Begitulah Pulang bermain dengan analogi kehidupan yang menterjemah kisah keluarga Thom. Dengan keindahan lukisan kisah cinta, amat tepatlah lagu Layarlah Kembali (Aubrey Suwito & Ad Samad) melatari filem ini. Akan tetapi satu-satunya lagu era itu, Sayang Di Sayang memang tepat untuk mewakili zaman tersebut cuma sedikit terpotong-potong ikut babak tertentu mengakibatkan ia sedikit kaku dan pasti lebih baik jika ada tambahan latar klasik lain menghiasi dengan sewajarnya agar lebih feel pada zamannya.

Perkataan 'pulang' selalu bermain di bibir Thom. Kepulangan adalah satu yang amat bermakna kepada seseorang yang ditinggalkan. Apabila Othman menyatakan hasrat untuk pergi, Thom enggan melepaskannya asalkan suami ada di sisi kerana bukanlah harta yang didambakan. Namun, sesuatu yang dikesali apabila kepulangan yang ditunggu-tungu bukan suatu 'kepulangan' yang dinanti. Filem epik yang menggabungkan kisah kelasi kapal dan percintaan agung ini mesti disaksikan di layar lebar untuk kepuasan maksimum dari segi visual yang menjanjikan bahawa pelaburan yang dibuat adalah berbaloi.


Nafas Baru Hantu Kak Limah Tanpa Lupakan Nafas Lama



HANTU KAK LIMAH (2018)
Arahan: Mamat Khalid
Rating: 4/5
Komedi, seram

Terdapat sedikit spoiler namun tidak menjejaskan keseluruhan sinopsis. Jangan baca jika mahukan excitement yang lebih sehingga anda tonton sendiri.

1. Francais keempat Kg. Pisang setelah:

Zombi Kg. Pisang (2007)
Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)
Husin, Mon & Jin Pakai Toncit (2013)

dan sekuel ketiga bagi Hantu Kak Limah.

2. Gambar yang lebih terang dan cantik memberi gambaran baru bagi filem Mamat Khalid (MK). Ini disokong pula dengan tulisan kredit berwarna putih (adakah ini melanggar pantang?) yang amat jarang sekali filem seram memberi petunjuk bahawa ini adalah persembahan yang segar dari siri Hantu Kak Limah dan Kg. Pisang.

3. Lebih humor dengan keletah penduduk Kg. Pisang. Anda akan terbahak-bahak menyaksikan mereka dan watak baru, Khuda yang seakan berkarakter seperti seekor kuda yang sukakan perempuan yang lebih tua, watak guru silat muda, Solihin yang 'tidak berguna', dan Nayan dengan lawak Inggerisnya yang pasti korang akan pecah perut sampai kokak! Gambaran penduduk Kg. Pisang yang bermasyarakat dalam menghadapi permasalahan bersama dan aktiviti orang Melayu masuk hutan menangkap burung adalah nostalgia yang dikembalikan semula ke layar perak setelah Jibam (2017).

4. Jalan cerita yang baru. Ianya bukan 'just another hantu Kak Limah' atau berkesinambungan dari filem sebelumnya. Ia berkaitan cinta antara watak si mati dan watak hidup, tetapi ada kejutan di hujung cerita yang tiada gambaran langsung pada awalnya.

5. Watak Hantu Kak Limah ditonjolkan dengan lebih banyak babak. Ini salah satu yang menyumbang kepada 'nafas baru' siri Kak Limah. Berlebihan bukan bermaksud hilang keseraman, tetapi ditutupi dengan latarbelakang muzik seram yang perghh.. padu yang selalu kita dengar dalam filem seram luar. Tak pun, filem seram klasik. Terima kasih kepada skor muzik Zulkiff Headwind dan penata bunyi, Manop Janjarassku. Tahap kebagusan HKL naik setakah.

6. Sinematografi oleh Jack Rahmad yang jarang dilihat dalam filem M.K. Bukan tiada tapi kali ini lebih ketara. Banyak bermain dengan pencahayaan terutama dalam bilik dan di kilang arang itu sangat menawan! Terdapat babak pegun di mana 3 watak sedang duduk di kilang arang di waktu malam itu favorite PF. Akan tetapi, penggunaan lampu yang sangat terang dalam hutan dan sinaran lampu yang agak 'direct' dalam beberapa babak, kelihatan agak tidak natural juga.

7. Parodi kepada filem popular Thailand, Nang Nak dan homaj kepada filem Pendekar Bujang Lapok. Pasti korang akan dapat cam babak yang dimaksudkan bukan alasan korang untuk mengatakan M.K tiada idea. Ia ditambah dengan kreativiti M.K menjadikan filem ni penuh warna dengan watak-watak yang sedia ada berwarna.

8. Politik dalam HKL disentuh dalam bentuk satira dalam watak Yeh Sekupang (Allahyarham Rab Khalid) yang bercita-cita untuk menjadi ketua kampung dan Abe Yie (Sabri Yunus). Lihat saja Abe Yie memakai baju biru tua dan putih mewakili politik siapa? Perkataan 'bangsa' pun menjadi sebahagian dialog tau!

9. Dalam perjalanan meniti naratif, PF khuatir ianya tersasar. Ya, ada sedikit, tetapi tidak pergi terlalu jauh dan M.K segera u-turn ke landasan asal. Mungkin ini perasaan PF saja di mana babak lagu Hatiku Luka Lagi oleh Black Dog Bone yang tiba-tiba masuk, padahal sebelumnya babak cemas. Kesasaran juga adalah babak hantu Jepun yang bangkit dari kubur tetapi tidak berlebihan.

10. "Nafas lama" - terdapat pengulangan babak dari filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mungkin sebagai resepi komedi dimana dahulunya berjaya membuat penonton berdekah. Adakah ia memberi impak yang sama kali ini? Hubungan Eton (Uqasha) dan Awie juga mengulang formula lama tetapi tetap manis dek keayuan Uqasha Senrose dan sebagai love touch dalam filem.

11. Garapan tentang dunia bunian yang tidak janggal dan menjadi. Malah penampilan Mus May amat berjaya dan kelakar pulak tu. Cayalah! Penampilan bintang dan selebriti wanita yang tidak sia-sia dan cara kemunculan juga 'ada style' tetapi tetap memberi suasana seram.

Jadi, adakah HKL setaraf dengan Pee Mak atau anda boleh kaitkan dengan filem-filem komedi seram lain? PF rasa sekuel kali ini berjaya dan mengembalikan populariti Kak Limah kalau tidak melebihi yang pertama, ianya sama level dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Saksikan pada 9 Ogos nanti.


Akan Datang: HANTU KAK LIMAH



Sekuel Hantu Kak Limah kembali lagi menghiburkan penonton Malaysia dengan lawak terbaru "ketawa tahap mengokak". 

Sinopsis: Hussin (Dato’ Awie) kembali pulang ke kampung setelah tidak lagi mencari rezeki di Singapura. Dia bekerja bersama sahabat baik iaitu Khuda (TJ Isa), Wani (Sharwani) dan Yeh Sekupang (Allahyarham Rab Khalid) di kilang arang. Sementara itu, Kak Limah (Delimawati) baru berkahwin dengan sahabat Hussin yang muda dan kacak iaitu Khuda. Cinta mereka digambarkan sebagai cinta sejati.

Namun, baru sahaja menikmati kebahagiaan rumahtangga, Kak Limah telah ditemui mati dalam keadaan yang menggerikan. Ketika itu, Hussin, Khuda dan Wani pergi mencuba nasib memikat burung di hutan. Hussin pula mengambil peluang untuk bertemu dengan gadis cantik (Uqasha Senrose) yang Hussin sedang dilamun cinta. Tetapi mereka hanya berjumpa di hutan sahaja.

Apabila Hussin, Khuda dan Wani pulang ke rumah, Kak Limah ada untuk menyambut kedatangan mereka dengan bubur keladi. Sementara itu, Yeh Sekupang, selaku Menteri Informasi di Kampung Pisang, sedang menguruskan jenazah Kak Limah dan memberi tugas kepada Nayan (Ropi) untuk menjaga jenazah sehingga anak Kak Limah, Musalman (Pekin Ibrahim) sampai dari Kuala Lumpur.

Genre Filem : Komedi Seram
Pengarah : Mamat Khalid
Penerbit : Astro Shaw & Infinitus Gold
Bahasa : Bahasa Melayu
Format : Film, HD
Tarikh tayangan : 9 Ogos 2018
Klasifikasi : P13
Durasi : 110 minit
Waktu Penggambaran : 19 Oktober 2017 – 10 November 2017
Jumlah Hari Penggambaran : 22 Hari


BARISAN PELAKON

Dato’ Awie sbg Hussin
Delimawati sbg Kak Limah/Hantu Kak Limah
Rab Khalid sbg Yeh Sekupang
TJ Isa sbg Khuda
Sharwani sbg Wani
Ropie sbg Nayan
Zul Ariffin sbg Encik Solihin
Uqasha Senrose sbg Zaitun
Pekin Ibrahim sbg Musalman
Zma Deen sbg Che Nah
Mus May sbg Bapak Bunian
Erra Fazira sbg Erra Fazira
Dato’ Seri Vida sbg Dato’Seri Vida
Vea Kisil sbg Noraini
Jue Aziz sbg Kamalia
Khairul Nizam sbg Mok
Khalid Adam sbg Adam
Sabri Yunus sbg Abe Yie

TUNGGAK UTAMA

Dipersembahkan oleh : Astro Shaw & Infinitus Gold
Penerbit Eksekutif : Khairul Salleh Anwar, Gayatri Su-lin Pillai, TP Lim
Penerbit : Gayatri Su-lin Pillai
Penerbit Penyelaras : Saiful Reza Shukor
Pengarah : Mamat Khalid
Skrip : Mamat Khalid
Cerita Asal : Mamat Khalid
Lakon Layar : Mamat Khalid
Pengarah Fotografi : Jack Rahmad
Penyunting : Amen Khalid
Penolong Pengarah : Razif Rashid
Muzik Skor : Zulkiff Headwind
Penata Bunyi : Manop Janjarassku
Penata Seni : Kamarulzaman Ishak
Penata Busana : Natasha Zamani
Penata Tatarias : Ella Sandera
Jurugambar : Hannan Ashrawi
Pengurus Produksi : Nazrin Rahim

18 Jul 2018

Akan Datang: PULANG



PULANG mengisahkan Othman yang berasal dari Serkam, Melaka yang berlayar ke serata dunia untuk mengubah kehidupan dan terpaksa meninggalkan isteri dan anak. Isterinya, Tom dana anaknya Omar tak putus harapan menunggu kepulangan Othman yang bertahun-tahun di perantauan. Kos perbelanjaan yang memakan RM6 juta kerana melibatkan 500 pelakon tambahan dan juga penggunaan imej janaan komputer (CGI). CGI yang berinovasi pula mengambil masa 2 tahun yang dilaksanakan oleh Basecamp VFX denga geran Finas sebanyak RM2 juta. Ternyata ia memakan kos yang tinggi kerana CGI memaparkan lokasi lautan selain lokasi dunia yang berbeza lagi meyakinkan iaitu, Hong Kong, Okinawa, Pulau Jeju Korea, Madagascar dan Liverpool. 

Filem ini juga menampilkan barisan pelakon veteran yang hebat, yang perpengalaman, juga pelakon baru. Pemenang Pelakon Terbaik & Pelakon Pembantu Terbaik (Anugerah Skrin yang ke-15 dan ke-21) Remy Ishak sebagai Othman, Puteri Aishah sebagai Thom, Azrel Ismail, Erwin Dawson, Dato’ Jalaluddin Hassan, Dato’ Rahim Razali, Syazuwan Hassan, Che Puan Juliana Evans, Sherry Al Jeffry & ramai lagi. Para pelakon juga, turut menghadiri kelas lakonan dari Puan Fatimah Abu Bakar bagi menjiwai watak masing-masing. Filem ini merupakan filem pertama Puteri Aishah ke layar lebar, sementara bagi Remy Ishak pula, ianya merupanya kali ketiga gandingan beliau dengan pengarah tersohor Kabir Bhatia yang sebelumnya pernah di bawah pengarahan sutradara itu dalam filem Nur Kasih The Movie (2011) dan Sembunyi: Amukan Azazil (2013). 

Buat julung kalinya skor filem ini adalah sebuah karya daripada komposer and penerbit terkenal tanah air, Aubrey Suwito yang berasal dari Melaka. Lagu tema berjudul ‘Layarlah Kembali’ adalah sebuah karya agung Aubrey sendiri yang dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah dan ditulis oleh Ad Samad. Album runut bunyi filem PULANG telah dilancarkan semalam dan boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music Deezer, Joox & KKBox. Ia juga boleh dimuat turun di iTunes 

Novel PULANG diterbitkan oleh Penerbitan KaryaSeni dan ditulis oleh Lily Haslina Nasir yang telah berada dipasaran sejak bulan Mei. Peminat dan pembaca yang membeli novel ini akan memperoleh kisah yang lebih mendalam tentang hubungan cinta Omar dan Thom. Novel PULANG boleh didapati di semua kedai buku berhampiran anda atau secara atas talian di www.lazada.com.my dan juga melalui aplikasi Karyaseni di Google Play dan App Store.

Ingin mengtahui kisah selanjutnya, Pulang menemui penonton pada 26 Julai 2018.

22 Mar 2018

Akan Datang: LANGSUIR




Langsuir menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung ke pulau terlarang bernama Pulau Langsuir. Azlan yang jatuh cinta dengan Suri tidak mengetahui bahawa Suri adalah langsuir yang mendiami pulau itu. Zaman irihati dengan hubungan Azlan dan Suri telah merancang untuk menikam paku tajam ke kepala Suri untuk melihat sejauh mana kebenaran mitos mengatakan langsuir akan kekal menjadi perempuan cantik jika kepalanya ditebuk paku. Tindakan Zaman telah berjaya dengan bantuan Kamal namun telah menimbulkan kemarahan Dewi, kakak Suri. Dewi nekad mahu membalas dendam dan menghancurkan Zaman serta rakan-rakannya. Mampukah cinta antara dua dunia bertahan atau terkubur demi menyelamatkan sebuah persahabatan? Selain Syafiq Kyle dan Hannah Delisha, filem Langsuir turut dibintangi oleh Firdaus Nadzaman, Julia Farhana, Halim Radzi, Shahkimin, Nazri, Daaim Jailani dan Naza Manas.

Filem arahan Osman Ali ini adalah filem sulung terbitan syarikat Guam Teamwork Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama produksi milik Osman, Nuansa Films. Langsuirtelah menjalani sesi penggambaran selama 25 hari yang berlangsung di Pulau Langkawi serta beberapa lokasi sekitar yang dipercayai sudah ditinggalkan lama seperti Gua Langsir, Gua Tembus, Pantai Talam Dua Muka dan Teluk Datai. Di pawagam 21 Jun ini.


7 Mar 2018

Akan Datang: KL Special Force




Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan unit khas PDRM diketuai oleh Roslan yang berusaha untuk menjatuhkan sekumpulan perompak yang diketuai oleh Asyraff. Kumpulan perompak yang dikenali sebagai "Geng Anarkis" melaksanakan pelan rompakan dengan begitu licik dan pelbagai taktik untuk mengelirukan pihak polis. Seorang anggota polis muda bernama Zul yang berjiwa besar diserapkan dalam unit khas PDRM untuk membantu Roslan menyelesaikan kes berkenaan, tetapi situasi menjadi bertambah rumit apabila ketua perompak iaitu Asyraff mula memanipulasi perasaan, minda dan syakwasangka di antara Roslan dan Zul. Taktik Asyraff menimbulkan stigma dan pergolakan diantara anggota di dalam unit khas tersebut. Dalam pada masa yang sama, Roslan mengalami masalah keseimbangan masa untuk kerja dan keluarga dan sering bertengkar dengan isterinya yang bernama Diana. Zul juga mempunyai masalah yang sama dengan tunangnya Mia yang merupakan anak kepada Pengerusi Bank Damofa iaitu Dato’ Mior. Sebuah rahsia bakal terbongkar apabila Geng Anarkis hanya merompak bank kepunyaan Dato’ Mior. Apakah rahsia tersebut? Bagaimanakah pihak polis mahu menumpaskan Geng Anarkis? Segalanya bakal terjawab dalam filem penuh aksi "KL SPECIAL FORCE".



22 Dec 2017

BUSKER



BUSKER (2018)
Syed Khairul Fariz
Drama Muzikal
?/5 (rating pada 11 Januari 2018)

Selalu PF baca orang tulis 10 sebab kenapa kena tonton filem ini, filem itu. Kali ni PF sendiri nak cuba, 9 Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton Filem BUSKER.

(Secara personalnya, point no. 1 aje dah cukup kenapa admin nak tengok filem ni)

1. Diarahkan oleh Syed Khairul Fariz iaitu pengarah yang telah terbukti kejayaan dengan drama bersiri Keluarga Iskandar. Rasanya ini filem pertama beliau. Jadi bagaimana acuannya mengarah filem panjang pula?

2. Permulaan yang segar bagi 2018 kerana pemandangan yang baru berlatarbelakangkan 100% Bandaraya Johor Bahru. Malah dapat sokongan dari Majlis Bandaraya JB, Muafakat Johor dan IRDA. Jadi, korang boleh lihat apa yang terkini, tren terbaru, aktiviti, tempat lepak, makanan popular serta tempat menarik di Johor terutama di JB. Keseluruhan ‘look’ filem ini nampak ‘terkini’ dengan gaya hidup moden dan hipster. Tak hairanlah, JB bakal menjadi tumpuan penerbit selepas ini dengan penghasilan filem yang ada nama “JB”.

3. Selain faktor latar belakang, Busker sangat rapat dengan anak muda dengan ‘gejala’ media sosial terutama yang berkaitan dengan ‘instafamous’. Mas Khan sbg Daniel kekasih Vera (Daiyan) adalah watak komedi yang dicipta cukup poyo kadang-kadang buat kita benci bila dia muncul tetapi tertunggu pula bila tiada di skrin.

4. Dibarisi pelakon muda dan baru yang berbakat Hafeez Mikail (Adil), Daiyan Trisha (Vera), Bulan (Bulan), Anas Ridzuan (Ucop), Lia Natalia dan Mas Khan (Daniel). Jadi, takdelah muka yang sama je korang tontonkan! Lagi pulak diorang ni pandai main muzik dan menyanyi. Sesuailah dengan golongan sasaran filem ni, golongan remaja dan muda! Eh, dewasa pun bolehlah sebab muzik untuk semuakan! Dan cinta tu untuk semua peringkat usia. Cuma watak-watak adalah diwakili oleh orang muda saja. Bila last filem kita bertema muzik? Sapa ingat?

5. 21 lagu baru dicipta khas untuk Busker! Termasuk beberapa lagu lama yang masih relevan (Alamak, Slumber dan Doa Buat Kekasih yang diberi susunan baru). PF dah dengar kesemua dan favourite track adalah Mogok Tenteram, Semak dan Atma Jiwa. Atma Jiwa adalah OST filem ni. Kebanyakannya (atau semua?) ciptaan Monoloque. Korang pun boleh dengar semua lagu ni kat Joox, Spotify, Yonder dan iTunes.




6. Walaupun pertama kali digandingkan, Hafeez dan Daiyan menunjukkan chemistry yang berkesan dan tak janggal. Mereka belajar di kolej yang sama dan semakin rapat apabila membuat tugasan dalam kumpulan yang sama. Busker tidak menampakkan kerumitan cinta anak muda yag terlalu berat tetapi tak gagal untuk kita merasakan cinta antara mereka. Daiyan Trisha sangat baik membawa wataknya dengan semulajadi. Ada sesuatu yang cuba disampaikan dengan 'carousel' dalam cinta pasangan remaja ini. Idea yang menarik.

7. Selain cinta, persahabatan dan cita-cita memang biasa dijadikan dalam tema seperti ini. Kali ini melalui kumpulan busker mereka, Simfoni Dalam Poket (Adil, Bulan dan Ucop) yang selalu membuat persembahan di jalanan ingin menyertai pertandingan JB Busker Competition supaya mereka dapat pergi jauh dalam muzik. Terkekang dengan masalah bekas teman wanita Adil, masalah lirik yang bukan menggambarkan perjuangan mereka turut menjejaskan persiapan dan persahabatan mereka.

8. Walaupun filem berkenaan muzik, Busker tidak sewenang-wenangnya meletakkan muzik latar disetiap babak bagi mewakili emosi watak dan pengisi ruang kosong dialog. Contoh ketika Vera dan bapanya berbicara tentang cinta. Mood penonton tidak perlu selalu disogok dengan muzik latar seolah-olah perasaan kita boleh ditukar-tukar mengikut emosi babak dengan mudahnya. Terdapat 3 filem tempatan yang PF tonton tahun ini sarat dengan muzik latar disetiap adegan yang membazir dan merimaskan!

9. Kalau korang rindukan filem cinta anak muda yang baik selepas Istanbul Aku Datang (2012) dan Love, Supermoon (2015), inilah filemnya. Mula mem'busker' dipawagam pada 11 Januari 2018!


9 Dec 2017

FPF17: TOP 10 Malaysia

2017 menyaksikan hanya 8 yang benar-benar menarik perhatian PF. Ianya mengulangi tahun 2012, juga hanya 8 buah filem berjaya menduduki carta.

Berikut adalah 10 Pilihan Teratas PF untuk 2017:


*Ulasan boleh cari diruangan search.

1. SHUTTLE LIFE - Tan Seng Kiat

2. YOU MEAN THE WORLD TO ME - Saw Teong Hin

3. ADIWIRAKU - Eric Ong

4. TOMBIRUO - Seth Larney

5. LEBUHRAYA KE NERAKA - Mamat Khalid

6. BISIK PADA LANGIT - Kabir Bhatia

7. MRS. K - Ho Yuhang

8. ABANG LONG FADIL 2 - Syafiq Yusof

9. TIADA

10. TIADA


******************** Filem Lain ********************

AKU HAUS DARAHMU
PAK PONG
J REVOLUSI
KAMAR SEKSA
KERJA KAHWIN
HIJABSTA BALLET
KAU TAKDIRKU
LUQMAN
THE FARM EVT
IM NOT TERRORIST
HAUNTED HOTEL
ASLI
MOTOR TERBANG: REMPIT KE LANGIT
PINJAMKAN HATIKU
JIBAM
KL WANGAN: BIKIN GEMPAK
LURKING WOODS** (pengarah Malaysia, produksi Australia)

ASIAN 3 FOLD MIRROR*** (produksi Jepun,salah satunya filem pendek pelakon Malaysia)


*Mungkin ada potensi tapi belum tonton:
KIDS FROM BIG APPLE 2: BEFORE WE FORGET
THERAPIST
AASAAN


7 Dec 2017

Pinjamkan Hatiku & JIBAM


PINJAMKAN HATIKU (2017)
OSMAN ALI
Drama
2.5/5

Filem yang mengambil masa 2 jam lebih ini menjadi sebegitu lama kerana pacenya yang perlahan. Osman Ali (OA) bermain dengan babak-babak romantis yang mellow untuk memberi rasa kepada penonton. Mungkin penonton lain merasainya. Dari awal sehingga Naufal dan Laila berkenalan semula sejak dibangku sekolah dan jatuh cinta rasa begitu terseksa bagi PF hendak melalui detik-detik itu sehingga mahu keluar panggung kerana kelesuan, tetapi terubat sedikit dengan panorama atau latar belakang filem ini yang cantik bagi sebuah filem percintaan. Tetapi bak kata Mas Idayu, cantik aje tak cukup dik. Takkan kita nak dapat pujian cantik saja.. Separuh filem berjalan baru kita tersentak apabila konflik timbul dengan munculnya watak Dr. Hasnan. Lama-kelamaan barulah mood filem ni naik tetapi dalam pace kura-kura juga. Pace perlahan itu tidak salah pun, cuma mungkin perlaksanaannya saja kurang sesuai di mata ini. Orang lain boleh menikmatinya tetapi bukan citarasa PF. Bukanlah menolak filem romantis, ada juga filem romantis yang syahdu menjadi kegemaran seperti Once, Note Book dan lainnya. Perhatikan persalinan baju Aida Jebat dari mula semasa belum bercinta - putih, alam percintaan (motif bunga-bunga mekar) dan konflik (plain) dan berbunga semula apabila 'dipertemukan' (ada plot tidak boleh didedahkan) dengan Naufal. OA bermain dengan isu kesihatan para watak-watak sebagai penghalang percintaan selain restu ibu bapa dalam perkahwinan.




JIBAM (2017)
CHE MIE
Drama
2/5

PF puji usaha filem ini untuk mengangkat watak Jibam dari novel Ujang. PF selalu memberi peluang kepada tema-tema baru dalam filem kita. Mana-mana yang terlepas tu kadang-kadang tak dapat kejar juga. Contohnya, filem ASLI mempunyai tema yang agak unik mengenai durian yang dikacuk dengan tema mencari asal usul diri, yang diwakili oleh orang asli di Perak. Cuma agak malang sedikit mutu lakonan pemainnya yang agak amatur sedikit membuatkan ianya tidak selesa dipandang.

Berbalik kepada JIBAM, setelah hampir sejam filem ini berlangsung, tak tahu apa yang JIBAM hendak diceritakan. Suku pertama kita dapat hidu plot pengggerak bahawa ayahnya mempunyai kelebihan menyembuh penyakit. Selepas itu watak Jibam tengggelam timbul dengan watak Tok Ngah Sudin. Tok Ngah Sudin kadangkala lebih ditonjolkan berlebihan dengan memarahi Jibam. Sayang, dalam masa sejam pertama agak dibazirkan begitu saja. 'Perkampungan' di dalam hutan pula nampak kaku dengan set yang nampak baru dibina. Selain itu, isu tanah juga disentuh (di sini isu tanah tidak dilihat terlalu komersil kerana empunya adalah orang yang meneroka tempat itu - tak pasti latar tahun cerita ini). Keluarga Jibam mempunyai 3 adik beradi lelaki dan hidup di dalam hutan terpencil. Anak sulong bekerja di bandar lebih tepat lagi di Pejabat Daerah. Watak paling sadis adalah Mia (Mia Ahmad) anak kepada Tok Ngah Sudin seperti tak attach hubungan bapa-anak seakan diselit saja dalam rumah. Dalam satu babak pertengkaran di warung, boleh dikatakan ia usaha untuk menjadikannya babak yang menunjangkan filem, tetapi pada pengamatan PF yang tak seberapa ini, kedudukan pelakon tidak begitu baik depan kamera yang menangkap ensemble pelakon dimana apabila Wok (Kazar) & Usin Singai (Kamarool Yusof) bercakap membelakangi kamera. Terlihat satu babak awal dimana Kadir (Syafie Naswip) berada di dalam kereta/lori kerana terpapar dashboard, lalu berlari keluar ke arah ibu dan Jibam yang baru lepas dipukul. Persoalan di sini, bagaimana Wok boleh kata penduduk kampung hanya berbasikal? atau PF silap tengok? Belum lagi kata setiap babak ada muzik. Nasib baik muziknya itu lebih baik dari bunyi muzik filem MIG.

17 Oct 2017

Bisik Pada Langit, I'm Not A Terrorist & Shuttle Life


BISIK PADA LANGIT (2017)
KABIR BATHIA

Drama

3.5/5

'Memerah air mata dengan visual', itulah ringkasan yang PF boleh katakan setelah menonton habis filem ini. Filem ini mengheret penonton menjiwai watak seorang bapa (Jalil Hamid) yang sangat menyayangi anak perempuannya Siti Hajar. Dan dugaan mereka sekeluarga setelah Siti Hajar ditimpa musibah di luar negara mengakibatkan pertelingkahan sesama ahli keluarga di tanahair.

Katanya, setelah perbincangan dibuat, naskhah ini mempunyai potensi jika ditayang di layar lebar yang pada asalnya untuk TV saja. Tentunya orang di balik tabir lebih arif akan hal ini. Namun, sebagai penonton biasa yang kadang-kadang tidak nampak perbezaannya, kerana jika dipaparkan filem yang nawaitu asalnya untuk panggung pun ada nampak mcm drama TV. BPL mempunyai beberapa ciri ciri 'filem' pada shot-shot tertentu dan pada sinematografinya.

Banyak detik sangat menekan perasaan dan bermain dengan slow motion dan lagu latar syahdu menjadikan ia melodrama TV di sisi sebelah Rashid Sibir tetapi Kabir Bhatia tetap mempunyai trademark tersendiri. Anda bayangkan kegembiraan si ayah yang mendapat berita kelegaan lalu melupakan hal lain lalu terus 'berjumpa' tuhan, itu dan babak yang selanjutnya adalah saat paling sebak bagi PF. Sifat karakter Hajar pula dilihat tidak dibongkar luas iaitu dari tuduhan adik lelakinya itu. Seakan kita mahu percaya yang mana satu, perwatakan Hajar atau percakapan adiknya itu?

Persembahan Dee (Beto) dan ayahnya saling mengikat walaupun si ayah pilih kasih. Jika anda puas menderma air mata melalui Kau Takdirku, tak salah pula untuk melabur emosi dalam drama keluarga yang menyanjungi pengorbanan seorang ayah. Gembiranya sebenarnya filem bercorak drama mendapat tempat di hati peminat setelah sekian lama, setelah kejayaan The Journey (2014).  Pelik pula filem Redha tidak seviral ini. Walaupun dianggap filem BPL dikatakan tiada isi dan ianya mengheret plot ringkas tetapi ia memberi kepuasan lebih dari segi emosi berbanding Redha. Bukanlah kata filem yang membuatkan kita menangis itu bagus, tetapi ia dipandang dari sudut yang lain pula. 



I'M NOT A TERRORIST (2017)
ARJIN UPPAL

Aksi

2.5/5


PF mendapati sebelum tayangan, publik sangat teruja menantikan filem ini setelah melihat trailernya. Akan tetapi hype itu senyap selepas filem ini ditayangkan. Ini merupakan petanda yang buruk bagi filem itu sendiri. Kau anggap macam ni. Abaikan kewujudan polis di sebuah kawasan pedalaman seperti dalam filem Bunohan itu. Maka, samseng bermaharajalela melakukan aktivitinya seperti menembak sesiapa saja yang dia suka. Percubaan berani produksi ini mengambil Chacha Maembong dan Afiq Muiz sebagai peneraju utama dan penggambaran di Kashmir menelan belanja RM7 juta (The Star 5 Oktober 2017) - lebih mahal sejuta dari filem Tombiruo. 

I'm Not Terrorist menonjolkan betapa ganasnya antagonis dalam melakukan aktiviti keganasan jual beli senjata dan dadah(?) tanpa mempunyai musuh tertentu, ianya berkait dengan Ummar (Afiq) yang pulang ke kampungnya setelah bergraduasi di MSU. Dinyatakan, ayah Ummar dahulu (telah mati) dipergunakan oleh kumpulan pengganas ini; Abu Zar dalam pengeboman berani mati pada satu ketika dulu. Atas sebab tertentu, Abu Zar ingin balas dendam dengan mempergunakan Dayana, kekasih Ummar. Filem ini seolah-olah terkongkong dengan kawasan yang agak terhad jika dilihat dalam filem. Kekuasaan pengganas seperti sukar dipercaya kerana tiada lawan yang kuat, sebaliknya hanya ditunjukkan dengan riak wajah ganas dan tembakan bertubu-tubi selain dialog "I'm evil from hell!" berulang kali. Persembahan Chacha boleh dikatakan so-so tetapi semakin meningkat ke akhir filem. Chacha, sebelum ini sinonim dengan watak gedik. Afiq pula bertutur bahasa Hindi kedengaran meyakinkan. Manakala CGI letupan juga hampir menjadi dan tidak kelihatan cacat. Walau begitu, tahniah atas pembikinan filem ini yang jarang dibikin oleh Malaysia.



SHUTTLE LIFE (2017)
TAN SENG KIAT

Drama
4/5


(Shuttle Life (SL) adalah terbitan produksi Malaysia) Apa yang PF dapat kesan, heroin filem ini Sylvia Chang yang juga pengarah di negaranya dan sinematografer Chen Ko Chin adalah warga Taiwan. Ini adalah antara karya pengarah yang pertama kali mengarah tapi hasilnya mengagumkan seangkatan Tunku Mona Riza, Khairul Azri dan Nik Amir. The Malaymail Online melaporkan juga: The actress (Chang) reportedly has also given many suggestions during their meetings to further improve the overall production.

Filem ini berlatarbelakangkan krisis air yang dialami oleh penduduk flat kos rendah yang didiami keluarga Qiang bersama ibunya yang sakit mental dan adik perempuannya Hui Shan. Secara ringkas, SL ada sedikit mengambil bau-bau Yasmin Ahmad dan jalan cerita ada sedikit seperti filem Mad World (Hong Kong-2016). Ia mendekati realiti penduduk taraf sederhana warga Cina dalam bandar disamping tidak mengabaikan ciri-ciri Malaysia seperti laungan azan, watak-watak tambahan  berbahasa Melayu yang semulajadi sifatnya seperti polis, staf hospital dan banduan. Dua kelebihan di sini, di mana ianya diletak begitu bersahaja, bukan dicipta satu watak palsu menjadikannya lebih 'Malaysia'. Kedua, semua watak tambahan ini dikawal baik oleh pengarah. Contoh terbaik adalah staf hospital yang begitu bertatasusila melayan pelanggan berkerenah. Kita akan tersenyum sendiri melihat bagaimana misi/nurse itu bekerja. Kebanyakan penjawat awam dalam SL menjalankan tanggungjawab dengan berhemah. 

Filem bermula dengan usaha Qiang yang 'mendaki' tangga ke tangki air di menara tapi akhirnya kecewa. Bukannya dia tak membantu keluarga, kesempitan hidup memaksanya melakukan kerja-kerja jenayah ditambah dengan keadaan ibu yang sakit. Penulis filem ini terus-terusan memaparkan hempas-pulas wataknya untuk mengecapi kehidupan di usia muda tetapi mulia dalam melindungi keluarga. Ini disokong dengan semakin lama filem berjalan semakin gelap ruang di dalam rumahnya (akibat pemotongan bekalan elektrik). Maka, apa yang berlaku dalam gelap hanya kepedihan sang anak terhadap ibunya. Begitu juga di waktu malam yang sinonim dengan kecelakaan dan perbuatan salah laku turut dipapar. Penulis dan pengarah sangat ingin menonjolkan sisi gelap masyarakat khususnya kaum Cina tapi kali ini bukan melalui gangsterism. Dalam banyak babak, adegan ahli parlimen kaya seakan tiada memberi sumbangan ke arah jalan cerita. Adakah ingin memberitahu kegagalan fungsi ahli politik? Ia tidak dijalin dengan Ah Qiang secara direct. Apa yang menarik, pengakhiran kisah dengan konsep terbuka ini menyaksikan, ke'putusan' bekalan air 'disambung semula' dengan air hujan dan ini seakan membasuh semula cerita Ah Qiang yang kotor itu dan memandu pulang kereta yang bukan miliknya sambil memberi 'rezeki' kepada ibunya.


*Pemberian rating adalah sah untuk filem itu saja, bukan dibandingkan dengan filem lain. Terutamanya yang berlainan genre.


28 Sept 2017

Tombiruo Penunggu Rimba atau Pendendam?


TOMBIRUO (2017)
Seth Larney
Aksi
4/5
(Rating dan 'XXX' di bawah akan didedahkan apabila ia mula ditayangkan)

Sebelum anda menonton, info dan latar belakang Tombiruo:
  • Dikatakan pre-produksi film ini mengambil masa yang lama. Sejak 2008 lagi Layar Sunan telah berusaha mencari dana dan tahun 2017 barulah impian tersebut tercapai. Astro Shaw, Ideate Media dan Grup Buku Karangkraf bergabung bagi menghasilkan filem ini dengan menelan belanja sebanyak RM6 juta.
  • Tombiruo: Penunggu Rimba terbitan Grup Buku Karangkraf diterbitkan pada 1998 dan telah diulang cetak sebanyak 18 kali kerana permintaan yang tinggi. Tombiruo: Penunggu Rimba adalah siri pertama dalam triloginya, yang kedua novel Semangat Hutan dan diikuti Tombiruo Terakhir.
  • Bukan semua keseluruhan cerita disampaikan dalam filem kerana medium yang berbeza. Novel menceritakan empayar yang luas untuk kepuasan pembaca. Namun terasnya masih dipertahankan. Skrip bagi filem di olah oleh Yasmin Yaacob dan Choong Chi-Ren. Apabila diadaptasi ke filem, maka ia adalah sebuah karya baru yang menuntut pemikiran baru.
  • Diarahkan oleh oleh Seth Larney (penolong pengarah Andre Chew) yang pernah terlibat dalam The Matrix Reloaded, The Matrix Revolutions, Star Wars: Revenge of The Sith, X-Men Origins: Wolverine, Superman Returns dan The Chronicle of Narnia: Voyage of The Dawn Trader.
  • Nasir Jani sebagai pengarah bersekutu ditugaskan untuk memberi tumpuan kepada mutu lakonan barisan pelakon dan menjaga sentimen tempatan serta memastikan skrip dapat diterjemah ke visual dengan sempurna.
  • Lanskap lokasi di Sabah yang menarik serta dialek Kadasan-Dusun mampu mencerminkan identiti yang kuat sebagai filem Malaysia bergabung dengan aksi-aksi komersil ilham Seth Larney juga adalah ramuan lain tarikan bagi tujuan pengedaran filem ke pasaran antarabangsa.
Sinopsis: Tombiruo yang memaparkan kisah aksi ini menceritakan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar sebagai Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai penunggu rimba. Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung. Apabila Wong dan kuncu-kuncunya membuat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan, satu insiden telah berlaku dan menimbulkan kemarahan Tombiruo. Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. Wartawan Wan Suraya yang mengikuiti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut mengikuti jejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak membahayakan seperti diperkatakan. Namun, apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi membela nasib orang-orang yang mereka sayangi. Dengan semangat dari hutan telah mengiringi kekuatan Tombiruo. Tetapi hakikatnya, sebuah rahsia di antara mereka berdua yang sudah lama tersimpan terbongkar. Apakah kaitan mereka berdua sebenarnya? Siapakah dalang di sebalik insiden yang berlaku selama ini?

Terdapat spoiler: baca atas risiko sendiri.

Permulaan Tombiruo sangat mengagumkan dengan CGI dan aksinya cukup membuat mata terpegun dengan kisah bermula Tombiruo lahir ke dunia. Setelah keluar panggung, satu yang dapat PF katakan, ia jelas-sejelasnya bahawa Seth Larney dapat memberi kepuasan kepada naskhah ini terutama dari segi aksi, mood dan pacing filem. Dengan pendekatan filem serius, Larney berjaya mengangkat Tombiruo sebagai penghuni rimba yang terasing dek berwajah bukan manusia. Dia digambarkan bahawa ‘hutan memiliki Tombiruo’ lebih daripada ‘Tombiruo memiliki hutan’ kerana semangat hutan itu melindungi Tombiruo sedangkan Tombiruo tidak ‘memberi jasa’ kepada hutan seperti yang dipaparkan. Zul Ariffin sebagai Tombirou banyak melakukan aksi dari dialog, jadi lakonannya banyak bergantung kepada gerak tubuh. Mengikut pemahaman PF dari novel, Tombiruo ingin mengganggu usaha pembalakan haram tetapi dalam filem ia berkenaan dendam Tombiruo terhadap kejadian yang menimpa Pondolou, ayahnya. Mungkin ini jalan cerita yang dimampatkan atau diubahkan? Oh! Filem ini bukan seperti Tarzan seperti yang dianggap netizen melalui trailer kerana dia tak berkawan dengan haiwan pun! Lagi pula Tombiruo memiliki kuasa luarbiasa yang tidak pasti dari mana datangnya kuasa itu ( Mungkin ianya ada disebut dalam mantera bahasa Kadazan-Dusun dan penonton kena fokus dengan terjemahannya)

Walaupun babak berbicara, ianya tidak membosankan kerana wajah-wajah lama seperti Dato’ M.Nasir (Nasir Jani memanggil semula setelah Kembara Seniman Jalanan) dan aura nostalgia Datin Marlia Musa kembali menggam it mata penonton. Dengan membaca Tombiruo bahagian awal saja, PF dapat merasakan banyak detail dilompat dan hanya pembaca tegar dapat memahami latar watak dan asbab sesuatu perkara. Ini ada pro dan kontranya. Sebagai contoh latar belakang watak Baizura diceritakan panjang di awal novel tetapi Baizura hanya muncul di pertengahan/hujung filem dan ianya cenderung bersifat antagonis walhal dalam novel dia sebaik umat bagi menuntut watak yang lebih dramatik dalam filem. Satu lagi kepuasan adalah watak monsuroi, nenek kebayan/bomoh yang mendiami hutan. Monsuroi dalam Tombiruo seakan-akan extended version nenek kebayan filem Puteri Gunung Ledang, dan ianya boleh dikatakan paparan ' nenek kebayan' terbaik dunia mistik dalam filem moden tempatan. Kemunculannya beri semangat hutan ditambah dengan mantera dan kuasa tertentu. Nabila Huda sebagai Wan Suraya dilihat sebagai ‘watak baru’ yang dipegangnya sebelum ini sebagai penggoda, penjahat dan orang susah. Seperti ada aura melihat kelibat beliau sebagai wartawan seperti mana filem luar – kaitannya dengan Ejim.
Walaupun begitu, terdapat 2 perkara yang sedikit turn-off . Pertama, anda ingat filem seram XXXX? Terdapat seorang watak yang seakan membawa plot sama dengan ayah XXX, iaitu XXX. Wataknya tidak diketengahkan sangat tapi penting diakhir cerita dengan pemaparan flashback. Dari titik tolak ini membuatkan ending filem jadi seperti filem tersebut. Jadi, bukanlah filem terbitan XXX saja yang suka benda-benda begini. Nampaknya, pengolah skrip untuk filem Yasmin Yaacob dan Choong Chi-Ren tak terkecuali dari formula ini bagi versi Tombiruo (pembaca novel semestinya dapat tahu jika bahagian ini diubah bagi tujuan klimak). Berkenaan flashback, filem ni juga bergantung kepada elemen ini bagi merungkai banyak plot penting yang tak disentuh di awal-awal membawa kepada faktor kedua iaitu, ‘kebetulan’ yang datang ‘tiba-tiba’ dan sebagai penonton, kita persoalkan hubungkaitnya ‘kebetulan’ tanpa diberi bayang. Ianya seperti silap mata yang tak suka kita lihat.

Akhir sekali, babak klimak sangat memukau bagaikan aksi filem Matrix. Boleh dikatakan ia over dramatic bagi permusuhan Tambiruo-XY (ianya tidak salah, memandangkan ‘perbuatan’ XY yang lepas). Babak final act ini tidak tumpah seperti filem superhero melawan musuh agung. Kadang pula seperti mood menonton filem perang dengan latar muzik yang menggegar dan menaik semangat. Alangkah eloknya jika filem perang tempatan terkini mendapat sentuhan sebegini. Pada pendapat peribadi PF, Seth Larney menggunakan pengalaman di Hollywood itu dan ianya nampak perbezaan dengan filem aksi berskala besar Malaysia sejak kebelakangan ini. Jika diukur dengan nilai hiburan, ianya mengasyikkan. Syabas kepada keseluruhan team yang mengangkat novel ini ke layar perak! Disebalik aksi terdapat makna cinta dan hubungan kekeluargaan secara tidak langsung. Ada sesuatu yang menggembirakan peminat RAM di hujung filem. Nantikan.

27 Apr 2017

'You Mean The World To Me' Memori Menjemput Pulang




YOU MEAN THE WORLD TO ME (2017)
Saw Teong Hin
Drama
7.5/10

      Jika bukan kerana nama Christopher Doyle sinematografer filem Wong Kar Wai iaitu In The Mood For Love, mungkin PF akan langkau daripada filem Malaysia yang patut diberi perhatian tahun ini. Mana mungkin tenaga kerja salah sebuah filem hebat kegemaran terlibat dalam filem tempatan kita. Mesti ada sesuatu yang membuatkan Doyle setuju untuk berkolaborasi. You Mean The World To Me (YMTWTM) mengisahkan Sunny seorang pengarah filem yang pulang ke kampung di Pulau Pinang bagi sesi penggambaran projek terbarunya berbentuk autobiografi yang berkisar tentang keluarganya sendiri tanpa pengetahuan keluarganya. Sinopsis rasmi lebih panjang tetapi biar setakat ini saja untuk tidak terlalu terdedah dengan jalan cerita.

       Apa yang dapat disimpulkan setelah menonton filem pertama berbahasa Hokkien Malaysia ini, tidak teragak-agak PF katakan Saw Teong Hin telah kembali! Setelah dikecewakan dengan Jejak Warriors dan beberapa filemnya yang lain kecuali Puteri Gunung Ledang (2004), YMTWTM memberi kejutan pada naratifnya sekaligus itu menjadi kemanisan bagi cerita konflik keluarga ini. Tidak boleh diberitahu apakah kejutan yang dimaksudkan kerana itu merupakan spoiler terbesar dan ia adalah ‘rasa’ sebenar filem ini yang dapat menipu penonton tanpa sebarang tanda [ingat pembayang pemisah garis masa ini: kejadian yang berlaku antara bapa saudara Sunny, iaitu Boy yang mental dengan ibunya]. *Mungkin ulasan ini lebih menarik jika dibincangkan spoiler dan cara Saw Teong Hin bercerita tentang 'imbas kembali' dan 'filem yang belum siap sepenuhnya' itu tetapi biar penonton menikmati dengan tafsiran sendiri. Baca juga: 'imbas kembali' yang cantik tetapi bukan kisah keluarganya. 

        Sepanjang filem, semua berkisar kisah keluarga Sunny pada masa sekarang dan semasa Sunny kecil pada latar zaman 1970 di Pulau Pinang semasa zaman susah keluarganya. Pengorbanan kakak terhadap adik, kasih sayang ibu dan anak dan persahabatan yang erat sejak persekolahan yang dilakonkan dengan begitu baik oleh semua yang terlibat antaranya Yeo Yann Yann (Ilo Ilo), Neo Swee Lin (Pua Chu Kang) & Frederick Lee (Kungfu Taboo). Tiada babak-babak janggal dan gambar ditangkap sempurna dan indah di mata PF. Ternyata ini kelebihan Christopher Doyle yang dimanfaatkan sepenuhnya yang juga merupakan sinematografer bagi filem Hero oleh Zhang Yimou. Terkejut sejenak di mana sejenis alat muzik tradisonal Kelantan (betulkan jika silap) yang melatari filem Bunohan menjadi latar bagi kesyahduan filem Hokkien ini tetapi ia boleh dikatakan masuk dengan babak yang terpamer. Walau bagaimanapun, ia tak lari dari kelemahan. Terdapat beberapa babak yang terlalu lama bagi satu adegan dan kurang memberi kesan. 


       Filem dekat dengan diri Sunny. Mengambil roh itu, titisan pili air di tandas pawagam menjadi pembukaan filem menandakan kesedihan yang bakal kita saksikan dan diakhiri dengan titis air mata kelegaan si ibu seakan memurnikan kesilapan watak-watak. YMTWTM membawa 2 kisah penting dalam satu. Sebagai semi-biografi pengarahnya yang dituju khas kepada keluarga khususnya para ibu, wanita di sekeliling kita dan juga Saw Teong Hin mewakili pengkarya kecil dimana cintanya terhadap sinema begitu tebal walaupun berhadapan dengan kekangan. Lantaran itu ia menjadi antara filem kegemaran PF pada tontonan setakat tahun ini.

26 Apr 2017

Kamar Seksa Bertema Lesbian


Kamar Seksa (2017)
M. Suurya
Drama
2.5/5 


Filem ini sepatutnya kontroversi tetapi itu tidak berlaku kerana tiada publisiti seperti memanggil ujian lakonan ujibakat seperti ...Dalam Botol pernah lakukan. Kedua, kemungkinan isu ini tidak lagi terlalu taboo di zaman sekarang. Atau kerana produksi ini - Garuda Film yang tak berapa nak glamour.  Tema LGBT dibawa oleh M.Suurya lebih menonjol berbanding yang lagi satu dalam Kamar Seksa (KS). Kalau nak ikutkan banyak lesbian moment dalam filem berklasifikasi P13 ini. Kenapa bukan untuk 18 tahun ke atas? Menarik lebih ramai skop penonton mungkin? Jika tak silap skripnya tulisan M.Subash. Dari amatan PF, mereka secara bergilir mengarah filem. Terkini sebelum KS adalah Cendol: Kepada Allah Aku Berserah arahan M. Subash, dimana setelah menontonnya admin berpendapat bahawa sukar mempercayai yang M.Subash yang mengarah Pensil. Jauh beza. 

Baiknya pula di sini, KS lebih baik dari Cendol. KS menjadi filem pertama dalam tontonan filem lokal PF yang secara terang-terangan menceritakan perhubungan cinta dua wanita tanpa selindung iaitu Marry (Ida Moin) dan Kitty/Khaty (Sazzy Falak). Seorang orang gaji Indonesia, Mona (Aiyuni) diupah untuk menguruskan satu rumah flat yang kecil dan hanya Kitty seorang saja yang mendiaminya! Tentu Kitty ada muslihat disebalik itu. Ia dilihat sebagai ingin menjadi yang terdepan dan mengikuti peredaran masa tetapi dialognya tak terlepas dari 'mute' LPF. Sedikit sebanyak kehidupan dunia lesbian dipaparkan yang selama ini kita disogokkan dengan kehidupan gay dan mak nyah. M.Suurya juga bijak menggunakan perlambangan kucing Kitty di dalam sangkar (Kucing=Mona) yang hanya di bawa keluar oleh Marry, tapi dalam masa sama Marry juga memukul Mona. Kisah mereka ini boleh pergi jauh jika diberi satu filem panjang dengan tambahan plot.

Kisah kedua adalah berkenaan Nur (Norkhiriah) yang berdepan dengan suami bermasalah dan usahanya melangsungi hidup. Kedua-dua kisah tiada kaitan dan tidak sikit pun 'tersentuh' seperti dalam filem Cinta (2006). KS dilihat sebagai kisah hidup wanita dengan cuba tidak memaparkan wajah lelaki tetapi anggota-anggota badan lelaki dalam bingkai gambar membawa maksud, mahu tidak mahu, wanita tetap memerlukan lelaki walapun menderita dan sebagainya. Kesemua pelakon wanita memberi lakonan baik terutama Sazzy Falak yang memberi nyawa kepada KS. Cuma karakter dan busana Kitty masih terdapat ciri feminin untuk digelar 'Pa'.

Watak Nur sudah banyak kali dia lakonkan dalam drama Melayu. Bosan dan saya tidak simpati kepadanya walaupun lakonan airmatanya baik. Boleh kata kisah keluarga Nur satu pembaziran. Lapuk. Contohi filem omnibus Ikal Mayang: Terpendam (2015), banyak sudut dari sisi wanita boleh disentuh cuma kena sesuaikan dengan konsep 'kamar seksa'lah. Dalam Ikal Mayang: Terpendam, cerita dimulai dengan kisah seorang transgender dan diakhiri dengan kisah pengkid, yang juga tergolong dalam dunia wanita yang terperangkap dengan masalah tersendiri. Namun, terpulang kepada pengkarya mahu tonjolkan tema apa? Janganlah tema berulang-ulang suami seksa isteri sampai kesudah.

PF tidak mahu sentuh dari segi produksi dan teknikal sebab saya mengenali filem-filem dari Garuda Film/Genius Parade (walau tak semua) yang mana mereka hanya bergantung harap pada cerita dan lakonan saja. Filem-filem daripada M.Subash & M.Suurya gemar membawa isu masyarakat bawahan dan pertengahan di luar bandar dan selalu lokasinya yang terhad. Lokasi terhad bukan alasan kepada terhad kreativiti. Usaha terus menerus memfilemkan sesuatu yang jarang dibikin oleh orang lain dan cinta terhadap sinema (kebanyakan filem mereka tak laku, boleh cari kerja lain) menunjukkan cinta terhadap filem tetapi perlu ada peningkatan berterusan.


22 Apr 2017

Lebuh Raya Ke Neraka





Lebuh Raya Ke Neraka (2017)
Mamat Khalid
Seram/Thriller
3.5/5



Point-point ringkas berkenaan Lebuh Raya ke Neraka. Minor spoiler.

+ Lebuh Raya Ke Neraka (LKN) Ini adalah filem paling 'serius' mamat Khalid dan bertemakan kerohanian berbaur dakwah. Tiada langsung watak 'badut'. Sebelumnya Kala Malam Bulan Mengambang adalah filem serius ala noir.

+ Dakwah dalam LKN, berceramah tentang agama tetapi tidak secara terus seperti filem Munafik. Oleh itu tiada ayat Al-Quran di awal dan hujung. Jika ada, mungkin ada terselit  di tengah (lupa la...) Dan tiada juga ustaz yang halau hantu/syaitan!

+ Banyak metafora dan simbol sebagai visual storytelling seperti gelang, lampu van, mungkar nangkir, burung gagak dan syaitan supaya penonton bijak berfikir bukan sekadar disuap-suap (bagi penonton dewasa). 

+ Dialog dibikin semudah mungkin dan difahami semua lapisan tidak terlalu religious agar penonton muda seumur 13 tahun 'sempat diselamatkan' kelak menonton filem ini. Filem ini rating P13.

+ Memberi 2 jalan kepada penonton dalam memilih duniawi dan alam ghaib dalam merungkai sesuatu peristiwa. 

+ Sukar hendak bikin filem agama/kerohanian sebegini kerana beberapa kali berurusan dengan LPF dan hasilnya tidak terlalu berani dan mengikut landasan garis panduan. Filem siap 6 tahun lepas dan ini salah satu sebab ianya baru kini ditayangkan. Oleh itu tiada hal kontroversi yang berlaku. Namun, memberi kelainan kepada filem-filem MK. 

+ Khir Rahman mencuri perhatian sebagai Tyson walaupun filem ini adalah kisah Awie. Watak Awie sebagai landasan untuk Tyson berjalan di atasnya. Selebihnya, hal-hal agama biar mereka yang lebih arif sentuh, namun dari segi luaran tidak terlalu berat untuk mass audien.

+ Babak CGI (kecuali 'neraka') yang kebanyakannya diwaktu malam/gelap sekurang-kurang melindungi dan tidak nampak jelik dan boleh kata baik secara keseluruhan. Seingat PF lebih baik dari Husin Mon dan Jin Pakai Toncit.

+ Muzik skor sangat mengasyikkan dan mengembalikan memori filem retro segenre dari Space Gambus Experiment. Namun, skor Amir & Loqman Turun Ke Laut tetap masih jadi pilihan hati.

+ Muka baru bagi filem MK seperti Dazrin dan Shah Jazle memberi perisa sedikit berlainan untuk filem kali ini. 

+ Premis sama seperti KARAK (KRU Prod.) tetapi Karak lebih kepada gangguan hantu dan ianya klise.  Jika anda mencari 'jump scare', bukan dalam LKN.  



12 Mar 2017

Adiwiraku



ADIWIRA KU (2017)
Eric Ong
Drama
3/5

*Mengandungi spoiler. 

         Walaupun filem bertema sekolah seolah-olah jarang muncul sejak 3-4 tahun ke belakang, sebenarnya jika diamati, filem bertema tersebut menjadi pilihan penggiat filem Cina tempatan antaranya filem Wira Wah (2015), The Dream Boyz (2015), The Gathering (2014) dan River of Exploding Durians (2014) yang sempat PF kutip namun tidak sempat menontonnya kecuali River of Exploding Durians. Adiwiraku secara ringkasnya mengisahkan seorang guru wanita pinjaman, tajaan Teach For Malaysia bernama Cheryll Ann Fernando (dibawa oleh Sangeetha Krishnasamy) yang bertugas di sekolah pedalaman iaitu Sekolah Keb. Men. Pinang Tunggal, Kedah. Walaupun telah tamat kontrak selama 2 tahun, cikgu Cheryll merasakan ada lagi misi yang belum tercapai dan beliau menyambung setahun lagi. Maka, beliau berusaha membentuk sebuah kumpulan Choral Speaking memandangkan murid-muridnya belum ada pencapaian atau merasakan sesuatu kemenangan selain dalam bidang akademik. Bermulalah, cabaran beliau dan seorang guru lelaki (Xavier Fong) melatih murid-murid ini yang kebanyakannya lemah dalam Bahasa Inggeris.

                Disebalik kemuliaan filem ini dibikin atas nama pendidikan mari kita lihat bagaimana cerita yang mudah ini dilayarkan. Sebelum itu, sesungguhnya filem ini mengangkat profesion guru yang ramai sudah tahu. Tiada yang kontroversi dipaparkan sebagaimana isu-isu semasa yang melanda guru-guru sekarang; guru banyak kerja, murid tampar guru, pencabulan, ibu-bapa datang mengamuk, murid duduk atas tar dan sebagainya. Alangkah baiknya jika isu-isu seperti ini dimasukkan bagi memberi konflik yang lebih padu (well, lembaga penapisan filem) bukan setakat seorang guru prihatin pergi ke rumah-rumah murid yang bermasalah dan bertindak mulia semata-mata, ditakuti penonton merasakannya keterlaluan dan palsu. PF tidak tertarik dengan masalah keluarga mereka kerana terlalu klise dan seperti rancangan Bersamamu. Disebaliknya pula, persembahan lakonan Sangeeta yang sangat mempersona itu tidak boleh dinafikan ditambah dengan penguasaan Bahasa Melayunya yang baik. Walaupun dalam 'kisah benar' ini tiada hal-hal isu semasa tersebut, ia boleh ditokok tambah kerana filem based on true story bukanlah 100% tepat pun asalkan cerita asal (benar) tidak dipesongkan. Berlakon dengan murid yang ramai merupakan cabaran besar dan ditambah dengan amaturnya mereka di depan kamera tetapi hasilnya tidaklah begitu teruk. Terlihat pada satu babak, si pengarah tidak cermat, dimana posisi murid salah seoranh ahli choral yang rendah di belakang pelajar tinggi dan kaku tidak berbuat apa-apa sedangkan babak itu happening. Sisi watak pelajar yang cuba diketengahkan dalam cerita ini agak ramai sehingga kita tidak tahu mana yang perlu diberi lebih perhatian dan penting. 

          Adiwiraku ini sebenarnya bergerak lancar tetapi diganggu dengan narration oleh Cheryll yang sangat teruja nak bercerita semua benda. Semua disuap kepada penonton yang boleh berfikir dan lihat sendiri. Mungkin ini versi untuk penonton buta (maaf)? Atau ini drama radio yang kita boleh dengar tanpa pandang skrin? Kenapa hendak bercerita dalam masa yang sama gambar bergerak itu pun menggambarkan perkara yang sama apa yang dibebelkan? Jadi bertindan di situ dan menyaratkan mata dan telinga. Perkara baik di sini, narration itu sempurna dalam piawaian bahasa Melayu yang betul. Maklumlah, filem pasal sekolahkan, Kementerian Pendidikan pulak terlibat dalam filem ni (jadi ceritanya semua kena jadi baiklah! Kamu tunggulah nanti, filem ini berkemungkinan bakal meraih sekurang-kurangnya Anugerah Khas Juri kerana mendaulatkan Bahasa Melayu dan perjuangan pendidikan di FFM nanti). PF tidak pasti apakah atau di waktu bilakah sesuai diletak narration. Mungkin narration sepatutnya tak menggambarkan gambar/perilaku yang sedang dipapar bermaksud kedua-duanya mesti tidak selari. Sudahlah begitu, ditambah pula dengan muzik latar merata-rata yang berbeza-beza mengikut situasi seakan mengerah emosi penonton. Walaupun berperang dengan deria yang berkecamuk itu, PF tertewas juga pada 2-3 babak yang meruntun emosi. Ada satu babak khas yang digemari iaitu menunjukkan cara murid-murid pergi sekolah dan ia dilakukan dengan amat baik ditambah dengan penggunaan drone. Pada satu ketika, ianya seakan homaj kepada babak filem Two-Legged Horse (2009) dimana terdapat pokok besar dan murid melepasinya untuk ke sekolah. Jika PF, pasti akan titik beratkan babak ini dengan lebih perlahan, memberi tribute kepada filem Iran tersebut walaupun tranportasi murid dalam Adiwiraku tidak sesukar dalam Two-Leggged Horse. 

          Berdasarkan kisah benar menjadikan ianya berbeza dengan filem setema dengannya lagi-lagi kisah sekolah di pedalaman yang mempunyai cerita menarik untuk dikongsikan. Apabila difikir semula, kedatangan adiwiraku mesti disambut tetapi dari beberapa aspek filem ini jauh dari sempurna. Adiwiraku sekali lagi menyatukan penonton Malaysia yang jarang kita saksikan fenomena itu. Kelihatan dalam panggung lebih kurang 20 orang berbilang bangsa pada hari Jumaat malam mesti membanggakan pembikinnya yang pertama kali mengarah filem. Orang selalu bertanya bagaimana hendak buat filem yang ditonton oleh semua bangsa? Inilah contoh salah satunya. Semoga Adiwiraku memberi inspirasi kepada golongan pendidik termasuk kanak-kanak harapan masa depan. Adiwiraku membasuh cerita-cerita negatif para guru yang terpampang di akhbar saban tahun dan sesuai sangatlah ditayang kat sekolah sempena Hari Guru.