1 Aug 2018

Review PULANG




PULANG (2018)
Kabir Bhatia
Drama/Pengembaraan
3.5/5 

PULANG, filem yang menelan belanja RM6 Juta ini mendapat sentuhan Pengarah, Kabir Bhatia yang dikenali handal mengait-ngaitkan saat manis disulam memori indah yang menggamit perasaan. Tidak hanya bergantung kepada kuasa cinta, pengarah bersungguh-sungguh menggembleng kepakaran pasukan produksi belakang tabir meliputi persediaan pra-produksi, pembangunan teknikal, pemilihan pelakon utama diiringi ratusan pelakon tambahan serta keseriusan menjana imej-imej memukau melalui teknik CGI yang mencecah nilai RM2 juta. Dengan saiz filem dan pasukan sebegini besar, sudah pasti jiwa penceritaan yang ingin disampaikan itu punyai berat yang membuatkan hati penonton bakal berbekas dengan pukulan emosi filem ini. Pulang mengisahkan tentang kesungguhan Che Thom menanti janji suaminya, Othman; seorang kelasi yang berlayar ke serata dunia - untuk pulang ke pangkuan keluarga biarpun sudah berlalu 3 generasi. Che Thom (Puteri Aishah) dan Othman (Remy Ishak) merupakan dua watak diilhamkan dari kisah benar yang menjadi pusat penceritaan kepada kisah cinta merentas zaman dan sempadan yang meruntun jiwa ini.

Semestinya, sesuatu yang baru bakal menambahkan lagi risiko sambutan penonton ke pawagam. Ini bukan mudah. Segala aspek perlu diambil kira termasuk busana, cara percakapan dan lokasi pada zaman tersebut. Kisah bermula sebelum zaman pemerintahan Jepun sekitar tahun 1940. Perit jerih menempuh hidup di lautan sebagai kelasi, hidup sang perantau dan kesungguhan untuk mengubah nasib diri pasti menjadi inspirasi kepada orang lain. Pulang menyaksikan berlalunya 3 generasi. Maka perubahan fizikal melalui pertukaran pelakon bakal berlaku terutama watak sedari kecil iaitu, Omar yang 4 kali tukar pelakon iaitu semasa kecil, remaja, dewasa dan tua. Manakala watak Thom (Puteri) hanya 2 kali, dan tidak ada pertukaran pelakon untuk watak Lum (Alvin) dan Othman (Remy). Terlintas di fikiran, adakah pembikinan CGI yang canggih untuk lokasi, tidak boleh dilakukan/guna kepada wajah-wajah Thom dan Othman yang menginjak tua? Kekangan ini termasuk Azrel Ismail yang terpaksa diganti dengan Datuk Jalaluddin semasa Omar tua. Adakah tiada pakar berkenaan ini atau isu masa dan bajet?

Pulang bermain dengan memori masa silam dan titik awal cerita adalah ingin mencari insan yang kehilangan setelah sekian lama dalam suntuknya masa. Suara Thom sebagai narator wanita berusia amat menarik perhatian kerana jarang suara mereka menjadi pencerita dalam filem. Bercerita dalam nazak, begitulah dia cuba melawan sakitnya sebagaimana Othman bertarung di lautan. Imbas kembali yang ingin disampaikan pada 45 minit pertama terasa perlahan dan mendatar yang diserikan dengan melodrama mendayu yang sinonim dengan Kabir Bhatia. Pada awal filem ini, kita fahami pembinaan hubungan yang dicipta antara Othman dengan Lum. Pun begitu, dalam keterujaan mengangkat filem ini ke takah yang tinggi, penonton mungkin berasa sedikit terganggu dengan beberapa persoalan yang timbul. Mengapa Thom hendak bercerita semua dan meminta Ahmad (cucu Thom) mencari suaminya, Othman ketika nazak? Mengapa Thom simpan terlalu lama ketika sihatnya? Mungkin ini yang terjadi dalam dunia nyata tokoh sebenar yang mengilhami filem ini yang kita tidak ketahui tetapi tidak pula diceritakan dengan jelas dalam filem. Ini belum lagi dikira dengan satu perbuatan Omar (Azrel Ismail/Datuk Jalaluddin Hassan) yang apabila dewasa setelah menjadi pelajar di London sehingga beliau nyanyuk yang membuatkan kita tertanya-tanya rasionalnya berbuat demikian berkaitan kehilangan Othman (saya tak nyatakan terperinci kerana spoiler). Tak pasti mengapa penulis skrip Mira Mustafa & Datuk Ahmad Izham Omar membiarkan persoalan-persoalan di atas.


Set lokasi Hong Kong yang menjadi publisiti utama semasa penggambaran filem ini tampak benar. Lokasi-lokasi lain pula menggerakkan cerita walapun ada antaranya (pelabuhan Okinawa, Madagascar, Pulau Jeju) disentuh hanya permukaan tetapi membuat kita percaya bahawa Othman betul-betul berada di tempat tersebut. Bayangkan ikan paus yang terlayar dan jarang-jarang ada dalam wayang kita, membuatkan mata terus terpaku. Set dalam kapal sangat meyakinkan dan memaparkan kehidupan dan bidang kerja kelasi cumanya tiada cerita khusus dalam kapal dipaparkan menyebabkan terasa sesuatu yang kosong di situ. Bercakap mengenai lakonan pula, semestinya produksi tidak salah memilih Remy Ishak setelah membuktikan dalam filem lebih kurang segenre, 29 Februari. Remy berjaya merautkan kedukaan seorang lelaki serta beban perasaan yang ditanggung selama ini. Perhatikan nanti gerak tubuhnya semasa di restoren dan rumahnya di Liverpool. Pembawaannya cukup mantap. Cuma latar Othman semasa di Liverpool tidak dijelaskan, bekerja sebagai apa? Kita tahu kehidupannya tidak berapa stabil berdasarkan hanya tempat tinggalnya. Persembahan para pelakon yang lain boleh dipuji iaitu Puteri Aishah yang pertama kali membawa watak heroin dan Alvin Wong yang selamba dan lain-lain. Cuma sedikit pelik, semasa Lum menyebut ganti nama “diorang”, adakah ganti nama itu telah digunakan pada zaman tersebut? Puteri Aisyah dalam segmen Di Balik Tabir mengatakan, Kabir sengaja tak mahu pelakonnya berbahasa baku untuk period sebelum merdeka. Mungkin sebab itulah perbezaan percakapan tidak berapa ketara antara 3 zaman ini (dikatakan dalam filem lama penggunaan bahasa baku dilebih-lebihkan). Pelakon tambahan pula berlagak semulajadi yang kebiasaannya pengarah kita sukar mengawal ramai pelakon yang bertindak di luar jangkaan.

Mengenali sentuhan Kabir Bhatia, penonton arif akan bahasa visual yang cuba dituturkan beliau lewat paparan di layar lebar. Kita teruja dengan bagaimana hubungan Thom dan cikgu ketika babak di tepi pantai. Thom dan cikgu menghadap ke pantai dan mereka dipisahkan dengan sampan besar di belakang dan kepala sampan ditengah-tengah. Lalu, Thom beralih ke 'bahagian' cikgu tetapi kepala sampan di tengah dibiar 'separuh skrin' seolah Thom boleh berpatah balik ke 'tempat asalnya' yang korang boleh rujuk pada penghujung filem berkaitan hubungan mereka. Sampan sebagai simbol kepada pelayaran kehidupan. Bagaimana jika sampan sebagai kenderaan untuk mencari rezeki telah tiada, i.e dijual untuk meneruskan kelangsungan? Begitulah Pulang bermain dengan analogi kehidupan yang menterjemah kisah keluarga Thom. Dengan keindahan lukisan kisah cinta, amat tepatlah lagu Layarlah Kembali (Aubrey Suwito & Ad Samad) melatari filem ini. Akan tetapi satu-satunya lagu era itu, Sayang Di Sayang memang tepat untuk mewakili zaman tersebut cuma sedikit terpotong-potong ikut babak tertentu mengakibatkan ia sedikit kaku dan pasti lebih baik jika ada tambahan latar klasik lain menghiasi dengan sewajarnya agar lebih feel pada zamannya.

Perkataan 'pulang' selalu bermain di bibir Thom. Kepulangan adalah satu yang amat bermakna kepada seseorang yang ditinggalkan. Apabila Othman menyatakan hasrat untuk pergi, Thom enggan melepaskannya asalkan suami ada di sisi kerana bukanlah harta yang didambakan. Namun, sesuatu yang dikesali apabila kepulangan yang ditunggu-tungu bukan suatu 'kepulangan' yang dinanti. Filem epik yang menggabungkan kisah kelasi kapal dan percintaan agung ini mesti disaksikan di layar lebar untuk kepuasan maksimum dari segi visual yang menjanjikan bahawa pelaburan yang dibuat adalah berbaloi.


No comments: