BISIK PADA LANGIT (2017)
KABIR BATHIA
Drama
3.5/5
'Memerah air mata dengan visual', itulah ringkasan yang PF boleh katakan setelah menonton habis filem ini. Filem ini mengheret penonton menjiwai watak seorang bapa (Jalil Hamid) yang sangat menyayangi anak perempuannya Siti Hajar. Dan dugaan mereka sekeluarga setelah Siti Hajar ditimpa musibah di luar negara mengakibatkan pertelingkahan sesama ahli keluarga di tanahair.
Katanya, setelah perbincangan dibuat, naskhah ini mempunyai potensi jika ditayang di layar lebar yang pada asalnya untuk TV saja. Tentunya orang di balik tabir lebih arif akan hal ini. Namun, sebagai penonton biasa yang kadang-kadang tidak nampak perbezaannya, kerana jika dipaparkan filem yang nawaitu asalnya untuk panggung pun ada nampak mcm drama TV. BPL mempunyai beberapa ciri ciri 'filem' pada shot-shot tertentu dan pada sinematografinya.
Banyak detik sangat menekan perasaan dan bermain dengan slow motion dan lagu latar syahdu menjadikan ia melodrama TV di sisi sebelah Rashid Sibir tetapi Kabir Bhatia tetap mempunyai trademark tersendiri. Anda bayangkan kegembiraan si ayah yang mendapat berita kelegaan lalu melupakan hal lain lalu terus 'berjumpa' tuhan, itu dan babak yang selanjutnya adalah saat paling sebak bagi PF. Sifat karakter Hajar pula dilihat tidak dibongkar luas iaitu dari tuduhan adik lelakinya itu. Seakan kita mahu percaya yang mana satu, perwatakan Hajar atau percakapan adiknya itu?
Persembahan Dee (Beto) dan ayahnya saling mengikat walaupun si ayah pilih kasih. Jika anda puas menderma air mata melalui Kau Takdirku, tak salah pula untuk melabur emosi dalam drama keluarga yang menyanjungi pengorbanan seorang ayah. Gembiranya sebenarnya filem bercorak drama mendapat tempat di hati peminat setelah sekian lama, setelah kejayaan The Journey (2014). Pelik pula filem Redha tidak seviral ini. Walaupun dianggap filem BPL dikatakan tiada isi dan ianya mengheret plot ringkas tetapi ia memberi kepuasan lebih dari segi emosi berbanding Redha. Bukanlah kata filem yang membuatkan kita menangis itu bagus, tetapi ia dipandang dari sudut yang lain pula.
I'M NOT A TERRORIST (2017)
ARJIN UPPAL
Aksi
2.5/5
PF mendapati sebelum tayangan, publik sangat teruja menantikan filem ini setelah melihat trailernya. Akan tetapi hype itu senyap selepas filem ini ditayangkan. Ini merupakan petanda yang buruk bagi filem itu sendiri. Kau anggap macam ni. Abaikan kewujudan polis di sebuah kawasan pedalaman seperti dalam filem Bunohan itu. Maka, samseng bermaharajalela melakukan aktivitinya seperti menembak sesiapa saja yang dia suka. Percubaan berani produksi ini mengambil Chacha Maembong dan Afiq Muiz sebagai peneraju utama dan penggambaran di Kashmir menelan belanja RM7 juta (The Star 5 Oktober 2017) - lebih mahal sejuta dari filem Tombiruo.
I'm Not Terrorist menonjolkan betapa ganasnya antagonis dalam melakukan aktiviti keganasan jual beli senjata dan dadah(?) tanpa mempunyai musuh tertentu, ianya berkait dengan Ummar (Afiq) yang pulang ke kampungnya setelah bergraduasi di MSU. Dinyatakan, ayah Ummar dahulu (telah mati) dipergunakan oleh kumpulan pengganas ini; Abu Zar dalam pengeboman berani mati pada satu ketika dulu. Atas sebab tertentu, Abu Zar ingin balas dendam dengan mempergunakan Dayana, kekasih Ummar. Filem ini seolah-olah terkongkong dengan kawasan yang agak terhad jika dilihat dalam filem. Kekuasaan pengganas seperti sukar dipercaya kerana tiada lawan yang kuat, sebaliknya hanya ditunjukkan dengan riak wajah ganas dan tembakan bertubu-tubi selain dialog "I'm evil from hell!" berulang kali. Persembahan Chacha boleh dikatakan so-so tetapi semakin meningkat ke akhir filem. Chacha, sebelum ini sinonim dengan watak gedik. Afiq pula bertutur bahasa Hindi kedengaran meyakinkan. Manakala CGI letupan juga hampir menjadi dan tidak kelihatan cacat. Walau begitu, tahniah atas pembikinan filem ini yang jarang dibikin oleh Malaysia.
SHUTTLE LIFE (2017)
TAN SENG KIAT
Drama
4/5
(Shuttle Life (SL) adalah terbitan produksi Malaysia) Apa yang PF dapat kesan, heroin filem ini Sylvia Chang yang juga pengarah di negaranya dan sinematografer Chen Ko Chin adalah warga Taiwan. Ini adalah antara karya pengarah yang pertama kali mengarah tapi hasilnya mengagumkan seangkatan Tunku Mona Riza, Khairul Azri dan Nik Amir. The Malaymail Online melaporkan juga: The actress (Chang) reportedly has also given many suggestions during their meetings to further improve the overall production.
Filem ini berlatarbelakangkan krisis air yang dialami oleh penduduk flat kos rendah yang didiami keluarga Qiang bersama ibunya yang sakit mental dan adik perempuannya Hui Shan. Secara ringkas, SL ada sedikit mengambil bau-bau Yasmin Ahmad dan jalan cerita ada sedikit seperti filem Mad World (Hong Kong-2016). Ia mendekati realiti penduduk taraf sederhana warga Cina dalam bandar disamping tidak mengabaikan ciri-ciri Malaysia seperti laungan azan, watak-watak tambahan berbahasa Melayu yang semulajadi sifatnya seperti polis, staf hospital dan banduan. Dua kelebihan di sini, di mana ianya diletak begitu bersahaja, bukan dicipta satu watak palsu menjadikannya lebih 'Malaysia'. Kedua, semua watak tambahan ini dikawal baik oleh pengarah. Contoh terbaik adalah staf hospital yang begitu bertatasusila melayan pelanggan berkerenah. Kita akan tersenyum sendiri melihat bagaimana misi/nurse itu bekerja. Kebanyakan penjawat awam dalam SL menjalankan tanggungjawab dengan berhemah.
Filem bermula dengan usaha Qiang yang 'mendaki' tangga ke tangki air di menara tapi akhirnya kecewa. Bukannya dia tak membantu keluarga, kesempitan hidup memaksanya melakukan kerja-kerja jenayah ditambah dengan keadaan ibu yang sakit. Penulis filem ini terus-terusan memaparkan hempas-pulas wataknya untuk mengecapi kehidupan di usia muda tetapi mulia dalam melindungi keluarga. Ini disokong dengan semakin lama filem berjalan semakin gelap ruang di dalam rumahnya (akibat pemotongan bekalan elektrik). Maka, apa yang berlaku dalam gelap hanya kepedihan sang anak terhadap ibunya. Begitu juga di waktu malam yang sinonim dengan kecelakaan dan perbuatan salah laku turut dipapar. Penulis dan pengarah sangat ingin menonjolkan sisi gelap masyarakat khususnya kaum Cina tapi kali ini bukan melalui gangsterism. Dalam banyak babak, adegan ahli parlimen kaya seakan tiada memberi sumbangan ke arah jalan cerita. Adakah ingin memberitahu kegagalan fungsi ahli politik? Ia tidak dijalin dengan Ah Qiang secara direct. Apa yang menarik, pengakhiran kisah dengan konsep terbuka ini menyaksikan, ke'putusan' bekalan air 'disambung semula' dengan air hujan dan ini seakan membasuh semula cerita Ah Qiang yang kotor itu dan memandu pulang kereta yang bukan miliknya sambil memberi 'rezeki' kepada ibunya.
*Pemberian rating adalah sah untuk filem itu saja, bukan dibandingkan dengan filem lain. Terutamanya yang berlainan genre.
No comments:
Post a Comment