26 Apr 2017

Kamar Seksa Bertema Lesbian


Kamar Seksa (2017)
M. Suurya
Drama
2.5/5 


Filem ini sepatutnya kontroversi tetapi itu tidak berlaku kerana tiada publisiti seperti memanggil ujian lakonan ujibakat seperti ...Dalam Botol pernah lakukan. Kedua, kemungkinan isu ini tidak lagi terlalu taboo di zaman sekarang. Atau kerana produksi ini - Garuda Film yang tak berapa nak glamour.  Tema LGBT dibawa oleh M.Suurya lebih menonjol berbanding yang lagi satu dalam Kamar Seksa (KS). Kalau nak ikutkan banyak lesbian moment dalam filem berklasifikasi P13 ini. Kenapa bukan untuk 18 tahun ke atas? Menarik lebih ramai skop penonton mungkin? Jika tak silap skripnya tulisan M.Subash. Dari amatan PF, mereka secara bergilir mengarah filem. Terkini sebelum KS adalah Cendol: Kepada Allah Aku Berserah arahan M. Subash, dimana setelah menontonnya admin berpendapat bahawa sukar mempercayai yang M.Subash yang mengarah Pensil. Jauh beza. 

Baiknya pula di sini, KS lebih baik dari Cendol. KS menjadi filem pertama dalam tontonan filem lokal PF yang secara terang-terangan menceritakan perhubungan cinta dua wanita tanpa selindung iaitu Marry (Ida Moin) dan Kitty/Khaty (Sazzy Falak). Seorang orang gaji Indonesia, Mona (Aiyuni) diupah untuk menguruskan satu rumah flat yang kecil dan hanya Kitty seorang saja yang mendiaminya! Tentu Kitty ada muslihat disebalik itu. Ia dilihat sebagai ingin menjadi yang terdepan dan mengikuti peredaran masa tetapi dialognya tak terlepas dari 'mute' LPF. Sedikit sebanyak kehidupan dunia lesbian dipaparkan yang selama ini kita disogokkan dengan kehidupan gay dan mak nyah. M.Suurya juga bijak menggunakan perlambangan kucing Kitty di dalam sangkar (Kucing=Mona) yang hanya di bawa keluar oleh Marry, tapi dalam masa sama Marry juga memukul Mona. Kisah mereka ini boleh pergi jauh jika diberi satu filem panjang dengan tambahan plot.

Kisah kedua adalah berkenaan Nur (Norkhiriah) yang berdepan dengan suami bermasalah dan usahanya melangsungi hidup. Kedua-dua kisah tiada kaitan dan tidak sikit pun 'tersentuh' seperti dalam filem Cinta (2006). KS dilihat sebagai kisah hidup wanita dengan cuba tidak memaparkan wajah lelaki tetapi anggota-anggota badan lelaki dalam bingkai gambar membawa maksud, mahu tidak mahu, wanita tetap memerlukan lelaki walapun menderita dan sebagainya. Kesemua pelakon wanita memberi lakonan baik terutama Sazzy Falak yang memberi nyawa kepada KS. Cuma karakter dan busana Kitty masih terdapat ciri feminin untuk digelar 'Pa'.

Watak Nur sudah banyak kali dia lakonkan dalam drama Melayu. Bosan dan saya tidak simpati kepadanya walaupun lakonan airmatanya baik. Boleh kata kisah keluarga Nur satu pembaziran. Lapuk. Contohi filem omnibus Ikal Mayang: Terpendam (2015), banyak sudut dari sisi wanita boleh disentuh cuma kena sesuaikan dengan konsep 'kamar seksa'lah. Dalam Ikal Mayang: Terpendam, cerita dimulai dengan kisah seorang transgender dan diakhiri dengan kisah pengkid, yang juga tergolong dalam dunia wanita yang terperangkap dengan masalah tersendiri. Namun, terpulang kepada pengkarya mahu tonjolkan tema apa? Janganlah tema berulang-ulang suami seksa isteri sampai kesudah.

PF tidak mahu sentuh dari segi produksi dan teknikal sebab saya mengenali filem-filem dari Garuda Film/Genius Parade (walau tak semua) yang mana mereka hanya bergantung harap pada cerita dan lakonan saja. Filem-filem daripada M.Subash & M.Suurya gemar membawa isu masyarakat bawahan dan pertengahan di luar bandar dan selalu lokasinya yang terhad. Lokasi terhad bukan alasan kepada terhad kreativiti. Usaha terus menerus memfilemkan sesuatu yang jarang dibikin oleh orang lain dan cinta terhadap sinema (kebanyakan filem mereka tak laku, boleh cari kerja lain) menunjukkan cinta terhadap filem tetapi perlu ada peningkatan berterusan.


2 comments:

Mrs. Hanani said...

Puas mencari filem.full nya tapi tak jumpa memang tak tahu pun adanya filem ini di pawagam

PerangFilem said...

Nak tahu, selalu jengok cinemaonline.com.my dan web finas