Arahan : Dain Iskandar Said
Genre : Drama/Thriller
Tahun : 2016
Rating : 4/5
Spoiler alert!
Setelah menonton filem ini, boleh dikatakan tidak serumit Bunohan walaupun PF menonton Interchange 2 kali. Berlatar belakangkan dunia moden tetapi masih tidak melupakan kotor-kotor bangunan dan lorong gelap, ternyata Interchange berjaya membentuk sebuah kota di salah sebuah negara di Asia Tenggara yang bermata wang dollar, bertutur bahasa melayu dan Inggeris. Mungkin kota fantasi atau mungkin klu itu membawa jawapan paling hampir, ia adalah Singapura & Brunei (yang menarik, pelakon-pelakon utama bukan dari 2 negara itu). Itulah identiti unik dan berkecamuk jika kita meneka-neka latar belakang Interchange. Mungkin sebab itulah bahasa campur aduk BM dan BI terlalu rojak, dan tidak kedengaran asli seperti di Malaysia. Pada PF mungkin lebih elok jika campur aduk itu tidak keterlaluan - selepas 1 ayat BM kemudian BI diulang-ulang.
Jurugambar forensik Adam yang berasal dari Sabah telah terjerat (terperangkap) dalam mainan Iva seorang Dayong (dukun puak Tinggang) yang pada mulanya dimisterikan wataknya dalam misi mencari beberapa lagi negatif kaca (NK) puak Tinggang dalam simpanan polis apabila dapat tahu Adam bekerja untuk polis. Kita tidak diberitahu bagaimana Iva 'kenal' Adam dan merancang duduk dihadapan apartment Adam sebagai perangkap. Adam pula seakan terkena sumpahan atau terganggu apabila memandang NK yang terakam individu puak Tinggang sejak terlibat dengan kes sebelum di kelab malam Eden lagi. NK ini adalah berusia 100 tahun dari tahun 1915 yang diambil gambar di Borneo oleh Carl Lumholtz seorang rakyat Norway. Buku beliau Through Central Borneo boleh digoogle untuk melihat gambar asal puak ini. Penonton dapat tahu akhirnya, Belian, Iva, Sani termasuk Uncle (Kin Wah) saling mengenali dan mempunyai 'kerja' yang perlu diselesaikan.
Sejak dari mula lagi, Interchange membawa pesona bahawa ia tidak menggambarkan sebuah filem Malaysia (ianya noir etc apa saja istilahnya, bukan seperti Kalam Malam Bulan Mengambang yang hitam putih), kecuali auranya sedikit seperti filem pendek Kekasih (Diffan Norman). Ini yang membuatkan ianya sangat istimewa. Bermula dengan perlahan (penonton dibelakang merungut filem ini lembab) tetapi sebaliknya admin sangat menikmati tiap babak dan perincian lain seperti props, lighting, make up dan sesetengah tutur dialog. Terdapat 2 babak goosebump yang membabitkan burung, lalu lebih sukar untuk PF tidak menyukai filem ini. Dain memang tak pernah gagal memvisualkan burung-burung ke imej yang ajaib. Walau pun kita dibiarkan sesetengah persoalan besar terbiar begitu saja. Pertama, sebenarnya kita tak tahu sejak bila Iva mengembara mencari 38 orang puaknya yang terakam dalam NK, kebetulan cerita ini penonton ketahui ia memasuki tahun ke 100 (1915-2015). Kedua, mengapa mangsa bunuh itu dibiarkan mayatnya lantas mudah bagi pihak berkuasa mengesan bukti-bukti. Adakah kerana tinggal beberapa saja mangsa lagi perlu dikorbankan lantas Iva/Belian sudah tak ambil kisah/penat? Ini kerana, kita kena tafsir sendiri bahawa Iva adalah orang terakhir dalam puak itu kerana Iva 'dibunuh' yang terakhir oleh sebab proses ritual itu perlu ada 2 orang melakukannya iaitu Belian dan Iva sendiri.
* Adakah 38 orang ini tidak sempat menyucikan diri di sungai setelah gambar mereka diambil?
* Peha Iva tercalit garis luka bilangan mangsa yang telah dibunuh (mangsa-mangsa sebelum ini mungkin di negara lain).
* Adakah 38 orang ini tidak sempat menyucikan diri di sungai setelah gambar mereka diambil?
* Peha Iva tercalit garis luka bilangan mangsa yang telah dibunuh (mangsa-mangsa sebelum ini mungkin di negara lain).
Lakonan para pelakon sangat baik kecuali beberapa watak kecil seperti Polis Jason. Shaheizy Sam agak berbeza dari lakonan mantap beliau yang lain seperti dalam Songlap. Dain berjaya mengubahnya kepada detektif yang sarkastik, eksyen tapi tegas dan mempunyai selera tali leher yang retro! Prisia dan Iedil Putra juga sangat meyakinkan terutama Prisia, dukun Dayong yang misteri dan pandai memanipulasi dari raut wajah dan tonasi dialog. Nicholas agak moderate kerana lebih kepada mainan dalaman.
Seperti mana dalam Bunohan, Interchange juga menjadikan burung enggang menjadi trademark pengarah. Spesis Helmeted Hornbill seperti yang tercatat di wikipedia merupakan spesis critically endangered bagaikan lambang puak itu yang hampir lenyap setelah sekian lama bebas hidup panjang. Babak di taman/sangkar burung enggang itu menekankan konsep terperangkap dan bebas pulang jika dilepaskan seperti roh yang terperangkap dalam kaca. Interchange merupakan sebuah idea segar dari penulis June Tan, Dain, Redza Minhat & Nandita Solomon pada tahun 2016. Supernatural, kepercayaan suatu kaum diselitkan dalam dunia moden hari ini. Rasanya akan lebih manis jika unsur mistik atau supernatural itu dimainkan lebih lagi. Seperti yang dimaklumkan awal, jalan cerita lebih mudah difahami dan universal. Penonton perlu berhati-hati dengan imej-imej yang menjadi mainan watak supaya tidak keliru sekurang-kurangnya pada pemahaman babak.
No comments:
Post a Comment