14 Apr 2016

Jiwa Sensitif Menonton Redha


Arahan : Tunku Mona Riza
Genre : Drama
Tahun : 2016
Rating : 4/5


Spoiler free.

Bismillahirrahmanirrahim. Filem pertama bagi tahun 2016 yang akan PF review adalah Redha setelah 2-3 filem kita pada tahun ini nampak memuncak pada aras lebih tinggi dari segi kutipan. Ianya perkembangan yang sangat baik di mana jumlah penonton semestinya telah bertambah dengan seiring pertambahan jumlah pawagam di negara kita. Redha mengisahkan sepasang suami isteri yang memiliki anak autism. Filem ini menunjukkan dari mula Danial dikesan mempunyai autism oleh ibunya lakonan cemerlang dan berbakat besar adik Harith Haziq dan June Lojong sehingga Danial menginjak remaja. Serius best gila!

Yasmin Ahmad pernah berkata beliau membuat Mukhsin dari hati sehinggalah Mukhsin mendapat pengiktirafan di Berlin. Bukan bermaksud yang dapat anugerah itu lahir dari hati dan yang kalah tidak. Filem yang dekat menghampiri Mukhsin itu dari pandangan mata PF adalah Redha buah tangan Tunku Mona Riza. Bukan Ola Bola tak lahir dari hati (misalnya). Ada perkara-perkara lain yang kita sendiri sukar nak terangkan. Redha menyucuk kebenaran seksanya menghadapi, mendidik, membesarkan seterusnya berhadapan dengan masyarakat yang diri memiliki anak istimewa ini. Boleh dikatalah, Redha adalah finest movie setakat tahun ini (tapi jaga-jaga Interchange. PF suka Munafik tapi ada sesetengah perkara yang membuatkan ianya 'cacat'). Sedangkan menonton Ola Bola pun tidaklah banyak kali tertumpah airmata sebegini. Itu petanda hasil kajian dan halangan pasukan Redha selama 2 tahun setengah mengenai kanak-kanak autism ini berjaya di samping faktor lain seperti lakonan dan kejujuran dalam berkarya. Ya, PF dapat rasakan itu. Mengambil latar Pulau Redang yang indah, sengaja diletak sebagai merehatkan pandangan mata dan jiwa manusia dalam pergolakan yang timbul. 

Pernah menghasilkan telefilem Parit Jawa, Tunku Mona Riza sekali lagi berani membuat sesuatu yang baru untuk ditunjukkan kepada industri kerana tidak pernah lagi filem tentang kesedaran sesuatu penyakit 'dikomersilkan' seterusnya memberi kesedaran kepada umum. Dan plus point ianya tak mengecewakan, itu yang penting. Namron sekali lagi mengekalkan momentum selepas Psiko pencuri Hati dan beliau jarang berlakon dalam filem-filem yang teruk (jika ada pun atas faktor cari makan mungkin!). Tak tahu apa lagi nak kata, jika faham apa yang ditulis, segera ke pawagam dan saksikan Redha yang penuh informasi tentang autism, pengajaran (bonus) dan produk terkini buatan Malaysia yang patut diambil perhatian dalam kemeriahan filem tahun 2016. Pengarah Finas Dato' Kamil Othman ada berkata filem seperti ini diutamakan sebagai wakil negara ke Oscar. Adakah Redha Oscar material? PF kurang pasti pula.


No comments: