7 Sept 2012

Babak Klise Dalam Filem Seram


ARTIKEL ASAL DARI TUPAI

Ada filem seram yang sememangnya seram. Ada pula filem seram yang lucu dan ada filem seram yang sepatutnya seram tetapi menjadi lucu. Mungkin ia disebabkan beberapa babak klise yang diselitkan dalam filem-filem ini. 

REFLEKSI CERMIN 

Watak utama (atau watak tambahan) pergi ke tandas. Kemudian dia ke singki untuk mencuci tangannya. Ketika dia sedang khusyuk mencuci tangan, refleksi di cermin menunjukkan ada entiti supernatural atau mungkin pembunuh bersiri sedang berdiri di belakangnya. Watak utama mengangkat muka atau menoleh ke belakang. Refleksi itu hilang. Oh sungguh klise. Namun begitu, ia juga babak yang sudah digunakan berkali-kali termasuk dalam filem “The Omen” (2006), “Prom Night” (2008), “Mirrors” (2008), “The Others” (2000), “I Know What You Did Last Summer” (1997), “Urban Legend” (1998), “The Shining” (1980) dan banyak lagi.

STATIK

Tidak sah sesebuah filem genre found footage tanpa adanya bahagian statik ini, yang menandakan isyarat hilang. Sama ada di permulaan cerita atau di pengakhirannya, bahagian statik ini bagaikan babak wajib. Selain daripada filem-filem found footage seperti “[REC]” atau “Paranormal Activity” pada tahun 2007, filem-filem seram lain juga menggunakan taktik yang sama, seperti “Saw” (2004), “The Ring” (2002) dan “Poltergeist” (1982) 

KEMUNCULAN DI BELAKANG

Seakan sama dengan refleksi di cermin, babak ini memerlukan watak antagonis (mungkin penjenayah bersiri, mungkin juga hantu) untuk muncul di belakang watak utama ketika watak utama tidak sedar atau sedang tercari-cari dalam ketakutan. Contohnya seperti hantu berpakaian serba hitam di belakang Daniel Radcliffe dalam “The Woman In Black” (2012), wanita gipsi Sylvia Ganush yang muncul di belakang Christine dalam “Drag Me to Hell” (2009) atau kebanyakan babak dalam “The Descent” (2005). 

EMAKLAH PUNCANYA

Klise watak pelacur adalah kerana masa lalu mereka dengan bapa mereka, dan klise watak sosiopat pula disebabkan hubungan mereka dengan ibu mereka. Siapa yang menyebabkan Norman Bates menjadi psiko kalau bukan ibunya dalam “Psycho” (1960) dan siapa lagi yang menyebabkan Jason Voorhies menjadi terkenal sebagai si gila dengan gergaji elektrik kalau bukan ibunya dalam “Friday the 13th” (1980). Bagaimana pula dengan ibu Michael Myers dalam “Halloween” (1978)? 

PENEMBAK TEPAT & PEMANDU PAKAR

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa dalam setiap filem berkaitan zombie atau pontianak, pasti ada seseorang yang pandai menembak atau pandai memandu trak. Lebih menarik lagi, ada juga yang pandai memandu kapal terbang atas alasan dia merupakan bekas tentera udara. Plot yang terlalu selesa nampaknya. Malah yang lucunya, tiba-tiba sahaja si gadis yang tidak pernah memegang pistol boleh menjadi penembak tepat. “Zombieland”, “The Plague”, “Resident Evil”, “30 Days of Night”, “Infection 2” - kami boleh namakan begitu banyak filem di mana seorang amatur tiba-tiba memiliki kehandalan menggunakan pistol setaraf penembak Olimpik. 

ITU SEMUA CUMA MIMPI?

Si gadis sekolah menengah melawat bekas rumah rakannya yang sudah mati tertimbus di bawah runtuhan rumahnya dan terkejut bila tangan si teman muncul dari tanah dan menariknya, lalu tersedar dari tidurnya dan terus menjerit. Si pemuda menyaksikan penerbangan terhempas dan terjaga dari tidurnya. Si wanita diserang dengan pisau cukur oleh seorang jururawat lelaki dan terus terbangun dari lenanya. Ya, semua itu adalah babak dari filem “Carrie” (1976), “Final Destination” (2000) dan “Dressed to Kill” (1980). Entah kenapa pengarah terlalu sukakan babak mimpi... 

BERDASARKAN KISAH BENAR

Terlalu mudah untuk mendapatkan perhatian peminat filem. Buat filem seram dan katakan ia berdasarkan kisah benar atau diinspirasikan daripada kisah benar. Bukan sahaja digunakan di Hollywood seperti dalam filem “The Amityville Horror” (2005), “The Exorcism of Emily Rose” (2005) dan “An American Haunting” (2006), kebanyakan filem seram dari Thailand juga gemar menggunakan gimik ini. Contohnya seperti “Shutter” (2004), “Coming Soon” (2008), “Burn” (2008) dan “Ladda Land” (2011). 

KUCING

Anda berjalan dengan rasa takut dan cemas di dalam sebuah rumah yang berpenunggu. Tiba-tiba seekor kucing hitam melompat di depan anda dan berdesis. Atau mengiau penuh marah dengan bunyi yang menyakitkan telinga. Atau menyerang anda dengan kukunya yang tajam. Kasihan si kucing. Ia tidak pernah terlepas menjadi bahan untuk menakutkan orang ramai, tidak kisahlah jika ia haiwan yang sangat comel. Tidak kisahlah sama ada dalam filem Korea Selatan yang bertajuk “The Cat” (2011), filem Jepun “JuOn The Grudge” (2002) atau ratusan filem seram dari “American Psycho”, “Jeepers Creepers”, “Night of the Demon”, “A Clockwork Orange”, “Pet Sematary” dan banyak lagi. 

MASALAH DI SAAT MENDEBARKAN

Anda sedang dikejar oleh sesuatu yang sangat menakutkan. Anda ingin memasuki kereta anda, atau membuka kunci rumah anda, atau sembunyi di dalam pejabat anda, tetapi tiba-tiba kunci anda terjatuh ketika anda sedang cuba membukanya. Atau anda ingin menembak pengejar anda, tetapi peluru jatuh berselerakan di atas lantai. Anda ingin membakar buku syaitan, tetapi mancis anda tidak mahu menyalakan api atau pemetik api anda jatuh ke dalam lubang. Daripada “The Eye” arahan Pang bersaudara, francais “Child’s Play”, filem-filem seram Jepun hinggalah filem-filem found footage seperti “Infection” atau “[REC]”, pengarah filem seram tidak pernah lupa untuk membuatkan anda menjerit-jerit di depan skrin meminta agar watak utama mempercepatkan tindakan mereka. 

POLIS YANG TAK MEMBANTU

Tidakkah anda rasa geram apabila setiap kali watak utama dalam kesusahan, pasti ada polis bodoh yang a) tidak mempercayai mereka, b) tidak menyiasat dengan lebih lanjut, c) tidak berhati-hati ketika menyiasat, d) mengurung watak utama di lokap, e) meminta watak utama masuk kembali ke tempat yang menakutkan itu untuk menunjukkan bukti, f) semua yang di atas? “My Bloody Valentine” (2009), “Monster House” (2006), “Blind” (2011), “The Descent 2” (2009) merupakan antara filem-filem yang memaparkan kebodohan polis.

ANTAGONIS BELUM MATI

Babak sebegini sentiasa membuatkan penonton rasa jengkel atau bengang. Sekiranya anda telah menembak watak jahat, bukankah anda sepatutnya memastikan mereka sudah mati dahulu sebelum membaling senjata anda ke tepi? Atau mungkin juga melarikan diri dengan secepat mungkin dan bukan duduk mengambil nafas. Namun begitu, watak-watak mangsa dalam filem-filem watak antagonis bersiri seperti “A Nightmare in Elm Street”, “Friday the 13th”, “Urban Legend” atau “Halloween” tidak pernah belajar untuk melakukan kedua-dua hal ini. Sebab itulah mereka selalu mati! 

1 comment:

fina.S said...

serius memang klise... haha