1 Jun 2012

Agenda 'bunuh' filem tempatan?



TIDAK dinafikan industri perfileman tempatan semakin berkembang pesat sejak lima tahun kebelakangan ini. Perkembangan itu diukur berdasarkan jumlah penerbitan filem yang meningkat saban tahun.

Pada tahun 2009 misalnya cuma 27 filem tempatan diterbitkan. Jumlah itu meningkat kepada 39 filem (2010) dan melonjak kepada 49 filem (2011). Angka itu dijangka terus meningkat sehingga 60 filem pada hujung tahun ini.

Malah menurut sumber Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kutipan tiket juga bertambah. Pada tahun 2009 kutipan tiket kasar filem-filem tempatan sebanyak RM50.84 juta, 2010 (RM85.97 juta) dan 2011 (RM124.85 juta).

Selari dengan itu juga, mulai 24 Mei lalu, dua filem tempatan ditayangkan serentak di pawagam-pawagam seluruh negara berbanding hanya sebuah filem sebelum ini.

Langkah itu ada rasionalnya dengan pertambahan bilangan pawagam dan kerusi di mana pada pada 2011 terdapat 639 skrin dengan 120,941 kerusi berbanding 571 skrin dengan 110,424 kerusi (2010).
Aku Ada, Kau Ada??? terbitan Pencil Pictures Sdn. Bhd. dan Hoore! Hoore! (Astro Shaw dan Independent Pictures) adalah dua filem tempatan pertama yang ditayangkan serentak melalui skim tayangan yang baru diperkenalkan itu.

Dalam senario hari ini, pertambahan bilangan filem tempatan memang patut digalakkan. Cuma yang kurang sedapnya, nisbah bilangan filem tempatan dan jumlah skrin dan kerusi yang disediakan seperti tidak memberi makna dalam erti kata sebenar kepada perkembangan filem-filem tempatan.
Ini kerana banyak pihak terlepas pandang dengan dominasi filem-filem asing terutamanya dari Hollywood, Hong Kong, Bollywood, Korea , Jepun dan Thailand yang semakin tidak dikawal.

Daripada statistik Finas, pada tahun 2005 sahaja terdapat 4,555 filem cereka dari luar negara telah ditayangkan di negara ini. Bilangannya bertambah kepada 6,915 buah filem dari pelbagai negara pada 2011.
Jika diteliti semula berdasarkan fakta dan statistik itu, maknanya pada 2011 sebanyak 6,915 filem asing telah bersaing dengan cuma 49 filem tempatan di pawagam-pawagam seluruh negara.

Jumlah itu tidak termasuk 1,757 lagi filem animasi asing yang turut ditayangkan pada 2011. Perbezaan itu sangat ketara dan memerlukan pemantauan daripada pihak-pihak tertentu terutamanya Finas.
Tidak dinafikan lambakan filem asing yang tidak terkawal banyak mempengaruhi kutipan tiket filem-filem tempatan. Contohnya, melalui tayangan dua filem tempatan serentak dalam satu minggu. Jika dulu, filem tempatan mempunyai ruang lebih lama uuntuk tayangan selain kurang persaingan sesama sendiri.

Pada masa sama, senario yang sedang berlaku itu juga mengurangkan bilangan panggung untuk tayangan filem-filem tempatan kerana kebanyakannya dikuasai filem-filem asing yang berstatus gergasi dan box-office.
Tidak ada gunanya pertambahan bilangan filem tempatan jika pada masa sama filem-filem asing dengan modal, kos penerbitan serta publisiti berskala besar lebih banyak mendominasi pawagam. Salah satu cara bagi mengatasi masalah itu ialah dengan cara mengawal kemasukan dan tayangan filem-filem asing di negara ini pada masa depan.

Jika filem-filem tempatan terikat dengan Skim Wajib Tayang Finas yang memberi masa tayangan sekitar dua minggu maka filem-filem asing juga sepatutnya dikenakan syarat tayangan tertentu.
Contohnya, setiap filem asing patut diberi tempoh tertentu seperti seminggu tayangan atau jika kutipannya menguntungan maka tayangan boleh dilanjutkan kepada dua minggu. Bagaimanapun, jika selepas seminggu jumlah penonton yang menontonnya tidak sampai satu pertiga daripada kapasiti sebuah panggung maka ia patut dihentikan tayangannya.

Ia bagi memberi laluan kepada lebih banyak panggung menayangkan dua filem tempatan serentak dalam satu minggu di samping memberi peluang kepada sesebuah filem tempatan untuk mengutip lebih banyak kutipan tiket dalam persaingan yang dicetuskan itu.

Dalam kata mudah, ketika filem tempatan bertarung sesama sendiri, mereka juga memecahkan lagi jumlah tontonan yang ada kerana ia ditonton oleh kalangan penonton yang sama.
Malah, secara tidak langsung filem-filem asing yang muncul dengan bajet, kos produksi, pemasaran dan promosi yang besar juga akan menenggelamkan filem-filem tempatan yang sedang ditayangkan di pawagam pada satu-satu masa.

Kalaulah senario itu berlaku maka filem KL Gangster terbitan Skop Production mungkin akan kekal menjadi filem tempatan paling tinggi kutipan tiketnya dalam sejarah. Sebabnya, filem tempatan manakah yang mampu mengatasi kutipan tiket filem arahan Syamsul Yusof itu dalam sistem skim tayangan baru yang lebih padat, ditambah dengan lambakan serta dominasi filem-filem dari luar negara selepas ini nanti?


Link ASAL


4 comments:

anuar said...

Kalau filem bagus orang akan tengok kan dude. Tak kira lah tempatan atau asing. Mungkin dah tiba masanya untuk filem melayu tak mengharap kepada Wajib tayang.

PERANGFILEM said...

penonton malaysia tak macam tu.. yang bagus tak ramai yang tengok.

anuar said...

Dalam kata lain yang masih mendominasi ialah filem yang anda atau saya anggap sampah. Sama ada dengan atau tanpa skim wajib tayang itu. tak kah begitu, hehe.

PERANGFILEM said...

of course lah :) Pada PF, kalau takde skim wajib tayang rasanya banyak filem yang akan dapat kutipan lagi rendah daripada yang kita lihat di laman web Finas tu. Hanya genre tertentu saja yang bertahan lama di panggung ikut trend semasa.