Di petik dari Getaran Seni
KARYA seni yang baik menyampaikan maksud dalam dua pendekatan iaitu teks dan subteks. Sesuatu yang bersifat teks adalah yang boleh dilihat mata kasar, sementara subteks perlu dilihat dan dirasakan oleh mata hati berdasarkan sejauh manakah ilmu dan penghayatan seseorang itu. Teks penting untuk menarik orang melihat dan subteks untuk membawa orang meneroka hal-hal yang tersirat menerusi tanda-tanda semiotik.
Filem pada umumnya adalah sebuah karya seni. Ini kerana filem mengadunkan pelbagai jurusan seni; lakon, nyanyi, muzik dan lukisan. Tetapi tidak semua filem bertaraf karya seni kerana sebahagian besar hanya ada teks tetapi tidak ada subteks. Bagi yang menganggap filem sebagai santapan minda dan jiwa, mereka akan menolak filem yang hanya ada teks dan menyampaikan pesan dan pemikiran secara didaktik.
Mesti ada makna yang berlapis-lapis untuk diterokai oleh penonton. Banyak filem Barat misalnya memperjuangkan Yahudi dan memberi gambaran buruk kepada Nazi. Tetapi pembuatan filem begini dibuat secara berseni dan tidak kelihatan sebagai propaganda untuk memuliakan Yahudi dan mengutuk Nazi. Dari sudut teks, filem ini mungkin dilihat sebagai memperjuangkan kemanusiaan. Tetapi subteksnya bukanlah kemanusiaan tetapi perjuangan Yahudi.
Malangnya sebahagian besar filem kita hanya berbentuk teks. Kalau hendak diandaikan, filem teks tidak lebih daripada kertas tisu yang digunakan untuk mengesat kekotoran kemudian dibuang ke dalam longkang. Begitulah juga dengan filem kita yang hanya menceritakan tetapi tidak ada sesuatu yang terlindung dan menuntut pemikiran untuk menemuinya. Filem beginilah yang berlambak di pawagam kita.
Sebab itulah juga filem kita hanya ditonton oleh remaja atau mat rempit sementara menunggu malam untuk membuat onar di jalan raya. Filem teks tidak ditonton oleh kelas menengah dan elit kerana ia filem yang kosong. Golongan berpendidikan tinggi tidak menonton filem kita yang hanya ada paparan tetapi tidak ada makna di sebaliknya.
Semiotik adalah suatu yang mendokong filem yang mengutamakan subteks berbanding teks. Ini adalah kaedah membaca sistem tanda atau perlambangan dalam karya seni, tidak kiralah karya sastera, filem atau lukisan. Ada kalanya pada luaran atau teks sesebuah filem itu tidak ada yang menarik tetapi dari sudut semiotiknya ia membawa persoalan atau gagasan yang besar.
Tetapi sebahagian besar filem kita hanya kelihatan besar tetapi sebenarnya kerdil dan kosong. Filem besar dan persoalan atau gagasan besar adalah dua perkara yang berbeza. Sebaiknya biarlah filem kita kecil tetapi membawa gagasan besar dalam subteksnya. Mahukah penerbit filem kita melakukannya?
1 comment:
"Tetapi subteksnya bukanlah kemanusiaan tetapi perjuangan Yahudi." Dan inilah subteks yang hanya mampu dan upaya dibaca oleh fikrah si penulis dan penonton. Persoalan ini adalah lumrah apabila si penulis tidak berani untuk melihat dengan lebih dalam, kritis dan mengambil cara penonton dari bangsa, agama dan negara yang berbeza, pada apa yang ditonton itu.
Penchinta Ruang Gelap,
Post a Comment