2 Aug 2012

Lagi Bodoh Lagi Bagus



Bulan puasa ni, PF takde mood nak tonton movie. Filem-filem kat wayang pun tak berapa nak mencengkam jiwa. Apatah lagi kehadiran Olimpik London menjadi perhatian PF ketika ini. Lagi artikel berkenaan situasi wayang kita sekarang.

Lagi bodoh, lebih bagus
Bersama ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

RATA-rata penonton berkunjung ke pawagam kerana mahu mencari hiburan. Ia juga salah satu cara untuk mereka lari sekejap dari dunia nyata.

Sebab itu, agak kelakar kalau ada yang kata ramai penonton sanggup berbaris panjang membeli tiket, bayar letak kereta, berhabis duit minyak dan tol kerana mahu belajar sejarah dan menimba ilmu di pawagam.

Kalau realiti itu sebaliknya maka sudah tentu kebanyakan filem Melayu yang ditayangkan di pawagam sejak 10 tahun kebelakangan ini akan menjadi mangsa sumpah seranah para penonton. Namun pengarah dan penerbit bernasib baik. Sajikanlah apa juga cerita, tidak ramai yang merungut. Golongan itu tiada masalah untuk berkarya. Kepala tidak sakit memerah idea yang bernas. Malah pihak penerbit juga senyum lebar kerana mendapat banyak untung daripada kutipan filem-filem terbitan mereka.

Buktinya, tahun lalu 42 filem tempatan telah ditayangkan. Sementara sehingga Julai ini 37 filem telah ditayangkan dan dianggarkan sehingga Disember ini tidak kurang 60 filem tempatan akan masuk pawagam.

Kalau diambil kira perkembangan yang sama, pada tahun 2000 hanya ada tujuh filem tempatan sahaja yang ditayangkan di pawagam. Ironinya pertambahan kuantiti filem itu menunjukkan sambutan para penonton.

Malangnya, di sebalik sokongan itu kualiti terutamanya daripada sudut pengisian filem tempatan semakin haprak. Isu yang diketengahkan tidak berdiri di bumi nyata. Ramai yang tidak sedar dengan realiti itu.

Menurut Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Dr. Hatta Azad Khan para penonton pula seolah-olah tidak kisah apabila dimomokkan dengan filem-filem yang jelas memperbodoh-bodohkan mereka.

"Ramai penonton yang sukakan cerita-cerita yang bodoh dalam filem. Mereka tetap terhibur menonton cerita-cerita yang bodoh. Tidak ada yang merungut atau marah. Ia semakin ketara sejak kebelakangan ini.

"Saya risaukan perkara itu tetapi ada penerbit yang kata tidak mengapa. Sampaikan ada penerbit yang menambah, itu belum cukup bodoh lagi. Kalau lagi bodoh maka lagi bagus," katanya dalam nada serius.

Hatta berkata demikian sebagai panel pada sesi dialog bertajuk Filem Malaysia: Kuantiti Atau Kualiti anjuran Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam menangani senario itu, filem tidak dapat lari dari elemen komersial. Beliau pernah mengarahkan filem bertajuk Wayang beberapa tahun lalu.

Filem yang dilakonkan antaranya oleh Eman Manan dan Ida Nerina itu sarat dengan elemen metafora, seni budaya Melayu terutamanya di Kelantan dengan berlatarbelakangkan survival persembahan wayang kulit.

Namun wacana Hatta yang cuba mengetengahkan isu itu dengan mengumpan serta menyulami kisah percintaan antara dua remaja lakonan Zul Huzaimy dan Mas Muharni kurang menarik perhatian para penonton.

Barangkali kerana kurangnya elemen bodoh memperbodohkan para penonton menyebabkan Wayang hanya tinggal sekadar wayang sahaja. Filem tempatan bukan sahaja dikatakan memperbodohkan penonton sebaliknya tersasar jauh daripada realiti masyarakatnya.

Banyak filem Melayu sekarang ini tidak lagi mewakili bangsa ini. Paling malang, dialek tempatan langsung tiada tempat dalam filem tempatan ketika ini.

Contohnya dalam filem Budak Kelantan dan Wayang yang menggunakan dialek Kelantan ia kurang mendapat sambutan para penonton. Sebaliknya, kini bahasa-bahasa mat rempit banyak mempengaruhi filem-filem tempatan.

Para penerbit yang berkiblatkan keuntungan tidak boleh 100 peratus dipersalahkan. Para penulis skrip, pengarah dan pihak kerajaan seharusnya campur tangan agar filem-filem yang dihasilkan lebih bertanggungjawab.

Tambah Hatta lagi, harus ada keseimbangan antara elemen komersial, hiburan dan nilai-nilai hidup yang boleh memberi keuntungan kepada semua pihak.

"Pengarah filem Indonesia, mendiang Teguh Karya pernah berkata kepada saya, selama mengarah filem dia belum pernah 'merugikan' penerbitnya. Mengapa dia tidak kata pembabitannya sebagai pengarah boleh menjadikan penerbit kaya raya," soalnya penuh makna.

4 comments:

Anonymous said...

hatta kena cakaplah dua filemnya yang diterbitkan oleh mig. Baru seronok dan mereka yang lain wajar juga memlihat dan memperkatakan filemnya itu. Kenapa tiada yang bersani cakap ha? Mungkin itu filem paling bijak pernah dibuatnya.

PerangFilem said...

haha.... Kembar Siang dan Senario Asam Garam kan?

Anonymous said...

kau ingat pun tajuk tu. aku dah lupa. sipolan tu tak berani cakap, filem lain dia hentam kau-kau tapi filem Dr Hatta dia senyap menikus. bukan dia tak berani cakap, kenalah kenang jasa dan budi hatta letakkan dia kat tempat tu..

PerangFilem said...

kurang faham di sini. Si polan tu maksud penulis artikel ini? then apa maksud kenang jasa budi Dr Hatta letakkan dia kat tempat tu..