7 Dec 2012

Bukan Harimau Malaya Tapi Bengal

Ingin kongsi di sini review Life Of Pi oleh Hassan Muthalib. PF memang tak buat ulasan untuk filem ini. Kita serah pada yang pakar. Kihkih... 

Life of Pi - 4/5 dari PF. 
Sumber FBHassan Abd Muthalib


MANUSIA, KAPITALIS DAN SINEMA DALAM 'LIFE OF PI'
oleh Hassan Abd Muthalib


Dari semasa ke semasa, akan muncul melalui medium filem satu persoalan, ia itu, apakah sebenarnya itu filem. Persoalan, isu dan renungan terhadap medium filem pernah dibawa oleh ramai karyawan filem di seluruh dunia, juga oleh sarjana dan pengkritik filem sejak awal abad yang kedua puluh. 

Karyawan filem sejati begitu perihatin – malah sedih - tentang apa yang sudah dan masih berlaku ke atas seni yang disayangi dan diceburi mereka. Kesedihan ini adalah terhadap sikap penerbit- penerbit filem dan penonton di seluruh dunia yang begitu gemar dengan filem-filem arus perdana yang tidak berdiri di bumi nyata dan juga penolakkan mereka terhadap filem-filem alternatif yang membawa pemikiran tentang alam, manusia.dan ketuhanan.

Persoalan kemunduran sinema di Malaysia pernah diperkatakan oleh Mansor Puteh melalui filem pertamanya, Seman (1987), oleh Allahyarham Anuar Nor Arai melalui Johnny Bikin Filem (1995), oleh Mamat Khalid melalui filem-filemnya, Zombi Kampung Pisang (2007) dan Kala Malam Bulan Mengambang (2008), oleh Dain Said melalui filem Bunohan (2012), dan terkini, U-Wei Hajisaari dengan Hanyut (2012). 

Pengarah tersohor masakini, Ang Lee, juga tidak terlepas dari meluahkan isi hatinya tentang perkara yang sama melalui filem terbarunya, Life of Pi, yang kini sedang berputar di pawagam. Ang Lee memilih untuk menyampaikan cerita filem Life of Pi melalui satu perbualan di antara seorang India (bernama Pi) dengan rakannya dari negara Eropah. Kisah itu benar-benar berlaku ke atas Pi semasa dia remaja dan ia merupakan sesuatu yang amat menakjubkan.


Kisah ini dilihat melalui teknik imbas kembali di mana diperlihatkan bapa Pi yang memilikki sebuah zoo di Pondicheri di Selatan India dan ingin berhijrah ke Kanada dengan membawa binatang-binatang di zoonya untuk dijual di Amerika. Dalam perjalanan dengan kapal, berlaku ribut yang dahsyat dan kapal itu tenggelam. Yang terselamat, hanya Pi dan beberapa ekor binatang, termasuk seekor harimau. Akhirnya, tinggal Pi dan harimau itu sahaja (yang bernama Richard Parker!) di atas bot besar yang sempat dinaikki mereka.

Filem yang baik mempunya teks dan subteks. Teks adalah yang tersurat (foreground story) dan subteks adalah yang tersirat (background story), yang merupakan nawaitu seorang pengarah filem semasa berkarya. Foreground story dalam filem Life of Pi ialah kisah seorang remaja dan seekor harimau. Tetapi apakah pula background story dan – yang paling menarik - bagaimanakah Ang Lee menggunakan foreground story untuk menyampaikan nawaitunya? 

Hermeneutik filem ialah seni membuat interpretasi daripada tanda-tanda yang berada dalam filem. Tanda-tanda ini sebenarnya menjadi petunjuk dan bersifat simbolik yang berkait rapat dengan tema dan subjek. Untuk memahami cerita sebenar sesebuah filem, lihatlah kepada bentuknya dan untuk memahami bentuknya, lihatlah kepada tanda-tanda yang disusun yang penuh bermakna.

Life of Pi membawa beberapa persoalan, antaranya: bukankah kebenaran itu lebih menarik dari sesuatu yang direka-reka? Bukankah filem itu sesuatu yang spiritual dan segala rahsia yang terpendam di dalam sinema itu hanya dapat digali jika seseorang itu melalui liku-liku hidup yang membawa kepada mengenali dirinya yang sebenar? Jika Tuhan sudah memberi petunjuk kepada seseorang, bagaimanakah dia boleh meyakinkan orang lain tentang rahsia-rahsia alam dan ketuhanan yang sudah dirasainya? 

Melalui pengarahan seni, Ang Lee menampakkan pengalaman Pi bersama harimau sebagai sesuatu yang menakjubkan. Alam terbentang indah dan malam membawa kepada kegemerlapan yang menakjubkan. Air laut dan ikan paus seakan muncul dari alam kayangan. Dan kesemuanya hanya dilihat oleh Pi. Kata-kata ibunya semasa Pi kecil dilihatkan Ang Lee sebagai benar, ia itu, apabila melihat ke dalam mulut dewa Vishnu, ia akan melihat sekalian alam cakerwala terbentang meluas. Segala kesan khas yang dilihat dalam filem-filem Hollywood masakini tidak dapat menandingi kebenaran ini. 

Visual awal memberi petanda bahawa Life of Pi sebenarnya mengenai sinema (sebagaimana Dain Said memperlihatkan dalam filemnya Bunohan melalui skrin televisyen yang memaparkan pelakon-pelakon dalam filem itu sendiri). Seekor girafah yang memakan daun-daun di atas pokok adalah petunjuk kepada filem Jurassic Park arahan Steven Spielberg yang mencetuskan fenomena binatang-binatang raksasa dalam filem. Dan kemudiannya, penerbit-penerbit filem berlumba-lumba untuk membikin filem-filem yang semakin spectacular. Akhirnya filem-filem bersifat spiritual kecundang di tangan kapitalis filem.

Selepas Pi diselamatkan dan berada di hospital, ia ditemubual oleh dua orang Jepun, wakil pemilik kapal yang tenggelam. Mereka tidak dapat menerima apa yang diceritakan oleh Pi. Mereka mendesaknya agar memberikan satu cerita yang boleh dipercayai oleh pemilik kapal. Akhirnya Pi akur kepada kehendak mereka.


Dua orang Jepun ini sebenarnya mewakili penerbit-penerbit filem yang tidak suka kepada kisah benar dan di luar pemikiran manusia biasa. Visual adegan ini digambarkan dengan warna putih pada kostum dan set untuk memberikan petunjuk tentang layar perak yang kini sudah tidak bermaya. Dan semasa Pi mereka-reka cerita yang dikehendakki orang Jepun itu, ia mengalirkan air mata, menandakan kesedihan di atas pembohongan yang dilakukannya.

Di akhir filem, rakan Eropah Pi tidak tahu samada apa yang dikisahkan oleh Pi itu benar. Ia membuat tafsiran (dari sudut ilmu Barat) bahawa harimau dan binatang yang lain di atas adalah metafora bagi manusia-manusia yang ditemui Pi. Dia membuat kesimpulan bahawa cerita Pi berakhir dengan kesudahan yang menggembirakan (a happy ending – seperti filem-filem arus perdana!). 

Pi hanya tersenyum dan mengatakan kepadanya: “Kini cerita itu sudah menjadi cerita engkau.” Tetapi apakah rakan Eropah itu (yang memwakili penerbit-penerbit filem di Barat) dapat memahami kata-kata Pi itu dan juga kata-kata lebih awalnya, ia itu: “Bagaimana kalau anda ada sebuah kisah yang membuatkan anda percaya yang Tuhan itu ada?” Apakah cerita sebegini digemari oleh penerbit-penerbit bersifat kapitalis? Pi menyerahkan kisahnya yang siap ditulis kepada rakan Eropahnya (syot menampakkan penulisan seakan sebuah skrip filem). 

Memang benar apa yang pernah dikatakan oleh U-Wei: “Filem itu spiritual.” Ang Lee mengajak kita merenungi semula kepada sifat sebenar sinema. Apakah sebenarnya sinema? Adakah ia semata-mata hiburan? Atau lebih dari itu? 

Di milenia yang baru ini, kita sepatutnya melakukan transformasi bukan regresi. Apakah Sinema Malaysia akan melihat nanti satu fenomena di mana penerbit-penerbit filem kita dapat merasai apa yang dirasai Pi dalam Life of Pi dan menghasilkan filem-filem yang sebenarnya filem? Ang Lee membuatkan kita merenungi kata-kata Pi: “Ia merupakan satu bayangan, ia membuatkan aku melihat kembali ke dalam diri aku.” 
Ini merupakan persoalan daripada Ang Lee dan ditujukan kepada kita semua.

Inilah persoalan yang generasi karyawan baru Malaysia menanti-nantikan jawapannya.


p/s : Dain Said: #BUNOHAN commercial dan artistic dlm hasilkan filem tak boleh digabungkan. Filem ialah cultural agenda — at Auditorium INTAN, Bukit Kiara. 

4 comments:

Anonymous said...

sekadar tanggapan. bukan satu perutusan dari langit yang wajib dipatuhi. segalanya ini bermula dari raung sedar dan bawah sedar si penonton. resahnya terbawa hingga ke resensi yang ditontonnya. Semua mahu dikatkan kerana itu adalah keresahan personal dirinya pada 'apa yang akan terjadi dan sudah terjadi pada cinema@wayang melayu.

Maaf, bila membaca resensi yang lain rujuk IMDb, maka kita akan memndapat pelbagai-bagai lagi pandangan dan pendapat pada apa yang ada didalam bingkai dan diluar bingkai.

itu indahnya wayang@filem @ cinema @ pak hassan.

Anuar said...

Overly campy. Nice visuals but not enough magic to lift it up. Some sweet moments, I loved the first part. Pity it went downhill after that.

Unknown said...

MEREKA YG KONTANG JIWANYA MUNGKIN MENONTON FILEM UNTUK SUKA-SUKA..! SEDANGKAN FILEM ITU MEWAKILI REALITI HIDUP KITA SETIAP HARI..! BAHAWA HIDUP KITA INI SATU LAKONAN DAN DUNIA INILAH PENTASNYA..! KITA SEBENARNYA TIDAK SANGGUP MENERIMA KEBENARAN DAN DIRI HAMBA INI SEBENARNYA SENANTIASA SALAH DAN SILAP..! MUNGKIN KEBENARAN DALAM FILEM YANG KITA HADAM HANYA KETIKA MENONTON PORNO..!

PerangFilem said...

well said commentators!