6 Dec 2012

Tanah Surga.. Katanya : Jatidiri Yang Tergoyah



Genre : Drama (Indonesia)
Arahan : Herwin Novianto
Pelakon : Osa Aji Santoso, Fuad Idris, Ence Bagus, Ringgo Agus Rahman, Astri Nurdin
Tahun : 2012

Filem Seumpamanya : Laskar Pelangi
Rating : 3.5/5


Haris dan Hasyim
Katanya. Sering kita dengar seakan memperli perihal orang yang mengatakan sesuatu akuan tetapi kita tidak mempercayai atau sangsi. Tanah Surga.. Katanya mengisahkan (TSK) Hasyim seorang duda, bekas sukarelawan Konfrontasi Indonesia Malaysia tahun 1965 mempunyai anak, Haris yang tinggal dan bekerja di Sarawak. Anak Haris, Salman dan Salina tinggal dengan Hasyim di sempadan Malaysia (Sarawak) - Kalimantan. Sebagai seorang yang berjiwa kental patriotiknya Hasyim berdegil tidak mahu ikut Haris menetap di Sarawak demi kesenangan hidup. Seorang doktor yang digelar doktor intel bernama Anwar yang baru bertugas di kawasan itu mula berkenalan dengan Astuti, satu-satunya guru di sekolah buruk dimana Salina dan Salman belajar. 

Filem ini mirip Laskar Pelangi berkenaan kanak-kanak dan ilmu tetapi PF tak mahu menyentuh dari segi itu. Filem ini sangat tajam dan lantang sindirannya terhadap pemerintah negara republik itu yang meminggirkan pejuang atau hero yang tak dinyanyikan di belah-belah perbatasan. Orang-orang seperti Hasyim ternyata begitu taat kepada nusa tetapi apakah kenikmatannya sebagai warganegara yang patuh? Rumah sakit terlalu jauh dan kemudahan telekomunikasi apatah lagi. Kemerdekaan bererti hanya di bandar-bandar besar bukan di situ. Lantas, keberdekatan dengan Malaysia menjadikan filem ini rapat dengan kita (Malaysia). Bukan saja mata wang ringgit, malah bahasa melayu Malaysia sedikit mempengaruhi kehidupan mereka dengan slang.... "dah makan ke...?" , kenape dan lainnya. Kadang-kadang rasa janggal mereka berbual kerana pelat atau memang sebegitu realitinya? Malah, pendidikan yang ketinggalan tidak mengenalkan anak-anak kepada lagu nasional dan bendera  adalah tanda bahaya kepada rakyat yang patriotik katanya. 

PF suka menonton muka-muka pelakon yang tidak dikenali tetapi memberi persembahan yang bagus iaitu Hasyim (Fuad Idris), Haris (Ence Bagus) dan Salman (Osa Aji Santoso) dan Fuad Idris berjaya menempatkan diri dalam calon FFI 2012 dalam Pelakon Lelaki Terbaik. Salman hasil dari kedaifan pendidikan pada awalnya dungu pasal tanahairnya tetapi dengan bersekolah daif itulah lama-kelamaan semangat patriotiknya melebihi bapanya yang telah menjadi warganegara Malaysia yang surga katanya juga. Sinematografi oleh Anggi Frisca boleh diberi kredit yang menggambarkan gelap perjalanan Haris dan Salina dalam hutan menuju Sarawak dan malam di perahu ketika menghantar Hasyim ke rumah sakit. 

PF kira latarbelakang waktu TSK adalah 3 tahun kebelakang hingga kini dengan petunjuk, penyokong Harimau Malaya di kedai makan yang berbaju kuning itu menonton tv perlawanan bolasepak Indonesia vs Malaysia, seakan provokasi halus. Bermaksud juga, keadaan di perbatasan ini masih sama keadaanya sehingga sekarang. Diabaikan. Pengakhiran filem ini sesungguhnya memukul orang Indonesia yang tertanya utuh dengan sifat jatidiri yang tinggi tetapi tertunduk dengan material dan desakan hidup. Memang berlaku di depan mata kita juga kan, bila warga asing berhijrah ke sini? Terfikir akan sensitiviti filem sebegini dengan kerajaan Indonesia, tetapi jika di Malaysia jika karyawannya ingin berkarya mengkritik kerajaan, agaknya sukar dapat kelulusan semasa proses tunjuk skrip di Finas lagi. Lain halnya, TSK malah diangkat sebagai salah satu calon Filem Terbaik FFI 2012. Jika dilihat dengan satu lagi filem yang bertanding dalam FFI tahun ini iaitu Perahu Kertas 1, rasanya sama hebat tetapi jika dibandingkan dengan Laskar Pelangi, PF memilih Laskar Pelangi. Walau bagaimanapun, PF percaya TSK sesuatu yang bermakna bagi rakyat Indonesia. Malah pemerintah itu sepatutnya 'malu-malu kucing' dengan filem ini. Jadi, adakah disitu Tanah Surga bagi mereka yang sebenarnya?

Puisi yang dideklamasikan oleh Salman menceritakan segalanya :

Bukan lautan hanya kolam susu .. katanya.
Tapi kata kakekku, hanya orang-orang kaya yang bisa minum susu.

Kail dan jala cukup menghidupimu, tiada badai tiada topan kau temui.. katanya.
Tapi kata kakekku, ikannya diambil nelayan-nelayan asing.

Ikan dan udang datang menghampirimu .. katanya.
Tapi kata kakekku, ssstt.. ada udang di balik batu.

Orang bilang tanah kita tanah surga .. katanya.
Tapi kata dokter intel, yang punya surga cuma pejabat-pejabat.

Tongkat kayu dan batu jadi tanaman .. katanya.
Tapi kata dokter intel, kayu-kayu kita dijual ke negara tetangga.

Orang bilang tanah kita tanah surga, tongkat kayu dan batu jadi tanaman .. katanya.

Tapi kata kakekku, belum semua rakyatnya sejahtera, 
banyak pejabat yg menjual kayu dan batu untuk membangun surganya sendiri.


2 comments:

Amir Fuad said...

Mereka bukan menggunakan Bahasa Melayu Malaysia tetapi dialek Melayu Pontianak yang digunakan di Kalimantan Barat. Dialek ini mempunyai sedikit persamaan dengan dialek Melayu Sarawak, Bahasa Dayak (Iban) dan dialek Melayu Johor.

PerangFilem said...

owh, terima kasih dgn info itu.