3 Dec 2013

Mutu Filem Merudum


FILEM KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof di mana moral dan akhlaknya untuk dijadikan rujukan masyarakat.
TAHUN lalu sebanyak 76 buah filem tempatan dihasilkan berbanding 49 buah filem pada tahun sebelumnya. Dari sudut kuantiti, ini memanglah satu perkembangan positif.

Lebih malang sambutan yang diberikan oleh penonton filem tempatan tahun ini juga merudum berbanding beberapa tahun sebelum ini. Jika dilihat kepada beberapa filem Melayu mahupun Mandarin dan Tamil tempatan, jumlah pungutan tiket cukup menghampakan sehingga ada yang hanya mendapat hasil jualan sekitar puluhan ribu ringgit sahaja.

Ya, benar sekiranya penerbit atau pengarah filem mengatakan bahawa pungutan tiket filem-filem luar juga sama. Mungkin ini adalah hakikat yang sedang dihadapi oleh industri perfileman global.

Bandingkan walaupun hanya 49 buah filem tempatan yang ditayangkan pada 2011 namun jumlah kutipan kasar mencecah RM126.49 juta berbanding 76 buah filem yang hanya mencatat kutipan sebanyak RM97.29 juta pada tahun lalu.

Pada tahun ini dengan 60 buah filem mencatat jumlah kutipan tiket hanya RM60.58 juta (sehingga September).

Tidak dinafikan ada faktor yang tidak diingini berlaku kepada salah sebuah filem tahun ini iaitu KL Gangster 2 yang telah dirakam rompak sebelum tayangannya sehingga jumlah yang sepatutnya diperoleh oleh pengarahnya lebur begitu sahaja.

Ini mungkin satu punca yang secara tidak sengaja berlaku tahun ini namun punca sebenar kepada merudumnya hasil jualan tiket pada tahun ini tidak boleh dituding kepada faktor ini sahaja.

Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini? Penonton atau pihak berwajib seperti Finas? Ataupun perkara ini berlaku disebabkan oleh sikap penerbit atau pengarah sendiri?

Tidak keterlaluan jika dikatakan mungkin perkara ini terjadi kerana sikap penerbit dan pengarah tempatan. Boleh dikatakan penghasilan filem yang bukan setaraf selama ini menjadi sebab utama mengapa situasi ini berlaku kepada industri perfileman kita.

Penonton tempatan mungkin sudah bosan dengan apa yang dihidangkan oleh setiap filem yang mereka tonton. Filem-filem yang buruk, tidak bermutu dan mempersendakan intelektualiti penonton berlambak di pawagam. Apakah pengarah atau penerbit mengharapkan filem-filem ini dijamah walaupun buruk, busuk dan beracun kepada akhlak masyarakat?

Setiap tahun, filem yang sama sahaja ditonjolkan. Filem yang bermutu untuk mengubati penyakit sosial pula boleh dibilang dengan jari.

Sekiranya penonton kita dihidangkan dengan filem-filem yang berkualiti mungkin situasi ini tidak akan berlaku.

Dalam hal ini siapakah yang sepatutnya membimbing penonton kita kalau bukan dengan filem-filem kita sendiri.

Penerbit serta pengarah sepatutnya sudah lama menyedari hakikat ini malah pihak berwajib seperti Finas misalnya perlu ada satu pelan dalam memastikan kelangsungan filem-filem bermutu tempatan.

Setiap yang terlibat dalam industri filem kita sepatutnya berganding bahu bagi mewujudkan suasana industri filem kita agar berada pada tahap sepatutnya.

Kalau sebelum ini banyak pihak menganggap dengan jumlah filem meningkat dan kutipan juga meningkat sebagai satu kemajuan. Ini bukan kemajuan kecuali industri filem menerbitkan filem yang wajar untuk ditonton.

Kita selalu terperangkap dengan angka-angka. Padahal filem sebagai karya seni yang berkait rapat dengan pemikiran tidak boleh diterjemah dalam angka. Maka padanlah orang tidak menonton kerana sikap pengarah dan penerbit sebahagian besarnya hanya mengeksploitasi penonton. Ini sikap tidak bertanggungjawab.

SUMBER



No comments: