Genre : Seram
Arahan : Ramesh
Pelakon : Aishah Ilias, Johan Asa'ri, Zaidi Omar, Azad Jazmin, Diana Johor, Wan Hanafisu, Sidek Hussin.
Tahun : 2013
Rating : 3.5/5
Ada sikit-sikit spoilerlah.
Persetankan dengan janji yang diberi oleh Nusa Seni Karya (NSK) yang ingin menjual filem ini dengan mengatakan di Youtubenya – lebih seram dari Conjuring, cinta lebih kuat dari Twilight, kerana apabila menonton trailernya sekitar bulan MAC tahun ini, PF tertarik untuk menontonnya bukan kerana frasa itu. PAKU merupakan filem tempatan ke 28 yang ditonton PF sepanjang tahun ini, ditulis oleh penulis skrip seram yang terkenal dari Indonesia, Alexander dan diolah oleh penulis Shariza Mahmud (yang membuat cameo juga) agar lebih berperisa lokal supaya dekat dengan selera penonton kita. Filem terbitan pertama NSK ini menaruhkan Ramesh sebagai pengarah. Setelah membaca beberapa artikel berkenaan projek ini nampak mereka berusaha untuk menampilkan filem yang baik untuk dipertontonkan.
Dengan sedikit menyentuh tragedi Highland Tower, ianya bukan kisah hantu dari bangunan usang itu. Ianya berkisar tentang Fahmi (Johan Asari) yang tidak menerima kenyataan isterinya Riana yang meninggal akibat tragedi tersebut lalu meminta bantuan bomoh jawa untuk menghidupkan semula isterinya dan terpaksa mematuhi beberapa syarat seperti tiada ayat Al-Quran di dalam rumah dan tidak dibenarkan laungan azan atau solat di dalam rumah, demi dapat hidup semula dengan isterinya.
Apa-apa yang melibatkan Zaidi Omar agak menarik, bukan saja slang mantera jawanya malah detik-detik antara Fahmi dan bomoh jawa saja berjaya menimbulkan semangat seram. Bukan seperti Conjuring yang lebih kepada detik-detik ingin memeranjatkan (hanya menyebut), PAKU lebih terus maksudnya natural e.g kurang bunyian efek untuk detik-detik cliché, ah kamu faham maksudnya kan? Terkadang tak lari juga dari efek yang kuat. Rania (Aishah Ilias) pula mengingatkan PF kepada hantu Maya Karin dalam Pontianak H.S.M juga boleh diberi kredit. Paku yang tercucuk membolehkan Rania hidup dengan Fahmi seperti sediakala. Namun ada masanya, Rania lapar darah bagi membolehkan dia hidup dalam keadaan seperti itu membuatkan Fahmi tidak tenteram. Apa yang menariknya, babak bomoh jawa ‘lawan’ bomoh melayu (Sidek Hussin) sangat mengujakan. Kisah-kisah buatan orang ‘menghantar’ ada dalam filem ini dan ia divisualisasikan dengan elok. Apatah lagi dibantu oleh plot sampingan Adam (Azad Jazmin dan Diana Johor) dalam dunia korporat tak lari dari mempercayai kuasa bomoh. Ada satu babak Diana Johor tiba-tiba di Highland Tower - shot jauh, agak epik jika tak keterlaluan PF katakan.
Sekali imbas, kisah paku ini sama seperti filem PAKU PONTIANAK lakonan Uqasha Senrose dan Pekin Ibrahim beberapa bulan lalu. Sudah tentu, PF lima kali lebih suka PAKU. Namun, PAKU tak lari dari elemen-elemen seram yang menjadi tawa di mata penonton namun, tidaklah menjejaskan filem dengan teruk. Pun begitu, ada beberapa persoalan ketika, Adam (Azad) memberikan gambar keluarga Fahmi kepada Bomoh melayu (rasanya ada gambar Rania) dan bomoh melayu itu tak sedar wanita yang datang itu adalah Rania? Bunyi Pontianak seperti bunyi harimau mungkin ada alasannya. Begitu juga dengan latar tahun kejadian H.Tower – 1993 mungkin tidak ada lagi bentuk rumah sedemikian (rumah hadiah bos Fahmi). Menonton PAKU memberikan kepuasan tetapi pengakhiran yang senang agak sedikit menghampakan. Sekurang-kurangnya filem seram sebeginilah sepatutnya dibuat, kenapa harus tunggu lama setelah sekian banyak filem seram kita yang kurang menjadi. Agak sedikit terkilan juga kerana penulis asalnya bukan penulis tempatan, walau bagaimanapun dibantu pengarah Ramesh berjaya menghasilkan yang terbaik. Tahniah untuk semua tenaga kerja PAKU.
No comments:
Post a Comment