Genre : Drama (Thriller)
Arahan : Nam Ron
Pelakon : Bront Palarae, Sharifah Amani, Syed Hussein
Tahun : 2013
Rating : 4/5
Kalau kau keluar panggung dan tersenyum maknanya kau puas dengan filem yang baru ditonton. Barulah bermakna dengan duit yang kau laburkan tu. Alangkah indahnya saat itu terutamanya kaki wayang seperti PF bahawa masa yang diluangkan sangat terisi. Dan apabila kau balik memandu pulang pun masih teringat-ingat dan tak sabar nak tulis reviewkan? (kalau filem buruk pun adakalanya tak sabar jugak nak tulis). Akan tetapi macam KL Zombi yang teruk tu, malas nak tulis semata-mata nak bagitau yang buruk-buruk saja dan cukup sekadar bagi rating 1.5/5. Memang menyumpah apabila keluar panggung. Kalau buat cerita macam tu tak payah guna novel pun boleh buatkan? Dan kalau agak-agak berat tak tervisualkan novel tu baik jangan buat kelak hasilnya teruk, yang katanya hanya berapa % saja ikut novel, kan dah lari roh novel tu. Dapat juta-juta tapi penonton yang hampa. Ok Grand Brilliance (GB)? Dahulu PF puji filem Chow Kit terbitan GB, biasalahkan tak semua filem satu produksi itu cemerlang.
Berbalik kepada Psiko Pencuri Hati (PPH). PF suka nak bandingkan dengan filem SAM. Kalau SAM macam tu, PPH lagi atas dari SAM untuk genre yang sebegini. Sebab apa PF kata begitu? Ada beberapa sebab yang jelas. Yang buat SAM sedikit ke belakang adalah permulaan yang lemah (Tengok SINI). PPH pasal manusia psiko. Manusia yang obses dengan apa yang dilakukan untuk mencapai kesempurnaan dan kepuasan. Sehingga manusia sejenis ini saling bertemu apa akan jadi? Secara terusnya, mencuri hati, untuk membunuh dan mengambil hati manusia supaya hati jahat tidak lagi berleluasa, merupakan inti apa yang ingin digerakkan oleh sutradara dari situ. Nam Ron, siapa tak kenal, baru kali ini dapat tonton filem arahannya, setelah Jalan Pintas tiada berpeluang dan harap sangat dapat tengok. Lakon layar PPH adalah usahasama beberapa orang seperti Ayam Fared, Nam Ron sendiri, Sharifah Amani dan beberapa lagi PF tak tak sempat nak tangkap semasa opening kredit, sangat berkesan, dialognya (yang bercampur dengan bhs Inggeris).
Ada beberapa line yang menangkap keluar dari mulut Khai (Syed Hussein) dan Wani (Sh. Amani). Oh tak lupa, Man (Ameerul Affendi) dan Sidi (Bront), ah kira semualah. Apabila talent ini bergabung, maka terhasillah lakonlayar yang cemerlang dan ditambah dengan warna filem, seakan psiko menjadi alam kekalutan manusia yang tercari-cari kebahagiaan yang amat sukar. Ditambah dengan sinematografi yang kena membuatkan PPH menambah mata jika dipertandingkan. Cuma satu yang tak puas adalah, mungkin kita terbiasa dengan filem jenis psiko atau thriller, PPH membongkarkan rahsia dengan mudah dan tidak membuang masa membuatkan PF tak rasa puas akan hal itu. Kurangnya tanda tanya membuatkan penonton hanya terus dihidangkan penyudah seumpama lauk yang tunggu dilapah sampai kenyang. Ini mesti ada kena mengena dengan penonton Malaysia yang malas berfikir (kadangkala PF pun begitu). Mungkin Nam Ron tak mahu ianya terlalu berat dan sesuai dengan penonton kat sini. Sebenarnya PPH ada ciri-ciri drama berat tapi dilonggarkan dengan kesimpulan mudah yang disebut tadi.
Ada satu watak sidekick kepada Sidi, yang PF telah dijangka lagi semasa Sidi takut-takut lari ke bawah katil, damn.. dan berkata dalam hati ‘aku tahu siapa dia ni’… merupakan sidekick yang kadang-kadang pelik seawal di kedai kopi, kemudian lama-kelamaan, barulah sidekick ini beralun mengikut karakter Sidi. Dan yang paling penting, aduh… PF terkesima dengan lakonan Syed Hussein a.k.a Sein sebagai Khai seorang suami yang cuba menyelamatkan rumahtangganya dan apabila filem ini semakin menunjukkan taringnya, maka taring Sein pun turut keluar dan belum pernah rasanya dia membawa watak sebegini. Pemilihan yang tepat bagi watak Khai dan PF bagi thumbs up! Kedua, Bront, of course kita tahu lakonannya hebat. Cuma sejak akhir-akhir ini lakonannya terlebih-lebih (mungkin tunjuk ajar seseorang pengarah filem yang dibintangi), tapi kali ini dia membawa keadilan pada watak penulis novel yang mencari resepi seorang pembunuh ke dalam novelnya. Sharifah Amani, perghh, kau rasa tak riak wajahnya semasa dia mula-mula ‘diperkenalkan’ kepada penulis novel MANGSA iaitu Sidi di meja makan tu? Seakan terpancar diwajahnya betapa hatinya menjerit tetapi diselindungkan. Sebenarnya tiap ketika Amani hebat dan satu lagi part ketika dia menangis di sebalik satu barang/benda ketika Khai sedang nangis memujuknya. Begitulah, jika aktor-aktor hebat bergabung dan kena dengan arahan sang pengarah, maka terjadilah sebuah filem yang baik.
Menikmati PPH terasa masa berlalu seakan pendek kerana kita dihanyutkan dengan lakonan, kata-kata dan gambar yang menawan lalu mencari sisa apakah lagi yang bakal menandingi PPH hingga hujung tahun ini.
p/s : tertunggu filem kedua Khir Rahman.
1 comment:
Betul la, memang rasa cam tak puas walaupun mantap. Kat mana tak kena kurang pasti.
Post a Comment