Showing posts with label Komedi. Show all posts
Showing posts with label Komedi. Show all posts

1 Aug 2018

Nafas Baru Hantu Kak Limah Tanpa Lupakan Nafas Lama



HANTU KAK LIMAH (2018)
Arahan: Mamat Khalid
Rating: 4/5
Komedi, seram

Terdapat sedikit spoiler namun tidak menjejaskan keseluruhan sinopsis. Jangan baca jika mahukan excitement yang lebih sehingga anda tonton sendiri.

1. Francais keempat Kg. Pisang setelah:

Zombi Kg. Pisang (2007)
Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)
Husin, Mon & Jin Pakai Toncit (2013)

dan sekuel ketiga bagi Hantu Kak Limah.

2. Gambar yang lebih terang dan cantik memberi gambaran baru bagi filem Mamat Khalid (MK). Ini disokong pula dengan tulisan kredit berwarna putih (adakah ini melanggar pantang?) yang amat jarang sekali filem seram memberi petunjuk bahawa ini adalah persembahan yang segar dari siri Hantu Kak Limah dan Kg. Pisang.

3. Lebih humor dengan keletah penduduk Kg. Pisang. Anda akan terbahak-bahak menyaksikan mereka dan watak baru, Khuda yang seakan berkarakter seperti seekor kuda yang sukakan perempuan yang lebih tua, watak guru silat muda, Solihin yang 'tidak berguna', dan Nayan dengan lawak Inggerisnya yang pasti korang akan pecah perut sampai kokak! Gambaran penduduk Kg. Pisang yang bermasyarakat dalam menghadapi permasalahan bersama dan aktiviti orang Melayu masuk hutan menangkap burung adalah nostalgia yang dikembalikan semula ke layar perak setelah Jibam (2017).

4. Jalan cerita yang baru. Ianya bukan 'just another hantu Kak Limah' atau berkesinambungan dari filem sebelumnya. Ia berkaitan cinta antara watak si mati dan watak hidup, tetapi ada kejutan di hujung cerita yang tiada gambaran langsung pada awalnya.

5. Watak Hantu Kak Limah ditonjolkan dengan lebih banyak babak. Ini salah satu yang menyumbang kepada 'nafas baru' siri Kak Limah. Berlebihan bukan bermaksud hilang keseraman, tetapi ditutupi dengan latarbelakang muzik seram yang perghh.. padu yang selalu kita dengar dalam filem seram luar. Tak pun, filem seram klasik. Terima kasih kepada skor muzik Zulkiff Headwind dan penata bunyi, Manop Janjarassku. Tahap kebagusan HKL naik setakah.

6. Sinematografi oleh Jack Rahmad yang jarang dilihat dalam filem M.K. Bukan tiada tapi kali ini lebih ketara. Banyak bermain dengan pencahayaan terutama dalam bilik dan di kilang arang itu sangat menawan! Terdapat babak pegun di mana 3 watak sedang duduk di kilang arang di waktu malam itu favorite PF. Akan tetapi, penggunaan lampu yang sangat terang dalam hutan dan sinaran lampu yang agak 'direct' dalam beberapa babak, kelihatan agak tidak natural juga.

7. Parodi kepada filem popular Thailand, Nang Nak dan homaj kepada filem Pendekar Bujang Lapok. Pasti korang akan dapat cam babak yang dimaksudkan bukan alasan korang untuk mengatakan M.K tiada idea. Ia ditambah dengan kreativiti M.K menjadikan filem ni penuh warna dengan watak-watak yang sedia ada berwarna.

8. Politik dalam HKL disentuh dalam bentuk satira dalam watak Yeh Sekupang (Allahyarham Rab Khalid) yang bercita-cita untuk menjadi ketua kampung dan Abe Yie (Sabri Yunus). Lihat saja Abe Yie memakai baju biru tua dan putih mewakili politik siapa? Perkataan 'bangsa' pun menjadi sebahagian dialog tau!

9. Dalam perjalanan meniti naratif, PF khuatir ianya tersasar. Ya, ada sedikit, tetapi tidak pergi terlalu jauh dan M.K segera u-turn ke landasan asal. Mungkin ini perasaan PF saja di mana babak lagu Hatiku Luka Lagi oleh Black Dog Bone yang tiba-tiba masuk, padahal sebelumnya babak cemas. Kesasaran juga adalah babak hantu Jepun yang bangkit dari kubur tetapi tidak berlebihan.

10. "Nafas lama" - terdapat pengulangan babak dari filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mungkin sebagai resepi komedi dimana dahulunya berjaya membuat penonton berdekah. Adakah ia memberi impak yang sama kali ini? Hubungan Eton (Uqasha) dan Awie juga mengulang formula lama tetapi tetap manis dek keayuan Uqasha Senrose dan sebagai love touch dalam filem.

11. Garapan tentang dunia bunian yang tidak janggal dan menjadi. Malah penampilan Mus May amat berjaya dan kelakar pulak tu. Cayalah! Penampilan bintang dan selebriti wanita yang tidak sia-sia dan cara kemunculan juga 'ada style' tetapi tetap memberi suasana seram.

Jadi, adakah HKL setaraf dengan Pee Mak atau anda boleh kaitkan dengan filem-filem komedi seram lain? PF rasa sekuel kali ini berjaya dan mengembalikan populariti Kak Limah kalau tidak melebihi yang pertama, ianya sama level dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Saksikan pada 9 Ogos nanti.


2 Nov 2016

Jeng Jeng Jeng. Surprise!



Arahan : Eirma Fatima
Genre : Animasi/Komedi
Tahun : 2016
Rating : 3/5


Terdapat sedikit spoiler.

Sebelum PF menulis mari kita semak sekejap bahawa projek asal Upin Ipin The Movie adalah Upin Ipin Angkasa yang telah dibatal/tangguh dan diganti dengan Jeng Jeng Jeng ini. Pada anggapan PF, kemungkinan idea angkasa/angkasawan mungkin terlalu fantasi atau jauh dari realiti barangkali untuk menyemai cita-cita sebagai angkasawan bagi kanak-kanak di Malaysia. (Pada 2017, diberitakan Les Copaque (LC) akan buat sepenuhnya filem animasi 3D). Oleh itu, LC menggantikannya dengan kisah anak yatim di Darul Makmur, dimana Noreen anak kepada arwah Hj. Makmur menghadapi cabaran untuk mengelakkan tanah rumah anak yatim jatuh ke tangan orang lain. 

Untuk memberi sedikit bayangan, filem Upin Ipin (UI) kali ini bukan mengenai UI dan kawan-kawannya dari Durian Runtuh itu. Sama sekali jauh dari sirinya di kaca TV dan idea ini adalah dari Hjh Ainon iaitu isteri kepada Hj Burhanuddin pengasas LC. Mungkin team LC ingin 'melupakan' sebentar geng-geng UI yang lain sebelum animasi 3D sepenuhnya yang disebut tadi. Di sinilah mungkin JJJ terasa tidak lengkap. Namun begitu, gabungan lakonan hidup dan animasi merupakan sesuatu yang baru yang ditawarkan oleh LC. Filem sejenisnya pernah ada seperti Mat Gelap, Mantera, Cinta Kura-Kura dan sedikit dalam Aliff Dalam 7 Dimensi. Aqish kanak-kanak yang amat meminati kartun UI, seorang yang rapat dengan Kak Noreen (Sara Ali). Apabila dapat tahu yang Noreen terpaksarela menyerahkan tanah kepada Abang Jahat (Gambit), Aqish sangat berduka.

Filem ini dimana isinya sedikit dewasa untuk difahami kanak-kanak 7 tahun (kot) ke bawah. Masalah penyanyi yang sudah tak popular, perebutan tanah (bunyi klise) dan mencari penaja konsert melingkari filem ini. Watak UI dikategorikan sebagai watak sampingan kepada Aqish. Wataknya agak 'ringan' jika difikirkan. PF menganggap UI akan 'kembali masuk' ke Durian Runtuh di babak tertentu dan di mana perlu. Satu, sebagai sedikit kesinambungan dari siri TV dan kedua supaya wataknya tampak 'lebih berguna' berbanding sekadar side kick. Tetapi Hjh Ainon tidak mengambil pendekatan itu. Jadi, dialog Upin/Ipin yang berkata "jom kita minta tolong Opah" tidak membawa kita ke kampung Durian Runtuh. Maksud 'lebih berguna' di sini bermaksud UI digelutkan sekali dalam konflik jika ingin mencipta filem animasi sederhana berat sebagaimana mungkin seperti Inside Out atau Zootopia kerana laluan itu (konflik orang dewasa) sudah wujud. UI dan Aqish di sini terpisah umpama Upin & Ipin itu angel yang datang membantu dalam filem orang putih. Ianya dikuatkan lagi dalam pesanan UI di akhir filem. Dan jangan disangkal, cerita anak yatim tidak lari dari emosi dan ianya berjaya di tangan Puteri Balqish dan UI. Ia membuka mata bagi kanak-kanak menyelami permasalahan rumah anak yatim atau yang kurang bernasib baik.

LC mengambil berat tentang cast. Walaupun Bo iaitu watak pengurus Awie itu nampak mudah tetapi Remi Ishak menjadi pilihan kerana kita ketahui beliau antara pelakon besar di Malaysia. Dan kamu sangkakah Awie seorang penyanyi rock dalam filem animasi seperti Upin Ipin ini? Dua pelakon ini adalah bonus besar Jeng Jeng Jeng. Himpunan pelakon kanak-kanak sebagai anak yatim juga tidak kaku dan pandai berlakon. Kecomelan adik Mimi berlakon memikat hati admin hihi. Dan yang penting gabungan komputer grafik UI dan 'live action' yang menjadi tunjang filem ini sangat smooth dan hidup antaranya babak UI di langsir, ini semua adalah atas usaha sama produksi KRU. 

Jeng Jeng Jeng telah menampakkan sisi matang dalam versi filem panjang dari kisah hantu Kg. Durian Runtuh dalam Geng Pengembaraan. Ia berjaya lari dari siri TV dimana itulah yang sepatutnya walaupun subjeknya masih sama iaitu 'anak yatim'. Isinya semakin mendewasa dan memberi kisah positif kepada kanak-kanak. 


18 Aug 2016

Dukun Doktor Dani tidak PEKAK



Arahan : Sabri Yunus
Genre : Komedi
Tahun : 2016
Rating : 3.5/5



Mendengar nama Sabri Yunus pasti kita teringat drama-drama berkualiti beliau di kaca TV. Pabila mendengar ini adalah filem pertama beliau pasti kita mengharapkan sesuatu yang sama. Namun, beliau tak mahu memulakan drama berat sebagai permulaan, bahkan ianya eksperimental komedi dengan mengutamakan bukan pelawak iaitu Taufik Batisah seorang penyanyi sebagai hero dan dibantu Ameerul yang membantu banyak menyelamatkan filem ini. Ia berkenaan kehilangpercayaan, putus asa, kemudian cuba meneroka dunia lain yang masih bersangkut-paut. Komedinya sederhana, tidak banyak saat lucu kecuali dibeberapa babak. DDD bukan berkenaan kerja-kerja perubatan/penyembuhan, tapi lebih kepada cara untuk meneruskan hidup atau pilihan selepas itu. 

Taufik hanya melakonkan watak seadanya kerana dialognya bukan berbaur komedi. Di sini DDD hilang taringnya kerana Dani seorang doktor, jarang kita ketahui doktor seorang yang kelakar sifatnya. Agak terhad jika ingin teroka watak doktor sebegini. Arwah Pak Yus pula bukan seperti melakonkan watak-wataknya dalam Maharaja Lawak Mega atau di TV lainnya. Sabri berjaya meletakkan wajah lain Pak Yus yang komedi ini bukan biasa-biasa. Watak Raysha Rizrose agak mengganggu perjalanan cerita menjadikannya kurang lancar. Sebenarnya juga, agak sedikit kecewa apabila Sabri kurang menjaga bab pelakon tambahan/penduduk kampung yang agak kaku (diberitakan penduduk sangat memberi komitmen semasa penggambaran). Tema DDD agak jarang disentuh iaitu pertembungan dua profesion iaitu moden dan tradisional dalam filem kita merupakan satu poin yang boleh diberi kredit selain latar kehidupan penduduk kampung melayu dan sinematografinya.



Arahan : Mohd. Khairul Azri
Genre : Drama
Tahun : 2016
Rating : Definitely 4/5


Pengarah baru tetapi pelakon-pelakon adalah terdiri dari pelakon hebat tanah air. Bagaimana hasilnya, tulisan Alfie Palermo dan seorang lagi teman, maaf lupa nama. PF akan cuba tidak memberi spoiler. Pekak adalah kisah tragedi cinta Uda dan Dara berlandaskan kegiatan dadah, seks dan keruntuhan moral. Sangat berani dan terbuka. Terdapat babak yang agak 'mengganggu'. LPF agak longgar sedikit kali ini tapi masih terbatas. Plotnya mudah saja malahan bukan cerita baru. PF risaukan akan ada yang meriuhkan moral filem ini berbanding sedikit nilai murni tentang kehidupan remaja yang mula terjebak dengan dunia kotor, sekotor dan sekuning gigi-gigi watak pada awal-awal filem. Ishh memang jijik pulak menengoknya. Bayangkan, doktor pun gigi berkarat. euuwww.... Well, ini sebahagian 'filem'.

Pekak pandai bermain visual, penataan seni (contoh, rumah Azman, bilik Uda) dan simbol. Paling dapat tangkap adalah baju Dara yang koyak dan name tag sekolah Dara, babak Melor dan Dara menunggu Azman Picaso di tepi flat itu sangat favourite dari angle atas. Bingkai berkuasa apabila perbuatan Uda menunggu keretapi lalu untuk mendengar bunyinya berlatarbelakang batu-bata merah. Segalanya berjalan lancar dengan kurang rungutan. Gandingan Sharifah Sakinah (Melor) dan Sharifah Amani yang pertama kali PF tonton sangat menjadi. remaja yang baru nak kenal dunia. Cuma, Sh. Sakinah boleh bagi lebih daripada itu, mungkin kekangan tapisan menyebabkan usaha keberanian terbantut. Berilah peluang pada Sh. Sakinah watak-watak berat lagi wey. Nak tengok! Ingatkah dengan telemovie Racun Menantu di mana Sh. Sakinah dengan Zaidi Omar yang sangat daring tu? Bukan bermaksud watak-watak penggoda atau seks oriented, tetapi lebih serius dan berkarakter. Ameerul Afendi sekali lagi mencuri tumpuan sebagai Azman Picaso, penagih dadah berjiwa seni. Macam watak Sofi Jikan dalam Amir & Loqman Pergi ke Laut. Semua pelakon memberi persembahan jitu, ini adalah pakej lengkap. Percubaan Khairul Azri sangat cemerlang walaupun pertama kali mengarah. Beliau pernah menghasilkan video klip Apa Khabar oleh Joe Flizzow.

Oh ya, OST filem ni, nyanyian Monoloque (unik dan agak klasik) dan Othman Hamzah memang kena dan menyumbang mata tinggi. Kisah cinta ini mengingatkan kepada Sepet, kejahatan seperti Songlap, errr mungkin ada perbezaan tetapi auranya menghampiri kepada itu.

Tahniah!

22 Oct 2015

I Fine Thank You, I Love, Supermoon,


Arahan : Wan Hasliza
Genre : Komedi
Tahun : 2015
Rating : 4/5



Wan Hasliza, penulis yang popular dengan siri komedi Keluarga Iskandar, Geng Mengaji, Geng Surau dan Dunia Baru The Movie, kini membawa genre tersebut ke layar perak dengan komedi romantik sebagai hidangan kepada peminat filem tanahair. Melihat kejayaan filem romcom Istanbul Aku Datang, ianya boleh dikatakan jalan selamat untuk menguji citarasa movie-goers. Filem ini berusia 3 tahun sebelum dapat ditayangkan. Apa yang boleh dikatakan di sini, persembahan Love, Supermoon sangat menghiburkan dari mula hingga akhir. Boleh dikatakan, jika tayang di Thailand sekurang-kurangnya tak memalukanlah. Kenapa Thai? Sebab sejak kebelakangan ini romcom dari sana menjadi dan mempunyai pengikutnya di sini. Kisah Nina, Tiha, Triz, Razak dan Sulayman yang berkawan sejak bangku sekolah, universiti hingga ke alam pekerjaan. Kisah utama di sini adalah Triz (Nadia Nisaa) dan Razak (Farid Kamil) di mana Triz yang mengalami nasib ramai kaum wanita berkenaan jodoh yang belum tiba, manakala Razak yang berjaya dalam kerjaya sebagi doktor juga seorang playboy. Razak dan Triz  tidaklah rapat cuma mendengar perkembangan diri masing-masing dari rakan mereka.

Kedengaran sangat biasa tetapi percayalah, tulisan penulis berbakat ini tidak mengecewakan. Jalan ceritanya selalu didengari tapi akibat dari dialog yang selamba dan bijak ditambah dengan pilihan pelakon yang betul maka Love, Supermoon boleh dikatakan mengatasi Istanbul Aku Datang dari segi komedinya (Istanbul Aku datang adalah benchmark kepada romcom terkini Malaysia). Menggunakan tajuk bahasa Inggeris, tetapi tidak pula rasa keurbanannya seperti filem dari Red Film (Pisau Cukur, Manisnya Cinta di Cappadocia etc).  Jika sebelum ini, Nadiya dalam Jejak Warriors tidak menonjol yang bukan salahnya, watak Triz kali ini betul-betul dijiwai dan Triz memang milik Nadiya. Razak yang pada mulanya tak pandang akan Triz, kita akan percaya bahawa mereka tidak akan bersatu. Razak seakan meneutralkan keadaan setelah Triz yang lebih 'bising'. Kita lihat, Triz bercita-cita menjadi penulis tapi tidak berjaya malah hanya bekerja di call centre dan Razak seorang doktor tetapi playboy selalu mendapat nasihat perihal wanita dari Sulayman (Zain). Muncul pula Azman (Azhar Sulaiman) memberi malapetaka kepada Triz, dan dia bertuah kerana teman-teman menjadi pendorong yang sejati.

Filem ini banyak bermain gaya suntingan perbualan pihak kawan perempuan dan kemudian pihak lelaki berselang-seli bagi menggambarkan sisi mereka dan juga kontra antara mereka. Filem ini menegaskan gosip memang menjadi makanan setiap hari. Ini sesuatu yang kurang manis di balik komedi ini yang membawa happy ending. Paling kuat di sini adalah bukan Nina (Rita Rudaini) yang busybody menghebahkan kepada rakan-rakannya, sebaliknya Sulayman suaminya yang bergosip tetapi offscreen akan perbuatannya itu kepada Razak. Subplot pula, Tiha dan Ayah Chik juga menjadi point best, bukan tangkap muatAh, rindu lakonan Anne Ngasri. Apabila PF menonton trailer filem ini berasa sangsi untuk menonton, tetapi track record penulisnya buat PF terus melangkah ke pawagam. Cuma Penunggu Istana arahan pertama Wan Hasliza tak sempat menonton. Selalu kita berasa kecewa dengan trailer yang menipu, tetapi ini sebaliknya.


9 Oct 2015

Rembat Kapsul, kemudian Banting!

 Arahan : Raihan Halim (Singapura)
Genre : Drama
Tahun : 2014
Rating : 3.5
/5

Bisikan dalam hati berkata 'mesti tengok filem ini' walaupun lambat menonton rupanya jangkaan PF tak silap kerana ianya bagus sebagai filem ringan. Naratifnya lancar, 'terletak' dan tidak terganggu dengan plot meleweh atau sia-sia. Tema gadis bertudung yang juga mempunyai impian seperti wanita lain sebenarnya tidaklah begitu menghairankan tetapi kita sangat seronok menontonnya. Dialog natural dan terdapat beberapa dialog yang baik walaupun dari watak pelakon tambahan saja. Yasmin yang ditegah oleh ibunya dari aktif bergusti, boleh dikatakan adalah jelmaan pelakon Sharifah Amani dalam filem ini cuma kurang gila-gila. Isu tudung di sini tidaklah 'sealimnya' dan isu kekeluargaan yang lain boleh dilayan. Di babak akhir ketika perlawanan penentuan tempat untuk ke Tokyo, tanpa dirancang, sebenarnya ibunya telah 'merestui' minat anaknya dengan memakai baju warna yang sama iaitu oren dan merah tanpa disedari. Jika filem ini di tahun 2015 (sbb PF tengok sekarang) tanpa mengira negara, ia dah menempah tempat Top 5 setakat tahun ini.




Arahan : Allahyarham Martias Ali 
Genre : Aksi 1/ Drama
Tahun : 2015
Rating : 2
/5

Masalah filem ini pada pendapat PF adalah kos yang mempengaruhi penataan seni dan sinematografinya (dari pandangan layman). Ia mempunyai idea yang menarik tetapi keseluruhan rupanya kurang meyakinkan. Sesetengah babak sepatutnya serius tapi menjadi kelakar, sedikitnya pula boleh dinikmati. Dibarisi pelakon yang calang-calang pun kurang memberi daya impak yang berkesan. Kredit kepada kemunculan Tun M. Walau bagaimanapun, admin tabik pada keseluruhan pasukan yang sedaya upaya mendapatkan pelakon berkaliber dan mencipta sesuatu yang lain dalam industri.







Arahan : Syamil Othman
Genre : Komedi
Tahun : 2015
Rating : ?/5 - sedang tayang


Kelebihan filem ini adalah gandingan Melayu dan Cina yang jarang kita temui. Cuba membawa rupa 1Malaysia dalam bentuk komedi menyentuh isu rasuah dalam sukan, hal-hal perkauman dan media sosial. Pabila menonton filem ini PF bagaikan tak-tahu-siapa-punya-filem kerana tiada trademark dari mana-mana produk pengarah di Malaysia. Di sini Syamil berjaya mencipta cetakannya sendiri dan tiada bayangan Kami Histeria, filem pertamanya. 

Terdapat beberapa perkara yang kita boleh persoalkan e.g keadaan kewangan watak utama yang mungkin sengaja di'tidak mengapakan', selain babak hantu Jepun dan watak Zulin Aziz. Keseluruhannya filem ini mendatar dalam riuh, ada yang meleret dan terlalu mencuba menjadi komedi. Eh! PF enjoy babak akhir tu, hampir menitik airmata jugalah! haha.


19 Dec 2014

Cacamarba: Manisnya Cinta Di Cappadocia & Ophilia



Arahan : Bernard Chauly
Genre : Drama, Komedi
Tahun : 2014
Rating : 2/5


Bernard Chauly kembali lagi setelah kejayaan Istanbul Aku Datang. Adakah kali ini filemnya lebih baik? Opps kalau kita tengok rating pun dah tau kan? Filem ini tidaklah buruk yang disangka. Malah boleh dikatakan ianya segelintir filem yang enak dilihat pada tahun ini. Hanya kerana beberapa faktor yang membuatkan PF kurang mendapat kepuasan. Kalau kamu hendak datang panggung dan santai-santai dengan pasangan masing-masing bolehlah menikmati saat romantis berdua. Malangnya, ceritanya terlalu cliche, malah lebih cliche dri Istanbul Aku Datang. Tak tahulah kenapa produksi RED Film/Astro Shaw dan Bernard mengambil novel Anis Ayuni ke layar perak. Kalau nak buat cerita sebegini tak perlu rasanya ambil dari novel pun boleh buat original screenplay. Seperti biasa sinematografi filem ini sangat memukau, tidak payah cerita panjang sebab rata-rata memuji lokasi dan warna filem ini. Bab lakonan pula, Fazura sangat konsisten dan terbaik sepanjang tayangan manakala babak yang paling digemari adalah ketika Eja sedang nazak. Diperhatikan, apabila filem yang berkaitan dengan RED Film atau Bernard atau Rafidah tak lari dari unsur-unsur LGBT. Kenapa ya? #sekadarbertanya.  


Arahan : Raja Mukhriz
Genre : Drama
Tahun : 2014
Rating : 3/5


Mengandungi spoiler ringan.

Filem skinhead pertama di Malaysia yang juga arahan pertama Raja Mukhriz mendapat tayangan meluas di pawagam setelah filem Gedebe arahan Namron sebelumnya hanya private screening dan bukan di pawagam. Para skinhead mungkin berasa kelainan kerana Ophilia tidaklah hardcore kepada golongan itu. Ia mengambil rupanya saja. Mungkin disebabkan penerbit takut untuk mengambil pendekatan mendalam risau penonton massa tidak dapat memahami budaya skinhead (termasuklah yang menulis ni) lalu nanti akan mengecilkan skop penontonnya. Jangan risau bahawa Ophilia boleh ditonton oleh semua golongan cukup umur. Teringat suatu ketika dahulu pada hujung tahun 90an, ketika menetap di Melaka, PF mendapati ramai golongan ini berkeliaran di station bas dan bandar Melaka, khususnya remaja yang PF kira mereka yang baru tamat persekolahan atau lebih dewasa sedikit dengan cara pakaian dan bergerak dalam kumpulan. Waktu itu, memandang mereka memanglah pelik, dan tertanya apa yang menyebabakan mereka jadi begitu? bagaimana mereka terpengaruh? dengan tidak mahu menghukum, pandangan itu dibiarkan saja. Berlainan dengan zaman sekarang, di mana PF sudah jarang melihat kelibat mereka dimana-mana.

Berbalik kepada Ophilia, usaha ini wajar dipuji untuk memberi lebih warna sinema kita yang tak mahu lari dari tema yang malas-nak-ulang-lagi-kat-sini. Dengan berlatarbelakang zaman ini (2012-2014 dengan penampakan Iphone). Ophilia yang ditulis oleh Ellyna Ahmad memberikan persembahan berkenaan 3 rakan sejak dari bangku sekolah sehingga alam dewasa. Semangat brotherhood yang sangat kental dan sanggup menghadapi apa saja demi persahabatan mereka. Suatu hari, satu insiden berlaku kemudian memaksa mereka melakukan suatu diluar kemampuan dan membahayakan diri mereka. Ophilia adalah perkataan asal Greek bermaksud 'help', itulah kaitannya dengan insiden yang berlaku di mana 3 watak ini memerlukan 'help' untuk menyelamatkan diri dari ketua samseng. Walau bagaimanapun dalam filem ini, nama watak 'Ophilia' diberi nama kepada watak seorang pondan. 

3 karakter dalam Ophilia, Totoi (Kodi pendatang baru yang meyakinkan), Uji (Pekin), dan Ozi Gandum (Que). Uji dianggap abang dan ketua antara mereka. Boleh dikatakan anak orang kaya tetapi tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ayahnya. Uji sangat determined dengan prinsip hidupnya. Totoi pula adalah yang paling muda, sangat pengasih terhadap ibu dan sering kelihatan memakai baju Fred Perry berkolar (mahal ok! sehelai dalam sekitar RM350, kecuali yang tak originallah!). Totoi selain membantu ibu berniaga nasi lemak, juga mempunyai kedai jahit/alter baju. Ozi Gandum pula, lebih mengikut kepala sendiri, kadang-kadang berbelah bagi dalam hidup. Mengalami masalah keluarga membuatkan hidup Ozi bercelaru. Perasankah, babak Que di rumahnya hanya keluar-masuk pintu? Dan pabila 'masuk' hanya chaos semata tanpa keharmonian. Di sini beratnya watak Ozi berbanding yang lain.

Kalau nak ikutkan jalan cerita Ophilia, ceritanya mungkin kedengaran biasa - PF tak mahu beri spoiler lanjut. Itu sebabnya disebut di awal tadi, ianya playsafe atau mungkin untuk elakkan isu sensitif atau fahaman tertentu dan sebagainya. Malah, endingnya sama dengan filem tempatan yang PF tonton tahun ini (kebetulan). Pemilihan cara 'penyelesaian' itu agak mengejutkan sedikit kerana mungkin itu cara Totoi, Uji dan Ozi sempat fikir dalam keadaan singkat dan terdesak untuk selamatkan keadaan yang sengaja untuk mendapat ending yang 'diharapkan'. Kelebihan filem ini adalah 3 watak itu sendiri yang mempunyai chemistry yang baik apatah lagi Que Haidar yang sangat memilih watak dan ini merupakan satu-satu filemnya pada 2014. Babak kegemaran PF semestinya perbualan antara Uji dan Ophilia tapi malangnya hanya satu babak, itupun Ophilia datang secara tiba-tiba. Kesimpulannya, Ophilia menggambarkan sisi kecelaruan orang-orangnya namun cuba berlaku adil kepada golongan skin dan mereka bukanlah seperti yang anda gambarkan.


26 Nov 2014

Lelaki Yang Disandarkan Untuk Menyelamat Dunia


Arahan : Liew Seng Tat
Genre : Komedi, Drama
Tahun : 2014
Rating : 4/5


"Solomon, you know Malaysia... Truly Asia" Tok bilal.

Ulasan ini mengandungi spoiler. Jika ingin rasa keseronokan filem ini jangan baca sebelum menontonnya. Liew Seng Tat kembali dengan filem keduanya Lelaki Harapan Dunia selepas Flower In The Pocket (2007). Penonton filem pertamanya pasti akan rasa kelainan kerana Seng Tat beralih ke aliran yang lebih mainstream, dengan itu lebih ramai lagi akan mengenali pengarah ini setelah hip yang diberikan serta promosi besar-besaran seperti pemasangan billboard di tepi jalan utama di Lembah Klang dan sebagainya. Masih teringat lagi adegan-adegan dalam filem pertamanya, Flower in The Pocket terutamanya ketika budak sekolah yang berak kemudian hanya cebuk dengan kertas buku teks Bahasa Malaysia (kalau tak silap). Pasti ada sesetengah orang yang tak boleh menerima adegan tersebut. 

Setelah membaca berita-berita penjelajahan LHD ke festival-festival antarabangsa, kini tiba masa untuk penonton kita menjamah sendiri naskhah dari pengarah 'jarang buat' filem panjang. Yang jarang buat filem itulah, dua karyanya dinikmati oleh penonton antarabangsa. Agak sedikit malang, pengkritik luar yang tidak melihat LHD dari konteks Malaysia dengan menyentuh isu gender dan homoseksual: Hollywood Reporter dan Variety
  
Secara ringkasnya, LHD mengisahkan Pak Awang yang ingin menghadiahkan sebuah rumah usang dalam hutan sempena perkahwinan anak perempuannya. Maka, Pak Awang dengan pengaruh yang ada padanya meminta jasa baik orang kampung untuk bergotong royong mengangkat rumah yang digelar Rumah Amerika itu (kerana berwarna putih). Daripada hari pertama projek angkat rumah itu lagi, musibah demi musibah menimpa penduduk kampung. Walhal, acara bergotong-royong sepatutnya mengukuhkan silaturrahim dan semangat kekitaan antara mereka. Ada yang terjelepuk di lantai, unta hilang, lembu hilang, anak gadis diganggu mahkluk lembaga hitam atau Orang Minyak gara-gara seorang penagih dadah lakonan Sofi Jikan menyebarkan cerita yang dia terlihat lembaga hitam di rumah putih. Maka, kampung dilanda huru-hara akibat mereka sendiri tidak menyelidik apa yang sebenarnya berlaku.

Seawal-awal lagi, penduduk kampung dilambangkan tak pandai mengeja/kesilapan kecil yang tak sepatut berlaku, kutu dadah, dan tunggu sehingga filem ini berlarutan ke akhir makin menjadi-jadi sifat orang kampung yang agak tak berapa bijak, mendengar cakap-cakap tanpa usul periksa, songlap, rasuah, mengikut saja kata orang agama dan sebagainya. Banyak lapisan filem ini yang mengkritik melayu sendiri sebab semua dalam kampung itu Melayu, kata Sofi Jikan jika pengarah tipikal Melayu yang arahkan filem ini, pasti dia akan memajmukkan pelakonnya, tapi tidak bagi Seng Tat kerana mahukan ianya lebih surreal. Tak ketinggalan LHD mengkritik negara kita secara tersuratnya (orang Indo bina rumah, warga kulit hitam, keselewangan pemimpin, harga rumah sekarang - anak Pak Awang pulang dari bandar dan ingin duduk di kampung). Laungan kami Lelaki Harapan Dunia yang dijadikan azimat untuk menuju misi mengangkat rumah ke destinasinya hanya semangat awal tapi belum tentu harapan itu dapat direalisasi jika kebodohan orang-orangnya.

Sudah judulnya Lelaki Harapan Dunia, maka tiada pelakon perempuan dalam filem ini walaupun pembantu, mereka hanya cuma selitan saja. Seng Tat, ingin memaparkan suara lelaki, lelaki yang membuat kerja utama (berat) dan juga pembuat keputuasan sehinggakan unta pun jantan! Sehinggakan (lagi) 'watak-watak perempuan' digalas oleh mereka sendiri. Ini dunia lelaki kerana lelaki inilah yang 'menyelamatkan dunia' yang sebenarnya ia tajuk yang sarkastik.


Dua adegan menyapu gincu dibibir oleh Sofi dan Wan Hanafi Su cukup menenggelamkan lelaki-lelaki memakai baju kurung. (SPOILER) PF agak terpana, apabila Pak Awang (Wan Hanafi Su) mengambil keputusan menjadi orang minyak. Pak Awang tewas dengan keadaan. Sepatutnya Pak Awang bukan sebegitu dengan jatidiri yang telah ditunjukkan sebelumnya, tapi sekurang-kurangnya ini adalah suatu yang tidak disangka dalam filem ini yang juga dianggap sebagai mega satira (apatah lagi dengan hanya berseluar dalam). Cuma, tidak dapat dilihat dari adegan-adegan mana yang jadi penyebab penduduk kampung begitu membenci Pak Awang. Sebaliknya hanya alasan-alasan kurang kuat. Selain Wan Hanafi Su PF suka lakonan Jalil Hamid. Natural, hidup sebagai bilal yang buta. Secara keseluruhannya, semua pelakon mempamerkan persembahan yang mantap. Walaupun ada beberapa watak kelihatan tidak berkembang, harus difahami dengan ensemble pelakon-pelakon mungkin Seng Tat sebagai penulis tak mahu establish kesemuanya. Sinematografinya juga sangat cemerlang ketika suasana hutan seterusnya memaparkan keindahan dan kedamaian hutan yang alami. 

Agak terkilan jugak semasa Solomon lari dari rumah putih yang terbakar tetapi orang kampung tidak perasan (aarghh kenapa sama dengan ending Hanyut - belum tengok, hanya baca review). Jika mereka perasan Solomon tu lari, penyudahnya bukan seperti yang dilihat. Kenapa mesti subjek utama dikorbankan. Ini semua akibat kejahilan penduduk. Kesudahan dibiar terbuka adakah bermaksud kebodohan terus menyelubungi penduduk kampung? Seperti kata TontonFilem, jika dibahagian akhirnya anak perempuan yang bakal berkahwin itu muncul di pintu rumah Pak Awang, sedang menyaksikan Pak Awang dikejar kemudian terhenti saling menghadap, pasti suatu rasa yang berbeza kerana anak itu penyebab rumah itu digerakkan nescaya, akan membawa kesan yang dramatik, tapi ia tidak mungkin kerana Seng Tat tidak mahukan imej wanita.

LHD menyucuk orang Melayu yang PF sendiri ada sedikit terasa namun adakalanya kebenaran harus ditelan. Sekiranya ia menghina, adakah seniman seperti Wan Hanafi, Hishamuddin Rais, Roslan Salleh atau Sofi dan lain-lain bersetuju dari awal-awal lagi sebagai pemainnya. Jika begitu bagaimana dengan filem Mamat Khalid yang mempunyai beberapa filemnya yang sering mengejek orang Melayu? Adakah sebab dia Melayu maka kita terlupa atau filemnya tidak sekesan LHD? Adakah kita bangga LHD dijaja ke sembilan festival antarabangsa (setakat ini) dengan pengisian seperti ini? LHD kadangkala tampak biasa tetapi membuat kita berfikir. Ia umpama mengambil resepi Mamat Khalid namun Liew Seng Tat ada cara tersendiri malah boleh kata lebih ke depan dalam menangani isu-isu masyarakat dan kaum. Ia juga membuktikan filem drama komedi (gelap) juga mampu menjelajah dunia selain drama berat walaupun belum ada sebarang pengiktirafan rasmi yang diperoleh setakat ini.

Sumber: Berita Harian

3 Oct 2014

Cacamarba: Annabelle, Hijrah Cinta & Dollah Superstar



ANNABELLE
Arahan : John Leonetti
Genre : Seram
Tahun : 2014
Rating : 3.5/5


Perangfilem layan jugalah filem ini. Kekurangannya bagi PF, penonton diberi rehat-seram-rehat yang berulang kali yang ditawarkan kepada penonton mungkin buatkan mood penonton sedikit tawar. Bagaimanapun, bagi PF ia taklah seteruk seperti yang diluahkan oleh sebilangan penonton yang agak hampa dengan arahan John Leonetti (Mortal Combat), setelah kejayaan The Conjuring di mana Annabelle adalah salah satu 'watak' di dalamnya. Satu pointnya ialah, PF bersyukur ia tidak menonjolkan hantu CGI yang semestinya akan spoilkan filem seram. PF memang kurang gemar jika melibatkan hantu CGI. Kedua, babak-babak seram yang dicipta sememangnya berjaya diterjemahkan, boleh dikatakan tidak kecewa dengan perkara itu. Antara babak paling seram SPOILER: ketika syaitan ditangga, lif terbuka beberapa kali ditingkat yang sama, stroller di basement bawah apartment, patung Annabelle berdiri dan ketika syaitan menerkam(?) Ruby, tak pasti yang ini kerana PF terperanjat dan tutup mata (lol). Beberapa babak seramnya mengambil ilham filem Rosemary's Baby - stor di basement dan stroller bayi selain watak sepasang suami isteri yang menunggu kelahiran bayi mereka. Selain itu, watak ibu - Mia yang kurang penghayatan mengganggu sedikit tuntutan watak itu selain penyudahan yang tak best semacam kononnya akan ada sambungan. 



DOLLAH SUPERSTAR

Arahan : Kabir Bhatia
Genre : Komedi
Tahun : 2014
Rating : 3/5



Secara kebetulan filem ini keluar setelah Amir & Loqman Pergi Ke Laut yang membawa tema yang lebih kurang sama - parodi. Dollah Superstar (DS) sebenarnya membogelkan industri perfileman khususnya kerja-kerja balik tabir semasa pembikinan sebuah filem di Malaysia. Tulisan Alfie Palermo (Sembunyi yang juga arahan Kabir), tak boleh dinafikan merupakan hasil pengalaman mereka dalam bidang produksi. Semua dilakonlayarkan dalam bentuk komedi, Dollah merupakan samseng/gangster di luar filem cuba membetulkan rupa dan karakter watak gangster dalam filem bikinan seorang produser yang diberi nama Dr. Romeo yang memerli Dr Rozmey (2 Alam). Macam Dollah ni wakil daripada penonton dan pengkritik filem yang cuba membetulkan apa yang tak kena dalam filem kita. Dah la nama gangster Dollah! Kalau nama Shark taklah ia beraroma komedikan.

Jarang upload gambar tiket...
Watak Neelofa sebagai aktres cantik yang merenyam dengan kru-kru walaupun berboifrenkan Shah Dazzle, Shah Dazzle pula tak berkaliber dalam membawa watak gangster dan rombakan skrip atas arahan produser akibat kekurangan bajet. DS juga dilihat ada sedikit bayangan Layar Lara yang dikelakarkan. Filem popcorn Kabir Bhatia kali ini boleh dinikmati dan PF boleh tertawa jugalah. Ada satu babak ketika Dollah dan Lalat di rumah dengan bercakap kuat sehingga didengari jiran sebelah (Cina?), adakah perli filem gangster cakap jerit/kuat juga?

Apa yang jelas, Amir & Loqman dan Dollah Superstar kedua-duanya tak menyebelahi gangster. Dalam Dollah Superstar, endingnya SPOILER: Dollah & Lalat dikejar polis (walaupun sekerat ditunjukkan). Apakah maksud bagi kedua-dua filem ini? PF teka, mereka berpendapat (Mamat Khalid & Kabir yang tak pernah-pernah buat filem berciri gangster, bila buat versi parodi pula) sudah-sudahlah tu dengan filem gangster ni. Eh, tapi ada jugak Kaki Kitailah, Gangster Rock Kasi Sengatlah dan lain-lain akan datang. Peminat pun dah bosan tapi kenapa masih buat lagi? Ini sajakah kemampuan pembikin filem kita? Contohilah kelainan karya Terbaik Dari Langit, Negeri Di Atas Pasir, River of Exploding Durians, Lelaki harapan Dunia ke..

Malangnya, akibat serentak dengan tayangan Annabelle, hanya PF seorang di dalam panggung. Terdetik juga rasa sedih kerana mereka bekerja keras dilayarperak itu tapi tiada penonton yang menyaksikan hasil titik peluh mereka. Serius, kalian pengkarya harus buat sesuatu, bukan terus memparodikan diri masing-masing lagi. Barulah kata-kata Aziz M.Osman dalam filem ini boleh terus dipakai (tika bajet dah tiada tapi filem harus diteruskan demi seni).


HIJRAH CNTA

Arahan : Indra Gunawan
Genre : Drama (Indonesia)
Tahun : 2014
Rating : 3.5/5


Filem biograpic ini berkenaan bagaimana Jefri seorang pelakon sinetron dan juga penagih dadah yang kemudian berjaya menjadi ustaz selebriti. Perkenalannya dengan seorang gadis model sambilan, Pipik yakin dapat merubah hidupnya menjadi lebih baik. Dari situ, konflik dalam diri, hubungan dengan Pipik dimana selalu meminta wang untuk beli dadah, hubungan keluarga Jefri dengan Pipik, menjadi konflik yang melingkari keseluruhan cerita menjadi menarik. Lama-kelamaan kesedaran berlaku dalam diri Jefri sehinggakan beliau menjadi fenomena di Indonesia. Drama ini tidak terlalu berat, malah filem religi adalah term yang selalu dipanggil di Indonesia ini mengingatkan PF filem Mihrab Cinta. Bukan sekadar drama biasa, malah ada terkesan subtle ketika Jefri dan Pipik menerima panggilan telefon sewaktu di Bandung (tawaran kerja kepada Pipik) anda akan faham jika meneroka misc en scene nya dan juga babak Jefri mendongak ke langit berlatarbelakangkan sungai yang kotor. PF simpati dengan beliau di mana pengakhirannya, SPOILER: ustaz Jefri mula sedar akan kerja-kerja ceramahnya sepatutnya tidak diberi imbalan berbanding amalan yang dilakukan oleh baginda Rasullullah dan seterusnya mengakibatkan beliau ....(spoiler)

*Ditayangkan di TGV terpilih tetapi telah tamat tayangan.

26 Sept 2014

Amir & Loqman Pergi Ke Laut: Mana Lautnya?

Eh! Tajuk font itu selalu kita lihat dalam filem koboikan? Sesuatu tu..
Arahan : Mamat Khalid
Genre : Aksi/Komedi
Tahun : 2014
Rating : 4/5

Ulasan ini mengandungi spoiler.

Filem bertema gangster ini adalah yang pertama dari Mamat Khalid, dan beliau cuba lari dari filem-filem gangster yang pernah ada di Malaysia. Itu yang PF dapat simpulkan setelah menontonnya. Tak dinafikan, ianya adalah parodi yang membawa teras dark comedy yang diselang-seli dengan keganasan. Kamu pernah menonton KL Gangster, Dampak, Langgar atau Kepong Gangster dimana hero-heronya tough dan handsome. Malah dalam Kepong Gangster heronya berwajah jambu! Dan kamu menjangkakan hero-hero sebegitu dalam Amir & Loqman Pergi Ke Laut (ALPKL)? Itulah salah satu parodinya. Syuk (Balas) dan Shuib (Sepahtu) mana hensem (sorry ya), buncit pula tu, lagi memburukkan, Loqman (Syuk) bertabiat dengan mulut ikan emas, ditambah dengan sikap lurus bendul mereka berdua. Senaif-naif perangai digambarkan kepada 2 karakter utama ini. Ini adalah satu keberanian yang ditonjolkan Mamat Khalid (MK). Ada satu lagi keberanian MK yang cuba ditonjolkan tapi kita cerita hujun-hujung nanti. Orang berkata, pelakon yang biasa-biasa atau bagus sekalipun, takkan meletakan sesebuah filem di atas jika pengarah kurang bijak bermain dengan lakonlayar dan arahan. Ingat Man Sewel datang KL yang dibintangi Shuib? Amir & Loqman merupakan gandingan yang baik, tidak janggal, boleh diterima. 

Sumber : Media Hiburan
Filem yang berlatarbelakangkan tahun 2011 - lebih tepat lagi penghujung tahun 2011 (jika kamu dapat petunjuk ianya dari tahun 2011 dalam ALPKL, sila berikan di ruang komen di bawah) Amir dan Loqman ingin keluar dari geng 747 yang diketuai oleh Big Joe (Sofi Jikan) setelah kemasukan mereka ke dalam geng itu tidak seperti yang digambarkan iaitu kemewahan, kemasyhuran yang selalu mereka dengari. Kata MK, watak-watak utama seperti Mata Sedih (asalnya Cina, diMelayukan), Big Joe, Manja memang wujud di zaman gangster di Ipoh sekitar tahun 70an. Malah cerita yang dipaparkan, kata MK juga adalah sedikit kisah-kisah kecil gangster di Ipoh, bukan cerita besar yang lebih brutal yang rasanya takkan lepas penapis Finas. Maka, dari situlah, Amir dan Loqman berusaha untuk mencari duit RM30 ribu seorang sebagai bayaran keluar dari geng. Dan seterusnya cuba membina hidup baru untuk membuka cafe di tepi laut yang dinamakan Ke Laut Cafe.


Jika kita melihat babak ganas, watak Nadia Mustafa dari geng Bendera Siam ketika kerambit menusuk ke leher kenapa tiada darah yang meleleh? Pisau pemotong daging membelah kepala Nadia, ianya membuatkan penonton ketawa, begitu juga mata Big Joe ditikam dengan gunting? kenapa takde darah yang mengalir? Adakah ini parodi juga? 

Jadi, benarlah kumpulan geng 747 disertai oleh seorang homoseksual atau keropok istilahnya yang digunakan pada zaman itu iaitu abang Manja dan Rafael? Siap ada tandas tertentu untuk mereka 'rock' kata MK. Seorang teman PF, tak faham kenapa Loqman kentut dengan lawasnya bila keluar dari tandas itu sebelum Manja izinkan dia keluar dari geng 747. Ini satu tindakan yang bijak supaya tak dipotong oleh gunting LPF.

Kenapa pula tiba-tiba ada babak shooting filem gangster (Adi Putra dan Bell Ngasri) 'bergaduh jantan' dengan penjahat tiba-tiba bertukar lembut selepas cut?! MK nak perli siapa? Adakah filem gangster Langgar yang dibintangi oleh Adi dan Bell itu? dan kenapa pula pengarah 'filem itu' pun lembut? Siapa yang MK parodikan? Sesungguhnya, babak ini jika diikutkan memang tak berapa penting tapi sekadar untuk memperlihatkan agenda tersebunyi MK untuk membiarkan penonton memikirkannya. Atau adakah ianya penting sebagai salah satu falsafah parodi dalam filem ini. Kenapa pula Big Joe tak menjerit-jerit dialognya sepanjang filem ini sama seperti dalam satu filem gangster itu? (kebetulan malam tadi, termenonton filem TOKAN di Astro di mana Sofi Jikan ada berlakon sama, tak menjerit-jerit pun tapi bosan pulak filem tu) Malah, Big Joe seorang yang 'dalam hati ada taman' kerana memaafkan perbuatan kekasihnya Balqis dan juga mencintai seni lukisan tak pernah ditonjolkan sangat karakter seperti ini dalam filem gangster kita.

Bendera Siam. Diketuai oleh Catchai (Kaza) yang agak psycho dan dibelakangnya, Nadia Mustafa dan Mamat Spek (tak ingat nama watak atau tiada nama disebut), adalah pembunuh upahan supaya menumpaskan geng 747. Ketika babak mereka bersatu dalam skrin, kemudian Nadia dan Mamat Spek jalan bersilang itu terdapat  seorang lelaki Cina sedang membakar duit(?) atau amalan orang Cina yg sering kita lihat, penggabungan semua itu ada maksudnya. Seorang lagi teman PF ada memberitahu maksudnya, tapi PF terlupa, jika tidak PF kongsikan di sini. 

Satu lagi yang harus dipuji adalah skor muziknya. Setakat tahun ini, tiada filem tempatan yang memorable pasal skor muzik. PF bukanlah pakar, tetapi skor muziknya berbeza-beza ikut mood babak (bukan bermakna ia menjamin yang terbaik), tetapi ia tak dibuat cincai, dan yang penting menaikkan mood serta kita boleh dengar hasil yang bermutu. Bukan main tala saja sepanjang filem berjalan. Contohnya semasa Amir dan Loqman hendak ke tempat mayat Cina dan atas kereta  pacuan 4 roda. Jadi, jika kamu belum menontonnya, pastikan pasang telinga dengan skor muzik selain menikmati jalan cerita. Tak rugilah MK tunggu 2 tahun untuk muzik ini. 

(Edited)
Spoiler besar: berhenti di sini jika tak mahu tahu ending sebelum menonton. Akhirnya semua mati dibunuh. Semua watak-watak penting mati. Tiada apa yang ditinggalkan oleh MK untuk ALPKL. Amoi gemok lari menyaksikan kesudahan gangster ini. Ini satu keberanian dalam filem yang ditonjolkan MK, di mana jarang kot kita lihat filem tempatan dengan ending sedemikian. Apa maksudnya tu? Sejelas-jelasnya ALPKL bukanlah menyebelahi gangsterisme sepertimana filem gangster yang lain, meraikan, mengagungkan dunia gangsterisme itu (tertanya, adakah ending gangster di Ipoh semua mati juga?) Kesimpulannya, adakah faktor-faktor parodi ini membuatkan filem ini bagus? Jawapan PF, bergantung kepada isi lain dalam naskhah ini. ALPKL menceritakan apa sebenarnya? Biar pakar mentafsirkan. Sebenarnya, jika sesebuah filem itu terlihat dengan nyata akan subtle/second layer, penonton bebas berfikir akan apa jua 'cerita' lain yang ingin disampaikan oleh pengarahnya sebab karya seni itu subjektif. Itu yang membuatkan tontonan filem itu menarik jika suka berfikir dan cuba berjinak-jinak mentafsir selain apa yang dilihat. ALPKL mungkin berkenaan sinema kita sekarang, terutama siapa sebenarnya Catchai yang gila menembak Amir Loqman yang cuba mengubah nasib dan ingin maju dalam hidup, siapa perempuan gemuk yang terselamat di hujung cerita, dia pengusaha apa? kenapa dia 'Cina' dan kenapa dia berwatak 'gemuk'?, ....dapat? Atau mungkin ianya hal lain selain sinema jika kamu berfikiran kritis.

Hampir di hujung-hujung cerita, terdengar kata penonton dengan jelas... "mana lautnya?" kerana mereka tak ke laut pun sebaliknya ke pantai saja. Issh takkan itu pun PF nak beritahu jawapannya....

19 Feb 2014

The Journey, Kami Histeria & CUAK

Sejak kebelakang ini, PF amatlah malas nak menulis apatah lagi nak tulis panjang-panjang. Oleh itu agak salute lah sama itu blogger-blogger atau sememangnya penulis yang ada passion dan bakat terhadap blogging yang tak kering-kering idea dan tidak bosan dengan bidang seperti ini. Nampak gayanya tak lama lagi berkuburlah PF kot. Kali ini nak cerita sikit filem-filem Malaysia yang patut korang tengok. Filem yang sepatutnya dah ada lama kat bumi Malaysia. Kalau 3.5/5 tu dah dikira baiklah untuk filem Malaysia. Contohnyalah... :


Arahan : Chiu
Genre : Drama
Tahun : 2014
Rating : 3.5/5


Katanya ini trilogi terakhir pengarahnya Chiu, Woohoo (2010) dan Great Day (2011) tapi PF tak menontonnya lagi. Warna cantik, lawak memikat, nostalgia zaman persekolahan menjadi, pertembungan budaya barat dan timur menjadi tunggak seterusnya membuatkan drama keluarga ini sangat membuai perasaan penonton. Suka lakonan sang bapa yang selamba. Babak kegemaran : semasa di rumah Fatimah dan babak belon panas. Akan tetapi signifikan belon itu kurang diberi sebab hanya kerana memori nakal zaman persekolahan. Begitu juga semasa Ah Bee memandang lakaran di cermin kereta semasa kereta bergerak. Menonton filem ini teringat filem usahama antara Malaysia dan Jepun tahun lepas Ken & Mary apabila bakal bapa mertua sama-sama naik lori dengan bakal menantunya dalam menuju ke perkahwinan anak perempuannya.



Arahan : Syamil Othman
Genre : Komedi
Tahun : 2014
Rating : 3/5

Filem ini menepati (boleh kata) kalau nak buat filem ringan jangan ambil ringan. Bagi PF, ia sesuatu idea yang segar di mana kumpulan muzik yang terdiri daripada wanita-wanita lawa/muzikal dicampurkan dengan komedi seram. Jarang band wanita sebagai teraju utama dalam filem kita. Penuh warna dan menghiburkan. Walaupun terdapat kecacatan seperti penyanyi utamanya kedengaran flat dan ada yang perasan mengatakan mereka kantoi dalam bab bermain alat muzik tu. Pada PF, 'bayaran' atau upah Cik Lang tidak berapa menarik ideanya. Kita tertunggu-tunggu apa balasan yang diminta sekali dengar.... ala tu je? Walau bagaimanapun, ini cubaan (pertama?) yang baik untuk Syamil Othman katanya anak Othman Hafsham ya? Rafidah dan Red Com jarang mengecewakan sekurang-kurangnya PF tak memaki setelah selesai menontonnya.




Arahan : Khairil M. Bahar, Lim Benji, Manesh Nesaratnam, Shamaine Othman dan Tony Pietra.
Genre : Drama
Tahun : 2014
Rating : 3.5/5



Hanya ditayang di TGV. Ini lagi satu idea segar dari pengkarya Malaysia. Biasanya 5 pengarah 5 cerita tetapi ini 5 pengarah 1 cerita yang digabungkan menjadi 1 cerita panjang. Menarik! tanpa melarikan paksi filem ini secara umumnya. Tema perkahwinan tapi bukan saja fasal meminta restu ibu-bapa tapi lebih dari itu cuba diselongkar dalam CUAK. Tiap pengarah ada style tersendiri dan warna filem yang berbeza lalu membawa atmosfera yang berlain-lain tapi kurang enak semasa babak Tony Eusoff tu, orang kata ala noir, menjadikan filem ini 'terlalu serius' sebelum dan selepas menikmati emosi santai. PF mengaku terlelap seketika masa babak siat-menyiasat tu maaflah kepada sutradaranya. Babak konfrontasi antara Adam dan Nurul di refleksi dinding cermin sangat best! Umpama menonton teater pun ada, walaupun PF bukan peminat teater tegar. Di sini kedua-duanya (Ghafir Akbar dan Ani Juliana Ibrahim) memberi persembahan yang mendalam. Kedua, babak di dapur antara Adam dan Brenda (Dawn Cheong). Masa ni sangat terpukul dengan kata-kata Adam berkenaan azan tu. Sekali lagi mutu lakonan yang cemerlang ditunjukkan mereka berdua.

Pelakon yang membawa watak Reza, semacam nak kata, bagi la dia peluang, terkadang macam tak suka, kadang natural, kadang kenapa dia? Adegan di bilik ujian juga di mana ahli keluarga Brenda menguji Adam jarang kita lihat. Kalau dalam Papadom 2, Afdlin Shauki hanya menyelidik sikap bakal menantunya etc tapi bukan ibu-bapa Brenda yang nakkan kesempurnaan dalam semua aspek, melampau dah kalau macam tu. Babak di kelab snooker biasa-biasa saja. Cuak boleh dikatakan good film with new perspective, over tak? Ada lah yang perli kat FB nanti. LOL.


*semuanya menonton di wayang. Hehehe.

9 Mar 2013

Lawak Ke Der 2 : Confirm Ketawa Sampai Tergolek


Genre : Komedi 
Arahan : Hans Isaac
Pelakon : Jozan, Boboi, Harith Iskander, Nabil
Tahun : 2013
Rating : 3.5/5 


Inilah kali pertama dalam sejarah dalam perfileman Malaysia, di mana pementasan pentas dialihkan ke layar lebar. Penonton yang tidak berpeluang menoton pementasan Lawak Ke Der 2 yang pernah dipentaskan di Istana Budaya boleh menontonnya pula panggung wayang. Selain mendapatkan lebih banyak khalayak dan semestinya tiket yang murah berbanding di IB, penonton dihidangkan dengan adegan yang 'lawak saja' berbanding di pentas langsung. 

Seperti PF yang tidak menonton Lawak Ke Der 1 & 2 di IB, mendapati Lawak Ke Der 2 sangat berbaloi bagi yang meminati pelawak-pelawak yang tak asing ini. Agaknya macam mana nak ulas filem ini ya? PF cubalah walaupun seakan memberi kritikan terhadap rancangan TV; Maharajalawak dan seumpamanya.

Nabil yang bertindak sebagai pengacara merangkap pelawak dalam filem ini, membawakan parodi penyanyi PSY dengan Gangnam Style dan juga Nasir Bilal Khan menerusi wataknya dalam Tanah Kubur. 

Boboi beraksi dalam 2 sketsa iaitu, Datin yang ingin merawat pontianak yang ingin menjadi manusia biasa semula dan sketsa kedua sebagai pramugari dalam Redho Airways. Sketsa pertama agak suram, mungkin ingin kembalikan watak Datin-datin dalam ghosbusters tapi tiada Datin Maimon kali ini. Walau bagaimanapun, watak pramugari yang mengandung berjaya mencuit hati penonton. Kali pertama rasanya Boboi membawa watak pramugari seperti ini dan boleh dikatakan berjaya.


Persembahan Jozan, adalah cerita yang paling panjang dan diasingkan kepada 2 slot. Mereka ini janganlah disangkal. Memang nampak cliche. Kalau ditanya, kenapa mereka sememangnya popular hanyalah gerak tubuh badan dan aksi-aksinya saja. Chemistry mereka memang yang terbaik di Malaysia selain Sepah. Aksi seperti membetulkan tudung, "dont say a words" memang lawak walaupun diulang-ulang oleh mereka. Penuh satu panggung terbahak dengan mereka. Penonton boleh saksikan keakraban mereka yang boleh dijangka akan inysaallah berkekalan hingga bila-bila.

Harith Iskander stand up comedian terbaik di negara kita membawa kisah Facebook dan perhubungan antara kekasih bf dan gf. Antara pelawak yang beraksi dalam filem ini, boleh dikatakan lawak Harith inilah yang paling berisi dan kelakar dalam waktu sama. PF kagum dengan kebolehan beliau. Sebenarnya sudah lama tahu, cuma jarang menonton persembahan beliau sama ada live atau rakaman. Jadi, persembahannya itu adalah bukti berterusan dan pelawak-pelawak baru harus menjadikannya sebagai mentor. Persembahan Harith ini agak lama juga hingga kadang-kadang momentumnya menurun. Teman PF sempatlah mendengus time-time tu. Tapi PF okay saja sebab apa yang dikatakan oleh Harith banyak benarnya dari upload gambar teh ais ke Facebook hinggalah perihal wanita yang lebih bijak dari lelaki, walau ada lelaki yang tak puas hati, Harith menyatakan dengan secara komedi yang penonton seperti PF tak dapat sangkal (dalam bab-bab tertentu lah). PF dapat bayangkan tayangan hampir 2 jam versi filem, jika menonton di IB pasti kebas punggung yang semestinya lebih lama dari versi filem.

Pilihan PF :

1. Jozan
2. Harith Iskander
3. Boboi (Pramugari)

28 Jan 2013

Husin, Mon & Jin Pakai Toncit Masih Terhibur Walaupun...



Genre : Komedi (Seram)
Arahan : Mamat Khalid
Pelakon : Awie, Ezlynn, Rashidi Ishak dan pelakon asal Zombie K.P & HKLBR
Tahun : 2013
Rating : 3/5



Awal tahun lalu, PF tertanya-tanya filem tempatan pertama apakah yang akan ditonton kerana masa itu agak kabur dengan senarai filem Malaysia di pawagam. Nampaknya, filem Mamat Khalid ini menjadi pilihan. Sekuel Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) dan melengkapkan trilogi Kampung Pisang ini masih meneruskan hantu-hantu yang mengganggu penduduk Kampung Pisang, selain mengembalikan satira penduduk Kampung Pisang. Mon (Ezlynn) yang kini guru balik ke Kampung Pisang. Husin pula telah pulang dari Singapura dalam keadaan muflis menjalinkan kembali percintaan dengan Mon. Kedatangan Dr Samsudin dari Johor Bahru telah mengucar-kacirkan keadaan kampung. 

HMDJPT adalah kisah asal-usul Kampung Pisang, bagaimana ianya wujud. Tidak dapat dinyatakan di sini takut terkeluar pula spoilernya nanti. Awal filem ini agak tidak menyengat dengan kemunculan Afdlin Shauki berambut panjang itu. Ah, berapa Afdlin dapat untuk itu saja? Dengan watak extra yang tak memberi sepenuhnya. Kemunculan watak-watak baru sebagai penduduk kampung, Kak Limah yang tidak lagi sakit, kedatangan Dr Samsudin secara tiba-tiba dan percintaan Mon dan Husin menjadi latar kepada trilogi kampung Pisang kali ini. Secara keseluruhannya, PF melihat, HMDJPT adalah salinan semula HKLBR. Lawak-lawaknya masih sama yang mana memang itu adalah trademark penduduk di situ. Melihat keadaan itu, penonton adakalanya tidak ketawa melihat babak-babak yang pernah kita lihat di HKLBR kerana tidak ada kejutan. Apatah lagi ketiadaan Abi Hurairah (Johan) ternyata menumpulkan himpunan pelakon kali ini dari segi lawak-lawaknya. Yup, memang benar penangan Johankan? Kak Limah pula, dahulunya adalah subjek utama kali ini hanya mucul sebagai pelakon tambahan di mana kemunculannya kurang memberi kesan. Sekiranya, Kak Limah terlibat sekali dalam himpunan para pelakon itu mungkin kita dapat lihat kepentingan Kak Limah dalam misteri hantu-hantu Kampung Pisang walaupun ianya tidak berkaitan. Tapi, ianya dilupakan kerana memberi peluang kepada isu kedatangan Dr Samsudin tadi.



Melihat himpunan watak penduduk kampung yang ada di antaranya adalah watak baru, ianya tidak menjadi satu hal. Kita boleh terima atas alasan kelainan yang mahu diberi, cuma kadang-kadang tidak tahu mana silapnya bahasa tubuh mereka tidak terkawal seakan rapi dirancang dan tidak natural. Paling nyata adalah pergerakan seragam dan pergerakan biji mata yang teragak-agak dan hilang arah. Apatah lagi, pelakon baru yang agak kaku yang penunggang motor Usop. Wah, teliti benar. Bukan apa, sebab terganggu juga, bukan sengaja mencari kesalahan kecil filem ini. Satu 'penambahbaikan' dalam HMDJPT adalah penggunaan CGI yang kiranya tidaklah cacat mana dan PF tidak ada masalah dengan penggunaan CGI dalam filem ini. Begitu juga dengan kisah masa lalu Kampung Pisang yang cuba diterangkan kepada penonton menjadi filem ini lebih menarik untuk di tonton. Selainnya hiburan ringan yang boleh dilayan walaupun agak kurang umphh berbanding HKLBR. Ermm, apakah maksud toncit sebenarnya? 


Al Fatihah untuk Allahyarham Zami Ismail.

24 Oct 2012

Ted : Bukan Komedi Kosong


Genre : Komedi
Arahan : Seth MacFarlane
Pelakon : Seperti di Poster
Tahun : 2012
Filem Seumpamanya : Paul & Mr Popper's Penguin
Rating : 3/5



Pertama sekali, PF jarang ulas filem komedi Hollywood. John Bennett (Mark) yang mendapat 'mukjizat Krismas' iaitu seekor patung beruang yang boleh bercakap (Ted) semasa usia kanak-kanaknya dan kerkawan rapat gila sehingga dewasa. Nampak macam cerita untuk budak-budak, tapi bukan. Ini komedi untuk orang dewasa tapi dalam medium kanak-kanak. Kecuali kepada mak-bapak yang open minded dan sporting katanya tak kisah anaknya menonton teddy bear lebih kurang manusia yang tak senonoh perangainya. Ya, Ted ini boleh saja kita ganti dengan manusia biasa dalam filem ini tapi produksi memilih patung beruang agar nampak lebih komedi dan meneruskan legasi Family Guy whatsoever....

Sudah berusia 35 tahun John belum berkahwin tetapi menjalin hubungan dengan Lori (Mila) yang menjangkau 4 tahun. Bukan jalan cerita John terpaksa memilih antara Ted dan Lori apabila tiba waktunya, tapi yang PF lihat di sini adalah persahabatan. PF dapat rasa chemistry dan tak-boleh-pisah antara John dan Ted. Beberapa kali babak 'kena tinggal' oleh John terhadap Ted adalah sesuatu perasaan yang mendalam antara dua watak ini. Ted walaupun hanya kapas di dalam tubuhnya, mempunyai kuasa kawan yang menakluk John agar 'mendengar kata'. Dengan perangai Ted yang buruk tak ubah seperti manusia dewasa menjadikannya ia diterima oleh masyarakat sehingga lama-kelamaan orang sudah tak jakun dengannya. Kau tak rasa ke semasa babak mereka bergaduh di dalam bilik tu? Itulah kemuncak kepada nilai persahabatan mereka yang pada PF erti kawan sebenar. PF dapat merasakannya. Walaupun bertumbuk-tumbuk, itulah membuktikan bahawa Ted terlalu sayang pada John kerana John meletakkan Ted hanya sebagai 'beruang picisan' - istilah itu PF lupa. Filem yang kesampaian dalam menyampai maksudnya tetapi diluar kotor. Walau begitu PF menggemarinya.



Genre : Seram
Arahan : Scott Derickson
Pelakon : Ethan Hawke, Juliet Raylance, Clare Foley, Michael Hall.
Tahun : 2012
Filem Seumpamanya : -
Rating : 3/5

Takde plan pun nak ulas filem ini, cuma ingin berkongsi sedikit. Filem seram ini terletak pada pita filem yang dijumpai oleh Ellison seorang penulis novel yang berpindah ke rumah baru. Dia ingin cuba mengulang kejayaan  yang pernah dikecapinya dahulu dengan cuba menulis novel terkini. Sekali lagi formula diulang  - premis seram dengan 'berpindah ke rumah baru'. Dengan menghidangkan konsep menyiasat sendiri terhadap kejadian yang berlaku dalam pita tersebut, Ellison sendiri obses dengan imej-imej di dalamnya. Seram yang boleh tahan dan elemen kejutan yang membuat jantung anda berdebar. Imej hantu jika ditayang lama-lama memang akan hilang keseramannya tetapi sebelum 'memperkenalkan' hantu, penonton disogok dengan kemisterian mereka. Sinister ada sesuatu.


30 Sept 2012

Hantu Kapcai : For The Sake of Rating



Genre : Komedi
Arahan : Ghaz Abu Bakar
Kos : Tidak Diketahui
Pelakon : Zizan Razak, Hairul Azreen, Izzue Islam, Remy Ishak, Fizz Fairuz, Dian P.Ramlee
Tahun : 2012
Filem Seumpamanya : Rempit Komedi Malaysia
Rating : 2.5/5

Seminggu ni PF 3 kali tonton wayang dipawagam di hari-hari berlainan! Gilakan? (pernah marathon 3 filem sehari, tapi bontot memang kematu dan otak akan tepu - sebab tu jarang buat). Pertama disebabkan jumpa teman lama yang datang dari negeri yang tersangatlah kurang pawagam. Dan apabila teman tersebut ada hal di KL, apa lagi, 2 buah filem 3D kami tonton iaitu Dredd dan Resident Evil Retribution. Kedua, dengan mengambil peluang dengan teman-teman yang tak selalu jumpa, kami memilih Hantu Kapcai!

PF kena terima hakikat bahawa dengan mereview filem melayu, apatah lagi jenis yang ringan dan popular, hit post ini ada potensi akan tinggi. Jadi PF sesaja nak review ala kadar. Jangan keliru erk, bila tengok trailer atau poster, ini bukan filem MIG ke, Excellent Pictures ke (Ahmad Idham punya) yang selalu ambil Zizan Razak as a hero dengan filem komedi rempit. Tapi ini adalah filem pertama anak syarikat KRU Studios iaitu Showbiz Productions yang akan mengeluarkan filem berbeza dari prinsip KRU Studios.

So, adakah filem arahan Ghaz [banyak menghasilkan video klip muzik antaranya, Pelangi Senja (Stacy), Mungkin, Sesucinya Cintamu (AnuarZain)] ini berbeza dari jenis-jenis rempit komedi MIG dan Excellent? Apa yang boleh dikatakan, lawaknya lebih baik sedikit dari sekian banyak lawak-rempit-gangster. Satu hal yang penting di sini, penonton komedi ini ada 2 jenis kot. Pertama, yang senang ketawa, macam penonton sebelah PF. Kedua macam PF lah, ketawa pada part yang 'sepatutnya saja' hehe.

Filem ringan yang bila kita keluar pawagam, kita akan lupa ini, kira so-so je. Ada yang blame cerita ni persenda agama. Mana ada, kalau ada tak lepas filem ni. So enjoy je lah, korangkan kerja perah otak kat opis tu. Rasanya ini filem pertama Ghaz apatah lagi filem komedi pertama arahannya. PF kira Ghaz seorang yang serius, tapi buat skrip filem komedi. Diketahui, memang susah buat filem komedi ni tapi penonton enjoy habis dengan keletah Zizan dan Fizz Fairuz. Berbaloilah duit mereka gamaknya. Jangan ingat PF kelentong kamu semua kata TAK tengok filem ni tapi bagi rating rendah dan ulasan yang ringkas. PF boleh je terangkan detail satu-satu jika kamu tanya babak-babak dalam Hantu Kapcai. Jika suka filem ini, jangan lupa undi untuk Filem Box Office Paling Popular 2012 kat sebelah ni. Adilkan....?

p/s 1 : Banyak betol entry bulan ni. Tengah musim menggila kot. Seperti yang dijanjikan, pemenang bagi Movie Quiz 1 adalah saudari Hazirah dari blog Vanila Dan Mawi. Mawi mana satu ni? Tahniah dari PF! 

Jawapan Movie Quiz 1 :

1. The Grey
2. Sumpahan Kum Kum
3. The Woman In Black
4. About Elly
5. The Darkest Hour

Worst movie death scene ever! Katanya dari filem Turki. Layan...



6 Apr 2012

Cacamarba : Cinta Kura-Kura & Raise The Red Lantern



Genre : Komedi
Arahan : Nizam Zakaria
Kos : RM1.17
Pelakon : Ariel Zafril, Tiz Zaqyah, Zizan Razak, Fara Fauzana
Tahun : 2012
Filem Seumpamanya : Garfield
Rating : 2.5/5

Filem arahan pertama Nizam Zakaria boleh dikatakan tak mengecewakan. Menaruhkan sebagai komedi remaja, Cinta Kura-Kura sangat santai dan menghiburkan. Persembahan Zizan Razak (NIco) walaupun meminjamkan suara saja tapi dialah penyelamat filem ini, kedua suara Fara Fauzana (Ya! lahir dari skrip Nizam). Cumanya, kura-kura sebagai bahan pertaruhan yang mungkin membuat ianya terhad dari segi aksi memek muka sebab muka kura-kura kecik. Penonton taklah dapat tgk aksi comel Nico sebagaimana dalam Garfield dan yang lain-lain misalnya. Mungkin nak buat kelainan. Sebab itulah animasi Nico dibuat seboleh-boleh animasi dengan badannya yang elastik walaupun PF rasa terganggu di situ. Selain itu, warna dalam Cinta Kura-kura amat segar dan nampak terancang dengan baik. Lagi menambah mood filem ini. Yang kurangnya adalah binatang-binatang yang nampak sangat kartunnya macam harimau, gajah dan lembu hitam putih. Biasalah, bajet. PF harap Nizam dapat keluarkan filem serius selepas ini dengan menawarkan sesuatu yang boleh menarik minat produser filem. 




Genre : Drama
Arahan : Zhang Yimou
Kos : Tidak diketahui
Pelakon : Gong Li, Saifei Hei, Cuifen Cao, Jingwu Ma, Qi Zhao 
Tahun : 1991
Filem Seumpamanya : 
Rating : 4/5

Kalau selama ini kita disogokkan dengan cerita melayu dengan lelaki berkahwin empat, kali ini PF menonton filem China, lelaki yang berkahwin empat (tetapi di subtitle dipanggil mistress) tinggal di dalam istana tetapi duduk berasingan. Cumanya kalau dalam Islam lelaki perlu bersikap adil dengan isteri-isterinya dalam segala hal termasuk giliran untuk bersama tapi, 'master' lelaki kaya yang kahwin empat ini lain pula caranya. Suka hati dia nak tidur dengan siapa pada malam-malamnya. Dalam satu 'adat', PF tak pasti waktunya petang atau pagi, keempat-empat isteri akan berdiri bersama orang gaji di tempat masing-masing dan menunggu pengumuman dari master untuk memilih isteri mana untuk dia tidur malam itu. Yang uniknya, filem ini bukan kisah master itu tapi kepada Songlian dan isteri master yang lain. Sebabnya, apabila melibatkan babak master saja, kamera akan zoom jauh, ataupun diambil berselindung kain katil yang takkan menampakkan wajahnya dengan jelas.  Isteri-isterinya pula mempunyai karakter masing-masing. Isteri pertama yang dah tua, sudah tak menjadi pilihan master, isteri kedua yang baik hati tapi jahat sebenarnya, isteri ketiga seorang penyanyi opera yang bersikap sombong, dan isteri keempat, Songlian (Gong Li) yang menjadi heroin filem ini yang gagal di Universiti dan selalu memendam rasa. Lampu merah lantern akan dipasang untuk meraikan isteri baru (Songlian) dan meraikan berita kehamilan isteri sebagaimana tajuk filem ini. Pergolakan berlaku apabila Songlian mengenali setiap isteri master dan mengetahui sendiri latarbelakang tempat yang mereka tingal.