Showing posts with label Seram. Show all posts
Showing posts with label Seram. Show all posts

1 Aug 2018

Nafas Baru Hantu Kak Limah Tanpa Lupakan Nafas Lama



HANTU KAK LIMAH (2018)
Arahan: Mamat Khalid
Rating: 4/5
Komedi, seram

Terdapat sedikit spoiler namun tidak menjejaskan keseluruhan sinopsis. Jangan baca jika mahukan excitement yang lebih sehingga anda tonton sendiri.

1. Francais keempat Kg. Pisang setelah:

Zombi Kg. Pisang (2007)
Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)
Husin, Mon & Jin Pakai Toncit (2013)

dan sekuel ketiga bagi Hantu Kak Limah.

2. Gambar yang lebih terang dan cantik memberi gambaran baru bagi filem Mamat Khalid (MK). Ini disokong pula dengan tulisan kredit berwarna putih (adakah ini melanggar pantang?) yang amat jarang sekali filem seram memberi petunjuk bahawa ini adalah persembahan yang segar dari siri Hantu Kak Limah dan Kg. Pisang.

3. Lebih humor dengan keletah penduduk Kg. Pisang. Anda akan terbahak-bahak menyaksikan mereka dan watak baru, Khuda yang seakan berkarakter seperti seekor kuda yang sukakan perempuan yang lebih tua, watak guru silat muda, Solihin yang 'tidak berguna', dan Nayan dengan lawak Inggerisnya yang pasti korang akan pecah perut sampai kokak! Gambaran penduduk Kg. Pisang yang bermasyarakat dalam menghadapi permasalahan bersama dan aktiviti orang Melayu masuk hutan menangkap burung adalah nostalgia yang dikembalikan semula ke layar perak setelah Jibam (2017).

4. Jalan cerita yang baru. Ianya bukan 'just another hantu Kak Limah' atau berkesinambungan dari filem sebelumnya. Ia berkaitan cinta antara watak si mati dan watak hidup, tetapi ada kejutan di hujung cerita yang tiada gambaran langsung pada awalnya.

5. Watak Hantu Kak Limah ditonjolkan dengan lebih banyak babak. Ini salah satu yang menyumbang kepada 'nafas baru' siri Kak Limah. Berlebihan bukan bermaksud hilang keseraman, tetapi ditutupi dengan latarbelakang muzik seram yang perghh.. padu yang selalu kita dengar dalam filem seram luar. Tak pun, filem seram klasik. Terima kasih kepada skor muzik Zulkiff Headwind dan penata bunyi, Manop Janjarassku. Tahap kebagusan HKL naik setakah.

6. Sinematografi oleh Jack Rahmad yang jarang dilihat dalam filem M.K. Bukan tiada tapi kali ini lebih ketara. Banyak bermain dengan pencahayaan terutama dalam bilik dan di kilang arang itu sangat menawan! Terdapat babak pegun di mana 3 watak sedang duduk di kilang arang di waktu malam itu favorite PF. Akan tetapi, penggunaan lampu yang sangat terang dalam hutan dan sinaran lampu yang agak 'direct' dalam beberapa babak, kelihatan agak tidak natural juga.

7. Parodi kepada filem popular Thailand, Nang Nak dan homaj kepada filem Pendekar Bujang Lapok. Pasti korang akan dapat cam babak yang dimaksudkan bukan alasan korang untuk mengatakan M.K tiada idea. Ia ditambah dengan kreativiti M.K menjadikan filem ni penuh warna dengan watak-watak yang sedia ada berwarna.

8. Politik dalam HKL disentuh dalam bentuk satira dalam watak Yeh Sekupang (Allahyarham Rab Khalid) yang bercita-cita untuk menjadi ketua kampung dan Abe Yie (Sabri Yunus). Lihat saja Abe Yie memakai baju biru tua dan putih mewakili politik siapa? Perkataan 'bangsa' pun menjadi sebahagian dialog tau!

9. Dalam perjalanan meniti naratif, PF khuatir ianya tersasar. Ya, ada sedikit, tetapi tidak pergi terlalu jauh dan M.K segera u-turn ke landasan asal. Mungkin ini perasaan PF saja di mana babak lagu Hatiku Luka Lagi oleh Black Dog Bone yang tiba-tiba masuk, padahal sebelumnya babak cemas. Kesasaran juga adalah babak hantu Jepun yang bangkit dari kubur tetapi tidak berlebihan.

10. "Nafas lama" - terdapat pengulangan babak dari filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mungkin sebagai resepi komedi dimana dahulunya berjaya membuat penonton berdekah. Adakah ia memberi impak yang sama kali ini? Hubungan Eton (Uqasha) dan Awie juga mengulang formula lama tetapi tetap manis dek keayuan Uqasha Senrose dan sebagai love touch dalam filem.

11. Garapan tentang dunia bunian yang tidak janggal dan menjadi. Malah penampilan Mus May amat berjaya dan kelakar pulak tu. Cayalah! Penampilan bintang dan selebriti wanita yang tidak sia-sia dan cara kemunculan juga 'ada style' tetapi tetap memberi suasana seram.

Jadi, adakah HKL setaraf dengan Pee Mak atau anda boleh kaitkan dengan filem-filem komedi seram lain? PF rasa sekuel kali ini berjaya dan mengembalikan populariti Kak Limah kalau tidak melebihi yang pertama, ianya sama level dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Saksikan pada 9 Ogos nanti.


22 Apr 2017

Lebuh Raya Ke Neraka





Lebuh Raya Ke Neraka (2017)
Mamat Khalid
Seram/Thriller
3.5/5



Point-point ringkas berkenaan Lebuh Raya ke Neraka. Minor spoiler.

+ Lebuh Raya Ke Neraka (LKN) Ini adalah filem paling 'serius' mamat Khalid dan bertemakan kerohanian berbaur dakwah. Tiada langsung watak 'badut'. Sebelumnya Kala Malam Bulan Mengambang adalah filem serius ala noir.

+ Dakwah dalam LKN, berceramah tentang agama tetapi tidak secara terus seperti filem Munafik. Oleh itu tiada ayat Al-Quran di awal dan hujung. Jika ada, mungkin ada terselit  di tengah (lupa la...) Dan tiada juga ustaz yang halau hantu/syaitan!

+ Banyak metafora dan simbol sebagai visual storytelling seperti gelang, lampu van, mungkar nangkirburung gagak dan syaitan supaya penonton bijak berfikir bukan sekadar disuap-suap (bagi penonton dewasa). 

+ Dialog dibikin semudah mungkin dan difahami semua lapisan tidak terlalu religious agar penonton muda seumur 13 tahun 'sempat diselamatkan' kelak menonton filem ini. Filem ini rating P13.

+ Memberi 2 jalan kepada penonton dalam memilih duniawi dan alam ghaib dalam merungkai sesuatu peristiwa. 

+ Sukar hendak bikin filem agama/kerohanian sebegini kerana beberapa kali berurusan dengan LPF dan hasilnya tidak terlalu berani dan mengikut landasan garis panduan. Filem siap 6 tahun lepas dan ini salah satu sebab ianya baru kini ditayangkan. Oleh itu tiada hal kontroversi yang berlaku. Namun, memberi kelainan kepada filem-filem MK. 

+ Khir Rahman mencuri perhatian sebagai Tyson walaupun filem ini adalah kisah Awie. Watak Awie sebagai landasan untuk Tyson berjalan di atasnya. Selebihnya, hal-hal agama biar mereka yang lebih arif sentuh, namun dari segi luaran tidak terlalu berat untuk mass audien.

+ Babak CGI (kecuali 'neraka') yang kebanyakannya diwaktu malam/gelap sekurang-kurang melindungi dan tidak nampak jelik dan boleh kata baik secara keseluruhan. Seingat PF lebih baik dari Husin Mon dan Jin Pakai Toncit.

+ Muzik skor sangat mengasyikkan dan mengembalikan memori filem retro segenre dari Space Gambus Experiment. Namun, skor Amir & Loqman Turun Ke Laut tetap masih jadi pilihan hati.

+ Muka baru bagi filem MK seperti Dazrin dan Shah Jazle memberi perisa sedikit berlainan untuk filem kali ini. 

+ Premis sama seperti KARAK (KRU Prod.) tetapi Karak lebih kepada gangguan hantu dan ianya klise.  Jika anda mencari 'jump scare', bukan dalam LKN.  



8 Feb 2017

Aku Haus Darahmu & The Red Turtle




AKU HAUS DARAHMU (2017)
Aidilfitri MY
Seram
3/5

Sejak publisiti filem ini muncul yang menjual nama Deanna Yusof, PF sudah tertarik. Apatah lagi dengan judul yang unik. Sudah berapa lama Deanna tak berlakon filem panjang? Terkini pun dalam produksi Singapura. Perjuangan sang pengarah yang ingin mengembalikan roh seram filem 80an tempatan seperti Rahsia dan Misteri Rumah Tua yang menjadi rujukan untuk tatapan penggemar horror classic. 2 perkara yang membuatkan PF suka tentang filem ini adalah skor muziknya yang kena dan bertepatan dengan atmosfera seram yang ingin disampingkan. Dengan 'bergenre' bunyi klasik, telinga tertangkap kehebatan bunyi yang biasa kita tidak terperasankan kerana jump scare dengan bunyi yang kuat selalu dipermain-main semata untuk memeranjatkan. Kedua, elemen bunyi tersebut telah menyihir mata dan perasaan terhadap tarian-tarian mistik penari-penari seakan kita dalam alam lagi satu. Dibuat ala pementasan teater berpagar bulu-buluh seakan jauh dari penduduk kampung. Ceritanya mudah dan cuba bermain selamat dengan lokasi yang terhad untuk menggambarkan zaman 80an. Kadang-kadang dialognya terlajak kekinian. PF sudah lama/lupa dan tidak biasa sebenarnya dengan filem-filem seram 80an, tetapi entah mengapa sinematografinya cuba digelapkan dengan sengaja walaupun tengahari menampakkan tidak semulajadi 80an yang diingini. 

Lagi satu, Cempaka (Deanna) seolah-olah tidak 'memiliki' rumah tradisional itu kerana seperti nampak terasing dengan tuannya. Deanna hanya bercantikan saja tidak 'mendiaminya'. Okay, kalau iya pun dia itu hantu atau sebagainya. Mungkin PF salah kerana yang berhantu adalah tarian dan bukannya rumah, jadi pemilikan rumah tidak perlu ditekankan kerana ingin menimbulkan lebih kemisterian terhadap watak Cempaka. Selain itu, bukan mahu mencari kesalahan dan memang tidak suka menyebutnya di sini, bahawa watak-watak bergerak lambat pada sesuatu yang sudah biasa ada/sia-sia/dilihat dalam filem seram. Namun, pada beberapa babak ianya perlahan tetapi efektif contoh ketika Ezza berjalan perlahan ke dalam semak tepi rumah yang di sokong dengan latar muzik yang cocok dan penuh misteri. Kelebihan lagi adalah lakonan Cempaka dan Kenanga, walapun terkadang lakonan Kenanga itu nampak pelik. Tarian Deanna dan Nad Zainal nampak kemas menyimpulkan bahawa mereka berlatih untuk itu. Aidilfitri berjaya membuatkan filem seram ini ke tahap yang lain di penghujungnya bagi membolehkan watak jahat menjadi cantik dan muda selama-lamanya seterusnya memberi klimak yang berkesan.


RED TURTLE (2016)
Michael Dudok de Wit
Animasi
3.5/5

Kalau boleh PF spoilkan bahawa filem ini tiada dialog langsung. Yang ada hanya desahan dan kata seperti Oi! Boring? Nanti dulu. Berkenaan seorang lelaki yang terdampar di pulau dan cuba meneruskan kehidupan seorang diri dan berjumpa seseorang. Ironinya, dengan tajuk The Red Turtle tetapi ianya kisah seorang lelaki tetapi red turtle itulah yang mengubah hidupnya untuk terus hidup dalam dunia asing. Walaupun rupa kartunnya bukan 3D, mata tertancap akan detik hari-hari lelaki ini dari hari pertama ia lemas dilambung ombak menerusi garis-garis halus animasi ini. Ini filem kedua bukan 3D yang enak dinikmati selepas Song of The Sea (2014). Jika kanak-kanak mungkin sukar terhibur kerana kebisuannya, tetapi tidak bagi penonton dewasa sebab ianya riuh dengan tema universal seperti perhubungan, cinta dan keterasingan. Bila filem ini menyentuh bab fantasi, (tidak pasti ianya ada kaitan dengan sesuatu lagenda), ini yang memuatkan ia bertambah seronok untuk ditonton. Dan meninggalkan seseorang terkapai-kapai adalah kejam.


21 Apr 2016

Ola Bola, Munafik & Boboiboy The Movie

Filem yang berjaya dari segi kutipan pada tahun ini, memberi kegirangan selepas kemurungan tahun lepas. 3 Genre berbeza.




Arahan : Chiu Keng Guan
Genre : Drama
Tahun : 2016
Rating : 4/5


Filem sukan paling berjaya setakat ini terbitan anak tempatan wujud di tahun 2016.




Arahan : Syamsul Yusoff
Genre : Seram
Tahun : 2016
Rating : 3.5/5


Filem seram yang memberi dimensi baru kepada filem seram Malaysia. Ada beberapa hal yang boleh disanggah ciptaannya lebih-lebih lagi tak lari dari cliche seram pada beberapa babak. Keseluruhannya, baik.



Arahan : Nizam Razak
Genre : Animasi
Tahun : 2016
Rating : 4/5


Filem animasi paling fun dan terbaik dan menonton 3 kali di pawagam yang menyingkirkan favourite PF selama ini iaitu Bola Kampung The Movie.


30 Sept 2015

Jwanita Oh!


Arahan : Osman Ali
Genre : Seram, Ganas/Thriller
Tahun : 2015
Rating : ?/5 - sedang tayang


Spoiler dari awal hingga akhir.

Kebiasannya filem psycho thriller berdiri sendiri sebagi genre bagi sang sutradara meneroka alam watak yang sangat rumit itu. Walau bagaimanapun Osman Ali begitu berani mencampurkannya dengan elemen seram bagi menjamu penonton agar ia lebih berwarna dan ingin memberi pengalaman baru mungkin. 

Sebenarnya, hati ini banyak merungut semasa menonton Jwanita. Pertama, mentera yang dilagukan oleh Jwanita agak kurang kedengaran butirnya semasa ritual. Pasangan pengamal ilmu hitam yang dilakonkan oleh Umie Aida dan pasangan lelakinya yang tiba-tiba menculik Jwanita semasa kecil itu bagai tergesa-gesa dari kemunculan Umie sehingga dia mati (PF faham jangka masa nak kejar durasi filem di bawah 2 jam, tapi filem ini 1 jam 40 minit). Dikatakan watak Umie memang merayau-rayau pada waktu malam untuk mencari mangsa tetapi tidak didalami. Babak Umie katanya homage kepada watak dari filem Dukun pun tidak berapa memeranjatkan kerana trailer Dukun itu lebih padu walau sedikit. Ah, Ida Nerina dalam Susuk dan Salma Hayek dalam Tale of Tales! Kemudian, tiada satu babak pun menunjukkan Jwanita menuntut ilmu daripada Umie kerana bagi PF ianya penting menguatkan lagi karakter Jwanita dipermulaan. Kekuatan pasangan pengamal ilmu hitam itu terbukti dengan kelihatan mereka masih muda walaupun Jwanita membesar. 

Plot bergerak di mana Jwanita berjaya dikesan oleh adiknya Julaika dan tinggal bersama dengannya yang berkahwin dengan Dr. Farhan yang juga kebetulan merawat Jwanita dulu. Jwanita rupanya ada feeling dengan Farhan semasa dalam proses rawatan kemudian muncullah lagu putus kasih yang PF terus facepalm tak tahu hujung pangkal (cuba bayangkan kalau filem mat salleh ada lagu pop dalam filem psycho sebegini). Dipendekkan, penyakit Jwanita kembali dan meroyan sehingga Nona pembantu rumah muda tercedera. Selang beberapa tahun, Jwanita kembali semula dan Julaika dan Farhan menerimanya semula bagai tiada apa.  Lagi satu, sikap Jwanita yang tak prihatin terhadap insiden/kejadian dalam rumah bagai mengundang curiga tetapi 'dibutakan' saja oleh pasangan suami isteri itu. Kerja-kerja jahat Jwanita yang hanya di belakang rumah itu juga umpama membodohkan penonton, kerana ada jeritan-jeritan dari dalam stor itu pun takkan tak didengar dari rumah? Cuma rupa bentuk stor itu agak meyakinkan bagi mewujudkan suasana thrill.

Muzik Latar.

Muzik latar yang seakan tidak pernah berhenti di sepanjang filem ikut babak ini sebenarnya dah banyak kita baca di mana-mana reviu filem tempatan, tetapi masih lagi menjadi amalan produksi, mungkin banyak sangat koleksi muzik dalam library mereka rasa rugi pula kalau tak guna. Sebab itu lah babak yang sepatutnya seram dah tak rasa apa antaranya semasa Jwanita gali kubur. Genre - satu yang PF puji di sini adalah keberanian Osman untuk mencipta watak berdarah ini dalam filem tempatan tapi dari segi latarnya sangat mengecewakan. Elemen seram pula agak separuh masak dan hanya penyedap, tetapi tabiklah kerana tak menyangka mayat itu menjadi zombie tidak dapat dijangka oleh PF dan kalau zombie tu merayau-rayau satu kampung mesti best! kuikui. Maya Karin sedaya upaya menjiwai watak ini sehabis baik setelah wataknya dalam Nota seakan disekat. Bront - yang selalu kita dapati dalam filem Osman ini terkadang kita rasa sedikit kasihan, tapi tak mengapa retis Barat gred A pun ada jugak berlakon filem yang tak menjadikan? Christina Suzanne - kurang gemar akan rupanya dan busana ciptaan Osman dan terkadang agak janggal pada sesetangah bahagian. Maaf.

Bukak Api (2000) masih lagi filem terbaik pengarah ini.


16 Aug 2015

White God, Jendela & Selfie Suara Kubur



White God (Hungary)
Arahan : Kornel Mundruczo
Genre : Aksi
Tahun : 2014
Rating : 4.5/5

Filem ini memenangi kategori Uncertain Regard di Cannes 2014. Pada mulanya tak perasan sangat filem ini menang cuma perasan yang ia masuk festival filem itu. Kisah ringkas, Lili kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun membela anjing bernama Hagen kepunyaan ibunya yang telah berpisah dengan suaminya. Lili tinggal bersama bapanya yang tidak suka akan anjing berkenaan lalu meninggalkannya di jalanan. Seperti kisah binatang lain, White God mengutarakan isu-isu kemanusiaan terutama antara manusia dan haiwan. Walau pun begitu konsep filem Hachiko bukan agenda utama filem ini, ianya sisi sipi. Pada permulaan kisah, Lili yang menaiki basikal di sebatang jalan di Budapest dikejar oleh seekor anjing kemudian disertai dengan beberapa ekor, seterusnya lebih banyak lagi anjing. Apa yang dibaca, kesemua anjing adalah anjing jalanan yang tidak dilatih kecuali 2 ekor anjing utama iaitu Hagen dan seekor anjing putih tompok-tompok. Apa yang mengagumkan PF adalah bagaimana anjing-anjing ini berlakon di hadapan kamera kerana ianya sangat real tanpa CGI, boleh lihat  DI SINI. Teringat Planet of The Apes?

Sebagaimana anjing jalanan yang liar, akan menjadi liar apatah lagi haiwan yang tidak berakal menjadi hilang akal. Hagen di sini menjadi hero filem dan mengetuai anjing jalanan untuk membalas dendam terhadap manusia. Hagen seakan mampu untuk mengumpul semua anjing bagi melaksanakan misinya. Perhatikan, dia sangat fokus dan mengenalpasti sesiapa saja yang membuat onar dengannya. Riak wajah dan matanya dalam sesuatu babak penting semestinya sesuatu yang bernilai apabila dapat dirakam lensa kamera. Perbuatan kejam manusia terhadap haiwan termasuk anjing memang ada, ini tidak terkecuali dalam filem ini. Darah lembu yang terlihat di babak awal filem adalah bayangan awal kepada keseluruhan filem. Emosi Lili sebagai anak hasil perceraian (kenapa filem barat banyak latarbelakang seperti ini?), dipilih sebagai 'sidekick' kepada anjing Hagen. Di sini pengarah Kornel masih lagi memilih jalan cliche dimana, kanak-kanak pasti berdamping dengan haiwan seperti kebanyakan filem haiwan lain bagi menagih simpati kecuali Amores Perros (2000), dan The Breed (2006), sekadar beberapa contoh..

Walau bagaimanapun, rupa keseluruhannya pasti berbeza bagi membolehkan ia memasuki kategori Uncertain Regard ini lalu mengalahkan 19 filem yang lain. Kenapa anjing? Kenapa kanak-kanak perempuan 13 tahun bermain muzik yang meniup trompet? Kenapa anjing-anjing ganas itu tewas dengan bunyian trompet berlagu seperti lagu kebangsaan sebuah negara berbanding api yang ditala oleh lelaki dewasa?
Persoalan ini menarik apabila kita menonton filem yang boleh membuatkan kita berfikir. Ini merupakan salah satu filem yang puas ditonton tahun ini.



The film also works as a conscious metaphor about any group marginalized and ill-used by a mainstream, and “White God” has been variously interpreted as an allegory about Hungary in the European Union and Muslim guest workers in Hungary. The parallel is so broad as to be nearly useless beyond serving as a doggie version of the Golden Rule: Do unto mutts as you would have them do unto you. Or they will. - Boston Globe

Sumber lain:
Indie Wire




Arahan : M. Subash
Genre : Seram
Tahun : 2015
Rating : 1/5 & 2/5


2 filem M Subash ini sebenarnya sudah tengok sebelum puasa tempoh hari. Tak pasti adakah filem-filem ini ada trilogi kerana terdapat persamaan yang nyata keduanya. Mungkin Papa's Shoe filem seterusnya adalah pelengkap (belum tonton) kerana jika kita intai trailernya macam gitu juga pesennya. Memang tidak dinafikan filem ini adalah eksperimen oleh pengarahnya. Selfie Suara Kubur dan Jendela mengenai ibu yang tinggal seorang di sebuah rumah di kampung dan kedua-dua anak mereka bekerja di bandar. Persamaan kedua adalah, minimum dialog terutama Jendela yang diberitakan filem bisu malaysia pertama. Kalau diamati filem bisu ini terdapat 3 jenis:

1. para pelakonnya sememangnya bisu.
2. pelakon berdialog/bersuara tapi dimutekan tapi dialognya dipaparkan di skrin untuk bacaan penonton.
3. pelakon tidak bisu tetapi watak tiada dialog.


Filem Jendela ini jatuh dikategori no 3 itu. Ok, kita sentuh Selfie Suara Kubur dulu. PF sebenarnya benci filem ini. Walaupun filemnya tak panjang 1 jam dan beberapa minit saja tapi serasa membuang masa. Dengan segala macam gangguan yang ditempuh oleh Mak Jah kekadang tak logik. Kalau tengok di pawagam ni memang menyumpah-nyumpahlah. Menunggu hampir sejam lebih itu untuk mendapat mesej supaya mengawasi anak daripada diculik. Huh! Berbanding Jendela dimana Ruminah Sidek seorang diri sepanjang filem yang mempunyai twist. Percubaan yang baik tetapi filem terlalu banyak menangis penat jugakan? Mungkin ini idea M.Subash atau diambil dari mana-mana filem sebagai rujukan. Rasa-rasanya siapa yang akan buat filem sebegini..? kerana M.Subash team tak kering dengan idea dan terus-terusan mengeluarkan filem walaupun bajet kecil tetapi kadang-kadang perlu mempertimbangkan masa dan wang penonton (bukan kehendak ya).


7 Jul 2015

Rigor Mortis, Fargo & Silent Light


Arahan : Juno Mak
Genre : Seram
Tahun : 2014
Rating : 3.5/5


Filem homage kepada filem seram Hong Kong ini iaitu pontianak lompat-lompat kadang-kadang ia seperti filem taraf rendah. Selepas itu macam filem 'sesuatu'. Ia selang-seli. Tak pasti kenapa pada sebahagian tempat ia nampak cheap. Tak tahu nak kata macam mana, mungkin PF sendiri yang terasa begitu. Terlalu banyak cgi sudah tentunya membawa hasil yang tidak seram tetapi jalan cerita yang baik sebenarnya yang ditekankan dan R.Mortis tiada jumpscare langsung tapi itu bukan masalah besar jika ceritanya best! Dan dapat merasakan konsep begini dalam filem Penanggal (Ellie Suriati) dan Claypot Curry Killer (James Lee).




Arahan : Joel Coen
Genre : Drama
Tahun : 1996
Rating : 4/5


Semasa sekitar tahun 1996 PF kurang mengikuti filem luar. Cuma filem yang ditayang di TV saja pada zaman-zaman tu untuk ditonton. Pernah suatu ketika PF terjumpa kembali konon-konon diari yang ditulis semasa tingkatan 5. Nak tau apa cita-cita yang ditulis kat situ? ..."filmaker". Hahaha. PF pun tak sangka pernah tulis benda tu sebab masa jumpa diari tu memang dah lupa. 

Sebenarnya masa itu hati memang membuak nak ke panggung tapi masih takut-takut lagi, maklumlah duduk kampung dan tiada kawan yang gemar menonton di pawagam. Jadi, bila terjumpa filem Fargo ini rupanya adalah karya adik-beradik Coen pada tahun berkenaan. Pengalaman tontonan mcm tiada keistimewaan pada mulanya dan tercari-cari kehebatan sehingga dapat 8+ point itu. Baca Roger Ebert fahamlah kenapa ia dapat sebegitu. Ilham dari kisah benar menantu yang cuba dapatkan wang tebusan dari bapa mertua kaya dgn merancang penculikan isterinya. Heroin pula seorang polis iaitu ibu mengandung. Idea pelik tapi hasilnya menarik.




Arahan : Carlos Reygadas
Genre : Drama
Tahun : 2007
Rating : 3.5/5



Kisah sebuah keluarga di pedalaman Mexico. Ketua keluarga (Johan) menyara 6 orang anak dan isteri sebagai petani. Senang saja. Si suami menjalin hubungan dengan perempuan lain dan hal ini diketahui oleh ayahnya, isteri (Esther) dan rakannya.

Filem slow cinema pada perkiraan PF pada tahap 2/3, (kalau tahap 1 tu maha slow) ini banyak menayangkan shot kerja-kerja harian/aktiviti si pelakon, e.g kegiatan menuai pokok jagung kering dgn mesin, sekeluarga mandi di kolam, doa sebelum makan, perjalanan dalam kereta - windscreen view yang semua 'bercerita mengambil masa' kita yg kadang-kadang tiada point. Banyak contoh slow cinema bermain dgn cara begini yg perasan seperti filem Karaoke (di kilang kelapa sawit), Taste of Cherry (aktiviti bajak mengorek pasir) dan bnyk lagi.

Sekarang, tinggal si suami bagaimana untuk tangani permasalahan itu. Dalam meraba-raba tanpa sarikata BI (tq wiki), secara ringkas, ia tentang kepasrahan dan kemaafan. Boleh dilihat jam yang mati saat Esther mati dan dibaiki oleh bapa Johan bahawa Esther punya 'harapan' selepas itu. Sedangkan pula jam klasik lama tetap berjalan semasa sekeluarga makan di awal cerita membayangkan sesuatu.

Esther seorang yang memendam rasa dgn kelakuan suami terkadang nampak dungu. Itulah dia. Sedangkan Johan tidak garang malah penyayang, tetapi tiada apa dilakukan oleh Esther. Langit malam dan bintang, fajar dan senja di awal dan akhir filem merupakan hal biasa di mana umat manusia menjalani kehidupan yang serupa, dalam diam kita sendiri mengetahuinya.


2 Jun 2015

C'Marba: Gamatisme, Murmur Of The Heart, Close Up & A Girl Walk Home Alone At Night,


Arahan : Hitler Zami
Genre : Seram, Psiko
Tahun : 2015
Rating : 1.5/5


Kau rasa bila pawagam takde orang beli tiket langsung, orang pawagam guna taktik macam mana? Dia buat la dummy 2 seat dah dibeli orang terpapar kat skrin tu, tapi sebenarnya takde pun. Jadi, cuma kita sajalah yang tengok dalam panggung sebesar alam tu. Ya-ya lah kita tunggu dua orang tu masuk cepat, sudahnya takde pun. Kahkahkah kena tipu.

Banyak yang tak kena dengan filem ni. PF mula-mula ada masalah dengan latarnya iaitu kolej seni yang guna seakan banglo siap ada kolam renang, bukan macam bangunan kolej-kolej biasa yang kita tengok tu. Manalah tahu memang ada kolej seni macam tu kan, mungkin PF duduk dalam tempurung (Ok2, susah nak shoot dekat kolej sebenar; mendapat izin dsb nak-nak citer seramkan?). Tak kisahlah kolej yang dipaparkan adalah diluar imaginasi PF, kira hebatlah dengan boleh buat maksiat sesuka hati, bilik tidur pelajar wanita boleh diintai senang-senang dari sebelah kolam renang?! OMG.. dan pak guardnya cuma seorang saja. Cameo artis undangan yang... huh. Sebenarnya semua ini mengganggu dan hanya ketika Zara (Nabila Huda) tunjuk belangnya saja PF boleh layan movie ni. Jadi, perut ibu mengandung itu adalah keratan rentas? Nampak macam mulut tempayan, patutnya tak perlu nampak keras sebegitu. Kredit lakonan Nabila dan Syazwan Zulkifli. Orang kata kalau kulitnya buruk, tak sanggup nak 'makan isinya'. 


Arahan : Sylvia Chang
Genre : Drama (Taiwan)
Tahun : 2015
Rating : 3.5/5

Secara ringkasnya ia berkisar drama keluarga, ibu bapa berpisah dan membawa anak mereka ketika kecil. Anak lelaki ikut bapa, anak perempuan ikut ibu. Dan apabila dewasa, kedua-duanya terpisah dan membawa haluan masing-masing. Penceritaan filem ini adalah lebih kpd ketika mereka dewasa, hanya ada imbas balik ketika mereka kecil.

Kedengaran biasa tapi pembawakannya bukan sewenang-wenang dan amat cermat kerana ia disaduri dengan simbolik kisah dongeng oleh ibu kpd anak2 mereka dan ayat-ayat puitis semestinya berarus perlahan. Apa yang buat ia menarik adalah kita tidak disogok dengan jalan cerita yang boleh ditebak di tengah-tengah. Dan boleh dikatakan ia janggal dan tak keterlaluan dilabel sbg melawan arus lalu membawa kepada pengakhiran yang (rahsia...) kepada 2 tunjang cerita (ia bukan omnibus). Ini kerana tumpuan asal cerita adalah kpd hubungan Mei (pelukis) dan kekasihnya seorang boxer yang tak menyinar dan usaha anak lelaki iaitu Yu-Nan mencari adik perempuannya itu yang dibuat "tanpa sedar" kerana Yu-Nan pun bukan bersungguh. 

Walau pun terdapat unsur kebetulan dan agak mudah, namun semua itu bolehlah dimaafkan dengan cara-cara penyampaianya cerita di sebelumnya - dan terdapat 2 adegan besar yang PF suka. Diulang sekali lagi, terasa janggal kerana ending filem ini bukan dijangka setelah 'usaha' plot tak memberi idea ke arah itu. *Jika ini filem Malaysia, PF beri 4/5 :)


Arahan : Abbas Kiarostami
Genre : Drama (Iran)
Tahun : 1990
Rating : 4.5/5

Antara karya terbaik Abbas Kiarostami. Kalau nak baca ulasan yang bagus pasal filem ini, baca DI SINI dan beberapa ulasan filem lain yang membuka mata.



Arahan : Ana Lily Amirppour
Genre : Drama (Canada/Iran)
Tahun : 2014
Rating : 4/5

Arahan orang Iran Amerika iaitu Ana Lily Amirpour sangat unik bila mana penggambaran di California tapi berbahasa Iran. Disemat sebagai filem Pontianak Iran pertama bercitarasa barat. Visual yang memikat sepanjang menonton filem hitam putih ini dan bukannya keseraman. Anda boleh rasa seperti sentuhan Jim Jarmush (Only Lovers Left Alive). Entah kenapa PF merasakan "filem Iran yang tak perlu bersentuhan/berpeluk pun boleh menghasilkan filem yg berkualiti" dah tak boleh digunapakai. Apatah lagi nampak nenen. Hahaha.



26 Mar 2015

Penunggu JENGKA


Arahan : Ramdan Che Hassan & Nyon Othman
Genre : Seram
Tahun : 2015
Rating : 2.5/5


Ulasan mengandungi spoiler.

Fuuh lama tak menulis. Ulasan untuk filem tempatan pun semakin tak kedengaran mungkin sebab setakat tahun ini tiada filem yang menarik untuk dikongsi. Nampak gayanya, filem tempatan khususnya flem berbahasa Melayu boleh kata semakin merudum. Trailer Jengka sedikit sebanyak menggamit naluri daripada kebosanan deretan filem yang menunggu tayangan.

Filem ini mengambil konsep found footage yang diselang seli dengan lakonan semula seperti konsep Villa Nabila tetapi tidaklah mempunyai ciri-ciri docu dalam Villa Nabila. Pengarah baru Ramdan dan Nyon sebagai protege Aziz M. Osman tidak lepas dari mengikut trend filem seram terkini yang melanda Malaysia ketika ini. Filem ini bermula dengan Nini yang sarat mengandung ingin melahirkan anak dikampungnya di Jengka. Bersuamikan Basir (Riezman), Nini memberi peluang kedua kepadanya setelah curang dan berjanji untuk tidak lagi merosakkan rumahtangga mereka. Setiba di kampung, apa yang membahagiakan kini menjadi kucar-kacir apabila Nini meroyan lari ke dalam ladang kelapa sawit dan diganggu apa yang di panggil Penunggu Jengka.

Filem yang bermula dengan pengakuan Raja Azri mengatakan pihak Ace Motion menerima satu kamera yang mengandungi entiti dan kemudian melakonkan semula apa yang terjadi di ladang kelapa sawit. Ianya sangat simple dan mengajak penonton percaya apa yang berada di dalam kamera adalah sesuatu yang benar-benar-berlaku, tetapi terdapat beberapa babak 'kejadian benar' yang dipaparkan juga boleh dianggap berlakon sekaligus kurang kepercayaan terhadap bukti yang diterima itu. Satu faktor bagi PF adalah, kejadian asal itu juga dilakonkan oleh pelakon tv yang boleh dikenali, terutama Basir in real life. Mungkin, pada orang lain ianya bukanlah undang-undang yang perlu dipatuhi dan kemudian dihukum jika tidak menggunakan orang biasa. 'Keaslian' yang boleh dipuji adalah babak-babak hantu dan suasana seram di ladang kelapa sawit. Sebenarnya, situasi itu dah lama PF angankan jika kononnya nak buat filem seram iaitu suasana angker dalam hutan yang sedikit lapang. 

Apabila cuba melakonkan semula, karakterpun jika boleh kena sama paling tidak pun hampir sama. Lebih-lebih lagi, pada skrin yang dibahagi dua dan memberi peluang penonton membuat perbandingan depan mata. (Eh, ini bukan filem biografi semua nak kena sama! rupa fizikal, perangai dan cara bercakap). Ini jelas dengan melihat watak lakonan semula Abang Long (Raja Azri) yang ternyata jauh lebih serius dari watak asal yang agak lurus dan membawa gelak penonton tanpa disedari pengarah mungkin. Tak tahulah pada orang lain jika ianya perkara kecil, pada PF umpama tengok di FB gambar comel, muka flawless apa semua, tapi di luar, muka berjerawat dan selekeh dari digambarkan. Bercakap pasal filem hantu mesti ada orang agama, Ok tak kisahlah tu jika Jengka pun panggil ustaz, cuma rupa bentuk ustaz tak perlulah nampak cliche sangat dengan berjubah dan masuk ke ladang malam-malam. Walaupun begitu, ustaz 'sebenar' berjubah putih, manakala ustaz 'palsu' berwarna gelap memberi makna kontra. 

Sentuh berkenaan cerita pula, cakap-cakap orang tentang 'kekerasan' tempat ladang pula tidak diceritakan dengan mendalam paling tidak pun perlulah ada 1 babak berdialog tentangnya, seingat PF hanya kawan Abang Long saja yang ada sebut 2-3 perkataan tentang hal ini semasa shoot kamera. Sedangkan Abang Long yang telah tinggal lama berhampiran ladang tidak tahu menahu sehinggalah kejadian mengutip bola golf. Yang ini agak pelik sedikitlah. 
Adakah penunggu di situ memang mengidamkan dan 'memanggil' ibu mengandung demi dapatkan bayi? Atau keangkerannya di situ baru saja nak bermula? Penggunaan CGI bagi penampakan penunggu adalah lebih baik jika diminimumkan, kerana kadangkala ianya nampak seperti ..... apatah lagi dengan opening sequence di mana penunggu mencelah ditepi skrin sekaligus adalah spoiler awal Jengka.

Oh ya, terdapat 2 babak seram semasa di rumah Nini di kota sebelum pulang ke Jengka, tidak tahu apakah tujuannya. Nak kata ikut balik kampung, tiada continuity pula. Walau bagaimanapun, bagi pengarah baru yang cuba mengikuti trend semasa, Jengka boleh dikatakan percubaan yang baik. Halalkan sajalah ketawa-ketawa penonton dibalik seram itu. Rasanya lebih baik jika ianya dibikin bukan style begini (realiti dan lakonan semula). 2cents*


8 Feb 2015

10 Filem Paling Seram Malaysia



Sejak kebelakangan ini, wayang kita semakin rancak menayangkan filem seram terutama berkonsepan found footage, hand held dan sebagainya yang dipelopori oleh filem luar negara iaitu Blair Witch Project itu, jika tak silaplah. Di Malaysia filem sebegini bermula dari filem apa ya? Adakah Penunggu Istana (2011)? Maka, bermulah filem-filem seperti Seru, Ia Wujud, Highland Tower, Puaka Balai Gombak, Villa Nabila dan terbaru Bangunan. Filem sebegini kemudian menganjak ke satu level lagi iaitu filem docu seram seperti Villa Nabila dan Bangunan. Sebagai boleh dikatakan peminat filem seram di sini PF senaraikan filem seram yang boleh dikategorikan sebagai 'yang seram' tanpa mengira baiknya jalan cerita atau naratif whatsoever. Maksudya, contoh filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Susuk dan Sembunyi memang tak masuklah ya, sebab ianya tak mencapai tahap keseraman yang tinggi tetapi jika ianya seram + jalan cerita kira bonuslah, LOL. Jika ditanya secara peribadi, PF lebih memilih filem seram konvensional berbanding filem yang pergi ke premis lama semata-mata nak tangkap gambar hantu ni (paranormal activity).

Senarai diambil dari tahun 2008 - 2014.

10. HIGHLAND TOWER (2013)
Piere Andre
Mungkin filem genre yang pergi ke premis hantu terbaik setakat ini.

9. ANAK (2008)
Barney Lee
Filem lakonan terbaik Erra Fazira dalam kerjayanya.


8. AL-HIJAB (2011)
Piere Andre
Permulaan yang dragging dan bosan sedikit.

 
7. PAKU (2013)
Ramesh
Surprisingly PF suka filem ini walaupun ramai kurang gemar atau tidak popular.


6. HISTERIA (2008)
James Lee
James Lee gemar membikin filem seram jika untuk aliran mainstream dan ianya dibuktikan dengan 2 filemnya dalam senarai ini, tetapi PF benci Tolong! Awek Aku Pontianak.


5. SINI ADA HANTU (2011)
James Lee
Filem omnibus seram sememangnya seram terutama hantu pokok pisang dan menghantar mayat menaiki van.
4. KHURAFAT (2011)
Syamsul Yusoff
Keberanian Syamsul boleh membuat filem seram dikatakan berjaya kerana beliau terkenal dengan filem-filem aksi saja.
3. Mantra (2010)
Azhari Zain
Sebenarnya, agak ingat-ingat lupa filem ini tetapi keseramannya tu tak dapat dilupa.


Piere Andre
Filem omnibus dengan 3 cerita yang berkait terbukti Piere banyak belajar dari filem seram sebelumnya walaupun terdapat hal-hal kecil yang diabaikan tapi seram itu tetap wujud!


1. SERU (2011)
Piere Andre & Woo Ming Jin
Hasil yang terbaik apabila mereka bergabung. Tapi KL Zombie oleh Woo Ming Jin, OMG!!



*Ada tak filem seram lain yang PF tertinggal?

19 Jan 2015

Villa Nabila Merupakan Salah Satu Cerita Hantu Malaysia


Arahan : Pierre Andre
Genre : Seram
Tahun : 2015
Rating : 4/5



Tiba-tiba filem ini datang tanpa publisiti meluas. Sejak akhir-akhir ini filem Pierre jarang mendapat publisiti atau promosi lagilah jarang nampak. PF berkesempatan menontonnya filem ini di panggung dan rasa amat gembira kerana filem seram ini boleh katakan yang terbaik sejak filem Seru setelah banyak-banyak filem seram yang muncul di antaranya. Kisah 3 cerita seram yang berlainan tapi mempunyai kaitan; Penjaga Sekolah, Bas Sewa dan Jalan Mati. Keseluruhan filem ini diwaktu malam berjaya membangkitkan mood angker yang padat. Kali ini Pierre tak main-main atau cuba buat eksperimen yang bukan-bukan. Gayanya seperti pernah dilihat dimana-mana filem seram tapi ianya menjadi! Terima kasihlah Pierre. Kekecewaan menonton JIN telah terubat. Jarang-jarang filem seram yang baik, sesekali datang perlulah diangkat! Tak syak lagi CHM antara 10 filem tempatan terbaik PF tahun 2014.



Arahan : Syafiq Yusoff
Genre : Seram
Tahun : 2015
Rating : 3/5


PF jua harus mengatakan filem ini berjaya membangkitkan rasa seram. Dengan segala cerita-cerita yang didengar dari penduduk Johor Bahru tentang Villa Nabila merupakan modal bagi Syafiq dan team untuk menghasilkan sebuah kisah penting yang jadi fenomena bagi kisah seram di Malaysia. Agak tertunggu-tunggu jugalah mana buldozer atau apatah nama alat nak pecah tembok tu, tak sampai-sampai pun. Aduh, baru la rasa tercabar hantu-hantu tu nak pasang balik tembok yang runtuh ya dak? Penonton pun rasa puas! Villa Nabila masih lagi filem seram biasa-biasa yang tiada wow faktor ditambah dengan lakonan yang kaku. walaupun Nabila nampak sekejap-sekejap, tak macam Cerita Hantu Malaysia dimana 'hantu itu misteri'. Entahlah, perasaan takut itu tak sama seperti menonton CHM. Tapi tabiklah kepada keberanian Syafiq seorang pengarah muda, 3 filem pertama beliau lain-lain genre. 





17 Nov 2014

The Hunt, The Babadook, Holy Motors, IDA, All About My Mother



Arahan : Thomas Vinterberg
Genre : Drama (Denmark)
Tahun : 2012
Rating : 4/5


Kisah seorang duda yang bekerja sebagai guru tadika dituduh mencabul kanak-kanak perempuan. Konflik berterusan sehingga dia dipulau oleh masyarakat. Mads Mikkelsen (A Royal Affair) seperti biasa dengan lakonan cemerlangnya membuatkan filem ini tampak hebat di samping penonton akan geram dengan kanak-kanak perempuan tersebut. Filem yang provoking ini memilih prinsip; dendam manusia itu tak berkesudahan.



Arahan : Leos Carax
Genre : Aksi1 (Perancis/German)
Tahun : 2012
Rating : 3/5


Oleh kerana menonton filem ini tanpa sarikata Inggeris maka filem ni ditonton begitu saja tanpa paham sebutir bahasa Perancis. Apa yang dipahami, Monsieur Oscar menaiki limousin dan dibantu oleh driver/pembantu seorang wanita lingkunagn 50an. Oscar banyak berlakon menjadi watak-watak yang berlainan apabila keluar dari limousin dengan mengenakan make-up mengikut sesuatu watak. Watak-watak itu (diambil dari wiki) : The Beggar / Motion Capture Actor / Monsieur Merde / Father / The Accordionist / The Killer / The Killed / The Dying / The Man in the Foyer. tak pasti apa tujuan beliau berbuat demikian, mungkin diupah oleh orang tertentu. Yang pasti watak, Monsieur Merde adalah asalnya dari filem omnibus Tokyo! (2008). 

(Spoiler) Kali ini dalam Holly Motor, Merde menculik seorang model ketika penggambaran iklan, dan di sini terdapat babak di mana Merde membalut model yang seksi itu dengan mengoyak pakaiannya menjadi burqa kemudian, Merde berbogel sambil bergaya seperti berdoa cara Islam lalu berbaring di samping model tersebut. Walau bagaimanapun, model itu tidak diperlakusekskan. Filem ini agak aneh namun kreatif tapi beberapa persoalan berkenaan continuity, Oscar dengan anaknya dan beberapa watak lain. Make-up bagi setiap watak yang nampak natural lagi memberi kesan yang nyata dan percaya. Akibat tak berapa 'dapat' filem ini sekadar itu saja bintang yang diberi.



THE BABADOOK
Arahan : Jenniffer Kent
Genre : Seram (Australia)
Tahun : 2014
Rating : 4/5

Agak jarang menonton filem seram dari Australia. Kalau nak diikutkan premisnya sama di dalam rumah dan diganggu oleh hantu dari sebuah buku. Walaupun begitu, selainnya ia cuba lari dari kisah hantu yang ditonton sejak akhir-akhir ini. Watak Babadook ialah hantu lelaki (dah bosan jugak dengan hantu perempuan) yang kurang pasti motifnya mengganggu Amelia dan anak lelakinya Sam. Lakonan hebat mereka berdua boleh melupakan kekurangan yangg ada. Salute kepada mereka berdua.

(Spoiler) Watak Sam yang amat meyakinkan dengan degilnya dan berani dengan tindakan bijak mengikat ibunya, suatu yg memuaskan hati PF kerana apa, tiada paderi yang dipanggil dalam filem ini dan Babadook mengundang kesudahan yang berbeza merupakan satu kepuasan yang dicari. Babak Sam mengikat ibunya seakan menggantikan babak perempuan yang dirasuk (dalam The Conjuring) dan juga filem-filem seram kita yang selalu memanggil ustaz untuk tujuan penyelesaian. Tidak salah, tapi entah, berilah konklusi bukan sekadar baca doa dan kemudian habis. Tak bolehkah penerbit filem tempatan yg selalu mengeluarkan filem hantu membuat filem sebegini padahal ianya bukan idea yang luarbiasa (yang terbaru ditonton JIN dan berasa sedikit kecewa, tapi PF suka Paku). Maaflah, kerana membandingkan. The Babadook, tiada bunyi efek yang bingit dan melampau untuk membuat penonton terperanjat jika itu modal sekadar mengulang apa yang telah ada. Kalau nak kata seram sangat tu mungkin sukar PF nak putuskan kerana ianya subjektif tetapi filem ini cukup menyelamatkan filem genre seram yang ditonton tahun ini.




ALL ABOUT MY MOTHER
Arahan : Pedro Almodovar
Genre : Drama (Sepanyol/Perancis)
Tahun : 1999
Rating : 4/5


PF telah menonton Talk To Her arahan Pedro. Filem itu dan filem All About My Mother (AAMM) ada beberapa kesamaan fizikal dan sedikit isunya. Seingat PF, hanya 2 ini saja filem beliau yang ditonton. Dalam Talk To Her (TTH), Hospital menjadi latar filem, dalam AAMM hanya permulaan saja. Dalam TTH si hero yang dipersoal orientasi seksnya oleh seorang Doktor, selain watak hero itu sendiri. Dalam AAMM tema LGBT dibawa begitu besar lagi tetapi dari sisi 'sebelah' watak heroin saja. Watak utama Manuela, adalah 'disebabkan' oleh watak LGBT; Lola, begitu juga watak Rosa (Penelope Cruz). Namun, Pedro hanya beri 'memberi muka' pada Lola dihujung cerita saja. Itu belum lagi, watak Huma seorang pelakon teater yang berpacaran dengan pelakon teater yang sama (wanita). Pada PF, cerita ini mampat dalam durasinya. Setiap saat terisi plot-plot yang ingin diceritakan dengan tidak membuang masa. Selain itu, filem ini sangat vibrant dengan warna merah, sehingga terperasan dengan jelas pakaian watak-wataknya yang semestinya mengundang maksud tertentu.








***

IDA
Arahan : Pawel Powlikowski
Genre : Drama (Poland/Denmark/Perancis/UK)
Tahun : 2013
Rating : 4/5



Poster IDA menerangkan kisah filem. Pergi mencari asal usul diri. Ida sebelum bersumpah menjadi biarawati perlu berjumpa dengan saudara terdekat, Wanda satu-satunya ibu saudara yang tinggal dan mereka bertemu seterusnya mencari asal usul keluarga Ida dan mendapati ibu-bapa mereka adalah yahudi. Terikat dgn hukum biarawati juga, adakah Ida mahu menjadi manusia biasa atau biarawati (setelah keluar dari gereja dan melihat dunia luar) Kenapa banyak shot kepala saja? Dan tiba satu saat pula kamera hanya terlihat mata dan ke atas? (tertutup hidung: tak boleh bernafas - Gambar 4, mungkin bermaksud kehidupan beliau yang akan berubah/berhijrah dari orang biasa ke kehidupan "beragama" yang terbatas di upacara mengangkat sumpah). Begitu juga kita sering menghadapi dilema dalam hidup utk menjadi siapa kita. 

Oh ya, ada satu plot dalam IDA macam dalam filem Bunohan berkenaan tengkorak tu.

Ida ketika pergi di sebatang jalan diliputi salji




Ida ketika pulang di sebatang jalan