Showing posts with label Filem Filipina. Show all posts
Showing posts with label Filem Filipina. Show all posts

19 May 2015

IKAL MAYANG : Terpendam, Adalah Kemelut Wanita


Arahan : 6 Pengarah Asean (sila lihat poster).
Genre : Drama
Tahun : 2015
Rating : 3.5/5



Baiklah, kita lihat satu-persatu filem-filem pendek mengikut turutan. Filem ini sempena Hari wanita Sedunia dan ditayang di Astro First dan event-event yang dibuat/sertai oleh Garang Pictures.

Kebaya Pengantin (Indonesia)

Dalam keenam-enam filem ini, Nia Dinata mengambil langkah berbeza dengan mengambil tema transgender. Jantina bertentangan ingin memasuki dunia wanita dikira sebagai permasalahan wanita juga. Ia sangat berkecamuk dan sakit, bukan saja isu itu malahan perkahwinan berlainan agama pula. Di tambah lagi dengan pembohongan dalam diri Farid. Ia mempunyai twist dan real.

Mentari (Brunei)

Filem ini minimal dialog dan hanya muzik latar yang menjalankan cerita. Boleh tahan juga kerana jarang kita menonton filem/filem pendek Brunei. Namun, ceritanya hanya biasa-biasa. persahabatan, muffin dan tersilap andaian. Kekuatanya adalah visual dan subjek alam yang dekat dengan manusia.

Not Yellow Enough (Singapura)

Satu-satunya filem yang santai dalam Terpendam. Kisah wanita Cina Singapura yang sudah kebaratan dan tidak mengamalkan adat tradisi, tersasar jauh dan terpengaruh dengan dunia barat. Paling menarik, nama Kristian yang selalu ada dalam nama masyarakat tionghua hari ini untuk upgrade diri. Namun, tema yang dipilih adalah unisex maka tidak begitu menepati isu wanita dan diselangi dengan beberapa fakta.

Shotgun Tuding (Filipina)

Filem ini bermain dengan warna dan latarbelakang masa. PF tak pasti jika dunia cowboy ada mempengaruhi sesetengah masyarakat Filipina dulu. Kita dikembalikan ke zaman era cowboy ciptaan pengarah dan sinematografernya. Apa rasionalnya kurang pastilah. Isunya, kakak perempuan (Tuding) mencari lelaki yang mengandungkan adiknya/vice versa - lebih kuranglah dan menghendakkan si lelaki membela dan membawanya berjumpa dengan adiknya. Ia bercerita dengan beza dari kebiasaan di mana selalunya, watak teraniaya sendiri yang mencari keadilan. Ia tidak dicerita sehingga habis, cukup usaha Tuding mengajar lelaki berkenaan dengan senjata. Menariknya di sini si lelaki berupaya untuk larikan diri, malah sempat menolong Tuding dari diganggu kutu cowboy, tetapi tetap mengikut kata Tuding. Babak disukai adalah ketika si lelaki pegun di atas bumbung rumah. 

Forgotten (Malaysia)

Bekas penari Makyong yang dilupakan gara-gara Makyong diharamkan di Kelantan. Maka, kehidupan mesti diteruskan - seperti biasa. Hampir terlupa ini filem Shuhami Baba sehinggalah Kavita Kaur dan produk placement palsu muncul di skrin. Argh! tidak bolehkah Shuhaimi lari dari kedua-dua trademark beliau ini? Selebihnya PF suka filem ini. Ketika Juhara Ayub membuka tingkap dan menyanyi dalam gelap, tika babak bertukar silih berganti antara memakai lampu suluh dikepala dan pakai tanjak Mak Yong itu. Dan menepuk sakan batang lidi dalam busana Makyong seakan ingin memulakan tarian. Semangat Mak Yong benar-benar dalam diri Juhara! Sudah lama rasanya babak menoreh tiada dalam layar filem kita. Kalau ada pun pasal filem penjajah kot. Pendek, tapi berisi. 

Steel In Love (Thailand)

Jika dalam Kebaya Pengantin jantina lain ingin memasuki alam wanita, kali ini wanita pula ingin keluar ke alam lelaki. Sengaja ia diletakkan dimula dan diakhir dalam filem omnibus ini. Som seorang pengkid yang jatuh hati kepada isteri orang dan mengharap cintanya. Tak kisahlah, pondan ke, pengkid ke, lurus ke, masalah utama adalah wang dalam membeli cinta. Begitu juga Som yang bekerja hanya sebagai teksi-motor. Dalam patah hati pula ada yang memerhati. Seorang gadis meletakkan bunga itu mungkin ingin mengingatkan yang Som itu masih lagi wanita walau apa pun.

Pilihan PF:

1. Kebaya Pengantin
2. Forgotten
3. Shotgun Tuding
4. Steel In Love
5. Not Yellow Enough
6. Mentari



14 Jan 2013

Serbis : Seni Atau Seks? & Les Miserable, Compliance



Genre : Drama (Filipina)
Arahan : Briliante Ma. Mendoza
Pelakon : Gina Pareno, Coco Martin, Jacklyn Jose, Mercedes Cabral
Tahun : 2008
Rating : 3.5


Tiap kali menonton filem Filipina mesti ada sesuatu yang baru cuba ditampilkan. Walaupun Serbis (Service) berlatarbelakangkan gelaja moral yang sama dengan Walang Kawala ianya lebih berkisar isu kekeluargaan. Filem yang dipertandingkan dalam Festival Filem Cannes 2008 ini mengisahkan keluarga Nayda yang bekerja di bangunan panggung wayang lama ironinya yang bernama 'Family' tetapi sebenarnya bercanggah dengan tempat itu. Mereka menayangkan filem-filem separa lucah dipawagam tersebut dan kebanyakan pelanggan adalah gay/nyah. Nayda mempunyai anak angkat perempuan, Jewel yang menjaga tiket wayang, Roland dan Alan anak sudara yang menjaga projektor wayang dan melukis poster wayang. Suami Nayda, Lando tukang masak di gerai kecil panggung tersebut. Ibu Nayda, Nanay Flor berhadapan dengan kes mahkamah dengan bekas suaminya yang beristeri lain. Di sebalik penayangan filem tersebut, di dalam panggung yang gelap penonton-penonton gay ini berurusan sebagai pelacur lelaki dan melakukan seks di situ. Oh! ini sudah tentu berlawanan dengan Cinema Paradiso. 

Filem ini agak kontroversi juga semasa di Cannes 2008. Baca sajalah di internet dan sambutan semasa penayangan filem ini di sana. Tumpuan filem ini adalah Nayda yang menjaga perniagaan di situ, milik Nanay Flor. Teknik kamera hand-held banyak digunakan semasa pelakon berjalan di tangga-tangga dalam bangunan ini, namun tidak memeningkan. Yang mengganggu adalah bunyi bising kenderaan dan hon-hon kereta/motor kerana panggung tersebut berada ditepi jalan yang sengaja diaudiokan begitu bagi memetaforakan keriuhan watak-watak. Adakah jika  sesebuah filem yang menonjolkan adegan seks dan menampakkan alat sulit para pelakonnya dikatakan sebuah filem yang berani? Pada PF, ya. Apatah lagi bagi negara Asia Tenggara. Dan apatah lagi yang membawa unsur-unsur LGBT. Adakah panggung sebegini memang wujud di Filipina? Apakah perlu adegan Jewel dipermulaan filem dalam keadaan sebegitu? Ingatkan Jewel akan jadi 'permata' filem ini tetapi ianya sekadar kilauan palsu.

Sudah termengandung baru nak menyesal
Kadang-kadang terfikir juga, jika ianya benar (panggung dan seks) maka memang memalukan tetapi realiti memang pahit untuk ditelan. Tapi rasanya masyarakat di sana tidak kisah dengan benda-benda ini walaupun pasti ada segelintir yang memprotes, itu tidak hairan. Dan kadang-kadang terfikir kenapa ada orang yang buat filem sebegini? Adakah ingin memberitahu dunia yang mereka sama hebat dalam isu-isu sebegini dalam masa sama memanipulasi dalam medium kreatif? Adakah ianya di sanjung di festival besar sekadar agenda barat atau ianya benar-benar baik dalam seni (filem) dan barat tidak pernah menyaksikan filem sebegitu?

Terdapat seorang pencuri yang melarikan diri dan dikejar ke segenap ruang panggung sehingga ke tingkat atas adalah untuk memberitahu penonton panggung itu ada tingkat atas dan di atas keadaannya agak baik dari tingkat bawah yang kotor. Manakala, kambing pula sebagai 'pemberitahu kepada penonton' apa yang berlaku di dalam panggung (dalam keadaan cahaya terang). Filem ini menyaksikan konflik bagi setiap ahli keluarga di situ, kecuali Lando (suami Nayda) yang hidup dalam dunianya sendiri seakan sudah biasa dengan keadaan disitu dan kurang ambil port. Dan bagaimana anak lelaki Nayda yang kecil tu mula bergelumang dengan tempat kotor? Ah, dunia semakin pincang. Alan yang menghamilkan Merly belum bersedia mendirikan rumah tangga lalu pergi dari situ sebagai penamat filem ini.

Bolehkah kita pergi Cannes dengan bukan cerita sebegini? Sedangkan jiran-jiran pernah meraih sesuatu di Cannes, contoh lain filem Uncle Boonmie... (Thai). Hanyut terlepas peluang dengarnya kerana telah world premier di Dubai Disember lalu. Serbis tidak sesuai untuk tontonan di bawah umur.

Sekilas :

Les Miserable (2012) Tom Hooper : Menonton dua kali filem ini. Muzikal yang hebat dengan prop yang spektakular. Pernah menonton sedikit Phantom Of The Opera tetapi tidak dapat menerimanya dan tak habis tengok. Les Miserable hebat dari lagu-lagu dan lakonan terutama Hugh Jackman, Anne Hathaway tetapi tidak Russel Crow walau bagaimanapun dia telah mencuba. Bukan mudah menghafal banyak lirik tu! Pasti menjadi favourite filem muzikal selepas Sound of Music! 
"Look down.... look down......!"

4.5/5



Compliance (2012) Craig Zobel : Bila nak tulis ni, baru tahu ianya terbitan 2012. Berdasarkan kisah benar. PF dapat tahu filem ini dari pengarah James Lee kat satu group di FB dan dia recommend filem ni. Filem ini tak salah kerana ia hanya alat penyampai saja. Tak sangka orang Amerika ni bodoh juga terutama si pengurus perempuan restoren makanan segera tu. Takkan polis menyiasat guna telefon saja dan lama pulak tu! Harold juga yang bijak tak percaya kata-kata 'polis' tu. Becky pun sama juga bodoh, takpelah baru 19 tahun. Ada 70 kes yang sama sebegini dilaporkan di US. Ada juga orang yang sakit buat kerja bodoh macam Daniel tu.

2.5/5

2 Feb 2012

No Way Out (Walang Kawala) : LGBT & Jenayah Boleh Bersatu


Genre : Drama (Filipina)
Arahan : Joel Lamangan
Kos : Tidak Diketahui
Pelakon : Polo Ravales, Joseph Bitangcol, Emilio Garcia, Jean Garcia
Tahun : 2008
Filem Seumpamanya : Love To Hide
Rating : 3.5/5

Joaquin yang bekerja sebagai nelayan di sebuah perkampungan nelayan di Filipina mempunyai seorang isteri yang baru pulang dari luar negara kerana bekerja lantas terlalu teringin mempunyai anak. Waldo yg berusia 19 tahun iaitu teman lelaki Joquin mula tak mempercayai Joaquin lalu lari ke Manila. Selepas beberapa bulan, Joquin yang tidak mencintai isterinya pergi Manila untuk mencari Waldo.

Joaquin mendapati Waldo pernah dilanggan oleh Rufo, seorang polis biseksual yang amat berbahaya seterusnya mendapat bayangan di mana Waldo menghilang. Rufo menangkap Joaquin dan mengurung dirumahnya sama seperti apa yang dibuat kepada Waldo sebagai hamba seks dan ingin memperdagangkan mereka ke Sabah dengan mangsa-mangsa yang lain. Isteri Rufo yang sering dipukul oleh Rufo menolong Joaquin dan Waldo melarikan diri.


Waldo tak dapat terima isteri Joaquin mengandung

Tema sebegini amat jarang sekali diangkat dalam genrenya. Bukan sekadar konflik kekeluargaan atau institusi perkahwinan dalam Eyes Wide Open (2009), Undertow (2009) mahupun Brokeback Mountain (2005) malahan jenayah dan pemerdagangan orang menjadi isu utama. Jangan bercakap tentang isu moral di sini kerana semua yang dipaparkan hanyalah sisi gelap kota Manila, tiada yang murni. Dari kelab gay dan penyalahgunaan kuasa seorang polis hinggalah pemerdagangan orang.

Sesuatu yang PF kira agak jarang ditonton adalah watak polis iaitu Rufo yang amat hitam wataknya. Bukan saja biseksual, kuat cemburu, kaki pukul, panas baran, menyalahguna kuasa serta terlibat dengan kerja jenayah di mana ia bertentangan dengan kerjanya sendiri. Rufo bukan hadir diawal filem, tetapi menjadi ‘hero’ di bahagian 3/4 filem ini. Watak utama Joaquin dibantu oleh Waldo dirasakan sedikit tenggelam sehingga ke habisnya. Walau bagaimanapun kisah naif mereka di tangan Rufo amat di’kasihani’ kerana latar Joaquin dan Waldo yang berasal dari luar bandar. Bayangkan Rufo menyalahguna kuasa menangkap Waldo dan Joaquin (berasingan) lalu mengurung dirumahnya hanya untuk memuas nafsu sebelum dijual ke Sabah. Malahan isteri Rufo, Beng hanya mendiamkan diri dengan apa yang berlaku di bilik atas dan ini sesuatu yang menjadi pantang dalam 3 filem lain yang di sebut di atas tadi. Beng meminum secawan air perlambangan sebenarnya gejolak dalam hati Beng.
 

Rufo cuba menakluk mangsa-mangsanya

Beng yang tidak dapat melahirkan anak, menjadikan ikan yang dibelanya di dalam aquarium sebagai ‘peneman’ sepi. Simbol ikan ini juga dikaitkan dengan kerja Joaquin sebagai sebagai nelayan di mana Beng dan Joaquin bertemu di rumah yang membuatkan Rufo naik berang. Rufo disifatkan sebagai penakluk kepada semua watak; di kelab gay sebagai pelanggan yang disegani, sebagai polis (sudah tentu), di rumah dan sebagai bos menjual orang. Bagaimanakah kesudahannya? Adakah Waldo dan Joaquin selamat dari dijual?

PF merasakan Walang Kawala melukis satu kisah moral yang sangat teruk dalam keseluruhan filem. Oleh itu, jangan biarkan budak bawah umur menonton filem ini.