11 Apr 2012

‘OMBAK RINDU’ Dan Minda Songsang Masyarakat Melayu



Penangan "Ombak Rindu"lah menyebabkan Aaron Aziz menang Artis Paling Popular 2011. PF nak kongsi satu blog yang baru tulis review filem ini. Link asal kat SINI. Terima kasih kepada blogger tersebut.

**********

Tuhan tolong lembutkan hati “dia” (Peminat-peminat kisah Ombak Rindu agar mereka sedar mesej merbahaya dalam karya ini). Ya, pada penulis karya popular ini membawa mudarat kepada masyarakat Melayu.

Setelah Ombak Rindu mengutip pulangan box office berjumlah lebih RM10 juta baru penulis tergerak untuk menonton filem ini. Sahabat pertama yang suruh tonton filem ini awal-awal sudah memberi amaran agar tiada objek-objek tajam berhampiran dengan diri sewaktu menonton. Baru sekarang penulis faham mengapa beliau berkata demikian. Mujurlah tiada objek tajam hari itu.

Dan begini ringkasan reaksi penulis semasa menonton di kaca komputer:

Whaaat?!!! … Astaghfirullah … Gila ke hapa pompuan ni?! … You gotta be kidding me … No, don’t go to the loo and leave me with these people (Hariz dan Izzah)!!! Please! Pause! Don’t leave me with them!!!
Sudah tentu reaksi penulis ter-over. Mana tidak, dalam tempoh lebih kurang setengah jam pertama sahajaOmbak Rindu menceritakan yang berikut:


Poster 'Ombak Rindu'
Izzah (Maya Karin), seorang gadis kampung berhijab yang mengajar kanak-kanak mengaji Al-Qur’an berjaya di bawa dari kampungnya ke Kuala Lumpur dan dilacurkan oleh pakciknya kepada seorang pemilik kelab malam. Dia dirogol oleh Hariz (Aaron Aziz) di kelab malam itu dalam keadaan tidak sedar diri.

Setelah dirogol dalam keadaan tidak sedar diri, lantas Izzah memohon agar perogolnya, Hariz, menculiknya pergi dari tempat itu. Maka Hariz membeli Izzah dari pemilik kelab malam tadi dan menyimpannya di sebuah rumah mewah di mana dia “milik” Hariz seorang dan mesti memuaskan nafsunya pada bila-bila masa sahaja.
Izzah memohon agar Hariz bernikah dengannya dan berjanji tidak akan meminta apa-apa daripada Hariz.

Jelas Izzah seorang perempuan yang tidak waras. Jika Izzah itu waras maka gilalah penulis Fauziah Ashari yang mencipta watak sebegitu. Izzah digambarkan sebagai seorang Muslimah mithali di mana kehidupannya yang penuh beriman itu adalah untuk pasrah dan menunduk kepada kehendak lelaki tidak kira betapa sial kelakuan lelaki tersebut terhadap dirinya.
Falsafah hidupnya dalam konteks hubungannya dengan Hariz boleh dikatakan seperti berikut:

Oh, kau rogol aku. Disebabkan kau lelaki pertama aku dan kerana aku tak sanggup dirogol di luar nikah, jadi aku mintak tolong kau kahwin dengan aku. Lepas tu kau rogol la macam mana pun, aku okay je. Aku cuma nak hubungan kita sah supaya aku boleh free-hair dan berkemban depan kau tanpa rasa bersalah. Malah, bila kau datang kat rumah ni untuk nak rogol aku, aku buatkan hidangan air dulu dan bukakkan stokin kau, siap dengan urut-urut sekali. Aku duduk kat lantai dan baring atas dada kau sebab aku Muslimah yang baik. Dan bila kau panik ingatkan aku hamil, lalu kau datang buru dan campak aku sampai terkena mangkok tandas, aku sekadar nangis je. Aku lari pun sampai batu besar kat luar tu, tak jauh. Ya, demi kebahagiaan hidup kau, kita sembunyikan saja pernikahan kita daripada diketahui sesiapa. Sebab aku isteri mithali.
Tak gila?! Begitulah bentuk mesej tauladan yang disampaikan kepada masyarakat Melayu. Gilalah! Izzah gila, Fauziah gila dan penonton setia yang berbelanja lebih RM10 juta tonton filem ini berulang kali semuanya gila. Bloggers dan penulis hiburan yang menklasifikasikan Ombak Rindu sebagai kisah cinta epik yang hebat-meletopz juga sama-sama gila.

Seterusnya kisah Ombak Rindu membawa masuk watak Mila (Lisa Surihani) yang baru pulang dari melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Mila seorang artis popular di Malaysia dan tunang kepada si keparat Hariz tadi yang sudah bernikah dengan Izzah.

Mila juga dari keluarga kaya yang berprestij seperti Hariz dan berpendidikan Barat. Maka tidak hairanlah dia tidak berhijab dan wataknya gedik, queen control, bingit, kasar dan taksub.
Pendek kata perwatakan Mila bertentangan dengan watak Muslimah afdhal, Izzah. Namun, Mila amat mencintai Hariz sejak zaman persekolahan lagi. Malah, cita-citanya untuk menjadi artis popular yang berjaya semata-mata untuk menjadi kebanggaan tunangnya itu.

Maka wujudlah cinta segitiga. Sudah pasti dalam cerita sebegini perogol yang bernama Hariz tadi akhirnya jatuh cinta dengan mangsanya, Izzah, yang juga isteri mithalinya. Dan pada suatu hari di sebuah kenduri di rumah supir/bapa kandung Hariz, kedua-dua Izzah dan Hariz dijumpai berpelukan di dalam kamar. Terkejut dan dukacita supir/bapa kandung menjumpai mereka dalam keadaan begitu.

Tetapi apabila diberitahu bahawa mereka sudah bernikah, supir/bapa kandung Hariz berasa lega dan menadah tangan bersyukur ke hadrat Illahi. Isteri supir/ibu kandung Hariz juga turut bergembira.
Pandangan dunia mereka lebih kurang begini:

Alhamdullillah, pelukan halal! Baguslah Hariz menikahi Muslimah afdhal itu walaupun dia juga bersama Mila. Peduli hapa kalau Mila tak tahu apa-apa pasal pompuan ni. Lagipun Mila tu betina menggeletis. Tak apa, poligami itu hak anak kesayangan kami sebagai lelaki beragama Islam. Kalau nak ikut bajet, sebenarnya dia masih boleh kawin 2 betina lagi. Eloklah dia kawin dengan Izzah. Kami pun berkenan dengannya. Kami tahu dia baik sebab dia ayu dan pakai hijab. Dan kami tahu dia baik sebab kami yang jadi tukang hantar barang kat dia selama dia hidup macam pompuan simpanan di rumah rahsia tu.
Hariz digambarkan terpaksa menunaikan janji untuk mengahwini Mila demi menjaga nama baik keluarganya dan memuaskan kehendak ibu angkatnya. Ibu angkatnya pula diberi watak stereotype datin free-hair karat yang kejam.

Pada penulis, watak yang paling merbahaya dalam kisah Ombak Rindu ini adalah isteri supir/ibu kandung kepada Hariz. Jika diukur mengguna metodologi mengesan konspirasi Illuminati yang digemari masyarakat Melayu, watak inilah yang ‘menghalalkan’ kegilaan Izzah sebagai seorang wanita pasrah dan bodoh. ‘Kekuatan’ pada Izzah yang dibelai isteri supir/ibu kandung Hariz ini adalah cinta dan ketaatan Izzah kepada suaminya yang zalim.

“Makcik” ini berkata kehidupan yang penuh kesakitan adalah simbol kesayangan Allah terhadap Izzah (Terimalah segala kezaliman oleh suami sebagai Rahmat). Apabila Izzah yang dalam keadaan hamil difitnah berlaku curang oleh Hariz dan dikasari sehingga jatuh, Makcik ini berkata, “Jangan patah semangat. Ingat, Allah menyayangi orang yang sabar (Tidak apa jika dibelasah suami. Jangan lawan, Allah tidak suka)”.

Dan apabila Izzah ditinggalkan dan nyaris-nyaris keguguran kandungannya akibat mengejar Hariz, Makcik ini berkata, “Tiada yang paling bahagia bagi hidup seorang perempuan selain dari menjadi seorang ibu” (Tidak perlu risaukan isu nafkah, penjagaan dan kasih sayang daripada suami jika dia tidak sudi berikan).

Kesimpulannya, Makcik ini menggunakan agama untuk mengesahkan dan mengesyorkan perwatakan Izzah kepada penonton.

Dengan mengguna metodologi mengesan konspirasi Illuminati yang disebutkan tadi, boleh dilihat bahawa filem Ombak Rindu mengguna simbol-simbol yang rapat dengan sanubari masyarakat Melayu: Rumah kampung dan kain batik.

Izzah yang dipaparkan sebagai wanita tauladan kepada masyarakat Melayu sering dipakaikan kain batik. Kain batik menjadi penutup dan penjaga tubuh Izzah. Kehidupan dan percintaan Izzah dan Hariz dipautkan kepada rumah yang berekabentuk rumah kampung (tetapi mewah dan selesa). Pemandangan alam sekitar bagi kedua-dua mereka luas dan indah, menghadap bukit dan sawah padi.

Bandingkan gambaran tersebut dengan pakaian Mila yang ‘ala Barat’ dan rumahnya pula diperbuat dengan batu di mana rimbunan pohon memberi suasana yang terkongkong atau sempit. Watak dan kehidupan Mila senang untuk dibenci atau diremeh walhal dia juga mangsa seperti Izzah.

Secara ringkas Ombak Rindu, melalui watak Izzah, mengagungkan sifat pasrah dikalangan wanita Melayu terhadap perkara-perkara buruk yang berkalu terhadap mereka.
Izzah sebenarnya boleh melarikan diri, meminta cerai dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menganyayai dirinya. Namun, dia tidak berbuat demikian. Tambah lagi diselitkan unsur-unsur agama untuk memberi justifikasi kepada sifat Izzah.

Penonton-penonton Melayu yang memberi filem dan karya novel asalnya keuntungan sehingga berjuta ringgit rata-rata menjiwai kisah ini sebagai kisah cinta yang hebat. Hariz pula dijadikan perogol kacak kesayangan semua. Oh, so sweet … Perogol pun boleh dilembutkan hatinya, dan boleh jatuh cinta jika wanita itu seperti si Izzah. Maka mesejnya, jadilah kamu wahai wanita seperti Muslimah mithali yang bernama Izzah itu.

Penulis berharap penonton-penonton kisah Ombak Rindu dapat melihat betapa merbahaya mesej dalam karya ini dan impaknya terhadap minda kolektif masyarakat Melayu dari aspek keselamatan diri bagi golongan wanita dan keganasan dalam rumahtangga.

Dengar khabar ramai yang menitiskan air mata menonton ‘Ombak Rindu’. Maka penulis juga tidak ketinggalan. Setelah Mila mendapat tahu berkenaan perkahwinan Izzah dengan Hariz dan mengadakan ‘slow talk’ dengan Izzah di tengah-tengah sawah padi, Mila mengaku kalah.

Hancur berderai segala impiannya dengan pasangan hidup yang dicintainya selama bertahun-tahun. Maka Mila pula meminta Hariz menceraikannya agar dia dapat pergi mencari kebahagiaan di tempat lain. Terhiris hati penulis lalu menangis.


Dahlah lagu tema filem ‘Ombak Rindu’ sedih nak mampus. Tapi nangis hanya buat seketika kerana sejurus selepas itu masuk babak di atas kapal yang sah-sah seperti adegan di dalam filem Hollywood, ‘Titanic’, dan penulis pun ketawa terbahak-bahak.

**********

Ulasan pasal Ombak Rindu :




5 comments:

Night Aves said...

Salam. YaarghH! Itulah pendapatku ketika membaca novelnya sebelum novel ini difilemkan lagi.

PerangFilem said...

PF tak suka baca novel. Tapi masa menonton Ombak Rindu PF terasa boring. Dan satu yang dlm kepala PF, Izzah boleh je lari dari mangsa rogol..tu je

fadz said...

yes, best review on this movie!

PerangFilem said...

Blogger ni kena hentam kat blog dia pasal ni.. hehe

Anonymous said...

Typical movie with a lot of stereotyping. Characters stereotype and also pathetic. The main character lah especially. Seolah2 muslimah tu bodoh. Padahal boleh je report kat polis kalau dah kena rape macam tu. Heee.