2 Nov 2016

Jeng Jeng Jeng. Surprise!



Arahan : Eirma Fatima
Genre : Animasi/Komedi
Tahun : 2016
Rating : 3/5


Terdapat sedikit spoiler.

Sebelum PF menulis mari kita semak sekejap bahawa projek asal Upin Ipin The Movie adalah Upin Ipin Angkasa yang telah dibatal/tangguh dan diganti dengan Jeng Jeng Jeng ini. Pada anggapan PF, kemungkinan idea angkasa/angkasawan mungkin terlalu fantasi atau jauh dari realiti barangkali untuk menyemai cita-cita sebagai angkasawan bagi kanak-kanak di Malaysia. (Pada 2017, diberitakan Les Copaque (LC) akan buat sepenuhnya filem animasi 3D). Oleh itu, LC menggantikannya dengan kisah anak yatim di Darul Makmur, dimana Noreen anak kepada arwah Hj. Makmur menghadapi cabaran untuk mengelakkan tanah rumah anak yatim jatuh ke tangan orang lain. 

Untuk memberi sedikit bayangan, filem Upin Ipin (UI) kali ini bukan mengenai UI dan kawan-kawannya dari Durian Runtuh itu. Sama sekali jauh dari sirinya di kaca TV dan idea ini adalah dari Hjh Ainon iaitu isteri kepada Hj Burhanuddin pengasas LC. Mungkin team LC ingin 'melupakan' sebentar geng-geng UI yang lain sebelum animasi 3D sepenuhnya yang disebut tadi. Di sinilah mungkin JJJ terasa tidak lengkap. Namun begitu, gabungan lakonan hidup dan animasi merupakan sesuatu yang baru yang ditawarkan oleh LC. Filem sejenisnya pernah ada seperti Mat Gelap, Mantera, Cinta Kura-Kura dan sedikit dalam Aliff Dalam 7 Dimensi. Aqish kanak-kanak yang amat meminati kartun UI, seorang yang rapat dengan Kak Noreen (Sara Ali). Apabila dapat tahu yang Noreen terpaksarela menyerahkan tanah kepada Abang Jahat (Gambit), Aqish sangat berduka.

Filem ini dimana isinya sedikit dewasa untuk difahami kanak-kanak 7 tahun (kot) ke bawah. Masalah penyanyi yang sudah tak popular, perebutan tanah (bunyi klise) dan mencari penaja konsert melingkari filem ini. Watak UI dikategorikan sebagai watak sampingan kepada Aqish. Wataknya agak 'ringan' jika difikirkan. PF menganggap UI akan 'kembali masuk' ke Durian Runtuh di babak tertentu dan di mana perlu. Satu, sebagai sedikit kesinambungan dari siri TV dan kedua supaya wataknya tampak 'lebih berguna' berbanding sekadar side kick. Tetapi Hjh Ainon tidak mengambil pendekatan itu. Jadi, dialog Upin/Ipin yang berkata "jom kita minta tolong Opah" tidak membawa kita ke kampung Durian Runtuh. Maksud 'lebih berguna' di sini bermaksud UI digelutkan sekali dalam konflik jika ingin mencipta filem animasi sederhana berat sebagaimana mungkin seperti Inside Out atau Zootopia kerana laluan itu (konflik orang dewasa) sudah wujud. UI dan Aqish di sini terpisah umpama Upin & Ipin itu angel yang datang membantu dalam filem orang putih. Ianya dikuatkan lagi dalam pesanan UI di akhir filem. Dan jangan disangkal, cerita anak yatim tidak lari dari emosi dan ianya berjaya di tangan Puteri Balqish dan UI. Ia membuka mata bagi kanak-kanak menyelami permasalahan rumah anak yatim atau yang kurang bernasib baik.

LC mengambil berat tentang cast. Walaupun Bo iaitu watak pengurus Awie itu nampak mudah tetapi Remi Ishak menjadi pilihan kerana kita ketahui beliau antara pelakon besar di Malaysia. Dan kamu sangkakah Awie seorang penyanyi rock dalam filem animasi seperti Upin Ipin ini? Dua pelakon ini adalah bonus besar Jeng Jeng Jeng. Himpunan pelakon kanak-kanak sebagai anak yatim juga tidak kaku dan pandai berlakon. Kecomelan adik Mimi berlakon memikat hati admin hihi. Dan yang penting gabungan komputer grafik UI dan 'live action' yang menjadi tunjang filem ini sangat smooth dan hidup antaranya babak UI di langsir, ini semua adalah atas usaha sama produksi KRU. 

Jeng Jeng Jeng telah menampakkan sisi matang dalam versi filem panjang dari kisah hantu Kg. Durian Runtuh dalam Geng Pengembaraan. Ia berjaya lari dari siri TV dimana itulah yang sepatutnya walaupun subjeknya masih sama iaitu 'anak yatim'. Isinya semakin mendewasa dan memberi kisah positif kepada kanak-kanak. 


No comments: