LINK ASAL
MINGGU lalu aku mencatitkan tentang dua situasi yang sering mendepani pengarah-pengarah filem Malaysia dari dulu sehingga sekarang. Situasi di mana pengarah filem tempatan cuma ada dua pilihan.
Kalau hendak buat untung berlipat ganda hasilkanlah filem-filem ringan yang tidak mencabar minda penonton dan juga minda pembikinnya.
Jika pengarah filem mahu menghasilkan filem-filem dan karya-karya yang mengangkat tema dan isu-isu lebih mencabar pemikiran penonton lalu mereka perlu bersedia berdepan dengan kemungkinan kerugian kutipan boxoffice.
Keadaan ini berterusan sehingga ke hari ini. Lihat dan baca pendapat-pendapat dan reaksi daripada pembikin, penggiat dan peminat filem di akhbar-akhbar dan di blog-blog alam siber tentang masalah ini. Tiada kesudahan dan masih belum dijumpai solusinya.
Aku juga melontarkan pandangan bila berdepan dengan situasi sebegini lebih mudah lagi jika pengarah filem adalah juga produser yang mampu menerbitkan filem dengan dana atau modalnya sendiri. Tetapi tidak ramai pengarah filem Malaysia yang punya kemampuan ini.
Rahim Razali adalah pembikin filem pertama Malaysia yang berani memikul dua tanggungjawab berat serentak sebagai - produser dan pengarah. Ada rakan menghubungi aku menyatakan Rahim Razali bukan pembikin filem Malaysia pertama mengalas serentak tugas produser dan pengarah.
Menurut rakan aku ini, Jins Shamsuddin adalah tokoh filem pertama yang memikul tanggungjawab serentak sebagai produser dan pengarah filem.
Bermula dengan filem Menanti Hari Esok (1977). Diikuti dengan filem Tiada Esok Bagimu (1978) sehingga filem Esok Maseh Ada (1979).
Ketiga-tiga filem ini diarahkan dan dihasilkan beliau menerusi syarikatnya sendiri Perfima dan Jins Shamsuddin Filem Productions Sdn Bhd.
Aku tidak cuba mahu menafikan pendapatnya itu. Pada aku ini bukan isu besar.
Kedua tokoh ini adalah mereka yang terawal berkeupayaan untuk serentak menjadi produser dan pengarah filem terbitan masingmasing, sekali gus mereka ada kuasa kreatif mutlak ke atas filem-filem arahan mereka. Kuasa kreatif mutlak ini paling penting yang diidamkan oleh semua pengarah filem di atas planet bumi ini.
Pada mulanya aku bercadang untuk menulis tentang kesan yang dapat pelajari oleh para pembikin-pembikin dan pelajar-pelajar filem dari situasi yang pernah dilalui Rahim Razali ini.
Aku mahu menulis dalam konteks menghasilkan kerja seni filem yang ada statement atau penyataan yang bersifat lebih besar dan skop pemikiran lebih luas memandang keluar.
Menarik juga apabila rakan aku menyatakan pandangannya itu. Aku terus mendapat ilham baharu untuk melihat dan membuat perbandingan pengalaman yang dilalui oleh kedua tokoh ini dalam menghasilkan filem-filem yang rata-rata dianggap oleh penonton sebagai filem-filem ‘berat’ dan heavy drama.
Rahim Razali dan Jins Shamsuddin memikul serentak tanggungjawab menjadi produser dan pengarah filem tetapi kesannya berbeza. Ketiga filem-filem siri ‘esok’ Jins Shamsuddin berjaya dari segi kutipan boxoffice tetapi dua filem terbitan dan arahan Rahim Razali, Abang
(1981) dan Pemburu (1982) kecundang di boxoffice.
Kesan yang dialami oleh dua produser pengarah ini sungguh menarik untuk dijadikan panduan dan rujukan kepada pengarah-pengarah filem yang berhajat untuk menerbitkan filem-filem sendiri.
Memang dua filem awal Rahim yang diproduksikan dan diarahkannya sendiri gagal mencatatkan pulangan lumayan.
Kenapa ini terjadi? Rahim menghasilkan filem-filem yang membawa tema dan isu-isu baharu dan lebih besar sifatnya.
Masalah yang dipaparkan melalui filem-filemnya dianggap berat dan kurang nilai hiburan. Penonton mahu berhibur
bukan mahu fikir cerita yang berat-berat.
Betulkah pendapat ini?
Jika begitu kenapa pula wartawan-wartawan dan pengulas-pengulas filem ketika itu termasuk Jins sendiri mencanangkan dan menganggap filem-filem siri ‘esok’nya itu sebagai filem ‘heavy drama’? Apakah berbezanya ‘berat’ filem Rahim dengan berat ‘heavy drama’nya filem Jins?
Kenapa filem-filem ‘berat’ Jins boleh laku sedangkan filem-filem berat Rahim gagal meraih untung?
Untuk pengetahuan pembaca terutamanya generasi muda pelajar filem sekarang, polemik filem berat dan ringan – heavy drama dan light drama ini sememangnya menjadi isu hangat pada tahun-tahun awal 80-an.
Sehinggakan pada 1980 hingga 1982 di Festival Filem Malaysia dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA), filem-filem dipertandingkan untuk merebut award atau anugerah dibahagikan kepada kategori-kategori filem heavy drama terbaik, filem light drama
terbaik dan filem komidi terbaik.
Ada pengulas, pengkritik dan juga peminat filem mempersoalkan pembahagian menurut kategori seperti itu. Mereka berpendapat di mana-mana festival filem di dunia ini cuma ada satu anugerah sahaja iaitu anugerah filem terbaik – best film award!
Cara penganugerahan ini ditiadakan pada Festival Filem Malaysia ketiga (1982) bila diambil alih oleh Finas. Hanya ada anugerah filem terbaik sahaja dan ini berkekalan sehingga sekarang.
Berbalik kepada keadaan berbeza dialami oleh filem-filem Rahim Razali dan Jins Shamsuddin, beberapa kesan menarik boleh kita simpulkan.
Aku menonton Abang (1981) dan Pemburu (1982) arahan Rahim Razali dan aku juga menonton filem-filem Jins Shamsuddin Menanti Hari Esok (1977), Tiada Esok Bagimu (1978) dan Esok Masih Ada (1979). Semua filem-filem ini aku tonton di pawagam dengan membeli
tiket dan bukan di tayangan previu.
Apa kesimpulan aku dapat?
Aku masih berpegang kepada isu-isu yang diangkat oleh kedua pengarah ini memainkan peranan penting dalam melihat sumbangan mereka kepada seni filem tanah air.
Rahim Razali membawa isu yang lebih besar kesannya kepada bangsa Melayu dalam menghadapi perubahan hidup yang dituntut oleh perubahan zaman terutamanya dari segi jati diri bangsa Melayu.
Persoalan ini adalah isu berat yang menuntut penghayatan penuh penonton ketika menonton. Ini adalah statement, satu penyataan seorang seniman yang punya tanggung jawab sosial terhadap bangsanya.
Jins Shamasuddin hanya mampu membawa isu-isu yang gagal memberi penyataan penting terhadap bangsa Melayu. Siri ‘esok’nya cuma berlegar pada isu-isu pinggiran orang Melayu seperti masalah rumah tangga, kegagalan mendidik anak dan gejala sosial klise remaja.
Isu-isu ini dinaiktarafkan sebagai persoalan berat dalam bentuk heavy drama. Apa yang heavy?
Walaupun sudah lebih 30 tahun filem-filem daripada kedua pengarah penting filem Melayu ini dihasilkan namun banyak perkara boleh dipelajari oleh pembikin filem muda generasi sekarang. Terutamanya dari aspek tema dan isu yang ingin digarapkan oleh kedua pengarah
veteran ini.
Pada aku paling penting untuk dibincang dan dikupas tanpa mengira batas waktu adalah kekuatan dan kelemahan serta kerelevanan penyataan atau statement yang dilontar lewat filem-filem arahan mereka – seorang kini bergelar Tan Sri dan seorang bergelar Datuk.
No comments:
Post a Comment