26 Sept 2014

Amir & Loqman Pergi Ke Laut: Mana Lautnya?

Eh! Tajuk font itu selalu kita lihat dalam filem koboikan? Sesuatu tu..
Arahan : Mamat Khalid
Genre : Aksi/Komedi
Tahun : 2014
Rating : 4/5

Ulasan ini mengandungi spoiler.

Filem bertema gangster ini adalah yang pertama dari Mamat Khalid, dan beliau cuba lari dari filem-filem gangster yang pernah ada di Malaysia. Itu yang PF dapat simpulkan setelah menontonnya. Tak dinafikan, ianya adalah parodi yang membawa teras dark comedy yang diselang-seli dengan keganasan. Kamu pernah menonton KL Gangster, Dampak, Langgar atau Kepong Gangster dimana hero-heronya tough dan handsome. Malah dalam Kepong Gangster heronya berwajah jambu! Dan kamu menjangkakan hero-hero sebegitu dalam Amir & Loqman Pergi Ke Laut (ALPKL)? Itulah salah satu parodinya. Syuk (Balas) dan Shuib (Sepahtu) mana hensem (sorry ya), buncit pula tu, lagi memburukkan, Loqman (Syuk) bertabiat dengan mulut ikan emas, ditambah dengan sikap lurus bendul mereka berdua. Senaif-naif perangai digambarkan kepada 2 karakter utama ini. Ini adalah satu keberanian yang ditonjolkan Mamat Khalid (MK). Ada satu lagi keberanian MK yang cuba ditonjolkan tapi kita cerita hujun-hujung nanti. Orang berkata, pelakon yang biasa-biasa atau bagus sekalipun, takkan meletakan sesebuah filem di atas jika pengarah kurang bijak bermain dengan lakonlayar dan arahan. Ingat Man Sewel datang KL yang dibintangi Shuib? Amir & Loqman merupakan gandingan yang baik, tidak janggal, boleh diterima. 

Sumber : Media Hiburan
Filem yang berlatarbelakangkan tahun 2011 - lebih tepat lagi penghujung tahun 2011 (jika kamu dapat petunjuk ianya dari tahun 2011 dalam ALPKL, sila berikan di ruang komen di bawah) Amir dan Loqman ingin keluar dari geng 747 yang diketuai oleh Big Joe (Sofi Jikan) setelah kemasukan mereka ke dalam geng itu tidak seperti yang digambarkan iaitu kemewahan, kemasyhuran yang selalu mereka dengari. Kata MK, watak-watak utama seperti Mata Sedih (asalnya Cina, diMelayukan), Big Joe, Manja memang wujud di zaman gangster di Ipoh sekitar tahun 70an. Malah cerita yang dipaparkan, kata MK juga adalah sedikit kisah-kisah kecil gangster di Ipoh, bukan cerita besar yang lebih brutal yang rasanya takkan lepas penapis Finas. Maka, dari situlah, Amir dan Loqman berusaha untuk mencari duit RM30 ribu seorang sebagai bayaran keluar dari geng. Dan seterusnya cuba membina hidup baru untuk membuka cafe di tepi laut yang dinamakan Ke Laut Cafe.


Jika kita melihat babak ganas, watak Nadia Mustafa dari geng Bendera Siam ketika kerambit menusuk ke leher kenapa tiada darah yang meleleh? Pisau pemotong daging membelah kepala Nadia, ianya membuatkan penonton ketawa, begitu juga mata Big Joe ditikam dengan gunting? kenapa takde darah yang mengalir? Adakah ini parodi juga? 

Jadi, benarlah kumpulan geng 747 disertai oleh seorang homoseksual atau keropok istilahnya yang digunakan pada zaman itu iaitu abang Manja dan Rafael? Siap ada tandas tertentu untuk mereka 'rock' kata MK. Seorang teman PF, tak faham kenapa Loqman kentut dengan lawasnya bila keluar dari tandas itu sebelum Manja izinkan dia keluar dari geng 747. Ini satu tindakan yang bijak supaya tak dipotong oleh gunting LPF.

Kenapa pula tiba-tiba ada babak shooting filem gangster (Adi Putra dan Bell Ngasri) 'bergaduh jantan' dengan penjahat tiba-tiba bertukar lembut selepas cut?! MK nak perli siapa? Adakah filem gangster Langgar yang dibintangi oleh Adi dan Bell itu? dan kenapa pula pengarah 'filem itu' pun lembut? Siapa yang MK parodikan? Sesungguhnya, babak ini jika diikutkan memang tak berapa penting tapi sekadar untuk memperlihatkan agenda tersebunyi MK untuk membiarkan penonton memikirkannya. Atau adakah ianya penting sebagai salah satu falsafah parodi dalam filem ini. Kenapa pula Big Joe tak menjerit-jerit dialognya sepanjang filem ini sama seperti dalam satu filem gangster itu? (kebetulan malam tadi, termenonton filem TOKAN di Astro di mana Sofi Jikan ada berlakon sama, tak menjerit-jerit pun tapi bosan pulak filem tu) Malah, Big Joe seorang yang 'dalam hati ada taman' kerana memaafkan perbuatan kekasihnya Balqis dan juga mencintai seni lukisan tak pernah ditonjolkan sangat karakter seperti ini dalam filem gangster kita.

Bendera Siam. Diketuai oleh Catchai (Kaza) yang agak psycho dan dibelakangnya, Nadia Mustafa dan Mamat Spek (tak ingat nama watak atau tiada nama disebut), adalah pembunuh upahan supaya menumpaskan geng 747. Ketika babak mereka bersatu dalam skrin, kemudian Nadia dan Mamat Spek jalan bersilang itu terdapat  seorang lelaki Cina sedang membakar duit(?) atau amalan orang Cina yg sering kita lihat, penggabungan semua itu ada maksudnya. Seorang lagi teman PF ada memberitahu maksudnya, tapi PF terlupa, jika tidak PF kongsikan di sini. 

Satu lagi yang harus dipuji adalah skor muziknya. Setakat tahun ini, tiada filem tempatan yang memorable pasal skor muzik. PF bukanlah pakar, tetapi skor muziknya berbeza-beza ikut mood babak (bukan bermakna ia menjamin yang terbaik), tetapi ia tak dibuat cincai, dan yang penting menaikkan mood serta kita boleh dengar hasil yang bermutu. Bukan main tala saja sepanjang filem berjalan. Contohnya semasa Amir dan Loqman hendak ke tempat mayat Cina dan atas kereta  pacuan 4 roda. Jadi, jika kamu belum menontonnya, pastikan pasang telinga dengan skor muzik selain menikmati jalan cerita. Tak rugilah MK tunggu 2 tahun untuk muzik ini. 

(Edited)
Spoiler besar: berhenti di sini jika tak mahu tahu ending sebelum menonton. Akhirnya semua mati dibunuh. Semua watak-watak penting mati. Tiada apa yang ditinggalkan oleh MK untuk ALPKL. Amoi gemok lari menyaksikan kesudahan gangster ini. Ini satu keberanian dalam filem yang ditonjolkan MK, di mana jarang kot kita lihat filem tempatan dengan ending sedemikian. Apa maksudnya tu? Sejelas-jelasnya ALPKL bukanlah menyebelahi gangsterisme sepertimana filem gangster yang lain, meraikan, mengagungkan dunia gangsterisme itu (tertanya, adakah ending gangster di Ipoh semua mati juga?) Kesimpulannya, adakah faktor-faktor parodi ini membuatkan filem ini bagus? Jawapan PF, bergantung kepada isi lain dalam naskhah ini. ALPKL menceritakan apa sebenarnya? Biar pakar mentafsirkan. Sebenarnya, jika sesebuah filem itu terlihat dengan nyata akan subtle/second layer, penonton bebas berfikir akan apa jua 'cerita' lain yang ingin disampaikan oleh pengarahnya sebab karya seni itu subjektif. Itu yang membuatkan tontonan filem itu menarik jika suka berfikir dan cuba berjinak-jinak mentafsir selain apa yang dilihat. ALPKL mungkin berkenaan sinema kita sekarang, terutama siapa sebenarnya Catchai yang gila menembak Amir Loqman yang cuba mengubah nasib dan ingin maju dalam hidup, siapa perempuan gemuk yang terselamat di hujung cerita, dia pengusaha apa? kenapa dia 'Cina' dan kenapa dia berwatak 'gemuk'?, ....dapat? Atau mungkin ianya hal lain selain sinema jika kamu berfikiran kritis.

Hampir di hujung-hujung cerita, terdengar kata penonton dengan jelas... "mana lautnya?" kerana mereka tak ke laut pun sebaliknya ke pantai saja. Issh takkan itu pun PF nak beritahu jawapannya....

1 comment:

Ramzi Abdullah said...

Memang dark comedy.

Feel filem Yakuza Beat Takeshi dan Tarantino-esque juga

Dahsyat gile