24 Feb 2014

Bayangkan Filem Tanpa Bunyi


DALAM bidang perfileman bunyi merangkumi muzik, bunyi persekitaran, bunyi efek dan dialog pertuturan. Bunyi juga boleh mewakili beberapa aspek antaranya fizikal, sifat akustik dan dimensi bunyi. Perkembangan bunyi di dalam filem pada dasarnya bermula sekitar tahun 1930-an. Filem pertama yang menggunakan dialog adalah The Jazz Singer yang diarahkan oleh Al Jolson pada tahun 1927. Pada lewat tahun 1928, Walt Disney Studios telah mengeluarkan sebuah filem berjudul Steamboat Willie yang boleh dianggap lengkap apabila menggunakan muzik latar yang pertama di dunia. Pengalaman menonton filem-filem bertaraf antarabangsa memperlihatkan kepentingan muzik di dalam menyatukan jalinan cerita dengan emosi. Lihat bagaimana sejarah filem pecah panggung Titanic yang membawa penonton melayang dengan emosi melalui lagu My Heart Will Go On yang dinyanyikan oleh Celine Dion yang berjaya menyentuh hati jutaan penontonnya. Sejarah awal muzik di dalam filem atau dipanggil skor muzik berperanan menambah ruang kosong sesebuah visual yang menggambarkan sesuatu babak. 

P.Ramlee sendiri tidak pernah gagal membentuk nuansa seni melalui penyatuan muzik dan filem-filemnya. Sebut sahaja filem-filem arahannya pasti sesiapa sahaja mampu mengingati bait-bait lagu ciptaannya. Perfileman tempatan sekitar tahun 1990-an juga merupakan antara era penyatuan sebenar muzik di dalam filem. Antara yang dikesan adalah ketika ramai penyanyi mula menjadi barisan pelakon terkenal. Erra Fazira, Awie, Ziana Zain malah sekitar 1980-an kumpulan Search telah menguasai dunia perfileman melalui beberapa filem tempatan. Pengaruh ini memperlihatkan kepentingan muzik sebagai nadi kepada penceritaan khususnya filem yang berlegar di dalam dunia pop. Berbeza dengan kebangkitan generasi perfileman indie tempatan yang menggunakan muzik secara minimum tetapi lebih gemar bermain dengan bunyian persekitaran (ambient) yang menyuntik elemen lebih gelap di dalam penyampaian emosi. 

Pada dasarnya muzik tidak asing dengan industri filem Bollywood apabila setiap penghasilan filem pecah panggung mereka pasti menyelitkan lagu tema filem tersebut. Skor muzik yang dihasilkan bukan sahaja untuk menaikkan mood penceritaan malah muzik itu juga melambangkan perasaan sebenar watak pada setiap filem. Jadi tidak hairanlah kenapa watak menukar beberapa helai baju pada tempoh masa yang singkat ketika mereka mendendangkan lagu kerana lagu-lagu itu merupakan fantasi kepada watak. Industri filem Korea yang menjadi kegilaan para remaja ketika ini misalnya juga mengguna pakai kaedah yang sudah digunakan oleh industri kita sebelum ini dengan menerapkan eleman muzik untuk membangkitkan emosi pelakon serta penonton.

Jika kita lihat kepada beberapa buah drama terkenal mereka terutamanya Winter Sonata dan Autumn In My Heart misalnya, skor muzik yang dicipta oleh pengarah muzik mereka sebenarnya adalah untuk menaikkan lagi mood romantik dan sedih pada drama-drama hebat tersebut. Muzik juga cukup penting untuk menaikkan mood penonton di dalam filem-filem berunsurkan seram. Eleman muzik yang mengejutkan dan menyeramkan menjadi tulang belakang penting dalam setiap filem-filem seram. Sebagai contoh filem Ghost of Mea Nak arahan Mak Duffield misalnya, penggunaan bunyi seperti muzik dan efek amat dititikberatkan. Hasilnya suasana seram cukup menjadi sehingga bunyi serta muzik yang dihasilkan terngiang-giang di telinga kita. Walau apa pun cara penyatuan yang dibikin oleh pengarah di dalam filem mereka, tidak siapa boleh menidakkan kepentingan muzik untuk menyatu dan menyampaikan emosi baik pembawa watak mahupun buat si penulis di dalam mencari mood yang sesuai buat jalinan cerita yang ditulis.

SUMBER UTUSAN

No comments: