13 Jan 2014

Pentingnya Penataan Seni

FILEM Hugo merupakan sebuah filem yang cukup teliti dalam penghasilan penataan seni yang berlatar belakangkan era Perang Dunia Pertama.
DALAM proses penghasilan sesebuah filem, semua unit serta bahagian dalam pasca penerbitan perlu memainkan peranan untuk memastikan hasil filem tersebut memuaskan. Penataan seni antara bahagian yang mempunyai tugas yang sukar dalam menyediakan props (barang-barang) yang diingini oleh pengarah pada setiap babak dalam filem.

Setiap inci serta barang-barang yang disediakan perlu bersesuaian dengan filem yang dihasilkan terutama yang menggunakan latar masa lampau.Setiap barang termasuk kenderaan dan pakaian perlulah bersesuaian dengan kehendak skrip dan filem itu sendiri agar produk yang dihasilkan tidak nampak kecatatannya.

Banyak filem Melayu yang dihasilkan terutama berunsur kenegaraan atau lebih tepat lagi filem sejarah selalunya terdapat beberapa kebocoran.

Ada sebuah filem sejarah Melayu yang pernah ditayangkan tahun lalu misalnya secara tidak sengaja telah memaparkan sebuah kereta Proton Iswara walaupun latar masanya adalah pada tahun 1950-an.

Sebelum ini ada juga filem-filem Melayu yang menggunakan latar masa 1980-an beberapa buah motosikal yang dihasilkan pada tahun 2000 dengan ‘selambanya’ digunakan dalam filem tersebut.

Kecacatan seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana akan memalukan industri filem tempatan. Hal ini berlaku akibat daripada bahagian penataan seni sambil lewa.

Industri filem antarabangsa misalnya di Hollywood cukup teliti aspek penataan seni.

Filem Saving Private Ryan yang dihasilkan pada tahun 1998 misalnya juga teliti dalam penghasilannya. Bahagian penataan seni filem ini melakukan kajian serta menyediakan barang-barang yang dikehendaki dan menepati latar masa yang ditetapkan.

Bukan sahaja kenderaan serta pakaian yang digunakan menepati era Perang Dunia ke-2 bahkan barang-barang kecil seperti rokok, pisau dan barang lain juga digunakan mengikut era tersebut.

Paling ketara adalah mengenai filem sekual Back To The Future (1985) arahan Robert Zemeckis antara sebuah filem yang hebat dalam penyediaan barang-barangnya kerana filem ini merupakan antara filem yang bermain dengan latar masa yang berbeza.

Walaupun hanya menggunakan satu latar tempat iaitu di Hill Valley, California, Amerika Syarikat (AS) namun perubahan latar masa yang ketara antara tahun 1800-an dan 1950-an berjaya direalisasikan dengan baik oleh tenaga produksinya.

Filem Hugo (2011) hebat dalam penataan seninya sehingga diangkat memenangi Penataan Seni Terbaik pada Anugerah Academy ke-84.

Sepatutnya filem-filem hebat seperti ini dijadikan rujukan pengarah seni tempatan dalam menghasilkan penataan seni.


Sumber : Utusan

No comments: