14 Oct 2013

Apabila Kering Idea


Link : ASAL


UNTUK membina sebuah filem bukan satu perkara mudah. Seperti juga untuk membina rumah perlu ada pelan terlebih dahulu barulah rumah itu akan terbina.
Dalam filem, perkara utama adalah idea. Dengan idea yang hebat pasti akan terhasil filem yang hebat kecuali pengarah ‘buta’ dalam pengarahannya.

Idea dalam menghasilkan filem perlulah pelbagai tidak kira dalam genre apa sekalipun. Idea tidak semestinya dicari malahan datang melalui pengalaman kita dalam kehidupan seharian.
Idea untuk menghasilkan sebuah filem perlulah segar. Segar yang dimaksudkan adalah segar dari segi hak penciptaannya iaitu tidak meniru idea filem-filem yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Sedih apabila membincangkan hal ini kerana beberapa filem kita kebelakangan ini nampaknya meniru filem dari luar. Kalau filem yang ditiru itu tidak ditayangkan di negara ini, selamatlah. Tetapi bagaimana kalau filem itu telah ditayangkan dan popular?

Apa sudah jadi dengan pengarah kita sehinggakan sanggup meniru idea filem lain? Adakah kerana sudah kering idea atau malas hendak cari idea segar?
Meniru idea serta konsep filem sebenarnya sudah lama wujud dalam industri perfileman di luar negara ketika era Perang Dunia Kedua lagi.
Filem Perancis berjudul Le Corbeau: The Raven (1943) arahan Henri-Georges Clouzot misalnya telah ditiru konsep serta idea oleh pengarah Hollywood Otto Preminger dengan menghasilkan filem berjudul The 13th Letter pada 1951.
Bukan itu sahaja, filem berunsurkan gengster dari Perancis berjudul Pépé le Moko (1937) yang diarahkan oleh Julien Duvivier dan dilakonkan oleh Jean Gabin ini juga telah ditiru sebanyak dua kali oleh pengarah filem Hollywood.

Pertama kali ditiru pada tahun 1938 yang dikenali sebagai Algiers, lakonan Hedy Lamarr dan Charles Boyer dan sekali lagi pada 1948 sebagai Casbah, lakonan Tony Martin, Märta Torén, Yvonne de Carlo dan Peter Lorre.
Itu hal di luar negara, tidak kurang juga yang pernah berlaku dalam industri tempatan. Konsep serta idea yang ditiru dalam industri kita juga sudah lama wujud terutamanya ketika era filem hitam putih.

Kita sedia maklum bahawa filem-filem berunsurkan penyiasatan James Bond cukup terkenal sebelum ini. Ketika itu jugalah filem-filem kita terutamanya arahan Mat Sentul seperti Mat Bond, Mat Tiga Suku dan banyak lagi menggunakan konsep seperti itu.

Filem lakonan Saadiah dan Jins Shamsuddin berjudul Nora Zain - Agen Wanita 001 (1965) meniru konsep filem-filem James Bond. Walaupun filem arahan Low Wai itu mempunyai agenda dalam memperjuangkan feminisme namun pada hakikatnya konsepnya bukan asli.

Terbaharu, filem terbitan MIG Picture berjudul Bencinta lakonan Farid Kamil dan Nora Danish juga dilihat secara terang-terangan meniru konsep filem popular lakonan Jennifer Lopez berjudul Enough.

Sebelum ini filem Enough pernah menjadi bualan hangat apabila seorang penulis AS, Allyson Turner menuntut saman berjuta dolar dari penerbit filem tersebut, Sony Picture kerana dipercayai meniru idea serta konsep asal ciptaannya tanpa melibatkan dirinya dalam filem tersebut.

Bukan filem itu sahaja, filem Aku Terima Nikahnya yang juga dilakonkan oleh Nora Danish dan Adi Putra turut meniru idea dari filem Hollywood, The Vow (2012).

Keadaan ini sekiranya tidak dibendung sekali lagi akan melemahkan industri kita. Secara tidak langsung industri perfileman kita akan terus berada pada takuk lama dan akan terus tertinggal dalam perlumbaan seni.
Penerbit serta pengarah akan bising dan marah sekiranya filem mereka telah dicetak rompak tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka juga melakukan perkara yang sama.

Barangkali penerbit atau pengarah menggunakan alasan klise, “Itu hanya kebetulan." Tetapi penonton yang pernah menonton filem yang dikatakan ditiru itu tentu ada jawapan apabila dikatakan “satu kebetulan."

No comments: