5 Nov 2012

Keperitan Zaiton Kurang Menarik Penonton




Genre : Drama
Arahan : Esma Daniel
Pelakon : Nadia Aqilah Bajuri, Karl Shafek, Sharonizam Noor, Norlia Ghani
Tahun : 2012
Filem Seumpamanya : -
Rating : 2.5/5


Malaysia kurang buat filem biografi tentang seseorang tokoh. Namun kemunculan Zaiton Ceritaku (ZC) sedikit sebanyak menarik perhatian penggemar filem tempatan. Menonton ZC pada hujung minggu dengan harapan bolehlah melihat ramai penonton yang akan menontonnya tetapi dalam panggung yang sama ketika PF menonton tak sampai 10 orang. Begitu juga dari bacaan PF di forum wayang di internet menyatakan sambutan yang kurang terhadap feature filem pertama (jika tidak silap) Bruang Filem ini. Antara satu sebabnya mungkin filem Skyfall sedang ditayang sama. 


PF sebenarnya agak terkejut melihat 10 minit pertama filem ini kerana tak menjangka filem ini dimulakan dengan kemalangan Zaiton dan anaknya dalam sebuah van. Ingatkan nak tayangkan sedikit kemasyhuran Zaiton atau asal-usulnya sebagai penyanyi tetapi tidak. Oleh itu, jelaslah ZC ingin menceritakan kisah hidup Zaiton selepas kemalangan pada 21 Februari 1990 yang menyebabkan dia hilang segalanya. Orang Malaysia tahu setahap mana kepopularitian Zaiton tetapi jika orang luar menontonnya pasti ianya tidak dapat merasai atau menghayati naik jatuh hidup Zaiton. Jika kegemilangan Zaiton digambarkan hanya dengan 'mimpi' dia disambut gah pabila keluar kereta dan mendapat naib johan, setakat itu sajakah kedudukan Zaiton? Terus terang bagi PF, kisah-kisah hidup Zaiton yang dipapar selepas kemalangan tersebut hanya kecil-kecil dan kurang bagi impak yang mengesankan. Mungkin benar kepayahan yang di alami benar-benar menyentuh hati orang sekelilingnya (di luar filem), tapi tak tahu mana silapnya, ia tidak sampai sepenuhnya ke jiwa PF apabila visual yang dipapar hanya sekadar menyampai tanpa rasa. Orang lain PF tak tahu. Filem ini bernaratif mendatar dan tiada klimaks sehingga akhir. Tidak salah sebegitu jika itu jalan sebenar Zaiton Sameon. Nadia Aqilah Bajuri yang memegang watak Zaiton ini telah mencuba sehabis baik namun belum cukup jitu membawa penderitaan Zaiton. Oh... pada ketika itu fikiran PF terasa ingin menonton versi Mislina pula. Bukan ingin memperkecilkan Nadia, tetapi untuk melihat benarkah tuan penerbit Hj Burhanuddin (bos Les Copaque) punya kenyataan bahawa Mislina tidak mencapai standard yang diharapkan. Harus diakaui, membawa watak seorang lagenda yang masih hidup juga bukan mudah. 


PF ada terbaca artikel dimana, ZC tidak memaparkan sepenuhnya kisah yang dialami kerana keaiban Zaiton harus diselindungi. Sebagai umat Islam memang benarlah kenyataan itu, tetapi jika ditapis-tapis, apa yang tinggal? Makan durian sajalah, sebab itulah filem ini anti klimaks seperti yang dikatakan tadi. Filem ini tidaklah buruk, masih boleh ditonton. Esma Daniel selaku pengarah yang pertama kali mengarah cuba membuatkan arahan seni ZC tidak murahan (lihat adegan tingkap ke tingkap di rumah kayu keluarga ibu-bapa Zaiton). Dari segi tatarias, Bruang Filem mungkin dah cuba seadanya mengikut fesyen pada ketika itu, namun, tetap sama, kurang menyerlah.

PF bagi kredit semasa footage asal Zaiton dengan hubungannya dengan filem ini kerana ia menyampaikan hasrat tujuan ZC. Tak mengapalah, usaha filem ini yang dicetuskan oleh Hjh Ainon boleh dipandang dengan kekangan plot-plot yang lagi penting (mungkin) yang harus dielak demi menjaga sensitiviti dan maruah Zaiton serta keluarga. Namun, jika ingin berbuat sesuatu melibatkan nama besar bukan hanya melepaskan batok ditangga. Harus fikir seelok-eloknya, seumpama nasi lemak yang dihidang bukan nasi lemak yang kurang lemaknya.



Satu persembahan live Zaiton Sameon :



2 comments:

Joni Dep said...

Belum tengok citer Zaiton ni.

Tapi ni ada review filem Skyfall:

http://www.sinema.my/movie-review-skyfall-penuh-dengan-plot-buduh/

Sila komen. Thanks!

PerangFilem said...

TQ singgah. Ada juga singgah your blog tadi. Good effort!