26 Nov 2012

Apakah Matlamat Festival Filem Kita?




PENGANJURAN pelbagai festival filem kebelakangan ini menunjukkan satu perkembangan baru dalam industri perfileman negara kita. Dalam keghairahan sesetengah pihak menganjurkan pelbagai jenis festival, namun, penganjuran festival filem kita dilihat masih banyak lagi perkara yang sepatutnya diperbetulkan. Sebagai contoh, festival filem hebat yang dianjurkan oleh Thailand yang dikenali sebagai Festival Filem Antarabangsa Bangkok merupakan festival filem antarabangsa terbesar di Asia Tenggara.

Penganjuran festival filem ini merupakan acara tahunan yang telah diadakan sejak 2002 lalu di mana 80 buah filem terpilih dari seluruh dunia dipertandingkan. Tahun ini, festival tersebut telah memasuki edisi ke-10 dan sambutannya sejak dari mula dianjurkan telah menarik minat berpuluh ribu pelancong dari dalam serta luar negara. Apa yang menarik mengenai penganjuran festival filem ini adalah kerana berjaya mempromosikan produk pelancongan mereka di samping memperkenalkan filem tempatan Thailand di mata dunia.

Pihak penganjur juga telah melantik sebuah syarikat swasta bagi menguruskan festival tersebut di samping melantik perunding yang didatangkan khas dari hollywood bagi menjayakan Festival Filem Antarabangsa Bangkok. Pengunjung serta pelancong yang datang selain daripada menghadiri festival filem tersebut, mereka juga akan berbelanja seperti membeli-belah dan berkunjung ke tempat menarik yang terdapat di Thailand.Selain Thailand, satu lagi negara jiran iaitu Singapura juga turut melakukan perkara yang sama dengan menganjurkan festival filem antarabangsanya yang dikenali sebagai Festival Filem Antarabangsa Singapura (SIFF).

SIFF mula diperkenalkan pada 1987 dan kebiasaannya diadakan pada bulan April atau Mei setiap tahun. Festival ini juga turut menampilkan 300 buah filem dari 45 negara seluruh dunia untuk dipertandingkan. Pelbagai aktiviti perfileman dijalankan ketika festival ini berlangsung termasuklah forum, bengkel, seminar serta dialog perfileman. SIFF juga turut menjana pendapatan kepada Singapura dengan taraf antarabangsanya.

Lain pula yang berlaku kepada festival filem di negara kita, walaupun sudah bermula agak lama iaitu pada 1981 berbanding dengan Festival Filem Antarabangsa Bangkok dan SAFF, namun festival kita jauh ketinggalan berbanding mereka. Festival Filem Malaysia (FFM) yang akan memasuki edisi ke-25 nya akhir tahun ini merupakan festival filem terbesar Malaysia namun, ianya hanya gah pada nama sahaja.

Saban tahun penganjurnya iaitu Finas serta beberapa lagi badan induk perfileman hanya memutarkan janji yang sama namun hasilnya tetap tidak berubah malah semakin teruk. Seiring dengan usianya yang boleh dikatakan matang, sepatutnya kita sendiri dapat berbangga dengan FFM. Tetapi hingga kini filem kita makin mengarut dari segi intipatinya. Setiap tahun kita hanya dengar dengan kontroversi penganjuran serta pemilihan pemenang sahaja. Tiada benda baru dan membina setiap kali acara ini diadakan.

Tidak keterlaluan sekiranya festival ini dianggap hanya menghabiskan duit tajaan semata-mata kerana tiada langsung faedah yang didapati selepas penganjurannya. Kenapa negara kita berjaya menganjurkan aktiviti sukan bertaraf dunia seperti Le Tour De Langkawi dan Piala Monsun sehinggakan peningkatan pelancong yang hadir menyaksikan acara tersebut bertambah dari tahun ke tahun?

Sepatutnya kita juga boleh menganjurkan festival filem antarabangsa seperti mana kejayaan yang telah dicatatkan oleh acara sukan hebat itu. Kita mampu menghasilkannya tetapi tiada siapa yang mampu bergerak untuk melakukannya.

SUMBER : UTUSAN

No comments: