8 Feb 2017

Aku Haus Darahmu & The Red Turtle




AKU HAUS DARAHMU (2017)
Aidilfitri MY
Seram
3/5

Sejak publisiti filem ini muncul yang menjual nama Deanna Yusof, PF sudah tertarik. Apatah lagi dengan judul yang unik. Sudah berapa lama Deanna tak berlakon filem panjang? Terkini pun dalam produksi Singapura. Perjuangan sang pengarah yang ingin mengembalikan roh seram filem 80an tempatan seperti Rahsia dan Misteri Rumah Tua yang menjadi rujukan untuk tatapan penggemar horror classic. 2 perkara yang membuatkan PF suka tentang filem ini adalah skor muziknya yang kena dan bertepatan dengan atmosfera seram yang ingin disampingkan. Dengan 'bergenre' bunyi klasik, telinga tertangkap kehebatan bunyi yang biasa kita tidak terperasankan kerana jump scare dengan bunyi yang kuat selalu dipermain-main semata untuk memeranjatkan. Kedua, elemen bunyi tersebut telah menyihir mata dan perasaan terhadap tarian-tarian mistik penari-penari seakan kita dalam alam lagi satu. Dibuat ala pementasan teater berpagar bulu-buluh seakan jauh dari penduduk kampung. Ceritanya mudah dan cuba bermain selamat dengan lokasi yang terhad untuk menggambarkan zaman 80an. Kadang-kadang dialognya terlajak kekinian. PF sudah lama/lupa dan tidak biasa sebenarnya dengan filem-filem seram 80an, tetapi entah mengapa sinematografinya cuba digelapkan dengan sengaja walaupun tengahari menampakkan tidak semulajadi 80an yang diingini. 

Lagi satu, Cempaka (Deanna) seolah-olah tidak 'memiliki' rumah tradisional itu kerana seperti nampak terasing dengan tuannya. Deanna hanya bercantikan saja tidak 'mendiaminya'. Okay, kalau iya pun dia itu hantu atau sebagainya. Mungkin PF salah kerana yang berhantu adalah tarian dan bukannya rumah, jadi pemilikan rumah tidak perlu ditekankan kerana ingin menimbulkan lebih kemisterian terhadap watak Cempaka. Selain itu, bukan mahu mencari kesalahan dan memang tidak suka menyebutnya di sini, bahawa watak-watak bergerak lambat pada sesuatu yang sudah biasa ada/sia-sia/dilihat dalam filem seram. Namun, pada beberapa babak ianya perlahan tetapi efektif contoh ketika Ezza berjalan perlahan ke dalam semak tepi rumah yang di sokong dengan latar muzik yang cocok dan penuh misteri. Kelebihan lagi adalah lakonan Cempaka dan Kenanga, walapun terkadang lakonan Kenanga itu nampak pelik. Tarian Deanna dan Nad Zainal nampak kemas menyimpulkan bahawa mereka berlatih untuk itu. Aidilfitri berjaya membuatkan filem seram ini ke tahap yang lain di penghujungnya bagi membolehkan watak jahat menjadi cantik dan muda selama-lamanya seterusnya memberi klimak yang berkesan.


RED TURTLE (2016)
Michael Dudok de Wit
Animasi
3.5/5

Kalau boleh PF spoilkan bahawa filem ini tiada dialog langsung. Yang ada hanya desahan dan kata seperti Oi! Boring? Nanti dulu. Berkenaan seorang lelaki yang terdampar di pulau dan cuba meneruskan kehidupan seorang diri dan berjumpa seseorang. Ironinya, dengan tajuk The Red Turtle tetapi ianya kisah seorang lelaki tetapi red turtle itulah yang mengubah hidupnya untuk terus hidup dalam dunia asing. Walaupun rupa kartunnya bukan 3D, mata tertancap akan detik hari-hari lelaki ini dari hari pertama ia lemas dilambung ombak menerusi garis-garis halus animasi ini. Ini filem kedua bukan 3D yang enak dinikmati selepas Song of The Sea (2014). Jika kanak-kanak mungkin sukar terhibur kerana kebisuannya, tetapi tidak bagi penonton dewasa sebab ianya riuh dengan tema universal seperti perhubungan, cinta dan keterasingan. Bila filem ini menyentuh bab fantasi, (tidak pasti ianya ada kaitan dengan sesuatu lagenda), ini yang memuatkan ia bertambah seronok untuk ditonton. Dan meninggalkan seseorang terkapai-kapai adalah kejam.


No comments: