21 Feb 2017

Rumusan Filem Kita 5 Tahun Terkini (2011-2015): Bhgn 2

Bahagian 1

Kepercayaan Kepada Industri

      Sejauh mana anda percaya kepada industri perfileman tempatan? Ada sesetengah orang yang tidak pandang langsung kepada filem Melayu khususnya, ada yang sekadar berhibur dan ada yang mempunya minat yang mendalam kerana sayangkan gambar yang bergerak ini kerana mempunyai sifat apresiasi tersendiri. Golongan cinephilia membawa maksud orang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap filem, teori dan kritikan filem. Dia mengambil berat sesebuah filem sehingga sanggup menggali maksud filem yang ditonton kerana tidak faham apa yang disampaikan oleh pengarah. Secara keseluruhannya, jika anda percaya kepada filem-filem tempatan tidak mengira apa jenis dan bahasa sekalipun, sejauh mana anda percaya ia akan memberi kepuasan dan tidak memaki setelah habis penontonan akibat betapa buruknya filem itu. Lebih-lebih lagi menonton di pawagam memerlukan banyak komitmen anda; tenaga, bayaran tempat letak kereta, masa, wang dan sebagainya. Sudah pasti kepercayaan ini diukur dengan bilangan filem yang anda tonton dan juga citarasa sebelum membuat keputusan. Untuk lebih lagi faktor, jika sebagai pengkritik, anda kena menonton sebanyak-banyak genre filem sehingga ke genre yang tidak boleh dikelaskan apa genrenya.


*Statistik filem Malaysia (+ usahama negara luar)

**Jumlah penerbitan filem termasuk yang tidak sertai wajib tayang (tetapi mana yang ditonton sahaja). Rujukan jumlah filem dari laman web Finas.

       Sebagai blogger, mencatat kesemua filem yang ditonton adalah satu mata tambahan kerana selain dijadikan sejarah tontonan dan kenangan, ia merupakan rekod penting bagi menyemak semula jika terdapat sebarang maklumat atau data yang ingin dikongsi atau ingin membuat kajian ringkas. Dari graf di atas, pembaca boleh mengukur sejauh mana kepercayaan admin terhadap filem-filem Malaysia. Tidak dinafikan pasti ada menonton lebih banyak mungkin disebabkan tuntutan kerja atau sememangnya minat, atau kedua-duanya. Alangkah beruntungnya jika kita dibayar untuk menonton filem bukan? Boleh disimpulkan admin tidak pernah menonton lebih separuh daripada jumlah filem yang dikeluarkan dalam setahun dan paling tinggi pada 2011 iaitu 46%. Kebanyakan filem yang ditonton adalah pada tahun sama ia dikeluarkan.

       Selebihnya, sekitar 20%+ membawa maksud tanpa disedari yang admin tetap menonton apa yang dirasakan perlu atau baik itu, jumlahnya lebih kurang sama saja walaupun penerbitan filem meningkat dalam 5 tahun ini. Bermakna, admin masih memberi sedikit kepercayaan kepada industri DAN lambakan filem yang banyak kurang menawarkan filem yang dijangka baik (mungkin) DAN juga bergantung kepada keupayaan kewangan. Secara tidak langsung juga admin tetap meletakkan harapan walaupun berkali-kali hampa, umpama sedia bercinta lagi walau selalu dikecewakan. Seperti yang disebut awal-awal tadi, hanya lebih atau kurang 30% saja filem yang ditonton itu adalah baik atau hebat dari kacamata admin. Mungkin penilaian ini tidak adil kerana tidak menonton kesemua atau tidak masuk akal boleh menonton semua? Bagaimana pula kepercayaan anda?

5 Filem Pilihan Teratas


         Disenaraikan 5 filem pilihan terbaik dari tahun 2011 sehingga 2015. Dikongsikan ulasan pendek dan pengalaman tontonan filem tersebut serta diselitkan maklumat yang perlu. Sebahagian filem-filem ini ada diulas panjang di blog.

2011
KL GANGSTER Dir. Syamsul Yusof
MISTERI JALAN LAMA Dir. Afdlin Shauki
SERU Dir. Pierre Andre & Woo Ming Jin
SONGLAP Dir. Effendee Mazlan & Fariza Azlina
…DALAM BOTOL Dir. Khir Rahman

       Pilihan 2011 sangat bervariasi daripada segi tema mahupun genre. KL Gangster beri nafas baru kepada filem samseng walaupun ada yang mencemuh gaya bahasa slanga Cinanya. Syamsul Yusof boleh dikatakan pengarah muda berbakat dan serba boleh walaupun admin tidak berapa berkenan filem rempit dan komedi beliau termasuk skrip yang ‘skema’. Afdlin Shauki bertindak berani menyentuh tema alam ghaib dan boleh dikatakan berjaya setelah beberapa filem satira atau komedi. Jika bajetnya lebih, pasti filem ini lebih baik. Filem Seru pula adalah filem seram terbaik selepas tahun 2011 dan belum ada yang dapat menandinginya yang banyak berkonsep hand-held dan aktiviti paranormal pada tempoh ini seperti Highland Tower, Ia Wujud, Villa Nabila dan Bangunan. Pierre boleh dikatakan pembikin seram yang aktif lebih baik daripada produk-produk seram MIG, Cuma selepas itu hasil seramnya kurang menonjol kecuali Cerita Hantu Malaysia. Songlap pula yang menyentuh isu moral yang sangat dekat dengan masyarakat; penjualan bayi, pelacuran dan anak muda yang tersilap langkah. Admin pasti tertunggu hasil mereka berdua seterusnya kerana mereka jarang membikin filem dalam jarak masa yang cepat. Khir Rahman pertama kali mengarah filem membuahkan hasil yang cemerlang …Dalam Botol. Filem kontroversi sejak sebelum pembikinan ini lebih admin meminati gaya art-housenya daripada hasil beliau selepas itu, Balada Pencinta.

Relationship Status (2012)

2012
RELATIONSHIP STATUS Dir. Khairil M. Bahar
CHOW KIT Dir. Rosihan Zain & Brandon Lee
ISTANBUL AKU DATANG Dir. Bernard Chauly
SAM Dir. Syafiq Yusof
BUNOHAN Dir. Dain Said Iskandar

       Filem 95% berlakon layar Inggeris, Relationship Status sarat dengan dialog pelakon-pelakonnya. Ia seperti menonton filem sejenis Anne Hall (1977) dan Carnage (2011). Boleh diletakkan sebagai filem urban, ia mengambil peluang perkembangan media sosial yang menjadi-jadi terutama Facebook sebagai penggerak naratif. Tidak ditayang di bawah Syarat Wajib Tayang dan berformat digital, filem ini tidak mendapat publisiti meluas. Jarang mendengar nama Khairil M. Bahar, Rosihan Zain (Chow Kit) & Brandon Lee dalam lanskap perfileman negara, tetapi filem mereka berjaya masuk ke dalam senarai teratas tahun ini. Rosihan dan Brandon membawakan latar kehidupan anak-anak Chow Kit seperti yang pernah kita dengar dan pengalaman penontonan yang segar ketika awal tahun yang suram telah memikat admin. Satu lagi kejutan pada 2012 adalah filem Saya Amat Mencintaimu (S.A.M) yang menggegarkan sejenak nama Syafiq Yusof. Tidak menyangka kehadiran filem ini yang sangat bagus ketika beliau berusia muda dan pertama kali mengarah filem. Selepas itu, admin berjanji untuk mengikuti perkembangannya. Filem yang dinanti-nanti setelah mencipta nama di festival luar, Bunohan merupakan karya bermutu Dain Said yang penuh dengan subteks diselimuti dengan mistik dan kaya dengan budaya. Tidak dapat dibayangkan ketika pertama kali menontonnya seperti menonton filem luar dan ilham Bunohan yang sangat asli. 

2013
KIL Dir. Nik Amir Mustafa
PAPADOM 2 Dir. Afdlin Shauki
DUSHRAJANAM Dir. M. Subash
KOLUMPO Dir. Bront Palarae, Rozi Izma & Sheikh Munasar
PSIKO PENCURI HATI Dir. Nam Ron

      Pilihan pada tahun ini pula kelihatan agak lebih kepada kisah realiti masyarakat. Nampak gayanya cubaan pengkarya membawa isu ini begitu baik. Boleh dikatakan semua watak-watak dalam kelima-limanya membawa kepada sisi-sisi hidup manusia yang luka. Jarang filem Melayu membawa isu bunuh diri yang dianggap sangat menongkah aliran setelah sekian lama. Bila kali terakhir tema sebegini muncul di layar perak kita ya? Walau pun begitu, KIL tetap bermain selamat dan tidak berani bermain jauh supaya kesimpulan yang manis tetap dihidang buat penonton. Pemerhatian admin di media sosial mendapati, peminat banyak menyebut filem KIL dan ada sesuatu yang boleh dibicarakan tentangnya. Filem keluarga Papadom 2 seumpama tidak timbul ketara pada kalender ini. Hubungan anak perempuan dan bapa menjadi tema yang selalu diguna di serata dunia. Anyaman kaum ditunjuk tidaklah begitu sempurna dan naratif yang sering dipakai. Namun, ia lebih baik dari sekuel pertamanya. Filem Tamil Dushrajanam menarik perhatian kerana bukan saja ia filem kedua terbaik dari M. Subash setelah Pensel (2008). Keunikan watak seorang cacat yang bercita-cita menjadi juara badminton banyak bermain dengan simbol dicampur dengan adat budaya masyarakat India. Bertuah kerana dapat menyaksikan filem omnibus, Kolumpo kerana ramai mengeluh tidak dapat menonton dan penerbit pula tidak mengeluarkan DVD. Gelagat pendiam Kuala Lumpur dari pelbagai sisi, warga asing, nenek nyanyuk bersama andartu dan kisah dua remaja yang baru bertemu di perut kota sangat rugi jika dilepaskan. Serius, pertama kali menonton Psiko Pencuri Hati, hati terpaku kerana ia filem thriller yang sangat asyik dan persembahan pelakon yang hebat! Ya, ia mengikut formula ‘kalau nak bunuh mesti pergi ke suatu tempat’, oh okay, yang penting admin suka!


> Bahagian 3

No comments: