30 Nov 2016

Hanyut & Apprentice


Arahan : U-Wei B. Haji Shaari
Genre : Drama
Tahun : 2016
Rating : 3.5/5



Takkanlah filem yang diguna gambarnya sebagai banner blog ini sekian lama, PF tidak mahu reviu hatta sedikit punkan? PF akui, tidak ada idea dan kering untuk memberi pendapat kepada filem yang ditunggu-tunggu ini. Apatah lagi, admin sangat menyanjungi karya-karya beliau sebelumnya. Diakui juga, PF tertunggu reviu orang lain untuk memberi gambaran apa yang patut diselongkar dan PF dapat apa yang mereka katakan. Amat bosan jika kita kata filem ini mendatar, kita mahu lihat apa isi yang ingin disampaikan. Apa yang boleh dikatakan PF lihat dari satu sudut bahawa filem ini agak teaterikal, tak pasti adakah boleh digunakan terma ini pada sinema atau pernahkan orang lain atau pengkritik menggunakannya? Mungkinkah latarbelakangnya hanya pada satu tempat itu - pinggiran sungai, jika ya bagaimana dengan filem yang hanya 1 lokasi saja? Teaterikal ini disebabkan:

i) bayangan bahawa set hanyut dibina khas yang kita telah ketahui sejak balik tabir filem ini
ii) lakonan Sofea Jane sangat teaterikal seperti dalam persembahan pentas.
ii) latarbelakang adegan i.e konfrontasi waktu malam di hutan apabila Dain dan Nina kantoi dengan Almayer dan ada beberapa lagi adegan yang dekat dengan pendekatan ini. (Ah ada saja dalam filem drama yang lain).

Hanyut pada dasarnya tiada tunjang atau multifocus terhadap cerita yang seiring yang berlaku di Sambir tetapi akhirnya salah satu cerita itu iaitu cinta Nina kekal menyusur ke tamat. Lalu, cerita yang lain tertinggal begitu saja. Jika di Indonesia filem ini diberi judul Gunung Emas Almayer adalah sangat misleading. Maka, Hanyut lebih tepat. Permulaan yang baik tetapi seakan hilang momentum apabila dipertengahan akibat penonton mungkin berada dilema untuk berada 'dimana' sebenarnya. Mem pejuang jatidiri Melayu pada zaman-zaman itu. Tidak mahu melayu hilang dan hanyut dari diri Nina. Karakter Mem yang 'gila' dengan slang Pahang ciptaan U-Wei itu kandang-kadang on-point, kadang-kadang melampau (over) dan tiba-tiba bijak pula mengatur penipuan kematian. Nyata dia sangat celaru sejak Nina pergi ke Singapura tanpa kerelaannya. Dain Maroola pula berketerampilan sebagai anak raja, tidak boleh disangkal. Manakala Almayer yang kesepian walaupun beristerikan Mem, semakin hanyut di Tanah Melayu walaupun berjaya dengan hasil perniagaannya di Sambir, Berperwatakan serius, Almayer terlalu serius dengan Nina, tiap kata ucapannya dengan Nina tidak mesra akibat si bapa pun yang mengabaikannya di Singapura dalam masa sama ambil berat akan masa depan Nina, itu yang agak pelik sikap Almayer. Jadi, jurang anak-bapa itu masih terasa. Disebalik semua itu, penataan seni Hanyut sememangnya harus diberi tepukan dan setiap frame terutama dalam rumah begitu memaku mata akibat ketelitian para pereka set membuatkan Hanyut bernilai tinggi dari segi teknikal.

Hanyut tidak seharusnya dipandang sepi oleh penonton. Kedengaran bahawa sambutan Hanyut agak hambar di pawagam. Episod sedih mungkin menghantui sang sutradaranya lagi. Penonton kita masih terlalu berkira atau mereka tidak disedarkan dengan kehadirannya.

Di susun kronologinya tentang pembikinan HANYUT daripada sedikit bacaan:
  1. Riki tempat penggambaran di Kuala Lipis Pahang pada 2010.
  2. Kos RM18 juta.
  3. Filem siap pada 2012 (dengar cerita ada masalah dengan CGI membabitkan kapal yang membuatkan filem lambat siap dan pengarah mahukan yang terbaik - jika salah info, harap maaf).
  4. Namun, pada 2011 Perancis telah menerbitkan filem dari novel yang sama dan filem diberi nama Almayer's Folly arahan Chantel Akerman. Rating Rotten Tomatoes 91%.
  5. Pada November 2014, Hanyut ditayangkan di Indonesia dengan judul Gunung Emas - Almayer sebab di sana ada pengedar/dana yang mencukupi untuk promosi.
  6. Kos pemasaran di Malaysia adalah RM2 juta dengan bantuan FINAS. Jika ada bantuan dari lain2 badan, admin tak pasti.
  7. Dalam masa itu, Hanyut ada ditayang di beberapa majlis2 tertutup untuk rakan terdekat dan media. 
  8. Akhirnya, tayangan di Malaysia ditetapkan pada 24 November 2016. Pada mulanya, ia ditentukan pada 29 November tetapi kemudian INTERCHANGE dapat tarikh tayang pada 1 Disember 2016. Jadi, Hanyut diawalkan sedikit untuk mengelak pertembungan penonton (andaian admin).
Betapa seriusnya U-Wei dengan naskhah ini, dari segi pembikinan, promosi dan masa yang diambil dalam 6 tahun. Salah satunya, untuk mencapai lebih ramai penonton di Malaysia bukan seperti sambutan filem-filemnya sebelum ini yang kurang menggalakkan di pawagam. A True filmmaker. Teruskan berjuang!


*********



Arahan : Boo Junfeng
Genre : Drama (Singapura)
Tahun : 2016
Rating : 3.5/5

Prison officer yang baru bekerja di Larangan Prison, Aiman (Fir Rahman) yang dilatih oleh chief hangman - Rahim (Wan Hanafi Su) untuk membantu tugas hukuman gantung. PF rasa bersyukur juga sebab bahasa melayu (60% rasanya dalam movie - yang kental bahasa melayu Singapura) diperdengar di Cannes tahun ni. Wan Hanafi Su tentunya lebih bersyukur kerana filem inilah yang membawanya ke Cannes sejak bertahun-tahun berada dalam industri perfileman selain 'merantau' serata atlas dengan Lelaki Harapan Dunia dan Bunohan. 

Perjalanan Aiman dibuat kemas, pengenalan, pembelajaran, latarbelakang diselongkar satu-persatu membawa kepada perubahan dalam hidup Aiman pada peringkat selanjutnya. Sinematografi, storytelling yang kemas, babak-babak yg membawa maksud tertentu membawa kepada kepuasan penontonan. Watak kakak turut menyumbang kepada kekusutan dan bebanan diri Aiman. Kedudukan kamera kadang-kadang dibalik tirai besi kadang-kadang di dalam tirai besi mengintip gerak perilaku membawa kita seakan dekat pengalaman ngeri dalam penjara. Ceritanya agak biasa tetapi sedikit demi sedikit memberi juadah yang enak dari seberang tambak.

2 Nov 2016

Jeng Jeng Jeng. Surprise!



Arahan : Eirma Fatima
Genre : Animasi/Komedi
Tahun : 2016
Rating : 3/5


Terdapat sedikit spoiler.

Sebelum PF menulis mari kita semak sekejap bahawa projek asal Upin Ipin The Movie adalah Upin Ipin Angkasa yang telah dibatal/tangguh dan diganti dengan Jeng Jeng Jeng ini. Pada anggapan PF, kemungkinan idea angkasa/angkasawan mungkin terlalu fantasi atau jauh dari realiti barangkali untuk menyemai cita-cita sebagai angkasawan bagi kanak-kanak di Malaysia. (Pada 2017, diberitakan Les Copaque (LC) akan buat sepenuhnya filem animasi 3D). Oleh itu, LC menggantikannya dengan kisah anak yatim di Darul Makmur, dimana Noreen anak kepada arwah Hj. Makmur menghadapi cabaran untuk mengelakkan tanah rumah anak yatim jatuh ke tangan orang lain. 

Untuk memberi sedikit bayangan, filem Upin Ipin (UI) kali ini bukan mengenai UI dan kawan-kawannya dari Durian Runtuh itu. Sama sekali jauh dari sirinya di kaca TV dan idea ini adalah dari Hjh Ainon iaitu isteri kepada Hj Burhanuddin pengasas LC. Mungkin team LC ingin 'melupakan' sebentar geng-geng UI yang lain sebelum animasi 3D sepenuhnya yang disebut tadi. Di sinilah mungkin JJJ terasa tidak lengkap. Namun begitu, gabungan lakonan hidup dan animasi merupakan sesuatu yang baru yang ditawarkan oleh LC. Filem sejenisnya pernah ada seperti Mat Gelap, Mantera, Cinta Kura-Kura dan sedikit dalam Aliff Dalam 7 Dimensi. Aqish kanak-kanak yang amat meminati kartun UI, seorang yang rapat dengan Kak Noreen (Sara Ali). Apabila dapat tahu yang Noreen terpaksarela menyerahkan tanah kepada Abang Jahat (Gambit), Aqish sangat berduka.

Filem ini dimana isinya sedikit dewasa untuk difahami kanak-kanak 7 tahun (kot) ke bawah. Masalah penyanyi yang sudah tak popular, perebutan tanah (bunyi klise) dan mencari penaja konsert melingkari filem ini. Watak UI dikategorikan sebagai watak sampingan kepada Aqish. Wataknya agak 'ringan' jika difikirkan. PF menganggap UI akan 'kembali masuk' ke Durian Runtuh di babak tertentu dan di mana perlu. Satu, sebagai sedikit kesinambungan dari siri TV dan kedua supaya wataknya tampak 'lebih berguna' berbanding sekadar side kick. Tetapi Hjh Ainon tidak mengambil pendekatan itu. Jadi, dialog Upin/Ipin yang berkata "jom kita minta tolong Opah" tidak membawa kita ke kampung Durian Runtuh. Maksud 'lebih berguna' di sini bermaksud UI digelutkan sekali dalam konflik jika ingin mencipta filem animasi sederhana berat sebagaimana mungkin seperti Inside Out atau Zootopia kerana laluan itu (konflik orang dewasa) sudah wujud. UI dan Aqish di sini terpisah umpama Upin & Ipin itu angel yang datang membantu dalam filem orang putih. Ianya dikuatkan lagi dalam pesanan UI di akhir filem. Dan jangan disangkal, cerita anak yatim tidak lari dari emosi dan ianya berjaya di tangan Puteri Balqish dan UI. Ia membuka mata bagi kanak-kanak menyelami permasalahan rumah anak yatim atau yang kurang bernasib baik.

LC mengambil berat tentang cast. Walaupun Bo iaitu watak pengurus Awie itu nampak mudah tetapi Remi Ishak menjadi pilihan kerana kita ketahui beliau antara pelakon besar di Malaysia. Dan kamu sangkakah Awie seorang penyanyi rock dalam filem animasi seperti Upin Ipin ini? Dua pelakon ini adalah bonus besar Jeng Jeng Jeng. Himpunan pelakon kanak-kanak sebagai anak yatim juga tidak kaku dan pandai berlakon. Kecomelan adik Mimi berlakon memikat hati admin hihi. Dan yang penting gabungan komputer grafik UI dan 'live action' yang menjadi tunjang filem ini sangat smooth dan hidup antaranya babak UI di langsir, ini semua adalah atas usaha sama produksi KRU. 

Jeng Jeng Jeng telah menampakkan sisi matang dalam versi filem panjang dari kisah hantu Kg. Durian Runtuh dalam Geng Pengembaraan. Ia berjaya lari dari siri TV dimana itulah yang sepatutnya walaupun subjeknya masih sama iaitu 'anak yatim'. Isinya semakin mendewasa dan memberi kisah positif kepada kanak-kanak.