SUMBER
Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Banyak perkara yang disentuh seperti jalan dan pengolahan cerita termasuk seni artistik filem itu walaupun ada di kalangan pengkritik itu tidak punya sijil dalam bidang perfileman. Benar, filem bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Filem, adalah sesuatu yang berkuasa untuk mempengaruhi pemikiran penonton dan mampu mengubah persepsi penonton terhadap sesuatu perkara.
Setiap filem yang dihasilkan sepatutnya mempunyai agenda tersendiri. Sama ada untuk memberi kritikan, mempengaruhi persepsi, atau membetulkan perkara yang tidak benar sehingga dipercayai. Jika dibandingkan industri filem tempatan dengan Hollywood yang jauh lebih canggih dan maju daripada segi teknikal, sememangnya filem di sana punya penghasilan yang baik.
Namun, filem tempatan apa kurangnya. Banyak juga filem yang berkualiti dihasilkan. Terutama daripada segi jalan cerita tetapi kurang mendapat tempat di hati penonton. Mungkin penonton tempatan sudah terlalu asyik dihidangkan cerita yang dianggap 'santai dan menghiburkan' sehingga tidak mampu lagi menerima karya yang punya unsur sejarah atau nilai seni yang tinggi.
Mungkin atas faktor itu juga, belum ada lagi karya-karya adaptasi novel yang berat dan berseni diangkat menjadi filem. Setakat ini, genre cinta yang diangkat menjadi filem, itupun melihat kepada dekatnya genre itu di hati penonton tempatan. Tidak banyak lagi filem adaptasi bercita rasa tinggi dibuat pembikin filem tempatan.
Bukan tidak ada, malah jika diselak kembali, sejak tahun 1940-an lagi sudah ada karya adaptasi filem antaranya Cinta Gadis Rimba, Langit Petang dan Ranjau Sepanjang Jalan. Mega bertanya kepada beberapa orang pemain industri tentang perkara ini. Mengapa amat sukar bagi pembikin filem tempatan menghasilkan sesuatu karya daripada naskhah novel yang besar.
Berikut antara beberapa faktor yang memberi kekangan buat penggiat industri untuk menghasilkan sesuatu karya yang tidak membawa pulangan besar daripada segi untung, tetapi besar daripada seninya.
Cita rasa berbeza
Pengarah dan penulis skrip, Sabri Yunus berpendapat, menghasilkan sebuah skrip yang berlandaskan kepada sebuah novel adalah lebih sukar berbanding mengarah filem tersebut.
Dia yang pernah menghasilkan adaptasi ke telefilem daripada naskhah Sasterawan Negara, Dr. Anwar Ridhwan, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman mengakui agak sukar untuk melakukan adaptasi. Apatah lagi untuk tidak mengelirukan penonton yang juga pembaca novel.
"Sebagai seorang penulis skrip dan pengarah, apa yang sukar ialah untuk mengekalkan semangat dalam novel tersebut untuk dibawa ke layar.
"Sebagai seorang penulis skrip, sememangnya semangat itu perlu dipegang. Tetapi rakan saya pernah beritahu, dalam adaptasi, sebanyak 70 peratus akan lari daripada naskhah sebenar dan itu adalah hakikat adaptasi," katanya.
Tambah Sabri, melihat kepada industri filem tempatan terutamanya melibatkan filem adaptasi, banyak isu yang belum selesai dan belum diketahui sama ada akan selesai atau hanya tergantung.
"Kebanyakan penulis novel sebenarnya tidak merestui karya mereka dipindahkan. Bila terjadi perkara ini, bagaimana pembikin filem mahu mengangkat novel-novel yang lebih berat ke layar skrin. Tidak boleh dilakukan tanpa keizinan.
"Malah, yang membuatkan penulis ini khuatir ialah hasil adaptasi naskhah novel mereka lari sepenuhnya daripada apa yang mereka bayangkan.
"Sudah ada penulis yang merungut sebenarnya kerana hasil filem tidak sama seperti apa yang mereka bayangkan," jelasnya.
Malah, tambah Sabri, perkara seperti itu yang melibatkan kesefahaman antara dua pihak yang menyebabkan adaptasi novel ke layar skrin tidak serancak industri Hollywood walaupun ada karya novelis tempatan yang sangat bagus untuk difilemkan.
Jelas Sabri, seperkara lagi yang membataskan filem adaptasi ialah keterbatasan teknologi dan kemampuan untuk menghasilkan sesuatu seperti yang digambarkan dalam naskhah novel.
"Kebanyakan naskhah-naskhah novel yang mengandung cerita yang sarat dan berat mempunyai latar belakang waktu yang silam dan agak sukar untuk dibawakan ke layar skrin dengan teknologi yang kurang.
"Perkara-perkara seperti ini yang sebenarnya perlu dititikberatkan dan untuk menghasilkannya memerlukan dana yang besar.
"Bagi saya, rasanya belum ada lagi pengarah yang benar-benar berani membelanjakan sebahagian besar wang untuk dilaburkan bagi membikin sebuah filem yang berkualiti dan penuh seni, tetapi tidak mendapat tempat di khalayak penonton," ujarnya.
Jika dilihat, lewat ini banyak pembikin filem yang sudah mula mengambil peluang untuk melakukan filem adaptasi.
Tetapi, kebanyakannya mengambil genre-genre yang lebih komersial seperti cinta dan sebagainya.
Apakah sebenarnya kriteria yang dilihat oleh seorang penerbit sebelum mereka menaruh wang bagi pembikinan filem. Formula apa yang digunakan untuk mereka menerbitkan filem.
Untung sabut
Sepanjang menjadi pengarah dan penerbit bagi 30 buah filem, bagi Ahmad Idham, dia belum menemui lagi sebarang resipi khusus untuk menentukan novel mana yang layak atau tidak tidak untuk difilemkan.
Menurutnya, novel yang dijadikan adalah atas taruhan penerbit. Semuanya bergantung pada nasib dan belum ada formula yang mengatakan jika novel-novel bergenre tertentu difilemkan, ia pasti mendapat sambutan.
"Cita rasa pembaca dan penonton berbeza sebenarnya. Ada antara mereka yang sebenarnya amat meminati novel tersebut, tetapi bukan seorang kaki panggung.
"Malah, penonton sendiri punya cita rasa berbeza. Golongan penonton ke panggung ini bermusim. Ada kalanya berduyun-duyun yang datang dan ada kalanya ia sepi sahaja.
"Sebab itu saya katakan ini adalah satu taruhan buat penerbit filem adaptasi," katanya.
Tambah Ahmad Idham, bagi pembikin filem bebas, mereka pun tidak mampu untuk menghasilkan sebuah filem adaptasi naskhah novel yang besar.
"Kebanyakan pembikin filem bebas hanya memperuntukkan sebanyak RM 1.5 juta hingga ke RM 1.7 juta sahaja.
"Itu sebenarnya tidak cukup untuk mengangkat naskhah novel yang berat ke layar filem," ujarnya.
Jelasnya, dengan situasi sekarang, sebenarnya pembikin filem yang tersepit dengan industri filem tempatan.
"Sokongan yang diberikan kepada penggiat filem tempatan tidak begitu memberansangkan. Sebab itu penerbit lebih gemar mempertaruhkan genre yang lebih dekat dengan penonton seperti percintaan.
"Novel berunsur 'thriller' juga dikhuatiri tidak mendapat sambutan daripada penonton. Jika benar-benar mahu selamat, novel dengan genre komedi yang paling sesuai dan kena dengan pasaran.
"Sebahagian besar penonton kita yang mahukan sedemikian rupa. Bagi penggemar seni, hanya segelintir dan sudah pasti, bila membikin filem, untung menjadi salah satu perkara yang dilihat," katanya.
Nampaknya penghasilan filem berkualiti dan ada nilai seni seperti telur di hujung tanduk. Kemana agaknya badan-badan yang bertanggungjawab untuk menaikkan mutu filem tempatan?