Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto FARIZWAN HASBULLAH
Foto FARIZWAN HASBULLAH
ENTAH di mana silapnya, dunia perfileman tanah air masih boleh diletakkan dalam kategori suram meskipun ada lambakan filem yang sedang menanti tayangan. Tidak banyak filem yang boleh diketegorikan sebagai satu naskah yang boleh diangkat ke peringkat tertinggi melainkan yang biasa-biasa sahaja.
Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, lambakan filem yang ada hari ini lebih bersifat komersial yang lebih berpaksikan wang ringgit semata-mata untuk mengaut keuntungan.
Hakikat ini mungkin boleh diterima oleh segelintir karyawan filem. Tetapi bagi mereka yang memperjuangkan filem bermaruah, isu ini sebenar sememangnya telah menjadi barah yang semakin membengkak dan busuk. Hakikatnya kita banyak menerbitkan filem busuk.
Untuk melihat sebuah filem yang layak digelar filem sebenar semakin sukar lantaran kebanyakan pembikin filem lebih mementing soal keuntungan daripada memperjuangkan bidang seni.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak sudah ada gelombang penggiat filem yang berani bersuara tentang perkara ini. Apa yang dikatakan oleh Iedil Putra, Amirul Affendy dan Megat Shahrizal ada kebenaran tatkala menyentuh tentang perkara berkenaan.
Bagi Iedil Putra, dia tidak melihat industri perfileman tempatan menyediakan ruang yang baik buat mereka yang mahu berkarya lantaran lambakan filem-filem yang kurang berkualiti.
Kalau kita lihat sebelum ini sudah ada gelombang baru yang datang ke dalam industri filem kita. Lihat kembali filem-filem arahan Yasmin Ahmad misalnya, sudah ada gelombang baik yang dibawa ketika itu.
Bila Yasmin meninggal, hilang sedikit gelombang pembikin filem sebenar. Mungkin kita dapat lihat filem seperti Bunohan dan Songlap menunjukkan sisi lain yang boleh kita banggakan.
Bila masuk panggung orang kita pula tak mahu menonton. Walaupun tak banyak kutipan tapi filem macam ini diiktiraf di luar negara. Ramai orang luar yang berbangga dengan produk yang kita hasilkan.
Untuk terus kuat kita tak boleh lemah dengan hal-hal macam ini. Selagi penonton ada, ada platform untuk berkarya semua itu tak jadi masalah besar pada orang industri," kata pelakon filem Ngorat ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkara berkenaan, Amirul yang popular dengan filem Bunohan tidak menafikan yang perasaan ingin dihargai begitu menebal dalam sanubarinya.
Namun perkara berkenaan sukar untuk dirasai memandangkan kebanyakan penonton kita enggan melihat sebuah karya yang sepatutnya mereka angkat ke tempat tertinggi.
Perasaan sedih itu ada tapi nak buat macam mana. Kita berlakon nak orang hargai tapi ada kala orang macam tak hargai sahaja. Saya faham orang selalunya nak buat duit semata-mata. Nak buat duit tak apa tapi tolong jangan tinggalkan najis pada orang lain pula.
Mereka sogok industri kita sampai orang lain kena ikut arus tersebut. Habis macam mana dengan yang lain? Kalau yang disogok itu baik, baiklah pada keseluruhan. Tapi kalau sebaliknya?
Sebab itu kita kena cari satu resolusi baru dalam soal ini. Jangan terus merosakkan industri yang berapa besar ini lagi," pinta Amirul lagi.
Bagi Megat Shahrizal, dia mengumpamakan pembikin filem sebagai ibu bapa kepada anak-anak. Baiknya ibu bapa, maka baik juga apa sahaja yang diterima oleh anak-anak.
Mungkin ada yang tak faham dengan istilah itu. Sebagai ibu bapa takkan kita nak sumbat mulut anak-anak kita dengan makanan yang sama sahaja. Contohnya makanan segera, sedap tapi tak berkhasiat.
Kita kena bagi anak-anak kita makanan lain yang juga. Yang lebih enak, berkhasiat dan yang penting baik. Sama juga hal dengan industri filem tempatan, jangan sogok dengan filem yang sama.
Kita kena hasilkan filem yang di luar jangkaan walaupun tak ada bajet yang tinggi. Masih ramai orang di luar sana yang nak buat filem yang betul tak syok sendiri.
Apa yang penting sistem dan kualiti yang betul. Kalau kita wujudkan satu sistem untuk mengawal kualiti filem, tidak mustahil pada satu tahap filem kita akan menjadi lebih baik daripada apa yang telah kita hasilkan sekarang," katanya lagi.
Apa-apa pun yang terjadi seharusnya penggiat filem tempatan bersatu dalam soal ini. Seperti mana yang dikatakan Iedil lagi, sekiranya penyatuan ini dapat dilaksanakan tidak mustahil gelombang baru wujud dan mampu pergi jauh.