15 Mar 2012

Adnan Sempit 2 Menjengkelkan

Beberapa hari yang lepas, PF menonton John Carter, Snow Flower & The Secret Fan dan The Artist. The Artist belum habis tonton sebab terlelap gara-gara kekenyangan haha. Snow Flower & The Secret Fan PF dapat tahu dari ruangan Ali Atan di Pancaindera tak lama dulu. PF tak berapa gemar sangat filem itu. PF memang banyak membaca blog-blog berkenaan kritikan filem para blogger lain tak ketinggalan Ali Atan di satu ruangan Pancaindera. Suka cara-cara mereka mengkritik sesuatu filem. Bagi PF pula yang tak belajar sekolah perfileman ini hanya berkongsi saja apa yang ditonton. PF tahu Ali Atan adalah kenalan blogger yang PF kenal. 

Berbalik pasal Adnan Sempit 2, PF ada menonton sirinya yang pertama dahulu, tetapi tidak yang kedua ini. Rasa-rasanya cukuplah. Berikut adalah ulasan Ali Atan untuk Adnan Sempit 2.


Adnan Sempit 2 Menjengkelkan
Oleh Ali Atan
Pancaindera 4 Mac 2012

ADNAN adalah sarkas Melayu di layar perak. Tahniah kepada pengarahnya yang menghasilkan filem komedi yang berjaya membinasakan maruah dan imej seorang Melayu.
Adnan seorang mat rempit bercinta dengan Nadia anak orang kaya, Datuk Isnin yang mempunyai empayar perniagaan. Imej yang dipakaikan kepada Datuk ialah kot dan tuksedo, bercakap rojak dan itulah syarat kepada Adnan jika mahu berkahwin dengan anaknya.

Lantaran syarat tersebut Adnan terpaksa belajar bahasa Inggeris, belajar main golf dan bergaya memakai kot dan tuksedo ala korporat. Begitulah naifnya pengertian perniagaan dalam filem ini. Imej palsu ini langsung tidak menggambarkan keperluan seseorang untuk menceburi sektor perniagaan sebenar.

Adnan dipesongkan lidah menyebut korporat sebagai 'orang koperasi' . Kebodohan Adnan menyebut korporat kepada koperasi secara sengaja berterusan sehingga ke akhir filem melambangkan mentaliti penulis dan pengarahnya yang dijangkiti sindrom buat lawak ikut suka "kepala lutut." Nampaknya filem Melayu semakin maju.
Inikah wajah kita yang kita harapkan untuk ditonton kepada masyarakat majmuk negara kita? Mat rempit Melayu yang kecewa dan keliru. Menghebatkan mat rempit perempuan.

Sungguh aneh kerana pengarah, penulis, pelakonnya adalah orang Melayu tetapi tergamak mereka merekabentuk watak Melayu yang sempit, rempit dan naïf di layar perak sehingga perkataan korporat disalah sebutkan sebagai koperasi. Walhal koperasi itu sendiri entiti yang banyak membantu ekonomi Melayu.

Jika begitulah mentaliti dan keinginan kita mewajahkan perniagaan sebagai belajar bahasa Inggeris, memakai kot dan tuksedo dan bermain golf menjadi 'Woooden Tiger' seperti dikatakan Adnan maka itulah lambang kebodohan hakiki. Sebenarnya mereka terlalu diberikan kebebasan berkarya sehingga wewenang menggunakan keuntungan dan wang juta-juta ringgit membikin filem merosakkan imej Melayu di layar lebar dengan melampau.

Kita faham pasaran filem tetapi apakah ini lesen agung membikin filem bebas apa sahaja sehingga menghina imej Melayu?

Kita tidak menolak jika Adnan mahu belajar bahasa Inggeris tetapi kenapa dialek Kedah dijadikan bahan lawak. Kita sedia maklum, apabila penutur itu berbual dalam bahasa Inggeris dan tiba di beberapa kalimat disebutnya dalam bahasa ibunda selalu sangat, ia dijenakakan dan dimain-mainkan.

Jika itulah alasannya, Adnan belajar bahasa untuk menceburi dunia korporat mengapa naratif tidak dibina sebijak mungkin agar inti pati perniagaan itu diketengahkan? Hanya sekadar bahasa pertuturan harian dan membuat sesi penerangan dengan rakan niaga dari negara asing. Saya jangka Adnan sudah menguasai dengan baik bahasa itu dan babak ini untuk memaparkan kejayaannya dengan cara bermaruah. Ini dapat diterima. Namun apa yang berlaku Adnan dengan bijaknya mengikut apa sahaja yang dibacakan oleh Wawa dan Bobby melalui alat pendengar telinga.

Kalau kita menonton apa saja filem berkaitan usaha sesuatu watak untuk membaiki dirinya ke arah lebih baik, di puncak naratif watak itu akan berjaya dan kita berkongsi perasaan bangga dengannya. Namun Adnan memalukan kita.
Pada masa yang sama imej palsu Datuk dan korporat, dipakaikan imej Wawa yang suka mempromosikan produk Dr. Romli. Kita boleh faham produk herba dan kesihatan tradisi ala MLM Wawa dengan nama Dr. Romli ialah sindiran kepada Dr Rozmey.

Namun adalah sangat tidak wajar jika perniagaan dan kejayaan Dr Rozmey diremehkan dan dijadikan bahan sindiran dalam filem Melayu lawak bodoh Adnan Sempit ini. Terang-terang imej Wawa sebagai penjual herba Melayu diremehkan dan dibunuh dalam filem ini. Walhal imej herba Melayu dan empayar perusahaannya bertaraf antarabangsa melahirkan jutawan herba Melayu secara diam-diam. Herba Melayu kita telah dikaji, dipaten bukannya setakat MLM.

Penghinaan paling berjaya ialah menjadikan bangsa Melayu sebagai bahan lawak dan bangsa itu mengetawakan bangsa mereka sendiri atas alasan berhibur. Inilah namanya buta tuli. Mentaliti bangsa Melayu terjajah masih banyak lagi rupa-rupanya. Neokolonialisme muncul berbagai bidang menerusi Melayu yang menghadapi sindrom inferiority complex teramat parah.

Berhentilah menjadikan Dr. Rozmey sebagai bahan sindiran. Sekurang-kurangnya beliau tidak seperti penulis dan pengarah filem Melayu yang tergamak menjual imej bangsa dan agama dengan merekacipta naratif dan watak Melayu hancur nilai, sahsiah dan identiti.

Lebih baik manfaatkan modal juta-juta ringgit itu untuk buat bisnes lain atau menderma kepada anak yatim. Akhirnya Datuk pula menjadi mat rempit angkat tayar sehingga isterinya jatuh di jalan raya sambil semua watak Melayu bersorakan sebagai pengakhiran "mengembirakan". Serius, amat membodohkan.


Link asal : DI SINI


3 comments:

Ulasan dan Kesilapan Filem ADNAN SEMPIT 2 (klik) said...

pada aku, ok ok saja filem ini... tak ada masalah...

Hans said...

terbaik la ulasan @ kritikan dia
aku setuju :-)

PERANGFILEM said...

OPM : PF telah baca ulasan anda ttg A.Sempit 2. Benda-benda ni PF tak kisah, haluan masing2.

Hans : noted.