11 Dec 2011

Ombak Rindu Tragedi Murahan Kata Ali Atan

Ketika memberi komen tentang filem Ombak Rindu pada 1 Dis. kelmarin (DI SINI), dan ketika seakan semua memuji termasuk blogger idola dan masyhur rupanya PF tak bersendirian yang melawan arus. Walau pun isinya tak sama dengan PF, tapi Ombak Rindu perlu dilihat dari sudut yang lain. Berjaya membuat penonton menangis bukan pengukur, apatah lagi kutipan tiket. Apa-apa pun tahniah kepada Osman Ali dan team Ombak Rindu terutama Fauziah Ashari. Moga Osman terus berkarya dengan naskhah novel yang lagi berjiwa.



Petikan Pancaindera 11 Disember.


Ombak Rindu tragedi murahan
Oleh Ali Atan


DALAM kebudayaan Barat, seni persembahan genre drama Greek menerapkan unsur tragedi sebagai asas penciptaan karya seni persembahan atau tulisan.

Merujuk karya ilmiah berjudul Makna Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam oleh Prof Muhammad Naquib Al-Attas, Tokoh Melayu Terbilang 2011 merumuskan unsur tragedi bukan lagi wujud dalam bentuk seni, malah ia wujud dalam pengalaman sebenar yang dialami oleh masyarakat Barat.

Menurut al-Attas, “Seakan-akan dalam pengalaman dan kesedaran itu diada-adakan berterusan rasa bersalah-durhaka yang menghantui mereka, yang diajarkan oleh agama sebagai dosa asal yang dilakukan bapa kepada segala insan, yang telah tersilap langkah terpikat oleh peluang yang disodori godaan si penghasut yang mahu menyaksikan kejatuhannya dari rahmat Tuhan.”

Selanjutnya, kejatuhan bapa segala manusia ke lurah kehinaan sebagai “Suatu sumpahan berterusan ke atas anak cucu dengan rundungan berterusan menyebabkan mereka merasa bersalah dan sentiasa menyakiti hati dan fikiran mereka sendiri sepanjang zaman.”

Selepas dibuang ke dunia, seperti pada babak pertengahan karya seni, peranan mereka tetap “Bertelagah dan melakukan keganasan”. Tambah al-Attas, “Ketagihan pada tragedi dan seni yang memperlakonkannya sedemikian laku sehingga agama sekalipun terpaksa ditempa dalam acuan tragedi.

Dunia bagaikan pentas besar di mana insan merekacipta, melakonkan dan menyaksikan drama (lakonan) hidupnya sendiri demi menghasilkan kelegaan diri mereka daripada rasa takut dan hiba akan kesengsaraan diri.” (khatarsis).
Al-Attas merumuskan, “Tragedi bukan lagi suatu bentuk seni, kerana ia telah memberi kesan nyata kepada kebudayaan dan kerohanian Barat pada semua zaman.”

Lebih jauh lagi, fahaman humanisme dan sekularisme yang muncul pada Zaman Pertengahan di Barat, “Beransur serempak dengan munculnya falsafah dan sains sekular yang telah menjadikan tragedi menggantikan agama sebagai jalan untuk memartabatkan keluhuran insan.”

Pengalaman tragedi dalam masyarakat Barat ini dijelaskan al-Attas dalam pengalaman Barat terhadap golongan gereja dan golongan pendeta Kristian yang sudah pastinya berbeza dengan pengalaman Islam.

Filem Ombak Rindu arahan Osman Ali bermula tragedi Ustazah Izzah dihantar bapa saudaranya Taha kepada Kelvin, pemilik kelab malam sebagai pelayan kelab dan pelacur sebelum dibeli oleh Hariz sebagai perempuan simpanannya. Babak awal memaparkan alam yang indah dan disusuli Ustazah Izzah membaca doa selesai membaca al Quran.

Di kelab malam, Ustazah Izzah dicengkam rahangnya oleh Kelvin dan orang-orangnya lalu dituangkan arak ke dalam mulut Ustazah Izzah. Baju kurung Ustazah Izzah dikoyak oleh Kelvin lalu pengsan. Apabila sedar, Izzah melihat Hariz menanggalkan bajunya dan meratah tubuhnya dengan mata nafsu haiwannya.

Ustazah Izzah bersikap “pasrah” untuk dirogol Hariz. Ustazah Izzah memaut kaki Hariz merayu-rayu meminta agar dirinya dibeli oleh Hariz. Ustazah Izzah diperlakukan sebagai wanita murahan, sehingga meminta Hariz menjadikannya sebagai isteri, namun sanggup dinafikan hak-hak sebagai isteri demi menikmati hubungan seks halal. Mereka menikah di Selatan Siam.

Tragedi identiti dan nilai merujuk pada sifat zahir dan batin diri sebagai watak penjahat yang dipenuhi nilai keji seperti khianat, penipuan, pura-pura, munafik dan penonjolan sifat haiwan. Pernikahan Hariz dan Izzah dirahsiakan daripada ibunya oleh Pak Dollah dan isterinya. Mila sebagai selebriti yang baharu pulang dari luar negeri bercakap rojak dan Datin Suffiah yang berambut warna mengerbang, mendedahkan pangkal dada merupakan watak yang dicengkam tragedi identiti dan nilai yang kronis.

Wafiah, sahabat Hariz tiba-tiba muncul memeluk Hariz kecewa akibat cinta, merupakan watak tragedi nilai dan identiti. Taha juga mewakili watak yang mengalami tragedi identiti dan nilai. Pak Dollah dan isterinya sebagai watak manusia beragama yang pasif sekadar pembantu rumah. Sehingga Pak Dollah muncul tiba-tiba menyatakan Hariz adalah anak kandungnya kepada Datin Suffiah sebagai suatu bentuk tragedi identiti dan nilai.

Kerangka

Berdasarkan hujah tersebut, nyatalah Ombak Rindu dibikin dalam kerangka pengalaman Barat dengan penerapan unsur tragedi secara meluas. Penonton sama ada sedar atau tidak disihir dengan tragedi untuk berasa simpati kepada Ustazah Izzah. Walaupun ada babak Ustazah Izzah membaca al-Quran dalam bilik diintai oleh Hariz semasa Ustazah Izzah masih perempuan simpanan Hariz, namun itu bukanlah bukti kuat menunjukkan Hariz bertaubat. Hariz hanya simpati pada Ustazah Izzah atas tabiat kemanusiaan dan nafsu badaniah sahaja.

Tiada langsung babak memperlihatkan Hariz menunaikan ibadat hatta solat. Agama hanya tempelan sahaja. Kemuncak cerita ini ialah pendedahan tragedi Pak Dollah-Datuk Suffiah, tragedi penceraian Mila-Hariz. Walaupun Hariz dan Ustazah Izzah menaiki kapal layar namun tiada babak menunjukkan Hariz berubah menjadi baik kerana agama, melainkan perubahan kerana simpati dan nafsu badaniah sahaja terhadap Ustazah Izzah.

Hal ini berbeza dengan pengalaman Islam dimana Adam a.s yang sedar lalu memohon ampun dosanya biarpun terlontar ke dunia. Allah menjanjikan kepada Adam a.s dan zuriatnya hidayat dan keselamatan bagi mereka yang ikhlas melaksanakan agama Allah. Merajalelanya watak Datuk Suffiah, ingkar dan kerasnya Mila dan ketiadaan babak Hariz pulang kepada Allah membuktikan filem ini adalah filem tragedi murahan semata-mata.

Manakala citra agama menerusi Ustazah Izzah dalam keadaan terhina, ketidakupayaan dan pasrah dalam lembah kehinaan. Agama pada Ustazah Izzah hanya pada tudung, kenaifan, mengajar dan membaca al-Quran. Agama pada Pak Dollah dan isterinya pada songkok dan pergi haji. Sampai bila kita hendak menyaksikan watak Melayu pincang dan keliru? Bilakah kita boleh berbangga pada filem kita yang mengangkat keunggulan identiti dan nilai jatidiri kita?

Usah tertipu aspek teknikal filem seperti sinematografi, pencahayaan, pengarahan dan lakonan sahaja, namun falsafahnya hancur mengaibkan orang Melayu dan Islam.


Artikel asal DI SINI

6 comments:

Anonymous said...

kenapa Ali Atan tidak menilai buku itu terlebih dahulu dari apa yang menjadi rujukan utama nya itu. Ini yang amat menghairankan saya. Kerana jika bersandarkan apa yang ditulis oleh Prof SNA itu, nescaya novel itu juga tertolak sama dan boleh dikatakan hampir 99% novel-novel melayu yang dianggap juga akan dinyahkan. Bukan itu sahaja, wadah (pancaindera) tempat resensinya itu diterbitkan juga akan tidak seperti adanya itu.

Dan aku tak faham dan cuba tidak mahu faham apa yang meresahkan Siti Jarum dalam ruangannya. Seperti ada 'kecemburuan' pribadi.

Penchinta Ruang Gelap.

ps- pensejarahan cinema melodrama itu sudah lama menggantikan peranan agama dalam melihat moral dan konflik.

Anonymous said...

alah..... betul ckp ali tu...agama dlm citer tu sebagai tempelan...kunun2 alim sangat la.... manusia diberi akal...jangan pasrah jer tak abeh abeh.....

PerangFilem said...

'Ustazah' Izzah tak menggambarkan ustazah sangat. Sepatutnya tak payah digelar ustazah dalam filem ini..

Anonymous said...

runsing dengan filem2 "tempelan" agama yang sangat konon "alim" tetapi tidak melengkapi rohani filem tersebut dengan sebenar-benar "islam" terutamanya telemovie2/drama bersiri erma fatima. tak ada yang sedarkah?

PerangFilem said...

Entah la. ikut kehendak stesen TV kot.

Unknown said...

masalah ini bermula, sejak bila pulak izzah tu jadi 'ustazah izzah'?. xde dlam novel 1 hingga 3 izzah tu jadi ustazah pun. sebenarnya novel ini sgt indah dr 3 watak utamanya, hariz, izzah dan mila.tapi malangnya ini semua tidak wujud dalam filem ombak rindu arahan Osman Ali.sangat sayang, sepatutnya dgn populariti yg dbawa dr novel para pengkritik dan pencinta filem malah novel ini sndiri tidak dpat mnnikmati keindhannya sama sprti pmbaca novel.mmg tdak smua isi mampu disumbat dlm sbuah filem yg hanya berdurasi 1-2 jam sahaja, tp skurang2nya mmpu mmbuat pemikir filem berfikir ada ssuatu yg mmbuat novel ini difilemkan.tp tdak melainkan populariti semata2.