14 Apr 2014

Apokalips X Antara Fantasi & Realiti



Sumber UTUSAN oleh Hassan Abd Muthalib

FILEM Mamat Khalid yang terbaru, Apokalips X, dipromosikan sebagai sebuah filem fantasi. Filem di tangan seorang ahli fikir bagaimanapun akan tetap bersandar kepada realiti manusia dan milieu (persekitaran) zamannya. Apakah isu dan masalah yang dibawa oleh Mamat Khalid dalam filem ini? Apa kaitannya pula dengan realiti yang dihadapi kita di zaman pascamoden yang sarat dengan kemusnahan, kekeliruan dan kekaburan?

Apokalips X merupakan filem kedua tempatan (selepas Kapow!! oleh Azizi Adnan, 2010) dengan visual dan gaya persembahannya mengambil pendekatan seni grafik buku komik.

Pendekatan ini sudah pun menjadi satu genre tersendiri apabila beberapa wira fantasi seperti Captain America, Iron Man, Akira dan Transformers dalam buku komik di Amerika Syarikat dan Jepun dibawa ke layar perak.

Namun Apokalips X adalah filem pertama tempatan yang meneroka genre ini secara amat terancang dan profesional. Justeru para pelakon dan kru kreatifnya mendapat peluang untuk benar-benar menunjukkan kreativiti dan kebolehan mereka untuk menjayakan genre baru ini.

Seni reka produksi, pengarahan seni serta kesan khas (oleh syarikat Chainfx) dan beberapa imejan visual yang direka khas (oleh Glue Studios) menjadi tunjang untuk menyampaikan cerita mengenai lima kumpulan yang bersengketa selepas dunia dimusnahkan dengan bom nuklear.

Sekali lagi Raja Mukhriz (selepas Kala Malam Bulan Mengambang) menampakkan kewibawaannya sebagai seorang pengarah fotografi yang jelas memahami sinematografi dari sudut naratif dan bukan teknik semata-mata.

Manusia ganas dan milieu seperti yang terdapat dalam Apokalips X sebenarnya telah pun muncul dalam sinema Malaysia. Bermula dengan filem Dari Jemapoh ke Manchestee (Hishamuddin Rais, 1998), kemudian dalam Gedebe (Nam Ron, 2003), Haru Biru (Shadan Hashim, 2007), Susuk (Amir Muhammad/Naeim Ghalili, 2008), Bunohan (Dain Said, 2011) dan Jalan Pintas (Nam Ron, 2011).

Apokalips X membawa cerita yang plot-driven iaitu cerita yang bergerak menurut sebab dan akibat. Watak-watak adalah dua dimensi yang kebanyakannya bergantung kepada kesan emosi di muka dan gerak geri yang menjelaskan niat dan maksud mereka.

Kostum dan pedang samurai jelas menampakkan bagaimana mereka begitu terasing daripada budaya asal mereka. Begitu juga dengan bahasa pengucapan dan keganasan yang mereka lakukan.

Walaupun bergenre fantasi, apa yang dipaparkan sedikit sebanyak merujuk kepada realiti di negara kita (dan juga di seluruh dunia) pada masa ini. Para remaja terikut-ikut dengan apa yang dipaparkan melalui media. Justeru pakaian, pengucapan dan kelakuan menjadi ikutan.

Media juga banyak menyiarkan program yang bersandarkan cerita fantasi yang kadangkala begitu real sehingga sukar membezakannya daripada yang nyata.

Pastinya dialog X (watak utama dalam Apokalips X yang dimainkan oleh Farid Kamil) seperti "Aku kira sampai tiga. Lepas tu aku pancung sesiapa yang ada," menampakkan betapa maha kuasanya dia.

Dialog Kala (Jehan Miskin) dengan jeritannya, "Aku Paduka!" memperlihatkan keangkuhan yang melantik dirinya sebagai tokoh wira. Sri Gala (Peter Davis) bersedia untuk melawan, mengatakan perjanjian antara mereka adalah sesuatu yang melemahkan.

Lipan (Pekin Ibrahim) pula tidak berkata apa-apa tetapi dialah yang paling bahaya, seorang assassin psiko yang membunuh secara senyap.

Namun terdapat satu realiti di dalam cerita fantasi Mamat Khalid ini. Realiti yang semakin hilang daripada milieu orang Melayu. Sang Pendita (Pyan Habib) muncul membawa sifat kasih sayang yang mahu membimbing dan memberi nasihat yang rasional kepada X: "Kamu mesti mati," yang bermaksud X tidak berguna lagi dan mesti berundur.

Betapa sedihnya Pendita semasa mengeluarkan kata-kata itu. Kerana dialah yang membesarkan X dan Kala dari kecil dan kini mereka, seperti Habil dan Kabil di awal sejarah manusia, bersengketa sesama sendiri.

Tapi itu semua sememangnya ‘hukum alam’. Bila sampai masanya sesiapa saja yang berkuasa seharusnya berundur.

Mamat Khalid memulakan filemnya dengan tanda-tanda kiamat sebagaimana yang digambarkan oleh agama: matahari muncul di ufuk barat dan bintang-bintang berguguran.

Tetapi filem berakhir dengan harapan: Sang Pendita membawa para remaja menuju alam yang menjanjikan kehidupan baru. Visualnya seakan-akan Nabi Musa yang membawa keluar kaumnya daripada cengkaman Raja Firaun yang menganggap dirinya sebagai mempunyai kuasa mutlak.

Jelas Mamat Khalid melihat dirinya sebagai seorang khalifah yang memanggil kepada kebaikan. Di tangannya, teks filem adalah sesuatu yang menyajikan hiburan. Tetapi pada masa yang sama perlu membawa subteks, perkara-perkara yang tersirat yang boleh manfaatkan mereka yang menyayangi bangsa dan negara.

Tahun 2014 belum lagi berusia empat bulan. Tetapi masa yang singkat ini sudah memperlihatkan tanda-tanda kebangkitan sinema Malaysia yang memberangsangkan yang boleh membanggakan negara di persada dunia.

Antara filem-filem ini ialah Vetti Pasangge (Vimala Peruma), Cuak (Khai Bahar/Manesh Nevaratnam/Tony Arjuna/Lee Benji/Shamaine Othman), The Journey (dengan kutipan luar biasanya), Vennira Iravugal, Zombi Kilang Biskut, In the Dark, dan kini, Apokalips X.

Karyawan-karyawan filem ini bukan sahaja menyajikan hiburan tetapi juga memperkatakan sesuatu tentang negara dan hala tujunya.

Kini kerja Mamat Khalid sudah selesai. Tetapi apakah perkara yang ingin diperkatakannya itu sampai kepada penonton? Itulah cabaran baginya dan juga para karyawan yang melahirkan filem yang ‘cerdik’.

Alangkah baik sekiranya terdapat penonton yang sama cerdik. Atau apakah harapan itu merupakan satu fantasi yang tidak mungkin menjadi realiti?

Mungkin Sang Pendita ada jawapannya.


No comments: