2 Jun 2013

Agenda Tersirat Palme d'Or 2013

BICARA RASDAN

KUASA sesebuah filem bukan satu perkara kecil sementelah filem tersebut telah diangkat sebagai filem terbaik dalam sebuah festival besar.

Kuasa filem mampu memberi persepsi yang berbeza seperti yang pernah terjadi terhadap pengeluaran filem-filem terawal ketika era Perang Dunia Kedua dahulu.

Ketika era tersebut, filem banyak membantu golongan Yahudi bagi menampakkan sisi mereka yang baik ketika itu mereka mendapat tentangan daripada tentera Nazi pimpinan Hitler.

Ketika era filem moden, nampaknya kuasa filem digunapakai oleh golongan tertentu bagi menyampaikan agenda tersembunyi kerana mereka tahu filem merupakan sebuah medium yang paling berpengaruh.

Terbaru festival utama filem dunia, Festival Filem Cannes di Perancis yang baru sahaja melabuhkan tirainya minggu lalu nampaknya mengundang isu besar apabila satu agenda baru ingin disebarkan.

Festival yang kini memasuki edisi ke-66 ini telah mengangkat filem kisah percintaan sejenis berjudul Blue is the Warmest Colour karya pengarah Perancis-Tunisia, Abdellatif Kechiche sebagai pemenang hadiah utama Palme d’Or.

Pemilihan filem yang mengetengahkan kisah percintaan gadis muda bersama seorang gadis lain nampaknya ada maksud tersirat.

Filem 80 peratus menggunakan khidmat pelakon serta kru dari Perancis ini nampaknya ingin ‘memberitahu’ bahawa kebebasan dalam perhubungan sejenis sebagai satu perkara yang tidak perlu dihalang oleh mana-mana pihak.

Seperti yang sedia maklum, baru-baru ini ratusan ribu penunjuk perasaan telah berhimpun memprotes Presiden Perancis, Francois Hollande kerana meluluskan undang-undang perkahwinan sejenis yang melanggar fitrah manusia itu.



Songsang

Nampaknya usaha yang dilakukan oleh penunjuk perasaan ini langsung tidak disokong oleh mana-mana pihak dalam berkarya terutamanya filem kerana sehingga kini masih belum ada lagi filem yang menghalang agenda songsang tersebut.

Ketua juri yang juga merupakan pengarah hebat Steven Spielberg berpendapat, kisah cinta unik yang ditonjolkan melaluinya merupakan penyebab utama filem ini diangkat sebagai pemenang anugerah utama dalam festival berprestij itu.

Kechiche yang dilahirkan di Tunisia pula mendedikasikan filem arahannya itu kepada golongan muda Perancis yang sedang memperjuangkan gerakan perkahwinan sejenis.

“Mereka juga memiliki aspirasi yang sama untuk hidup bebas, mengekspresikan diri secara terbuka dan mempunyai kebebasan penuh untuk bercinta," jelas Kechiche.

Kechiche berharap agar filem ini juga akan memasuki pasaran filem di Tunisia yang rakyatnta cukup konservatif.

Beberapa selebriti terkenal antaranya pemenang Oscar seperti Ang Lee, Nicole Kidman dan Christoph Waltz juga tidak meragui adegan seksual eksplisit yang ditampilkan dan memuji keberanian pasukan yang membuat filem kontroversi ini.

Tidak hairanlah kerana Ang Lee sendiri pernah menghasilkan tiga buah filem cinta sejenis sebelum ini. Filem seperti The Wedding Banquet (1993), Brokeback Mountain (2005) dan filem ketiganya, Taking Woodstock (2009) masing-masing merupakan filem gay.

Agenda mempertahankan hubungan sejenis ini bukan sesuatu yang baru dalam karya filem antarabangsa.

Filem hitam putih berjudul 491 dari Sweden yang diarahkan oleh Vilgot Sjöman merupakan filem yang memaparkan kehidupan gay yang terawal di dunia apabila diterbitkan pada tahun 1964.

Bukan itu sahaja filem My Beutiful Laundrette yang dihasilkan pada 1985 juga pernah menggegarkan industri filem sebelum ini kerana mengetengahkan isu yang sama.

Nilai seni yang dipaparkan dalam setiap filem antarabangsa yang diangkat sebagai pemenang dalam setiap anugerah besar sebenarnya adalah pelindung terhadap agenda tersirat yang mahu diketengahkan oleh pengkaryanya.

Nilai anugerah yang diterima oleh setiap filem terutamanya pemenang anugerah utama Festival Filem Cannes ini cukup besar dan secara tidak langsung mungkin menjadi ikutan kepada pengikut setianya.

Kita yang mempunyai etika moral, budaya dan agama perlu memisahkan kehebatan artistik dengan subjek atau wacana yang disampaikan dalam sesebuah filem. Kita jangan terbius dengan kehebatan artistik padahal wacananya songsang pada acuan moral dan agama kita.

TRAILER

4 comments:

Anonymous said...

pf dah tonton? best?

PerangFilem said...

Belum.

Anonymous said...

macam mana boleh beri resensi dan komentator jika sekdar baca berita di internet. ini masalah wartawan utusan atau mungkin dia di cannes dan saya tidak tahu.

PerangFilem said...

mungkin wartawan baca saja di internet. kalau dia ke Cannes dia akan beritahu dia ke sana