HANTU KAK LIMAH (2018)
Arahan: Mamat Khalid
Rating: 4/5
Komedi, seram
Terdapat sedikit spoiler namun tidak menjejaskan keseluruhan sinopsis. Jangan baca jika mahukan
excitement yang lebih sehingga anda tonton sendiri.
1. Francais keempat Kg. Pisang setelah:
Zombi Kg. Pisang (2007)
Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)
Husin, Mon & Jin Pakai Toncit (2013)
dan sekuel ketiga bagi Hantu Kak Limah.
2. Gambar yang lebih terang dan cantik memberi gambaran baru bagi filem Mamat Khalid (MK). Ini disokong pula dengan tulisan kredit berwarna putih (adakah ini melanggar pantang?) yang amat jarang sekali filem seram memberi petunjuk bahawa ini adalah persembahan yang segar dari siri Hantu Kak Limah dan Kg. Pisang.
3. Lebih humor dengan keletah penduduk Kg. Pisang. Anda akan terbahak-bahak menyaksikan mereka dan watak baru, Khuda yang seakan berkarakter seperti seekor kuda yang sukakan perempuan yang lebih tua, watak guru silat muda, Solihin yang 'tidak berguna', dan Nayan dengan lawak Inggerisnya yang pasti korang akan pecah perut sampai kokak! Gambaran penduduk Kg. Pisang yang bermasyarakat dalam menghadapi permasalahan bersama dan aktiviti orang Melayu masuk hutan menangkap burung adalah nostalgia yang dikembalikan semula ke layar perak setelah Jibam (2017).
4. Jalan cerita yang baru. Ianya bukan
'just another hantu Kak Limah' atau berkesinambungan dari filem sebelumnya. Ia berkaitan cinta antara watak si mati dan watak hidup, tetapi ada kejutan di hujung cerita yang tiada gambaran langsung pada awalnya.
5. Watak Hantu Kak Limah ditonjolkan dengan lebih banyak babak. Ini salah satu yang menyumbang kepada 'nafas baru' siri Kak Limah. Berlebihan bukan bermaksud hilang keseraman, tetapi ditutupi dengan latarbelakang muzik seram yang perghh.. padu yang selalu kita dengar dalam filem seram luar. Tak pun, filem seram klasik. Terima kasih kepada skor muzik Zulkiff Headwind dan penata bunyi, Manop Janjarassku. Tahap kebagusan HKL naik setakah.
6. Sinematografi oleh Jack Rahmad yang jarang dilihat dalam filem M.K. Bukan tiada tapi kali ini lebih ketara. Banyak bermain dengan pencahayaan terutama dalam bilik dan di kilang arang itu sangat menawan! Terdapat babak pegun di mana 3 watak sedang duduk di kilang arang di waktu malam itu
favorite PF. Akan tetapi, penggunaan lampu yang sangat terang dalam hutan dan sinaran lampu yang agak 'direct' dalam beberapa babak, kelihatan agak tidak
natural juga.
7. Parodi kepada filem popular Thailand, Nang Nak dan homaj kepada filem Pendekar Bujang Lapok. Pasti korang akan dapat cam babak yang dimaksudkan bukan alasan korang untuk mengatakan M.K tiada idea. Ia ditambah dengan kreativiti M.K menjadikan filem ni penuh warna dengan watak-watak yang sedia ada berwarna.
8. Politik dalam HKL disentuh dalam bentuk satira dalam watak Yeh Sekupang (Allahyarham Rab Khalid) yang bercita-cita untuk menjadi ketua kampung dan Abe Yie (Sabri Yunus). Lihat saja Abe Yie memakai baju biru tua dan putih mewakili politik siapa? Perkataan 'bangsa' pun menjadi sebahagian dialog tau!
9. Dalam perjalanan meniti naratif, PF khuatir ianya tersasar. Ya, ada sedikit, tetapi tidak pergi terlalu jauh dan M.K segera
u-turn ke landasan asal. Mungkin ini perasaan PF saja di mana babak lagu Hatiku Luka Lagi oleh Black Dog Bone yang tiba-tiba masuk, padahal sebelumnya babak cemas. Kesasaran juga adalah babak hantu Jepun yang bangkit dari kubur tetapi tidak berlebihan.
10. "Nafas lama" - terdapat pengulangan babak dari filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mungkin sebagai resepi komedi dimana dahulunya berjaya membuat penonton berdekah. Adakah ia memberi impak yang sama kali ini? Hubungan Eton (Uqasha) dan Awie juga mengulang formula lama tetapi tetap manis dek keayuan Uqasha Senrose dan sebagai
love touch dalam filem.
11. Garapan tentang dunia bunian yang tidak janggal dan menjadi. Malah penampilan Mus May amat berjaya dan kelakar pulak tu. Cayalah! Penampilan bintang dan selebriti wanita yang tidak sia-sia dan cara kemunculan juga 'ada style' tetapi tetap memberi suasana seram.
Jadi, adakah HKL setaraf dengan Pee Mak atau anda boleh kaitkan dengan filem-filem komedi seram lain? PF rasa sekuel kali ini berjaya dan mengembalikan populariti Kak Limah kalau tidak melebihi yang pertama, ianya sama level dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Saksikan pada 9 Ogos nanti.