29 Dec 2015

TOP 10 Pilihan 2015



Berikut adalah TOP 10 filem MALAYSIA bagi tahun 2015. Menurut PF, pada tahun 2015, lanskap perfileman sangat suram. Pada 2012 PF hanya menyenaraikan 8 SAHAJA, kali ini agak rasa berbaik hati untuk meletakkan 10 walaupun ada filem yang tidak berapa kuat untuk dimasukkan. Terdapat satu filem iaitu River of Exploding Durians terbitan 2014 tetapi telah ditayangkan di Malaysia pada 2015 secara kecil-kecilan/bukan komersial akibat isu sensitiviti tetap diambilkira untuk memberi lebih kepelbagaian/saingan dan genre yang perlu diperhatikan. 




Terdapat pengkarya yang bercita-cita dan harapan besar tetapi malangnya hasilnya tidak seperti yang dijangkakan. Sisa-sisa filem gangster makin berkurangan pada tahun ini. Manakala, filem-filem tipikal MIG dan juga hantu masih bernafas di pawagam. Jika dilihat dari senarai ini, kepelbagaian tema oleh pengkarya yang berani, ada sesetengahnya asli. Bagi sesetengah orang mungkin dapat menyenaraikan dengan mudah pilihan mereka. Walaupun begitu, sehingga ke satu tahap sukar juga hendak buat pilihan. *Klik TAJUK filem untuk ulasan.

10. JWANITA. Dir, Osman Ali

Nota tambahan: benci dengan filem ini. Hanya boleh appreciate babak Maya Karin menjadi ganas saja sebab kita jarang ada filem gore sebegini.


9. JUVANA 2. Dir, Faizal Ishak

Agak kurang menggemari filem ini sebenarnya. Malah terdapat 2 lagi filem yang bersaing tempat dengannya. Satu filem tu, jalan cerita smooth tetapi tak menarik, Satu lagi filem seram. Ianya seram dibeberapa bahagian tetapi keseluruhannya adalah teruk. Maka, filem ini dikira baik sebagai sekuel seterusnya. Miscast adalah antara kelemahan filem ini.


8. JENDELA. Dir, M. Subash 

Reviu pantas: Filem bisu eksprimen oleh M.Subash ini boleh dikatakan berani. Dari lambakan filem hantu terutama jenis paranormal atau footage, beliau tak ingin mengikut trend. Sememangnya ia jauh dari sempurna tetapi memberi warna dalam masa sama memberi mesej walapun itu tidak semestinya dalam dunia sinema.


7. REMBAT. Dir, Syamil Othman


6. VILLA NABILA. Dir, Syafik Yusoff




5. POLIS EVO. Dir, Ghaz Abu Bakar


4. NOTA. Dir, Yasu Tanaka


3. LOVE, SUPERMOON. Dir, Wan Hasliza 


2. JAGAT. Dir, Shanjey Kumar Perumal

Reviu pantas: Bagi filem Malaysia ianya jarang dibikin. Menyentuh sosioekonomi, budaya dan pendidikan masyarakat India pada satu tempoh masa. Kuat dengan paparan visual dan sinematik. Watak Apoi jarang diperlihatkan di skrin kita, tetapi dunia ianya sudah biasa. Namun, filem ini perlu diraikan oleh semua masyarakat tak kira bangsa. Merupakan penanda aras bagi filem berbahasa Tamil tempatan setakat ini.


1. RIVER OF EXPLODING DURIANS. Dir, Edmond Yeo


LAIN-LAIN FILEM:

BANGUNAN
JENGKA
PILOT CAFE
SELFIE SUARA KUBUR
IKAL MAYANG : TERPENDAM (Filem omnibus ASEAN)
GAMATISME
ROMEO KOTA
JEJAK WARRIORS
BRAVO 5
KAPSUL

22 Oct 2015

I Fine Thank You, I Love, Supermoon,


Arahan : Wan Hasliza
Genre : Komedi
Tahun : 2015
Rating : 4/5



Wan Hasliza, penulis yang popular dengan siri komedi Keluarga Iskandar, Geng Mengaji, Geng Surau dan Dunia Baru The Movie, kini membawa genre tersebut ke layar perak dengan komedi romantik sebagai hidangan kepada peminat filem tanahair. Melihat kejayaan filem romcom Istanbul Aku Datang, ianya boleh dikatakan jalan selamat untuk menguji citarasa movie-goers. Filem ini berusia 3 tahun sebelum dapat ditayangkan. Apa yang boleh dikatakan di sini, persembahan Love, Supermoon sangat menghiburkan dari mula hingga akhir. Boleh dikatakan, jika tayang di Thailand sekurang-kurangnya tak memalukanlah. Kenapa Thai? Sebab sejak kebelakangan ini romcom dari sana menjadi dan mempunyai pengikutnya di sini. Kisah Nina, Tiha, Triz, Razak dan Sulayman yang berkawan sejak bangku sekolah, universiti hingga ke alam pekerjaan. Kisah utama di sini adalah Triz (Nadia Nisaa) dan Razak (Farid Kamil) di mana Triz yang mengalami nasib ramai kaum wanita berkenaan jodoh yang belum tiba, manakala Razak yang berjaya dalam kerjaya sebagi doktor juga seorang playboy. Razak dan Triz  tidaklah rapat cuma mendengar perkembangan diri masing-masing dari rakan mereka.

Kedengaran sangat biasa tetapi percayalah, tulisan penulis berbakat ini tidak mengecewakan. Jalan ceritanya selalu didengari tapi akibat dari dialog yang selamba dan bijak ditambah dengan pilihan pelakon yang betul maka Love, Supermoon boleh dikatakan mengatasi Istanbul Aku Datang dari segi komedinya (Istanbul Aku datang adalah benchmark kepada romcom terkini Malaysia). Menggunakan tajuk bahasa Inggeris, tetapi tidak pula rasa keurbanannya seperti filem dari Red Film (Pisau Cukur, Manisnya Cinta di Cappadocia etc).  Jika sebelum ini, Nadiya dalam Jejak Warriors tidak menonjol yang bukan salahnya, watak Triz kali ini betul-betul dijiwai dan Triz memang milik Nadiya. Razak yang pada mulanya tak pandang akan Triz, kita akan percaya bahawa mereka tidak akan bersatu. Razak seakan meneutralkan keadaan setelah Triz yang lebih 'bising'. Kita lihat, Triz bercita-cita menjadi penulis tapi tidak berjaya malah hanya bekerja di call centre dan Razak seorang doktor tetapi playboy selalu mendapat nasihat perihal wanita dari Sulayman (Zain). Muncul pula Azman (Azhar Sulaiman) memberi malapetaka kepada Triz, dan dia bertuah kerana teman-teman menjadi pendorong yang sejati.

Filem ini banyak bermain gaya suntingan perbualan pihak kawan perempuan dan kemudian pihak lelaki berselang-seli bagi menggambarkan sisi mereka dan juga kontra antara mereka. Filem ini menegaskan gosip memang menjadi makanan setiap hari. Ini sesuatu yang kurang manis di balik komedi ini yang membawa happy ending. Paling kuat di sini adalah bukan Nina (Rita Rudaini) yang busybody menghebahkan kepada rakan-rakannya, sebaliknya Sulayman suaminya yang bergosip tetapi offscreen akan perbuatannya itu kepada Razak. Subplot pula, Tiha dan Ayah Chik juga menjadi point best, bukan tangkap muatAh, rindu lakonan Anne Ngasri. Apabila PF menonton trailer filem ini berasa sangsi untuk menonton, tetapi track record penulisnya buat PF terus melangkah ke pawagam. Cuma Penunggu Istana arahan pertama Wan Hasliza tak sempat menonton. Selalu kita berasa kecewa dengan trailer yang menipu, tetapi ini sebaliknya.


20 Oct 2015

River of Exploding Durians : Adunan 3 Rasa



Arahan : Edmund Yeo
Genre : Drama
Tahun : 2014
Rating : 4/5


Filem debut Edmund Yeo ini mencipta sejarah tersendiri kerana ia merupakan filem Malaysia pertama memasuki kategori utama Festival Filem Tokyo ke 27, semak di sini. Walaupun mewakili negara, PF tak pasti adakah filem ini mendapat 'restu' Finas kerana dikatakan ia tidak akan ditayang di Malaysia atas sebab isu sensitif dalam filem ini. River of Exploding Durian (RED) ini boleh dikatakan mempunyai 3 cerita berasingan yang bersambung - tanpa segmen. Kisah sekumpulan pelajar tingkatan 6, Ming yang jatuh cinta dengan Mei Ann menghadapi konflik apabila ayah Mei Ann ingin mengahwinkannya dengan orang yang lebih tua. (Ming tidak sekelas dengan Mei Ann).

Cikgu Lim (pelakon Taiwan) mengajar sejarah turut menjadi kepala kepada aktiviti sosial menentang pembinaan 'rare earth plant' yang bakal mengancam penduduk serta pencemaran alam sekitar. Cikgu Lim dibantu oleh anak murid kesayangannya, Hui Ling dalam membuat petisyen tersebut. Dalam masa yang sama Cikgu Lim mengajar sejarah meminta anak muridnya membuat pembentangan berkumpulan tentang peristiwa sejarah atau hero yang tak didendang dengan objektif supaya mereka ingat peristiwa yang telah dilupakan. 

Pelakon Koe Shern (kiri) diambil dari 'jalanan'
Kisah 1: Ming yang mengejar cinta Mei Ann. Kisah remaja ini banyak babak yang memikat. Antaranya, babak di sampan dan air mengalir tenang tidak setenang hati Mei Ann dan paling disuka babak dalam bas mereka melarikan diri menaiki bas lama ke KL (jenis tingkap sliding ke bawah) sambil Mei Ann bermonolog. Ini adalah sangat cantik kerana objek bas itu dalam dunia moden KL. Ada ketikanya dalam perjalanan mereka di hutan yang basah dan mereka sedar bahawa keputusan mereka itu silap. Namun, babak askar yang membakar babi tidak difahami. Sebenarnya, pada sesuatu peringkat tontonan, PF mencari makna judul filem ini. Yang ada hanyalah imej kulit durian dibakar dan Cikgu Lim menjemput Hui Ling makan durian. PF kena gali dalam lagi nampaknya. 


Kisah 2: Cikgu Lim memberi tugasan kepada anak murid seperti yang dinyatakan awal tadi. Tidak silap, ada 3 kumpulan bercerita tentang beberapa tokoh dan peristiwa sejarah iaitu di Thailand, Filipina dan lagi satu Vietnam jika tak silap. Seperti imej Malaysia sebenar, mereka hanya bercakap mandarin dan ada seorang pelajar Melayu dan guru Melayu yang berbahasa Melayu. Kadang-kadang sakit hati juga sebab mereka tidak pun mengingat peristiwa sejarah Malaysia untuk diceritakan kepada kelas. Adakah silibus sejarah STPM membosankan? Adakah pengarah Edmund ingin menyampaikan generasi muda Cina dinegara ini telah lupa atau sengaja buat lupa? Benda ini subteknya boleh saja ditafsirkan sebagai orang Malaysia lebih agungkan budaya ataupun muzik luar. tetapi permukaannya tu, iaitu sejarah lebih membuat rasa pedih sebagai melupakan asal usul tanah sendiri. Akhirnya, jalan selamat dipilih oleh pengarah apabila Guru Besar menyelamatkan 'keadaan'.

Babak yang cantik - isi durian (kuning) dan 
kulit Durian (hijau) yang 'bertutup' kerana tak mahu dicemari

Kisah 3: Alam sekitar mula tercemar. Di sini agak kabur kerana tapak rare earth plant dalam pembinaan tetapi air sungai mula tercemar. Babak seperti gambar di atas (juga poster filem) antara yang tercantik dalam filem ini dengan lighting dan suasananya. Cikgu Lim sangat tekad dalam perjuangannya. Cikgu Lim tidak berdialog dengan Pengurus tapak Projek (Azman Hassan) sedangkan Azman bercakap bahasa Melayu. Tekad cikgu Lim yang berani akhirnya membawa kepada padah kepada orag lain sebelum padahnya lebih ramai. Dia sendiri telah 'mencipta sejarah'. Bak kata dialog dalam filem ini, sejarah itu adalah 'perubahan', 'bermulanya sesuatu yang baru', dan satu lagi PF lupa. RED suatu kisah yang berani dicampur dengan klise cara Edmund. Walaupun baru pertama kali mengarah feature film beliau telah menunjukkan taring [sebelum ini filem pendek Kingyo (2009) dan Inhalation (2010)]. Jika beliau ingin 'berjaya' di Malaysia rasanya perlulah mengikut jejak Liew Seng Tat, James Lee atau mungkin Woo Ming Jin, senang cerita ingin memasuki aliran perdanalah. Jika tidak, mungkin bakal the next Tsai Ming Liang ataupun Ho Yuhang.


9 Oct 2015

Rembat Kapsul, kemudian Banting!

 Arahan : Raihan Halim (Singapura)
Genre : Drama
Tahun : 2014
Rating : 3.5
/5

Bisikan dalam hati berkata 'mesti tengok filem ini' walaupun lambat menonton rupanya jangkaan PF tak silap kerana ianya bagus sebagai filem ringan. Naratifnya lancar, 'terletak' dan tidak terganggu dengan plot meleweh atau sia-sia. Tema gadis bertudung yang juga mempunyai impian seperti wanita lain sebenarnya tidaklah begitu menghairankan tetapi kita sangat seronok menontonnya. Dialog natural dan terdapat beberapa dialog yang baik walaupun dari watak pelakon tambahan saja. Yasmin yang ditegah oleh ibunya dari aktif bergusti, boleh dikatakan adalah jelmaan pelakon Sharifah Amani dalam filem ini cuma kurang gila-gila. Isu tudung di sini tidaklah 'sealimnya' dan isu kekeluargaan yang lain boleh dilayan. Di babak akhir ketika perlawanan penentuan tempat untuk ke Tokyo, tanpa dirancang, sebenarnya ibunya telah 'merestui' minat anaknya dengan memakai baju warna yang sama iaitu oren dan merah tanpa disedari. Jika filem ini di tahun 2015 (sbb PF tengok sekarang) tanpa mengira negara, ia dah menempah tempat Top 5 setakat tahun ini.




Arahan : Allahyarham Martias Ali 
Genre : Aksi 1/ Drama
Tahun : 2015
Rating : 2
/5

Masalah filem ini pada pendapat PF adalah kos yang mempengaruhi penataan seni dan sinematografinya (dari pandangan layman). Ia mempunyai idea yang menarik tetapi keseluruhan rupanya kurang meyakinkan. Sesetengah babak sepatutnya serius tapi menjadi kelakar, sedikitnya pula boleh dinikmati. Dibarisi pelakon yang calang-calang pun kurang memberi daya impak yang berkesan. Kredit kepada kemunculan Tun M. Walau bagaimanapun, admin tabik pada keseluruhan pasukan yang sedaya upaya mendapatkan pelakon berkaliber dan mencipta sesuatu yang lain dalam industri.







Arahan : Syamil Othman
Genre : Komedi
Tahun : 2015
Rating : ?/5 - sedang tayang


Kelebihan filem ini adalah gandingan Melayu dan Cina yang jarang kita temui. Cuba membawa rupa 1Malaysia dalam bentuk komedi menyentuh isu rasuah dalam sukan, hal-hal perkauman dan media sosial. Pabila menonton filem ini PF bagaikan tak-tahu-siapa-punya-filem kerana tiada trademark dari mana-mana produk pengarah di Malaysia. Di sini Syamil berjaya mencipta cetakannya sendiri dan tiada bayangan Kami Histeria, filem pertamanya. 

Terdapat beberapa perkara yang kita boleh persoalkan e.g keadaan kewangan watak utama yang mungkin sengaja di'tidak mengapakan', selain babak hantu Jepun dan watak Zulin Aziz. Keseluruhannya filem ini mendatar dalam riuh, ada yang meleret dan terlalu mencuba menjadi komedi. Eh! PF enjoy babak akhir tu, hampir menitik airmata jugalah! haha.


5 Oct 2015

Keputusan : Anugerah MPFKL 2015



Pengarah Terbaik

Liew Seng Tat untuk Lelaki Harapan Dunia - MENANG!
Raja Mukriz untuk Ophilia
Nik Amir Mustapha untuk Terbaik dari Langit
Bernard Chauly untuk Manisnya Cinta di Cappadocia
Mamat Khalid untuk Amir dan Loqman Pergi ke Laut

Pelakon Lelaki Terbaik

Wan Hanafi Su untuk Lelaki Harapan Dunia - MENANG!
Pekin Ibrahim untuk Ophilia
Bront Palarae untuk Terbaik dari Langit
Que Haidar untuk Ophilia
Kamarul Yusof untuk Cerita Hantu Malaysia

Pelakon Wanita Terbaik

Nur Fazura untuk Manisnya Cinta di Cappadocia - MENANG!
Lisa Surihani untuk Suamiku Mr. Perfect 10!
Veronique Lin untuk Papa's Shoe

Sinematografi Terbaik

Teoh Gay Hian untuk Lelaki Harapan Dunia - MENANG!
Haris Hue Abdullah untuk Manisnya Cinta di Cappadocia
Jordan Chiam untuk Terbaik dari Langit
Tan Teck Zee untuk Amir dan Loqman Pergi ke Laut
Maximilian Schmige untuk Nota

Lakon Layar Terbaik

Liew Seng Tat untuk Lelaki Harapan Dunia - MENANG!
Rafidah Abdullah untuk Manisnya Cinta di Cappadocia
Redza Minhat untuk Terbaik dari Langit
Mamat Khalid untuk Amir dan Loqman Pergi ke Laut
Ellyna Ahmad untuk Ophilia

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

Amerul Affendi untuk Terbaik dari Langit - MENANG!
Iedil Putra untuk Terbaik dari Langit
Kodi Rasheed untuk Ophilia
Ramli Hassan untuk Nota

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

Nadiya Nisaa' untuk Terbaik dari Langit - MENANG!
Fouziah Gous untuk Sunti@Facebook

Filem Terbaik

Lelaki Harapan Dunia  - MENANG!
(Sharon Gan, Roshanak Behesht Nadjad, Eric Mabillon, Denis Vaslin, Helge Albers, Hee Dominique, Fleur Knopperts, Michelle Lo, Lucas Rosant, Shung Yen Wang sebagai penerbit)
Everything Film

Ophilia (Sharifah Shahora sebagai penerbit) Elevenfield Sdn. Bhd.

Manisnya Cinta di Cappadocia (Lina Tan, Zaiton Muhd Jiwa, Najwa Abu Bakar, Gayatri Su-lin Pillai sebagai penerbit)
Redfilms, Astro Shaw Sdn. Bhd., Global Station

Terbaik Dari Langit (Anwari Ashraf, Tuan Faisal Azmy, Redza Minhat, Priya Narayanan, Megat Sharizal, Najwa Abu Bakar, M. Kabir, Gayatri Su-lin Pillai sebagai penerbit)
Playground Film, Astro Shaw Sdn. Bhd.

Amir & Loqman Pergi ke Laut (Gayatri Su-lin Pillai, Zaidi Mat Zin, Nadia Mustafar sebagai penerbit)
Astro Shaw Sdn. Bhd.

**

Keputusan lepas boleh lihat di AMPFKL


30 Sept 2015

AKAN DATANG : PEKAK & REDHA, Beautiful Pain



Sinopsis : Adapted loosely from Romeo and Juliet, Pekak is a story about a deaf drug pusher Uda whose dream is to get a cochlear implant so that he can finally hear again. When Uda meets and falls in love with Dara, an innocent school girl, he is even more determined to leave the life he’s always known for a future with Dara. But will he be able to break free from the vicious ties that bind him or will he be stuck forever in the same bleak existence?



Belum ada sinopsis penuh.

Filem drama keluarga tentang kesedaran bagi mereka yang mempunyai anak menghidap autism - sumber akaun Youtube rasmi.



Jwanita Oh!


Arahan : Osman Ali
Genre : Seram, Ganas/Thriller
Tahun : 2015
Rating : ?/5 - sedang tayang


Spoiler dari awal hingga akhir.

Kebiasannya filem psycho thriller berdiri sendiri sebagi genre bagi sang sutradara meneroka alam watak yang sangat rumit itu. Walau bagaimanapun Osman Ali begitu berani mencampurkannya dengan elemen seram bagi menjamu penonton agar ia lebih berwarna dan ingin memberi pengalaman baru mungkin. 

Sebenarnya, hati ini banyak merungut semasa menonton Jwanita. Pertama, mentera yang dilagukan oleh Jwanita agak kurang kedengaran butirnya semasa ritual. Pasangan pengamal ilmu hitam yang dilakonkan oleh Umie Aida dan pasangan lelakinya yang tiba-tiba menculik Jwanita semasa kecil itu bagai tergesa-gesa dari kemunculan Umie sehingga dia mati (PF faham jangka masa nak kejar durasi filem di bawah 2 jam, tapi filem ini 1 jam 40 minit). Dikatakan watak Umie memang merayau-rayau pada waktu malam untuk mencari mangsa tetapi tidak didalami. Babak Umie katanya homage kepada watak dari filem Dukun pun tidak berapa memeranjatkan kerana trailer Dukun itu lebih padu walau sedikit. Ah, Ida Nerina dalam Susuk dan Salma Hayek dalam Tale of Tales! Kemudian, tiada satu babak pun menunjukkan Jwanita menuntut ilmu daripada Umie kerana bagi PF ianya penting menguatkan lagi karakter Jwanita dipermulaan. Kekuatan pasangan pengamal ilmu hitam itu terbukti dengan kelihatan mereka masih muda walaupun Jwanita membesar. 

Plot bergerak di mana Jwanita berjaya dikesan oleh adiknya Julaika dan tinggal bersama dengannya yang berkahwin dengan Dr. Farhan yang juga kebetulan merawat Jwanita dulu. Jwanita rupanya ada feeling dengan Farhan semasa dalam proses rawatan kemudian muncullah lagu putus kasih yang PF terus facepalm tak tahu hujung pangkal (cuba bayangkan kalau filem mat salleh ada lagu pop dalam filem psycho sebegini). Dipendekkan, penyakit Jwanita kembali dan meroyan sehingga Nona pembantu rumah muda tercedera. Selang beberapa tahun, Jwanita kembali semula dan Julaika dan Farhan menerimanya semula bagai tiada apa.  Lagi satu, sikap Jwanita yang tak prihatin terhadap insiden/kejadian dalam rumah bagai mengundang curiga tetapi 'dibutakan' saja oleh pasangan suami isteri itu. Kerja-kerja jahat Jwanita yang hanya di belakang rumah itu juga umpama membodohkan penonton, kerana ada jeritan-jeritan dari dalam stor itu pun takkan tak didengar dari rumah? Cuma rupa bentuk stor itu agak meyakinkan bagi mewujudkan suasana thrill.

Muzik Latar.

Muzik latar yang seakan tidak pernah berhenti di sepanjang filem ikut babak ini sebenarnya dah banyak kita baca di mana-mana reviu filem tempatan, tetapi masih lagi menjadi amalan produksi, mungkin banyak sangat koleksi muzik dalam library mereka rasa rugi pula kalau tak guna. Sebab itu lah babak yang sepatutnya seram dah tak rasa apa antaranya semasa Jwanita gali kubur. Genre - satu yang PF puji di sini adalah keberanian Osman untuk mencipta watak berdarah ini dalam filem tempatan tapi dari segi latarnya sangat mengecewakan. Elemen seram pula agak separuh masak dan hanya penyedap, tetapi tabiklah kerana tak menyangka mayat itu menjadi zombie tidak dapat dijangka oleh PF dan kalau zombie tu merayau-rayau satu kampung mesti best! kuikui. Maya Karin sedaya upaya menjiwai watak ini sehabis baik setelah wataknya dalam Nota seakan disekat. Bront - yang selalu kita dapati dalam filem Osman ini terkadang kita rasa sedikit kasihan, tapi tak mengapa retis Barat gred A pun ada jugak berlakon filem yang tak menjadikan? Christina Suzanne - kurang gemar akan rupanya dan busana ciptaan Osman dan terkadang agak janggal pada sesetangah bahagian. Maaf.

Bukak Api (2000) masih lagi filem terbaik pengarah ini.


20 Sept 2015

Hussein Haniff Pengarah Yang Dilupakan (7 Bahagian)


PART I:

AKU nyatakan minggu lalu – aku menonton filem Dua Pendekar (1964) arahan Hussein Haniff ketika berusia 10 tahun. Dalam keadaan naif tanpa sebarang pengetahuan dan ilmu filem tetapi filem tersebut berjaya memukau aku dengan visual-visual yang belum pernah aku lihat dalam filem-filem Melayu lain sebelumnya.

Satu pengalaman unik pernah aku alami. Aku gagal mencari jawapan kenapa aku minat ‘gila’ dengan filem tersebut ketika itu. 

Selepas hampir 20 tahun kemudian setelah aku mempelajari dan ada ilmu filem serta terlibat dalam industri filem baru aku bertemu jawapan kenapa dan bagaimana kelainan filem Dua Pendekar meninggalkan impak dan kesan mendalam kepada diriku sehingga Hussein menjadi inspirasiku untuk menjadi seorang pembikin filem atau filmmaker.

Secara tidak rasmi aku mengenali siapa Allahyarham Hussein Haniff selepas hampir 12 tahun beliau meninggal dunia. Beliau meninggal dunia pada 1966 ketika baharu berusia 32 tahun akibat penyakit barah.

Aku memulakan kerjaya sebagai filmmaker pada 1979 di syarikat filem iklan, PROFILM SDN BHD. Di syarikat inilah aku mengenali Yunos Alwi, pengurus produksi setiap penerbitan filem iklan syarikat ini. Selain banyak menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang pengurusan produksi, tanpa aku sangka melalui beliau aku berpeluang mengetahui lebih dekat tentang pengarah idolaku, Allahyarham Hussein.

Sebelum bertugas dan menjadi salah seorang pemilik syarikat filem iklan, PROFILM, Yunos telah lama terlibat dalam bidang perfileman sejak dari era Cathay Keris, Singapura sehingga ke syarikat filem iklan Pearl&Dean yang beribu pejabat operasinya di Kuala Lumpur pada tahun awal 70-an.

Sebelum studio Cathay Keris tutup sepenuhnya pada 1973, Yunos beralih ke bidang pembikinan filem iklan dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Dari Peral&Dean, beliau dan rakan-rakan kongsi lainnya termasuk Hafsham telah menubuhkan syarikat PROFILM pada 1975. 

Jika dilihat pada nama-nama petugas teknikal dalam produksi kebanyakan filem-filem arahan Hussein akan muncul nama Yunos sebagai pembantu jurukamera. Bila aku diberitahu oleh Yunos yang beliau rapat dan sering terlibat dalam produksi filem-filem arahan Hussein, aku sangat teruja. Aku mengambil peluang ini untuk lebih mengetahui dan bertanya tentang Hussein baik sebagai filemmaker mahupun sebagai seorang manusia biasa – rakan kepada Yunos.

Dari perbualan dan sembang-sembang santai aku dengan Yunos, aku berpeluang mengutip kisah dan pengalaman peribadi antara beliau dengan Allahyarham Hussein. 

Menurut Yunos, Allahyarham Hussein seorang workarholic – seorang yang terlalu obses dan ‘gila’ dengan kerjanya. Hidup seharian Hussein hanya tertumpu kepada filem dan filem. Hussein mempunyai kelompok rakan-rakan daripada pasukan teknikal ‘sekepala’ dengannya dan sentiasa setia membantu Allahyarham untuk melahirkan idea-idea dan visual-visual kreatif yang selalunya sukar dan jarang mahu dicuba oleh pengarah lain.

Jika tidak ada shooting, Hussein akan mengajak mereka menonton filem-filem terbaharu terutamanya filem-filem Barat dan Hollywood yang ditayangkan di panggung ketika itu. 

Habis menonton mereka akan melepak dan berbincang tentang filem-filem yang baharu mereka tonton. Yunos adalah salah seorang dalam kelompok ini. 

Menurut Yunos, Allahyarham Hussein sangat meminati pelakon James Dean (1931-1955), seorang legenda dan ikon filem dunia – hero filem Rebel Without A Cause (1955) arahan Nicholas Ray (1911-1979).

Sebelum menduduki kerusi pengarah, Hussein bertugas sebagai penyunting filem di studio Cathay Keris. Di antara filem terkenal suntingan beliau ialah Sri Mersing (1961) arahan Salleh Ghani (1923-1986). Sepanjang kerjaya singkatnya sebagai pengarah filem di antara 1961 sehingga 1966, Hussein telah berhasil mengarahkan 14 filem bergenre purba, drama dan komedi. 

Filem pertama arahan Hussein, Hang Jebat (1961) berjaya meninggalkan kesan kelainan dari aspek komposisi, pergerakan kamera, suntingan dan juga interpretasi naskhah yang dihasilkan oleh Ali Aziz.

Riwayat Hang Jebat menderhaka kerana menuntut membela di atas perintah bunuh oleh Sultan Melaka terhadap Hang Tuah telah difilemkan sebelum ini pada 1956 oleh Malay Film Productions, Jalan Ampas dalam bentuk warna. Filem Hang Tuah ini diarahkan oleh Phani Majumdar. Watak Hang Tuah diperankan oleh P Ramlee dan Ahmad Mahmud sebagai Hang Jebat.

Filem Hang Jebat versi Hussein Haniff dalam bentuk hitam putih ini menampilkan Nordin Ahmad sebagai Hang Jebat. Dalam filem Hang Tuah terbitan Malay Film Productions, Nordin Ahmad memerankan watak Hang Kasturi, salah seorang daripada 5 sahabat Hang Tuah. Watak Hang Tuah diperankan oleh M Amin.

Kedua-dua filem ini mengangkat kisah penderhakaan Hang Jebat kerana membela Hang Tuah yang dihukum bunuh oleh Sultan Melaka setelah difitnah oleh Pateh Karma Wijaya.

Berbanding dengan filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar, versi arahan Hussein Haniff dengan segala kelainannya masih terus dikaji dan diperkatakan oleh pengkaji, pengkritik dan peminat filem Melayu sehingga sekarang.

Selepas berjaya dengan filem Hang Jebat, Hussein sungguh produktif mengarahkan purata 3 filem setahun sejak 1962 sehingga 1966.

Pada 1962, beliau mengarahkan filem Dang Anum bergenre purba dengan teraju utamanya Nordin Ahmad dan Fatimah Ahmad. Filem ini juga dianggap dan diangkat oleh pengkritik dan pengkaji filem sebagai salah satu hasil kerja terbaik beliau. Diikuti filem-filem bergenre drama Korban Kasih dan Mata Shaitan. Beliau juga mengarah filem bergenre komedi lewat filem Mabuk Kepayang yang dibintangi oleh Wahid Satay, Suraya Harun dan Zainol Gemok. 

Seterusnya, beliau mengarah hanya 2 filem pada 1963 iaitu filem-filem bergenre komedi, Masuk Angin Keluar Asap dan Gila Talak. 

Aku tidak berpeluang menonton filem-filem awal beliau yang dihasilkannya daripada 1961 sehingga 1963 di panggung. Seingat aku, filem-filem ini kecuali filem Mata Shaitan berkesempatan aku tonton menerusi slot tayangan filem Melayu pada setiap malam Khamis di saluran satu RTM pada awal 70-an.

Hussein Haniff mencapai kemuncak pengkaryaannya pada 1964. Dalam tahun tersebut beliau mengarah 4 filem bergenre purba. Filem-filem tersebut ialah Dua Pendekar dibintangi oleh Yusof Latif, Salleh Melan dan Roseyatimah, Istana Berdarah dengan barisan pelakon Salleh Melan, Fatimah Ahmad, Ahmad Osman, Suraya Harun. Filem Hutang Darah Dibayar Darah pula dibarisi oleh Nordin Ahmad dan Roseyatimah. Filem Kalong Kenangan dengan pelakon utamanya Latifah Omar dan Ghazali Sumantri.

Di antara 4 filem arahan Hussein ini, filem-filem Dua Pendekar dan Istana Berdarah aku tonton di panggung. Filem Istana Berdarah merupakan adaptasi daripada filem Jepun arahan pengarah besar tersohor dunia Akira Kurosawa (1910-1998)yang diinspirasikan daripada karya teater berjudul Macbeth oleh William Shakespeare.

Pada 1965, Hussein hanya mengarah dua filem bergenre drama berjudul Jiran Sekampung dan Cinta Kasih Sayang. Filem terakhir beliau bergenre purba, Udang Sebalik Batu diarahkan pada 1966.

Minggu depan aku sambung lagi menulis tentang pengarah yang agak under rated ini walaupun filem-filemnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.


PART II:

BILA menyebut dan berfikir tentang Allahyarham Hussein Haniff, aku pasti teringat tulisan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai dalam kertas bahasnya tentang perbandingan antara pengarah Hussein Haniff dengan P Ramlee.

Menurut Dr Anuar - "Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?" Dalam melontar pandangan dan pendapat menongkah arusnya, Dr Anuar menganggap Hussein lebih memenuhi kriteria filmmaker atau pembikin filem berbanding P Ramlee.

Pada pandangan beliau, P Ramlee penghibur rakyat all rounder sedangkan Hussein lebih menumpukan kelebihan keupayaan berkaryanya khusus untuk filem, terutamanya dari aspek teknikal selain aspek penceritaan naratif. Hussein bukan pelakon, pemuzik, penyanyi, pelawak seperti P Ramlee. Hussein lebih terarah untuk menjadi seorang filmmaker tulen.

Lebih-lebih lagi Hussein bermula sebagai penyunting filem dan bukan sebagai pelakon. Aku boleh bersetuju dengan Dr Anuar berdasarkan ilmu filem aku pelajari dan pengalaman aku lalui dalam bidang perfileman sejak 1978 sehingga kini.

Pengarah yang jarang atau tidak langsung muncul berlakon di depan kamera berbanding pengarah filem yang menggalas dua tanggung jawab, mengarah dan berlakon terutama watak hero atau watak utama ternyata ada kelainan pada filem-filem arahan mereka.

Aku perhatikan shot dan angle lebih sinematik kurang dapat dinikmati penonton bila menonton filem-filem yang diarah dan pemeran watak utama adalah orang yang sama - dia hero dan dia juga pengarah.

Di sini letak perbezaan antara Hussein dengan P Ramlee dan pengarah-pengarah lain seangkatannya ketika itu. Melalui Yunos Alwi, bekas pengurus produksi syarikat filem iklan, PROFILM yang aku ceritakan minggu lalu, aku berhasil memahami keadaan ini.

Aku diberitahu beliau bagaimana Hussein melakukan penggambaran filem Dua Pendekar (1964) yang melibatkan babak-babak watak Adam, sang hero diperankan Yusof Latif.

Babak-babak ini divisualkan Adam dengan tangan terikat diheret dan diseksa dalam hujan lebat menuju ke puncak bukit untuk menjalani hukuman seksa oleh Awang Lekiu, watak crook yang diperankan Salleh Melan.

Menurut Yunos, pada hari penggambaran babak tersebut, hujan sejak pagi. Mereka tidak tahu sama ada mahu membatalkan atau menangguhkan penggambaran ke hari lain. Dari pengamatan mereka yang terlibat berasakan hujan itu mungkin lambat teduh.

Akhirnya, Hussein membuat keputusan untuk meneruskan penggambaran walaupun dalam skrip asal babak ini tidak berlaku dalam hujan.

Beliau berani mengambil risiko dan mengeksploitasi keadaan yang berlaku di luar jangkaan itu untuk menghasilkan sesesuatu lebih sinematik. Sememangnya, keadaan menyebelahi Hussein kerana hujan sepanjang hari itu. Sehingga selesai penggambaran baharulah hujan berhenti.

Apa yang dapat aku fahami dan pelajari daripada penceritaan Yunos itu? Aku berjaya menemui jawapan kepada soalan yang selama ini aku cari sejak berusia 10 tahun. Bagaimana Hussein menghasilkan babak-babak tersebut dalam suasana berlatar belakangkan hujan lebat?

Pastinya, tiada penggunaan tenaga bomba untuk menghasilkan ‘hujan’ kerana nasib menyebelahi Hussein. Beliau bergantung seratus peratus kepada hujan asli sepanjang penggambaran sekuen tersebut.

Aku juga berjaya memanfaatkan daripada penceritaan Yunos, bagaimana pentingnya seseorang pengarah memiliki daya penumpuan serta kekuatan minda dalam mencipta shot-shot dan mereka cipta camera angle atau sudut-sudut kamera dalam satu suasana kritikal yang paling di luar jangkaan.

Dalam kes ini Hussein terpaksa bekerja mungkin sehingga seratus kali ganda lebih cepat daripada biasa kerana ketika itu tiada siapa tahu dan boleh meramalkan bila hujan lebat itu akan berhenti.

Aku rasa semua pengarah filem atau drama (baik otai mahupun yang baharu) pernah mengalami dan melalui keadaan di mana penggambaran perlu dilakukan dengan pantas dalam keadaan kritikal. Sang pengarah terpaksa mengejar waktu dengan suasana kerja mendesak.

Bila-bila masa boleh menimbulkan keadaan luar kawalan pengarah. Bayangkan dalam keadaan mendesak ini, sang pengarah perlu memikirkan dan menerangkan bagaimana framing untuk menyusun komposisi shot-shot dan camera angle atau sudut kamera yang mahu divisualkan kepada jurukamera.

Dalam masa sama sang pengarah perlu memberi arahan kepada pelakon-pelakon apa emosi dan suasana mahu dilahirkan dan bagaimana blocking atau pergerakan perlu dilakukan. Pergerakan pelakon-pelakon ini pula mesti berada dalam kawalan bingkai atau framing yang bakal diwujudkan dan dirakam melalui kamera oleh si jurukamera.

Semua ini hanya boleh dipastikan tepat dan muktamad selepas rehearsal atau latihan dilakukan bersama kamera.

Semua usaha untuk memastikan framing, camera angle, blocking pelakon mesti akhirnya memenuhi tuntutan continuity atau kesinambungan visual dalam konteks menyunting semua bahan atau shot yang dirakamkan itu boleh disambung editor atau penyunting filem di peringkat proses penyuntingan. Inilah proses filmmaking kritikal.

Pengarah tersohor dunia, Akira Kurosawa (1910-1998) berkata - Films are made on editing table! Kefahaman daripada kata-kata Akira itu ialah filem sebenarnya dihasilkan atau penghasilan muktamadnya semasa proses penyuntingan bukannya ketika penggambaran. Shooting atau penggambaran dilakukan oleh sang pengarah cuma proses merakam dan mengumpul bahan mentah sahaja.

Continuity atau kesinambungan adalah pembinaan setiap babak yang dihasilkan lewat rentetan shot yang cukup jumlahnya. Shot ini mesti berhasil berfungsi melahirkan naratif, mood dan apa jua yang mahu diceritakan oleh skrip melalui perantaraan penghasilan shot yang diarah sang pengarah dan dirakamkan oleh jurukamera. 

Jika shot tidak cukup, tertinggal dan gagal dirakamkan, ini menyebabkan shot-shot untuk sesuatu babak itu tidak boleh disambung. Terpaksalah dilakukan reshoot atau penggambaran semula untuk mendapatkan shot-shot yang tercicir itu.

Tahap cabaran dilahirkan keadaan sebegini lazimnya tidak seberat cabaran dilalui Hussein ketika buat penggambaran sekuen yang diperkatakan di atas. Apatah lagi sekarang dengan kemudahan efek dan CGI boleh menyelesaikan masalah - faktor paling penting kemampuan tampung kos melibatkan efek dan CGI, produser mesti ada bajet besar!

Jika Hussein tertinggal satu shot ketika membuat penggambaran babak Adam diheret dan diseksa dalam hujan lebat, bayangkan bagaimana melakukan penggambaran semula dengan continuity hujan lebat sebagai elemen utama dan penting.

Ada beberapa solusi boleh diambil mana-mana pengarah yang berdepan keadaan sebegini. Pertama, menggunakan khidmat bomba untuk buat ‘hujan’. Tetapi jika dilihat pada framing kamera yang mahu divisualkan oleh Hussein untuk babak-babak sekuen ini melibatkan lokasi yang luas.

Hampir pasti hujan tiruan dihasilkan oleh pihak bomba tidak berupaya meliputi keluasan lokasi tersebut. Apakah Hussein, waima siapa sahaja pengarah yang terpaksa melalui masalah ini akan hanya berpuas hati menghasilkan cuma shot-shot - closeup dan medium shot?

Bolehkah shot penggambaran semula ini dipadankan kesinambungannya daripada aspek pencahayaan dan mood dengan shot-shot asal yang dirakamkan sebelum ini dalam suasana hujan asli bukan tiruan?

Kedua, melakukan semula penggambaran keseluruhan babak sekuen tersebut dalam keadaan baharu iaitu tanpa hujan. Ini memudahkan penyuntingan daripada aspek continuity. Pastinya solusi ini mengakibatkan penambahan kos - meletup bajet!

Apa membolehkan Hussein berani membuat keputusan untuk meneruskan penggambaran sekuen tersebut dengan hanya bergantung kepada hujan ‘asli’? Dalam masa sama beliau dikenali seorang yang mengutamakan kesempurnaan - perfectionist.

Aku sambung minggu depan untuk ketahui kenapa Hussein berani meneruskan penggambaran sekuen penyeksaan Adam itu dalam hujan lebat. Untuk maklumat pembaca, filem Dua Pendekar arahan Hussein ini boleh ditonton melalui Youtube. Tontonlah filem klasik ini bagi memudahkan ikuti tulisan aku mengenai Allahyarham Hussein Haniff ini.

PART III:

SEJAK dua minggu lalu aku menulis mengenai pengarah filem Allahyarham Hussein Haniff berdasarkan informasi pengalaman peribadi Yunos Alwi. Beliau merupakan seorang daripada pemilik syarikat filem iklan PROFILM pada akhir 70-an sehingga awal 90-an. Sebelum syarikat filem Cathay Keris, Singapura ditutup pada 1973, Yunos berhijrah ke Kuala Lumpur dan terlibat dalam pembikinan filem-filem iklan.

Aku perhatikan filem-filem arahan Hussein kurang diberi perhatian oleh penonton, peminat dan kebanyakan generasi muda Malaysia amnya dan Melayu khususnya. Pihak berwajib dan media dalam perkembangan filem Melayu dan Malaysia, kurang memainkan peranan menonjolkan filem arahan pengarah seperti Hussein Haniff, M Amin, Mat Sentol dan Nordin Ahmad daripada studio Cathay Keris.

Begitu juga karya pengarah Melayu daripada studio Malay Film Productions, Jalan Ampas seperti Jamil Sulong, Omar Rojik dan S Kadarisman. Aku lihat keadaan sekarang tidak ada keseimbangan dalam menghargai sumbangan hasil kerja seni filem oleh pengarah-pengarah yang mewakili zaman kegemilangan filem Melayu yang berpusat di Singapura pada era 60-an.

Tidak salah memberi penghargaan kepada Seniman Agong kita, P Ramlee, tetapi kita perlu berlaku adil kepada pengarah lain seangkatan dengan beliau. Sumbangan mereka juga perlu dikaji dan disebarluaskan terutamanya kepada golongan pelajar filem generasi sekarang tanpa mengira bangsa.

Sejarah penglibatan tokoh karyawan filem dan filem arahan mereka selain P Ramlee amat penting diketahui oleh rakyat negara ini. Kita tidak boleh menafikan sumbangan mereka dalam membentuk dan merakam sejarah perkembangan budaya bangsa Melayu khususnya dan Malaysia amnya. Ketulenan sejarah budaya bangsa mesti dipelihara sebaik mungkin apatah lagi rakaman sejarah budaya kehidupan rakyat lewat visual filem yang dihasilkan mereka.

Perhatikan kenyataan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai dalam pembentangan kertas bahasnya sempena Simposium Pesta Filem Malaysia Ke-7 di Melaka, 1987: "Kita ingat P Ramlee, siapa nak lupa, tapi janganlah lupakan Hussein Haniff, Omar Rojik, S Kadarisman, M Amin, Jamil Sulong. Jadi, kita jangan lupa P Ramlee, tapi jangan sembah dia macam Tok Kong."

Berbalik kepada pengisahan pengarah Hussein. Aku memperoleh banyak informasi tentang pengarah ini ketika aku memulakan kerjaya dalam bidang filem di syarikat PROFILM di mana Yunos juga bertugas sebagai pengurus produksi. Apa telah dan bakal aku tuliskan seterusnya ini adalah catatan yang berjaya aku kutip lewat perbualan dan sembang-sembang aku dengan Yunos. Ia mengenai pengalamannya berinteraksi dan bekerja dalam produksi diterajui Hussein ketika beliau di Cathay Keris.

Minggu lalu aku tinggalkan pembaca dengan persoalan kenapa Hussein ketika mengarahkan filem Dua Pendekar (1964) berani membuat keputusan meneruskan penggambaran babak untuk sekuen penyeksaan watak utama, Adam diperankan oleh Yusof Latif dengan hanya bergantung kepada hujan semula jadi. Hussein tidak bergantung kepada hujan dihasilkan oleh tenaga bomba atau kesan efek di peringkat pos produksi.

Di sini, aku ulang semula secara ringkas latar belakang mengenai babak-babak untuk sekuen penyeksaan tersebut. Menurut Yunos, sebenarnya dalam skrip asal babak tersebut ditulis tanpa menuntut efek hujan. Tetapi pada hari penggambaran hujan turun dengan lebat.

Kebiasaannya kebanyakan pengarah akan membatalkan atau menangguhkan penggambaran. Tetapi Hussein Haniff berani mengambil risiko meneruskan penggambaran. Bukan calang-calang pengarah berani membuat keputusan seperti dilakukannya ketika membuat penggambaran sekuen tersebut.

Kepada pembikin, pelajar, pengkaji dan pengkritik filem pasti tahu betapa penting dan kritikalnya elemen dipanggil continuity - kesinambungan. Dalam proses pembikinan filem kesinambungan paling banyak melibatkan aspek dan proses suntingan. Untuk mencapai kesempurnaan penyuntingan sesebuah filem berkait rapat dengan elemen pencahayaan, pergerakan pelakon, pergerakan kamera malah apa sahaja yang terdapat dalam frame atau bingkai empat segi kamera yang dikenali sebagai mis-en-scene. 

Mise-en-scene adalah perkataan Perancis merujuk kepada apa sahaja yang berada dan diletak susunkan di hadapan kamera. Ini melibatkan komposisi elemen seperti set, prop, pelakon, pakaian dan pencahayaan. Kesemua elemen ini digandingkan dengan kerja sinematografi dan suntingan akan kelihatan seakan benar bukan ilusi di mata penonton.

Menurut Yunos, pengalaman Hussein sebagai penyunting filem sebelum menduduki kerusi pengarah menyumbang kepada keyakinannya meneruskan penggambaran dengan hanya bergantung kepada hujan ‘asli’ yang turun ketika itu tanpa sesiapa berupaya menjangka berapa lama hujan lebat itu akan berhenti.

Pengalamannya itu membantu Hussein berupaya visualkan mise-en-scene komposisi shot-shot yang diperlukannya dengan tepat dan pantas walaupun berdepan dengan hambatan masa dan ketidaktentuan keadaan di set atau lokasi penggambaran ketika itu.

Dalam fikirannya sudah ada bentuk dan rupa shot yang mahu dihasilkannya. Juga sudah ada dalam mindanya tempo dan durasi shot diperlukan untuk melahirkan babak-babak yang dituntut oleh skrip. Senang cerita - walaupun ada perubahan drastik ketika penggambaran berlaku seperti dalam kes ini di mana hujan lebat di luar jangkaan, tetapi Hussein berjaya tanpa ragu serta penuh keyakinan membayangkan dan menghasilkan shot diperlukannya di meja suntingan nanti.

Dalam situasi begini, sebagai pengarah, Hussein berkuasa penuh dengan disertai tanggungjawab dan kepastian seratus peratus apa sahaja shot dimahukannya mesti dirakamkan si jurukamera. Petugas teknikal dan krew terlibat jangan buang masa dan banyak soal. Berikan dan lakukan apa sahaja shot yang diminta oleh si pengarah. Sikap dan ketegasan ini ada pada Hussein.

Filem Dua Pendekar (1964) banyak meninggalkan kenangan kepada Yunos. Beliau memikul tugas pembantu kepada jurukamera Han Kai Juan.

Menurut Yunos, ketika penggambaran babak-babak melibatkan watak hero, Adam diperankan oleh Yusof Latif diseksa di atas puncak bukit, Hussein mahu mendapatkan shot - POV (Point Of View) atau sudut pandangan Adam ketika diikat pada roda kereta lembu serta dipusingkan bagi menggambarkan penyeksaan Awang Lekiu yang diperankan Salleh Melan.

Untuk mendapatkan shot POV pandangan Adam berpusing itu, Yunos dipertanggungjawabkan untuk merakamkannya. Beliau menggunakan teknik handheld camera untuk merakam shot yang dimahukan oleh Hussein. Untuk menghasilkan shot tersebut, Yunos diikat pada roda kereta lembu dan dipusingkan seolah-olah beliau adalah Adam, si hero yang sedang berpusing. Hasilnya sungguh menarik dan berkesan. Shot begini belum pernah dilakukan dalam filem Melayu sebelum itu.

Selepas mendengar penjelasan Yunos bagaimana Hussein berhasil mendapatkan shot yang mengagumkan aku menonton filem Dua Pendekar ketika aku berumur 10 tahun pada 1964, baharu aku tahu mengapa visual filem tersebut melekat di mindaku sehingga ke saat aku mengenali Yunos pada akhir 70-an. Patutlah visual-visual terhasil dalam filem Dua Pendekar berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada emosi penonton. Visual-visual penyeksaan dilakukan oleh Awang Lekiu (Salleh Melan) terhadap Adam (Yusof Latif) dapat dirasai oleh penonton.

Proses penggambarannya sungguh rumit dan mencabar. Tetapi hasilnya melahirkan jumlah shot yang cukup dan lengkap untuk disunting menjadi rentetan visual dengan kekuatan dan karakter tersendiri. Untuk mendapatkan shot ini memerlukan masa, kesabaran dan susunan kerja rapi. Menurut Yunos, Hussein mesti mendapatkan shot yang dimahukannya walau terpaksa berdepan dengan berbagai kesukaran. Bahasa mudahnya - Hussein bukan seorang pengarah malas! 

Mendengar penceritaan tentang cara kerja Hussein melalui Yunos membuat aku makin teruja. Naluri ingin tahu dan menonton semula filem-filem arahan beliau makin membuak-buak. Tetapi ketika itu, penghujung 70-an dan awal 80-an belum ada internet dan Youtube. Filem-filem arahan Hussein Haniff amat jarang ditayangkan oleh RTM berbanding dengan filem-filem arahan P Ramlee. Walaupun begitu aku kira bernasib baik berpeluang juga menonton filem arahan pertama beliau, Hang Jebat (1961) dan filem keduanya, Dang Anum (1962) melalui tayangan di RTM pada akhir 80-an.

Apakah perkara seterusnya yang dimaklumkan Yunos, membuat aku kagum dengan Allahyarham Hussein Haniff? Kita bercerita lagi di minggu depan, insya-ALLAH.


PART IV

ADA dalam kalangan rakan-rakanku sejak dahulu mengetahui aku sangat meminati hasil kerja Allahyarham Hussein Haniff menghubungi aku selepas membaca tulisan aku mengenai pengarah yang under rated ini.

Paling menarik ada seorang daripada mereka mengingatkan aku supaya jangan lupa menulis tentang kes Hussein menampar seorang wartawan hiburan kerana menulis gosip tentang hubungan Hussein dengan Fatimah Ahmad, heroin filem kedua arahannya, Dang Anum (1962).

Aku cuma tersenyum membaca SMSnya itu. Sememangnya ramai di antara pembikin filem dan wartawan hiburan era 60an yang berpusat di Singapura ketika itu tahu tentang isu panas antara Hussein dengan wartawan tersebut. Aku tidak mahu menyebut nama wartawan tersebut kerana beliau sudah meninggal dunia pada 2011.

Mungkin aku akan sentuh kes dan gosip sensasi Hussein ini di kesempatan lain. Minggu ini aku ingin menyambung tentang cara kerja dan sikap rebel with a cause Hussein dalam menghasilkan filem-filemnya.

Menurut Yunos Alwi, bekas pemilik dan pengurus produksi syarikat filem iklan, PROFILM yang banyak terlibat dalam produksi filem-filem arahan Hussein ketika di Cathay Keris, Singapura menyatakan kepada aku, Hussein seorang pengarah yang keras kemahuannya. Beliau jarang berkompromi tentang shot-shot yang dimahukannya.

Hussein berlatar belakangkan kerjaya sebagai penyunting filem sebelum menjadi pengarah sangat cerewet dan teliti menghasilkan shot-shot untuk setiap babak filem-filem arahannya.

Hussein juga seorang pengarah kreatif dan sentiasa mahu mencuba menghasilkan sudut-sudut kamera yang jarang diterokai oleh pengarah lain ketika itu. Hussein berminda inovatif dengan keinginan mencuba elemen baharu dari segi teknikal baik kerja kamera dan suntingan. 

Sering Yunos menceritakan kepada aku tentang bagaimana Hussein menghasilkan shot-shot babak tarian dalam filem sulungnya, Hang Jebat (1961) dengan menggunakan kamera yang diletak di atas dolly tetapi daripada paras atas dan tinggi tanpa menggunakan kren.

Bagi bukan orang filem – maksudnya ialah kamera diletak atas alat yang beroda dipanggil dolly. Ketika jurukamera merakamkan shot yang diingini oleh pengarah dolly ini akan ditolak oleh kru. Selalunya dolly akan diletak pasangkan di atas trek atau landasan seperti rel kereta api di atas lantai atau tanah untuk ditolak oleh kru. Jarang ditemui pengarah meminta jurukameranya merakamkan shot dengan kamera menggunakan dolly tetapi di paras yang tinggi.

Tetapi untuk mendapatkan shot-shot tarian tersebut daripada sudut berparas tinggi seperti dimahukan oleh Hussein, kru-kru penggambaran terpaksa membina pelantar tinggi. Mereka terpaksa mengangkat dolly yang berat dibuat daripada bahan besi padu dan diletakkan di trek atau landasan besi yang dipasang di atas binaan pelantar tadi. Hasilnya, Hussein berjaya merakamkan shot-shot tarian dengan framing kamera dalam format wide shot (sudut luas atau besar) sambil kamera bergerak di atas pelantar tanpa menggunakan lensa zoom.

Tidak silap aku, Yunos ada menceritakan, ketika Hussein mengarahkan filem pertamanya, studio Cathay Keris belum membeli kren bagi memudahkan jurukamera merakamkan babak-babak dari sudut tinggi baik di set dalam studio mahupun di lokasi luar.

Cathay Keris membeli dan menyediakan kren untuk kegunaan pengarah-pengarahnya selepas kejayaan filem Hang Jebat (1961) arahan sulung Hussein.

Sememangnya sudut-sudut kamera untuk babak tarian itu berjaya menghasilkan suasana dramatik. Persembahan tarian di hadapan Sultan untuk meraikan pelantikan Hang Jebat, diperankan oleh Nordin Ahmad sebagai panglima Melaka direka cipta oleh
Siput Serawak. Reka cipta tarian ini menjadi bertambah menarik di tangan Hussein. Ramai pengkritik dan pengkaji filem Melayu menganggap babak tarian ini paling terbaik pernah dihasilkan dalam filem Melayu bergenre purba.

Hasil kerja kamera merakamkan sudut-sudut high angle dan low angle dramatik memberi kekuatan kepada tarian yang dipersembahkan sebagai signifier atau petunjuk meramalkan apa bakal terjadi kepada Jebat dan Tuah pada akhir filem ini.

Hussein telah memecahkan fungsi tarian dalam kebanyakan filem Melayu. Selalunya tarian hanya merupakan pelengkap klise babak-babak melibatkan Sultan dan pesta keraian dalam kalangan istana. Babak tarian dan lagu diwujudkan lebih untuk mempromosikan lagu-lagu untuk sesebuah filem. Kaedah ini sekarang dikenali sebagai OST - Original Sound Track.

Pada era 60-an, petikan lagu-lagu mengiringi tarian dalam filem akan disiarkan melalui Radio Malaysia dan Singapura sebagai promosi sebelum dan ketika sesebuah filem ditayangkan. Studio Cathay Keris dan Malay Film Productions menggunakan kempen promosi yang serupa selain media cetak seperti akhbar dan majalah.

Berbalik kepada penggunaan dolly dan kamera untuk mendapatkan high angle shot, Hussein dengan cara dan teknik yang sama berhasil merakamkan opening shot filem Hang Jebat. Perhatikan visual pembesar-pembesar istana Melaka sedang duduk menghadap Sultan memegang tanjak masing-masing sebagai tanda protes mereka terhadap Tuah. Bermula dengan medium closeup kaki Sultan bergerak dari kiri ke kanan kamera. Seterusnya, diikuti pergerakan kamera dengan saiz atau ukuran lensa yang sama bergerak ke belakang dalam waktu sama menampakkan sudut tinggi keadaan set istana tersebut.

Mungkin ada pembaca berpandangan kenapa aku bersusah payah dengan menggunakan perkataan-perkataan teknikal untuk menerangkan semua ini? Maaf cakap, mungkin juga terlintas di minda pelajar-pelajar filem generasi sekarang – apa hebatnya shot-shot Hussein ini sehingga aku berusaha menerangkan selengkap mungkin kepada pembaca?

Jika diperhatikan sememangnya shot-shot tersebut nampak mudah. Penonton lazimnya tidak akan berupaya merasakan perbezaannya.

Ada pendapat dan pandangan dalam kalangan pembikin filem bahawa kejayaan shot atau pergerakan kamera yang sukar dilakukan ketika penggambaran ialah bila filem siap disunting dan ditayangkan babak-babak ini nampak bergerak lancar tanpa dapat dikesan usaha susah payah tenaga kru untuk mendapatkan shot-shot tersebut.

Lebih berjaya kesannya jika dalam kalangan pembikin filem sendiri gagal mengesan bagaimana shot-shot yang nampak mudah itu dihasilkan!

Aku menerangkan semua ini bertujuan memberi informasi kepada pembikin dan pelajar filem generasi sekarang bagaimana gigih dan keras kentalnya semangat kemahuan sinematik Hussein menghasilkan shot menarik, kreatif dan inovatif walaupun tanpa beralatan secanggih sekarang.

Anak-anak aku memberitahu sekarang terdapat jurugambar video majlis perkahwinan sudah ada menggunakan kamera video dengan drone merakam pengantin berarak dan bersanding!

Drone adalah alat bagi memasang kamera dengan dikawal secara remote. Alat ini bergerak atau terbang membawa kamera yang dipasang untuk merakam visual-visual daripada udara dan paras tinggi. Paras pencapaian ketinggian sesebuah drone bergantung pada spesifikasi pembuatannya.

Jika drone wujud pada era 60an, pastinya Hussein akan mengeksploit kelebihan drone ini. Bayangkan dengan penggunaan kren serta dolly yang berat, rumit, renyah dan sukar, Hussein berjaya menghasilkan shot-shot luar biasa dan tidak konvensional.

Rasanya jika ketika itu beliau ada drone pasti shot-shot lebih ‘gempak gila’ mampu dihasilkan oleh Hussein Hanif!

PART V

MINGGU ini aku sambung semula catatan tentang pengarah Allahyarham Hussein Haniff. Dari artikel dan tulisan yang aku baca melalui majalah-majalah lama yang masih ada dalam simpanan aku, pengarah ini sering dikaitkan dengan unsur-unsur keganasan dan kekerasan dalam filem-filem arahan beliau.

Ketika era kegemilangan filem Melayu pada tahun 60an, selain dikenali sebagai pengarah yang memastikan filem-filemnya punya keunikan tersendiri daripada aspek pemilihan sudut kamera dan suntingan, Hussein juga seolah-olah sinonim dengan keganasan dan kekerasan dalam filem-filem arahannya.

Elemen dan unsur-unsur keganasan dan kekerasan yang dihasilkan oleh Hussein bukan sahaja diperkatakan oleh pengulas dan pengkritik filem zamannya tetapi masih lagi dikaji dan diperkatakan oleh pengkritik dan pengkaji filem Melayu dan Malaysia sehingga sekarang.

Keganasan yang aku maksudkan terdapat dalam filem-filem Hussein adalah dalam konteks pembikinan filem pada era 60-an. Pada era industri perfileman dunia belum ada efek slow motion dan kesan efek penghasilan CGI. Keganasan dalam bentuk hitam putih bukan warna. Melalui angle-angle atau sudut-sudut dan pergerakan kamera yang inovatif Hussein berhasil mewujudkan dan melahirkan kesan keganasan serta kekerasan yang belum pernah diterokai oleh pengarah-pengarah lain seangkatan beliau ketika itu.

Menurut Yunos Alwi, bekas pemilik dan pengurus produksi syarikat filem iklan, PROFILM yang banyak terlibat dalam produksi filem-filem arahan Hussein ketika di Cathay Keris, Singapura pernah menyatakan kepada aku, Hussein seorang pengarah yang sentiasa mahu mencuba dan berani bereksperimen dengan idea-idea baharu. Beliau sentiasa mencuba kaedah-kaedah baharu dalam proses menghasilkan sudut-sudut kamera yang unik untuk filem-filem arahannya. 

Ini adalah komen daripada, C Ramachandra, jurukamera untuk filem arahan kedua Hussein, Dang Anom (1962) – “Saya belum pernah jumpa director macham Hussein Haniff di Malaya ini. Dalam filem yang dia arahkan, mempunyai angle-angle yang menarek hati dan belum pernah orang lain buat. Saya tahu, Hussein tak mahu mengambil angle yang mana pernah terdapat dari filem yang telah ditayangkan.” Komen ini dipetik daripada artikel majalah Berita Filem keluaran September 1961.

Tanpa disedari attitude rebel atau sikap keras kepala dan pantang mengalah beliau terpancar dalam filem-filemnya melalui gerak kamera dan suntingan. Contoh-contoh yang pernah aku nukilkan dalam artikel sebelum ini iaitu bagaimana komitednya Hussein menghasilkan penggambaran babak-babak tarian dalam filem Hang Jebat (1961) dan penggambaran babak-babak penyeksaan hero (Yusof Latif) oleh crook (Salleh Melan) dalam filem Dua Pendekar (1964).

Kedua contoh ini juga menzahirkan sikap seorang pengarah yang punya directorial execution - tahu apa visual mahu dilahirkannya. Hussein berjaya melakukan preconceptualization visual babak-babak dimahukannya kerana beliau seorang visual imaginist. Hussein punya daya imaginasi tinggi dalam membayangkan visual yang bakal digarap lewat pergerakan dan kerja kameranya sehingga ke meja suntingan. 

Hussein punya kelebihan tersendiri dalam membina imej-imej serta visual keras dan ganas. Ini berlaku kerana Hussein faham dan tahu mengeksploitasi keganasan dan kekerasan untuk ‘diindahkan’ secara visual lewat pengisian mis-en-scenenya.

Aku ada terbaca dalam salah satu artikel majalah keluaran tahun 60-an menyatakan babak pergaduhan pada awal filem Dang Anom bersifat ganas dan brutal.

Babak ini memaparkan pergaduhan terjadi dalam lumpur dan selut. Watak seorang bapa yang mahu menghalang anak gadisnya daripada dipersembahkan kepada Sultan untuk dijadikan gundik telah dibelasah dan dibenamkan muka kepalanya di dalam lumpur dan selut oleh orang-orang Sultan. Hussein berjaya menggambarkan ritual penyeksaan kejam dan zalim dilakukan oleh orang-orang suruhan Sultan sebagai mewakili kezaliman Sultan yang hanya mahu memenuhi tuntutan nafsu syahwatnya sahaja. Ketidakadilan, kezaliman dan kebuasan nafsu serakah Sultan dimanifestasikan tanpa perlu watak Sultan ada dalam babak tersebut. Dengan daya kelebihan seorang visual imaginist, Hussein berjaya menimbulkan rasa benci, geram dan menyampah penonton terhadap watak seorang pemimpin – Sultan. Lantas watak ini diangkat sebagai antagonis seawal bermulanya penceritaan filem ini. 

Babak pergaduhan dalam filem-filem Melayu ketika itu secara lazimnya adalah hampir sama cara dan gaya olahannya. Di tangan Hussein mis-en-scene babak pergaduhan pada awal filem Dang Anom ini menggunakan elemen lumpur yang belum pernah digunakan oleh pengarah filem Melayu lain sebelum ini. 

Babak-babak lain yang dianggap ganas dan keras dalam filem Dang Anom termasuklah babak-babak akhir di tempat penyeksaan di mana Panglima Malang diperankan oleh Nordin Ahmad mati ditikam oleh Datuk Bija Sura diperankan oleh Mahmud Jun dan pengawal-pengawal dalam pertarungan berat sebelah di hadapan Sultan. Mayat Panglima Malang dicampak ke dalam parit berlumpur dan kotor di tepi kawasan penyeksaan atas arahan Datuk Bija Sura. Walaupun banyak jasanya kepada negeri dan Sultan tetapi mayat Panglima Malang diperlakukan tidak ubah seperti bangkai binatang!

Watak Dang Anom, diperankan oleh Fatimah Ahmad dijatuhi hukuman sula dengan buluh dengan kedua kaki dan tangannya diikat pada tiang buluh. Walaupun aksi menyula tidak ditunjukkan tetapi mis-en-scene yang dibina sebelum dan sesudah Dang Anom melalui hukuman disula oleh Datuk Bija Sura berupaya melahirkan gambaran kengerian perlakuan sula itu dalam minda penonton.

Perhatikan bagaimana buluh runcing tajam untuk menyula Dang Anom digunakan oleh Datuk Bija Sura melontar menembusi dada Datuk Sang Rajuna Tapa, bapa Dang Anom yang diperankan oleh Ahmad Nisfu. Buluh runcing yang sama juga setelah berjaya dicabut dari dada Datuk Sang Rajuna Tapa oleh Panglima Majapahit diperankan oleh Ghazali Sumantri digunakan membunuh Datuk Bija Sura. Lontaran dari Panglima Majapahit itu mengenai bahagian belakang kaki kiri hampir di kawasan punggung atau dubur Datuk Bija Sura. Lihat shot dari depan - Datuk Bija Sura terkangkang-kangkang seperti kena sula ketika menaiki tangga untuk melarikan diri sebelum dibunuh oleh Panglima Majapahit.

Untuk informasi peminat, pelajar, penggiat, pengkaji dan pengkritik filem generasi sekarang, kes Hussein berkonfrontasi dengan wartawan hiburan ketika itu bermula ketika penggambaran filem Dang Anom. Kes Hussein menampar seorang wartawan hiburan kerana menulis gosip hubungan beliau dengan Fatimah Ahmad, heroin filem Dang Anom ada aku sentuh dalam artikel sebelum ini. Kes ini seolah-olah menjustifikasikan sikap keras dan ganas pada personaliti beliau. Pada aku kes dan isu ini adalah hal remeh-temeh yang mungkin digembar-gemburkan untuk melariskan majalah yang diwakili oleh wartawan tersebut.

Berbalik kepada kekerasan dan keganasan yang terdapat dalam filem-filem arahan Hussein, aku berpandangan beliau berjaya menggunakan elemen keganasan dan kekerasan selari dengan tuntutan sinematik sesebuah karya seni bernama filem. 

Menurut pengkritik filem, A Wahab Hamzah - Filem adalah karya seni yang paling sesuai dengan kekerasan, kerana kekerasan berlaku akibat tindakan manusia. Bayangkan filem Hang Jebat (Hussein Haniff) tanpa adegan pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Adegan yang dikoreografi dengan begitu cantik oleh Mahmud June menjadi unsur terpenting dan karakter utama filem ini.

Kesimpulannya, sebagai seorang tukang cerita, Hussein faham dan berjaya menggunakan elemen ganas dan keras untuk melahirkan visual kewujudan suasana keganasan dan kekerasan yang lebih ekstrem dalam minda penonton. Penonton bebas membuat interpretasi sendiri – terpulanglah kepada kita.

Hussein Hanif sememangnya seorang visual imaginist!

PART VI

AKU menerima beberapa respons daripada pembaca dan juga rakan-rakan dalam bidang filem dan seni mengenai tulisan-tulisan aku tentang pengarah Allahyarham Hussein Haniff. Di antaranya yang menarik hati aku ialah respons daripada seorang rakan lamaku. Beliau bukan orang filem tetapi meminati dan mengikuti perkembangan filem dan seni hiburan tanah air sejak era 50-an dan selepas merdeka. Merupakan seorang otai yang masih suka menonton filem Melayu di pawagam dengan menggunakan kemudahan tiket separuh bayaran bagi warga emas.

Beliau bertanya – kenapa aku dan rakan-rakan seangkatanku lebih cuba berusaha mengangkat Hussein berbanding P Ramlee sebagai pengarah dan filmmaker?

Beliau menyuarakan juga pandangan tentang seperti ada penolakan terhadap P Ramlee sebagai seorang filmmaker tulen berbanding Hussein dalam kalangan pemikir, pengkaji, pengkritik dan pembikin filem angkatan baharu ketika aku mula menceburi bidang perfileman pada awal 80-an. Maksud beliau, golongan yang bukan bermula dari era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura terutamanya generasi pembikin dan penggiat filem new wave cinema atau gelombang baharu sinema Melayu bermula dengan filem Abang (1981) arahan Rahim Razali.

Menurut beliau, aku juga tidak terkecuali daripada kelompok ini. Aku tidak cuba menafikan pandangannya. Sebaliknya, aku meminta beliau memberi alasan memperkuatkan pendapatnya itu.

Beliau merujuk kepada tulisan aku pada 13 September lalu – "Hussein Haniff filmmaker tulen?"

Dalam artikel itu aku nukilkan - Menurut Dr Anuar Nor Arai - “Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?” Dalam melontar pandangan dan pendapat menongkah arusnya, Dr Anuar menganggap Hussein lebih memenuhi kriteria filmmaker atau pembikin filem berbanding P Ramlee.

Aku catatkan juga hujah ilmiah Dr Anuar - Pada pandangan beliau, P Ramlee penghibur rakyat all rounder sedangkan Hussein lebih menumpukan kelebihan keupayaan berkaryanya khusus untuk filem, terutamanya dari aspek teknikal selain aspek penceritaan naratif. Hussein bukan pelakon, pemuzik, penyanyi, pelawak seperti P Ramlee. Hussein lebih terarah untuk menjadi seorang filmmaker tulen. Lebih-lebih lagi Hussein bermula sebagai penyunting filem dan bukan sebagai pelakon.

Pada aku sememangnya kenyataan Dr Anuar memperkatakan tentang perbandingan antara pengarah Hussein dengan P Ramlee ada kebenarannya.

Aku seterusnya menulis - Aku boleh bersetuju dengan Dr Anuar berdasarkan ilmu filem aku pelajari dan pengalaman aku lalui dalam bidang perfileman sejak 1978 sehingga kini.

Kata kuncinya di sini ialah ilmu filem. Perbandingan yang mahu dibuat terhadap dua tokoh filem Melayu ini mestilah berdasarkan ilmu iaitu ilmu filem dan kefahaman sejarah perfileman dunia dan tempatan. 

Menurut rakanku ini lagi, sejak lewat 80-an banyak tulisan dan kajian oleh pengkaji, pemikir filem Melayu dan dalam program-program perbincangan filem yang diadakan oleh tokoh-tokoh filem tanah air seperti mahu menolak dan mempertikaikan ketokohan P Ramlee sebagai seorang filmmaker.

Beliau memberi beberapa contoh laporan dan tulisan mengenai perbincangan filem yang tersiar dalam akhbar sejak sekian lama ini. Artikel dan tulisan-tulisan ini boleh dibaca melalui pencarian secara meng’google’ di alam siber. Rata-rata pemikir dan pengkaji filem tanah air, di antaranya Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, Johan Jaaffar, Dr Mahadi J Murad, Hassan Muthalib, Mansor Puteh dan juga pengarah filem Adman Salleh menilai ketokohan P Ramlee dengan Hussein sebagai pembikin filem daripada sudut pandangan yang kontra berbanding pandangan umum.

Rakanku ini merujuk kepada tulisan Ku Seman Ku Hussain – P Ramlee layakkah dianggap tokoh filem? yang tersiar di Utusan Malaysia pada 27 Jun 2000.

Tulisan itu mengupas dan memperkatakan kenyataan dilontarkan oleh Dr Anuar sehingga menimbulkan kontroversi sebaik sahaja beliau balik ke tanah air pada 1982 selepas menuntut sehingga memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian filem dari University of Southern California.

Kefahaman yang aku peroleh daripada tulisan tersebut, Dr Anuar cuba melakukan perbandingan dan penilaian berdasarkan ilmu filem bukan berdasarkan nilai-nilai sentimental. Beliau cuba melihat filem-filem P Ramlee sebagai film as film bukan hasil karya filem-filem P Ramlee dalam kapasiti seorang seniman serba boleh – penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pelawak, pelakon dan pengarah filem.

Dr Anuar mencadangkan perlu ada kajian menjurus terhadap P Ramlee sebagai pengarah filem tanpa menafikan dia sebagai seniman rakyat yang jarang-jarang dilahirkan di dunia.

Dengan menggunakan pendekatan inilah juga Dr Anuar dan kami daripada golongan muda ketika itu cuba melihat dan menilai filem-filem Hussein. Aku dan rakan-rakan mahu mengkaji dan menilai karya-karya Hussein berdasarkan ilmu bukannya rasa sentimental melulu.

Seiring dengan perubahan masa, aku lihat sudah ada perubahan di kalangan pembikin dan penggiat filem generasi muda sekarang dalam usaha menilai dan memperkatakan tentang filem-filem Melayu era 50-an sehingga pertengahan 60-an yang merupakan zaman kegemilangan filem Melayu. Usaha mengkaji filem-filem pengarah-pengarah selain P Ramlee sudah mula digerakkan walaupun agak terlewat. Paling penting usaha yang dicetuskan oleh Dr Anuar sudah bermula.

Aku tidak nafikan wujud dua pandangan berbeza dalam memperkatakan ketokohan dua pengarah penting filem Melayu ini ketika awal 80-an.

Bagi memahami dan melakukan perbandingan antara Hussein dan P Ramlee sebagai filmmaker, perkara asas perlu diambil kira ialah jumlah filem yang di arahkan mereka.

Hussein hanya mampu mengarah 14 filem dalam jangka masa enam tahun sebelum meninggal dunia pada usia muda 32 tahun akibat mengidap penyakit barah dalam perut pada 1966.

Dalam masa 17 tahun P Ramlee pula mengarah 35 filem bermula dengan Penarek Becha (1955) terbitan Malay Film Productions, Jalan Ampas, Singapura sehingga filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi (1972) terbitan Merdeka Studio, Ulu Kelang. Beliau meninggal dunia pada usia 44 tahun pada 29 Mei, 1973.

Berikut aku senaraikan filem-filem arahan Hussein mengikut tahun dan genre. Filem pertama dan keduanya, Hang Jebat (1961) dan Dang Anum (1962) bergenre purba. Filem Korban Kasih bergenre drama moden dan Mata Shaitan bergenre purba dihasilkan pada 1962.

Hussein juga mengarah filem bergenre komedi seperti Mabuk Kepayang (1962), Masuk Angin Keluar Asap (1963) dan Gila Talak (1963).

Kesemua filem arahan Hussein yang ditayangkan pada 1964 bergenre purba - Dua Pendekar, Istana Berdarah, Hutang Darah Dibayar Darah dan Kalong Kenangan.

Pada tahun berikutnya, 1965, Hussein hanya mengarah dua filem bergenre drama moden berjudul Jiran Sekampung dan Cinta Kasih Sayang. Di hujung hayatnya, pada 1966, Hussein hanya mampu mengarah satu filem bergenre purba, Udang Sebalik Batu sebelum meninggal dunia pada 5 April 1966.

Daripada 14 filem arahannya, kecuali Hang Jebat dan Dang Anum, filem-filemnya yang lain gagal di pasaran. Berbanding filem-filem arahan P Ramlee yang kebanyakannya pecah panggung terutamanya filem-filem arahan beliau ketika di Singapura antara 1955 sehingga 1963. Mana dan apa silapnya?

Kita sambung minggu depan. Insya-ALLAH.


PART VII

Aku akhiri artikel minggu lalu dengan pertanyaan - mengapa daripada 14 filem arahan Allahyarham Hussein Haniff, hanya filem Hang Jebat (1961) dan Dang Anom (1962) berjaya mengutip koleksi pecah panggung? Filem-filem Hussein lain gagal di pasaran berbanding filem-filem arahan P Ramlee yang kebanyakannya pecah panggung.

Terutamanya filem-filem arahan P Ramlee ketika di Singapura antara 1955 sehingga 1963. Situasi yang terjadi kepada Hussein dan P Ramlee ini mewujudkan dua pandangan berbeza ketika era kegemilangan mereka dan awal 80-an dalam memperkatakan ketokohan dua pengarah penting dunia filem Melayu ini.

Kenapa ini berlaku? Pandangan dan pendapat bakal aku catatkan ini bukan kajian ilmiah dan akademik tetapi lebih berdasarkan pengalaman peribadi ketika aku membesar pada era 60an.

Pengalaman peribadi first hand yang pernah aku tempuhi itu, sekarang sudah menjadi sejarah. Dalam konteks sejarah industri perfileman Melayu yang boleh aku ceritakan semula tanpa perlu aku membaca dan membuat kajian lewat bahan-bahan rakaman dan rekod sejarah tanah air.

Dalam bahasa mudah – aku tidak perlu merujuk kepada buku sejarah kerana pengalaman hidup peribadi aku membesar dengan filem-filem Hussein dan P Ramlee adalah sebahagian daripada sejarah era tersebut.

Polemik penilaian antara Hussein dan P Ramlee sebagai tokoh pengarah filem Melayu terjadi pada awal 80-an ini dicetuskan oleh Allahyarham Dr Anuar Nor Arai (1943-2010), seorang tokoh pengkaji, pengkritik, pensyarah, penggiat dan pengarah filem lulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian filem dari University of Southern California.

Tidak dinafikan sejak penutupan studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris di Singapura pada akhir 60-an dan awal 70-an industri filem Melayu terpaksa melalui dan berdepan suasana muram dan kehilangan arah dari segi pembikinan dan sambutan. Rata-rata peminat, penonton dan penggiat filem Melayu dalam dilema. Mereka tercari-cari kaedah dan formula untuk mengembalikan kegemilangan filem Melayu.

Dalam keadaan begini pastinya kehadiran seorang atau beberapa orang tokoh pengarah filem Melayu amat diperlukan bagi menjadi inspirasi penggerak kebangkitan semula industri filem Melayu. Tapi sayang keadaan industri filem Melayu ketika itu dalam keadaan hampir nazak tanpa kemunculan tokoh filem Melayu baharu.

Merujuk kepada suasana ketika filem Melayu nazak pada awal 70-an sehingga 80-an, Dr Anuar melihat penggiat dan penonton filem Melayu masih bergantung kepada sejarah kegemilangan yang pernah dihasilkan oleh P Ramlee.

Tiada percubaan untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam memajukan perfileman Melayu. Rata-rata karyawan filem Melayu ketika itu masih belum mahu keluar daripada cara berkarya yang dibayangi oleh era kegemilangan P Ramlee. Sikap sedemikian – living with past glory – meneruskan hidup dengan sejarah silam. Penggiat filem Melayu masih menghasilkan filem yang statik tanpa pembaharuan daripada aspek penceritaan dan teknikal.

Dengan tertubuhnya syarikat Sabah Filem Productions oleh Deddy M Borhan, usahawan filem dari Sabah pada 1975, lahirlah filem Keluarga Si Comat arahan Allahyarham Aziz Sattar. Filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan, syarikat ini menerbitkan beberapa buah filem sehingga tahun 1992.

Kejayaan pecah panggung filem Keluarga Si Comat mewabakkan kemunculan bagaikan cendawan tumbuh syarikat-syarikat filem diusahakan oleh usahawan Melayu. Tugas pengarahan dan kerusi pengarah diisi oleh bekas pengarah dan pelakon dari studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris, Singapura.

Bekas pengarah seperti Jamil Sulong, Omar Rojik, Salleh Ghani dan M Amin mula mendapat peluang mengarah filem-filem Melayu dalam bentuk warna berbanding filem hitam putih ketika di studio-studio Singapura.

Selain Aziz Sattar yang merupakan bekas pelakon filem-filem siri popular Bujang Lapok arahan P Ramlee, ramai lagi bekas pelakon di antaranya, Aziz Jaafar dan Malek Selamat berpeluang menduduki kerusi pengarah dengan syarikat-syarikat filem baharu yang berpusat di Kuala Lumpur.

Kebangkitan semula industri filem Melayu bermula 1975 ini lebih bersifat peningkatan jumlah filem dan syarikat produksi bukan peningkatan mutu filem yang dihasilkan. Hampir kesemua filem Melayu yang diproduksikan antara 1975 sehingga awal 80-an masih lagi bercirikan cut and paste filem-filem tahun 60-an terbitan studio Jalan Ampas dan Cathay Keris.

Suasana perfileman Melayu dan sikap budaya fikir orang Melayu ketika itu dan rasanya masih lagi wujud sehingga sekarang menjustifikasikan kata-kata Dr Anuar - “ Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?”

Mungkin tidak keterlaluan jika aku dan rakan-rakan penggiat filem seangkatanku berpandangan dan membentuk jalur pemikiran - ketokohan dan populariti P Ramlee dan filem-filem arahannya masih merupakan sebahagian daripada ciri-ciri untuk mensahihkan kemelayuannya seseorang individu yang mengaku berbangsa Melayu.

Apa kaitannya keadaan di atas dengan polemik yang dicetuskan oleh Dr Anuar?

Inti pati cetusan Dr Anuar itu menjurus kepada kajian berkaitan filem-filem P Ramlee mestilah dalam konteks penglibatan dan sumbangan tokoh ini dalam bidang filem tanah air. Dr Anuar pernah menyuarakan, dalam kita mengangkat P Ramlee sebagai tokoh filem Melayu, kita perlu berlaku adil supaya tidak melupakan sumbangan pengarah-pengarah lain seangkatannya.

Di antara pengarah-pengarah seangkatan P Ramlee, Hussein adalah ‘pencabar’ paling terdekat.

Dalam merungkai dan membincangkan polemik ini melahirkan dua kelompok pembikin filem yang bertentangan pada awal 80-an. Di satu pihak kelompok penggiat filem era 50 dan 60-an yang bermula dari Singapura. Sementara pihak satu lagi diwakili oleh penggiat filem generasi muda berpangkalan di Kuala Lumpur.

Hasil polemik cetusan Dr Anuar mendorong aku mencari perbezaan yang terdapat pada filem-filem Hussein dan P Ramlee. Penemuan perbezaan-perbezaan ini mampu memberi input yang relevan bagi membantu sesiapa yang mahu membuat penilaian ketokohan dua pengarah ini.

Perbezaan paling menonjol ialah aspek teknikal. Filem-filem Hussein dari segi pergerakan dan kerja kameranya dan suntingannya jauh ke depan. Salah satu punca kebanyakan filem-filem Hussein gagal meraih kutipan pecah panggung disebabkan kegilaan beliau mengeksploitasi dan bereksperimen dengan aspek teknikal pembikinan sesebuah filem. Obsesi ini membuat Hussein mengabaikan aspek penceritaan.

Kejayaan pecah panggung filem Hang Jebat (1961) dan Dang Anom (1962) dengan gerak kerja kamera dan suntingan yang inovatif adalah kerana kekuatan skrip karya Ali Aziz. Boleh dikatakan kegagalan filem-filem Hussein yang lain adalah kerana kelemahan cerita.

Dalam usaha aku cuba memahami kegagalan filem-filem Hussein, aku bertemu satu penemuan yang agak menarik. Pemilihan tema filem-filem Hussein aku rasa menyumbang kepada kegagalannya. Hussein berani mengangkat tema dan isu yang tabo dalam masyarakat dan penonton Melayu. Dengan filem Kalong Kenangan (1964) Hussein berani menerokai isu sumbang mahram. Ketika itu tema seperti ini masih asing dan belum pernah diangkat ke layar lebar. Apakah keberanian Hussein ini memakan dirinya sendiri?

Pada aku perbezaan paling nyata antara filem-filem Hussein dengan filem-filem P Ramlee adalah dari aspek kemahiran bercerita secara visual dengan perantaraan kefahaman teknikal. Apakah yang dapat dimanfaatkan oleh pembikin filem sekarang daripada perbezaan dua pengarah ini?

Kombinasi – sikap keberanian Hussein berinovasi dengan teknik dan kemahiran bercerita P Ramlee adalah ilmu paling berharga buat semua pembikin filem.

Alfatihah buat Hussein Haniff dan P Ramlee