6 Oct 2017

Empat Faktor Pengaruhi Kutipan

SUMBERBerita Harian
5 Oktober 2017

SEBAGAI organisasi perantara bagi penerbit dan pempamer, Skim Wajib Tayang antara mereka yang secara langsung menyaksikan jatuh bangun industri perfileman tanah air.

Pengerusinya, Zahrin Aris, berkata kegagalan filem cereka tempatan memperoleh kutipan baik di pawagam berkait rapat dengan empat faktor utama iaitu promosi, kandungan, penjenamaan dan pelan pemasaran.

"Memang tidak dinafikan, promosi berterusan antara faktor perlu diberi penekanan sebelum penggambaran mahupun sewaktu tayangan. Penerbit harus bijak memasang strategi promosi dalam menambat hati penonton.

"Filem yang gagal biasanya memiliki kandungan cerita tidak mencapai tahap komersial. Apabila perkara ini berlaku, penonton daripada peringkat pertama akan memberikan maklum balas negatif, seterusnya mempengaruhi orang lain.

"Dalam masa sama, faktor terpenting adalah aspek penjenamaan kerana ia mampu meyakinkan penonton, filem berkenaan berkualiti dan menghiburkan. Sebagai contoh, penjenamaan daripada Skop Productions Sdn Bhd (Skop) yang menyaksikan filem terbitan mereka rata-ratanya mampu mencatat pungutan pecah panggung.


"Skop ialah syarikat yang kita jadikan sebagai penanda aras dalam memahami kehendak penonton. Apabila Jawatankuasa Wajib Tayang meletakkan 60 panggung bagi filem terbitan syarikat berkenaan, pihak pawagam biasanya akan menawarkan lebih daripada itu. Malah, ada masanya mereka menawarkan lebih daripada 100 panggung," katanya.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan keyakinan pihak pempamer terhadap produk Skop. Penjenamaan yang baik membuatkan mereka yakin dengan filem ingin ditayangkan di lokasi masing-masing.

Kena ada pelan pemasaran strategik

Tambahnya, penerbit yang fokus dalam menjana keuntungan, perlu memiliki pelan pemasaran strategik dari segala aspek.

"Saya menyarankan kepada penerbit, perancangan mengenai promosi atau strategi pemasaran perlu dihasilkan sebelum filem dihasilkan lagi. Sama ada penerbit mahu 'menjual' filem itu dari aspek komedi, seram, aksi atau sebagainya. Seperti filem Abang Long Fadil 2 yang kini mencatat kutipan tertinggi, mereka sudah tahu apa yang ingin dijual, iaitu aksi dan komedi, sebelum ia dihasilkan.

"Kebanyakan penerbit akan menghasilkan filem terlebih dulu dan selepas siap, barulah mereka akan menetapkan elemen yang mahu mereka jual kepada penonton," katanya.

Selain itu, Zahrin berkata, produser harus faham dan melakukan kajian dalam soal lokasi pawagam bersesuaian bagi sesebuah genre sebelum memohon Skim Wajib Tayang.

"Mereka boleh meninjau lokasi sesuai untuk sesuatu genre, kepadatan penduduk berdekatan, taraf pendapatan, pendidikan dan sebagainya. Lokasi yang dipilih itu membabitkan kos perlu dibayar kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan pihak pempamer," katanya.

Kerjasama syarikat berpengalaman

Skim Wajib Tayang tidak terkecuali berdepan dilema dalam menilai karya kurang bermutu, saat mereka berusaha membolehkannya ditayangkan di pawagam, seterusnya mengelakkan penerbit mengalami kerugian tinggi.

"Kami akan menolak filem dengan gambar tak berkualiti, audio yang teruk dan tidak boleh diterima penonton yang membayar RM12 hingga RM16 untuk berhibur.

"Saya juga ingin menyarankan kepada penerbit baharu agar menjalinkan kerjasama dengan syarikat filem yang sudah kukuh seperti Primeworks Studios, Astro Shaw, Skop atau KRU Studios. Bagi saya, sekiranya penerbit baharu ini mempunyai kandungan baik, namun tanpa pengalaman seperti dimiliki produser yang sudah lama, potensi untuk mereka gagal sangat tinggi.

"Syarikat berkenaan sebaliknya sudah tahu selok-belok industri, selain bersedia dengan pelan pemasaran dan penjenamaan yang kukuh," ujarnya.

Beliau turut berpesan, sebelum memohon Wajib Tayang, penerbit harus tahu syarat ditetapkan, selain membuat kajian.

"Mereka juga mesti mempunyai bajet untuk promosi dan perlu faham ekosistem industri serta proses perniagaan filem," katanya.

Filem berjaya miliki pakej

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Fauzi Ayob, berkata kualiti sesebuah filem bersifat subjektif. Namun katanya, filem yang baik dan diterima penonton di Malaysia secara amnya tampil dengan pakej.

"Selain kandungan filem dan penjenamaan, elemen seperti kualiti pembikinan, cerita, promosi dan impak kepada penonton menyumbang kepada peningkatan kutipan filem tahun ini.

"Biarpun mendapat sambutan kurang memberangsangkan di pasaran domestik, kita percaya pada kekuatan filem tempatan. Sebahagiannya berjaya pada peringkat antarabangsa seperti filem Munafik dan Ola Bola yang memenangi anugerah pada Festival Filem Asia Pasifik.

"Filem tayangan tahun ini seperti Adiwira Ku, You Mean The World To Me dan Shuttle Life turut diterima ke peringkat antarabangsa dan menyertai beberapa siri festival filem dunia.

"Beberapa filem lain seperti Hijabsta Ballet juga ada potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa kerana ia memiliki keistimewaan dari segi kandungan," katanya yang mengharapkan penerbit tidak terus berputus asa untuk menghasilkan filem berkualiti pada masa akan datang.

Lambakan filem terkawal

Tambahnya, kuantiti atau lambakan filem masih terkawal dengan Skim Wajib Tayang, yang memberikan peluang sama rata kepada penerbit untuk menayangkan produk mereka.

"Persaingan sihat dan positif seharusnya menggalakkan penerbit untuk menyediakan pelan pemasaran bagi menarik minat penonton ke pawagam. Faktor ini perlu diperkasakan sebelum filem itu dihasilkan lagi, agar bajet yang digunakan mengambil kira aspek pemasaran dan promosi efektif," katanya.

Peluang kedua raih laba

Kegagalan mendapat sambutan di pawagam bukan bererti penerbit sesebuah filem terpaksa menggigit jari menanggung rugi. Andai mereka bijak menyusun strategi pemasaran selain mencari inisiatif lain, filem yang gagal di panggung itu masih mampu mencatat pulangan baik.

Jika dilihat kepada aliran semasa, filem ketika ini turut boleh ditonton menerusi saluran berbayar, internet, tayangan tajaan mahupun wayang pacak. Kaedah tayangan itu sedikit sebanyak memberi ruang untuk produser filem meraih pendapatan, selain tayangan di pawagam.

Astro First yang diperkenalkan enam tahun lalu umpamanya bukan sekadar dapat dimanfaatkan sebagai peluang kedua bagi memperoleh pendapat bagi produser, malah mereka juga berpeluang menerbitkan filem berbajet rendah yang berkualiti untuk tayangan menerusi Astro Best.

Ketua Saluran Astro Best & Astro First, Sharmin Parameswaran, berkata filem yang layak disiarkan menerusi platform itu berpotensi menjana pendapatan bagi penerbit, khususnya filem yang dikira bermutu tetapi gagal mendapatkan kutipan baik di pawagam.

"Kami memberi peluang kedua kepada penerbit untuk menjana pendapatan. Bagi filem yang berjaya mencapai standard piawaian kami, potensi untuk meraih pendapatan sangat tinggi berdasarkan jumlah 4.5 juta pelanggan Astro hari ini.

"Gagal di panggung bukanlah bererti tiada lagi jalan untuk membuat untung. Bagi filem pecah panggung pula, peluang mencatat kutipan berganda juga terbuka kerana semestinya penonton akan melanggan saluran ini untuk menonton filem itu kembali," katanya ketika mengulas peranan saluran itu dalam membantu menjana ekosistem industri perfileman.

Fahami jenis penonton

Menurutnya, dalam usaha memberi peluang dan ruang kepada penerbit, filem yang mencapai standard adalah diutamakan. Filem yang hendak ditayangkan juga mestilah melepasi kriteria dua minggu wajib tayang di panggung.

Selain itu, filem atau drama hendaklah melepasi piawaian dari segi kualiti, jalan cerita, pemilihan pelakon dan pengarah serta kos penerbitan.

Mengulas kegagalan penerbit meraih kutipan baik di pawagam, beliau menyarankan penerbit memahami jenis dan segmen penonton yang bakal membeli tiket, merangkumi faktor demografi dan geografi.

"Kandungan filem harus memfokuskan kepada kekuatan pemasaran dan pengiklanan dari segi visual, tagline dan mesej yang jelas. Produk filem juga perlu memperbanyak segmen yang mendidik atau segmen khas yang menjurus pada sesuatu golongan seperti kanak-kanak, budaya atau bangsa. Perlu kita ingat, penonton dari semua bangsa punya kepelbagaian minat dalam memilih bahan tontonan," katanya.

Info

Skim Wajib Tayang

*Dasar diperkenalkan FINAS dalam usaha membantu penerbit filem. Ia memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Wajib Tayang (JWT) untuk mempertimbangkan dan menerima mana-mana filem tempatan atau usaha sama (tempatan dan luar negara) untuk ditayangkan secara wajib di dewan wayang gambar milik pengendali pawagam atau pempamer.

Zahrin Aris, Pengerusi Syarat Wajib Tayang FINAS


No comments: