10 Feb 2017

Rumusan Filem Kita 5 Tahun Terkini (2011-2015): Bhgn 1



Oleh PerangFilem

        Filem Malaysia dikatakan masih jauh ketinggalan dari segi mutu jika mahu dibandingkan dengan negara-negara jiran dan juga Asia. Disaat filem mereka meraih anugerah tertinggi di festival filem berprestij seperti Cannes, Anugerah Akademi atau paling tidak pun dibeli hak untuk dibikin semula oleh barat, filem kita masih lagi dibanjiri dengan filem kurang bermutu dan agak cincai pembuatannya. Malah, Filipina berulang kali menghantar dan menembusi Festival Filem Cannes sama ada bertanding atau di dalam kategori sampingan. Contoh lainnya, dalam setahun terdapat 70 lebih filem yang dikeluarkan tetapi yang benar-benar hebat kurang 30% daripadanya. Sebagai penonton dan juga peminat tegar, kita bukan mengharapkan 100% memuaskan nafsu tontonan dan apresiasi kita. Malahan di sinema di mana-mana negara pun tidak menjanjikan itu. Dengan usia filem kita yang telah mencapai usia 83 tahun sejak pembikinan Laila Majnun pada 1933, adakah wajar taraf mutu perfileman kita ditahap sekarang? Mungkin ada yang tertanya dari mana datangnya 30% tersebut. Adakah admin (PF) menonton kesemua filem buatan tempatan? Tulisan ini akan menerangkan perkembangan dan trend filem Malaysia dalam lima tahun dari 2011 sehingga 2015 kerana admin mula mengambil ‘sedikit berat’ tentangnya sejak 2011. 

         Pada 2011, filem bergenre seram dan komedi menguasai peratusan penerbitan filem pada tahun itu. Genre seram ini bertahan lama dari 2007 sejak Jangan Pandang Belakang dihasilkan yang menimbulkan fenomena, sehinggalah 2015. Barulah difahami kini, rakyat Malaysia memang gemarkan filem hantu. Sebagai bukti tambahan, sehingga essei ini ditulis, entri “10 Filem Paling Seram Malaysia” paling banyak dicari di blog. Manakala ulasan filem seram Jengka (2015) adalah ulasan filem yang tertinggi dari mana-mana ulasan filem lain dan sekaligus mempunyai banyak maklumbalas dari pelawat. Walaupun begitu, sehingga kini filem Seru (2011) masih belum dapat ditandingi oleh filem segenre. Ini berbeza dengan KL Gangster (2011), dimana ia mencetuskan antara impak paling besar dalam 5 tahun itu tetapi trend filem gangster cepat sejuk. 2011 sekali lagi menyaksikan satu lagi trend tercipta iaitu penghasilan filem dari adaptasi novel Ombak Rindu yang mencatat kutipan melebihi RM10 juta. Bukan sahaja mencatat rekod tinggi tetapi mewujudkan polemik di kalangan masyarakat kerana menyentuh hal agama dan maruah perempuan Melayu. Adaptasi novel cinta selepas itu tidak memberi kesan dan hanya berlandaskan komersil semata-mata.

Filem Selain Bahasa Melayu

        Tidak dinafikan dengan kemudahan teknologi pada zaman ini, pembuatan filem amat mudah. Hanya dengan menggunakan telefom bimbit saja boleh menghasilkan sebuah filem jika kena gayanya. Rakan-rakan yang ada minat pula boleh dijemput dengan sukarela sebagai pelakon. Jadi, kos pembikinan dapat dikurangkan. Walau bagaimanapun, admin tidak ingin menyentuh lebih mendalam berkenaan filem indie yang dihasilkan, tetapi ianya salah satu faktor juga mengapa lebih ramai yang menceburi industri kreatif ini walaupun diselubungi kemelut cetak rompak dan muat turun dari internet. Jika kita amati sejarah 10 tahun ke belakang, jarang sekali filem selain bahasa Melayu dihasilkan dan ditayangkan di pawagam seterusnya menjalani Syarat Wajib Tayang (filem indie seperti Jarum Halus, Kinta 1881, Karaoke, filem-filem Ho Yuhang, Tan Chui Mui, James Lee dan sebagainya ditayang di slot khas seperti International Screen di GSC atau di acara-acara kecil).

Kepong Gangster 2
        Perkembangan positif bagi filem selain bahasa Melayu ini mula dikesan pada tahun 2012 dimana sebanyak 11 filem dihasilkan dalam bahasa Mandarin, Kantonis, Tamil dan Inggeris. Selain gaya hidup masyarakat yang berubah, sudah tentunya jumlah pawagam yang meningkat terutama di bandar-bandar kecil diambil peluang oleh pengkarya untuk berkarya selain kursus perfileman yang ditawarkan di institusi pengajian tempatan khususnya menambahkan bilangan pemain dalam industri dari pelbagai kaum. Bilangan filem selain bahasa Melayu terus meningkat ke 13, 32 dan 27 pada tahun 2013 sehingga 2015. Seperti yang diketahui ramai, filem The Journey (2014) ayang mula-mula sangat berjaya dari segi kutipan. Sebelum itu, cubaan berani filem animasi berbahasa Inggeris Seefood dan War of the World: Goliath (2012) telah ditayang di luar negara. Manakala Vikingdom (2013) merupakan filem bahasa Inggeris yang mendapat publisiti meluas kerana usahasama dengan Hollywood lantas melibatkan kos yang tinggi.

       Kebangkitan filem dalam kategori ini telah menimbulkan kontroversi kemuncaknya pada Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28) yang dianggap bersifat perkauman apabila beberapa kategori filem bahasa Melayu dan bukan Melayu diasingkan. Sememangnya pengkarya bebas menggunakan apa saja bahasa yang dirasakan selesa. Sudahlah dibebani dengan syarat-syarat pembikinan yang ketat, sambutan penonton yang dingin di pawagam (walaupun ia filem yang bagus!) dan ancaman tontonan atas talian/muat turun. Orang kata filem yang baik bukan dinilai dari segi bahasa dan zaman telah berubah. Maka, pengasingan itu tidak wajar. Dari sudut pandang yang lain pula, jika mahu diikutkan pengasingan bahasa tidak dikira perkauman kerana pengkarya bukan Melayu boleh saja membikin filem berbahasa Melayu jika mahu mengikut syarat FFM (itupun jika mahu berkarya kerana anugerah). Sedangkan skrip bahasa Inggeris pasangan Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa, Dain Said dan Nandita Solomon boleh saja diterjemah ke skrin dengan berbahasa Melayu. 

        Apa jua keputusan biarlah pada akhirnya pengkarya dapat meraikan seni bersama-sama. Mendaulatkan bahasa Melayu bukan bermula dari penulisan skrip, ia harus bermula dari semua orang, penutur itu sendiri kerana sesetengah filem berbahasa Melayu yang ada sekarang bukanlah sesempurna mana untuk dijadikan contoh. Penyelesaian dengan mewujudkan Kategori Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan dan Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Melayu, Filem Terbaik (keseluruhan) akhirnya mengakhiri perdebatan hangat dan mendapat tumpuan netizen. 

No comments: