14 Aug 2015

NOTA Kematian



Arahan : Yasu Tanaka
Genre : Drama (Psycho Thriller)
Tahun : 2015
Rating : 3.5/5


*Ulasan in mengandungi spoiler.
Kalau nak semak latarbelakang pengarah dan penulis Jepun bagi filem NOTA, boleh klik LINK INI termasuk sinopsis sekali.

Pertama, filem ini agak mudah dan straightforward tetapi plot pula berjalan perlahan. Contoh cerita bermula dari A hingga C saja tetapi perjalanan ke C agak lambat. Erin dan Kamal sepasang suami isteri yang telah 10 tahun berkahwin dan perhubungan telah hambar. Paling nyata sekali, komunikasi antara mereka sangat kurang akibat hubungan yang sudah tawar itu, sehinggakan apabila muncul watak Jemat (arwah Ramli Hassan), filem ini sebenarnya dimiliki oleh Jemat yang lebih menyinar. Bukan salah Maya Karin dan Hans kerana kehendak skrip mungkin begitu pada hemat PF. Walaupun filem ini agak meleret sedikit, rasa bosan tidak pernah berlaku disebabkan dialog, lakonan dan visual yang berbaloi untuk diberi perhatian, sekurang-kurangnya dalam cuaca filem tempatan yang agak mendung kebelakangan ini.

Tanaka si pengarah dan isterinya yang telah lama tinggal di Malaysia, nampaknya memang telah menyelidik perihal budaya dan cara hidup masyarakat setempat di Sarawak dan sekaligus rasa janggal tiada walaupun kolaborasi kaum berlaku dalam filem ini. Ah, sebab jarang kita lihat Jepun dan Malaysia bersamakan?  Jika dilihat secara umumnya, beberapa kerja kamera terutama penggambaran dilaut, pandangan bot yang jauh di laut yang surut, shot bawah dibelakang Erin di dalam bot dan sebagainya dirasakan kerja yang patut diberi kredit. Perlambangan nasi menggelegak yang dimasak, ikan dalam akuarium mati seekor setelah Kamal dibunuh. Perhatikan ketika Erin berbicara di bangku dengan rakannya sebelum dan selepas dia pergi ke Sarawak, ia berbeza cuaca sebelum dan selepas kematian Kamal. Semasa kawan Erin berkata nasi lemak yang dimasak berbau sedap, itu seolah hadiah menutup suasana/cuaca 'pilu dan lembab' terhadap perbuatannya. (adakah Kamal ada hubungan dengan rakannya itu?)

Permainan kata oleh Jemat sangat baik ditangannya. Riak wajah dan tutur kata sangat kena sehinggakan terasa amat rugi watak Jemat hanya watak pembantu yang 'tiada visi'. Perhatikan ketika mula-mula Jemat muncul dari masjid, aura itu terasa hingga membawa ke saat akhir dia berada dalam filem ini. Dialog yang dilontarkan merasakan dia bukan sebagai tukang bot tapi orang berpengalaman dalam hidup dan kata-kata sinis kepada Erin sangat menikam. PF suka lakonan Maya, kali ini Maya hanya bermain dengan riak wajah dan mata yang sangat sedap untuk kita tonton tetapi secara keseluruhannya sekadar 'itu' saja disebabkan kehambaran hubungan dengan Kamal tu.

Kemudian, pabila tiba saat penghujung di sinilah sedikit terasa kekurangannya. Dibenak kita pasti meneka yang Erin takkan terlepas disebabkan jejak-jejak yang barangkali akan dihidu oleh pihak berkuasa. Namun, pilihan itu yang diberi oleh Tanaka tanpa melibatkan proses-proses undang-undang sebaliknya perkataan 'polis' di badan kereta saja.

No comments: